Gelombang Kebangkitan Ummah Kedua


posted by Martinelli Hashim

No comments

Agak nostalgik sedikit semalam semasa menghadiri seminar di Dewan Kuliah F universiti Malaya. Di dewan ini sangat banyak kenangan ...perjalanan dakwah dan aktiviti kemahasiswaan lebih 30 tahun bersama teman-teman seperjuangan yang kini sudah berada di persada politik, perniagaan, akademik keprofesoran. Ada yang sudah berada di puncak kerjaya, ada yang jatuh, ada yang bangun dan ada yang terus menghilang tanpa khabar. Ada juga yang sudah menerima panggilan ilahi meninggalkan kami.

Saya rakam gambar ini, Prof Dato' Dr Redzuan Othman dan Dato' Saifudin Abdullah dalam forum PASCA PRU13 semalam. Lebih 30 tahun yang lalu dua sahabat ini dan sahabat-sahabat yang lain sering berada di dewan yang sama, berbicara nada yang sama berputar di sekitar topik perjuangan mahasiswa dalam kebangkitan ummah. Bezanya masa itu mereka adalah anak muda yang bergelar mahasiswa sedangkan sekarang sudah di usia petang dan ada cucu memanggil mereka 'atok'.

Lebih 30 tahun dahulu Sdr. Redzuan presiden PMIUM dan sdr Saifudin presiden PBMUM. sdr. Ahmad Shabery Chik  presiden PMUM. Sdr. Husam Musa sdr Taqiuddin, Sdr. Sahlan Ismail, sdr Jamaludin Yacob, sdr Nazirudin, sdr Hazizan, sdr. zainudin, sdr Azmi Shah  , sdr Roslan Kasim  dll dalam PMIUM.... tidak ketinggalan tentunya sdr Azami Zaharim teman sefakulti yang sekarang menjadi teman serumah, kami sama-sama dalam PMIUM dan ASMUM.

Pernah keluar dari mulut para sahabat saya ini, satu hari nanti kita akan mengisi parlimen. Masa berlalu begitu pantas. Memang ramai yang mengisi parlimen dan ramai juga mengisi dunia akademik dan dunia perniagaan. Hampir kesemua mereka mengukir nama di dada akhbar. Siapa tidak kenal Dato' Saifudin, Dato' Shabery Chik, Dato' Husam Musa

Waktu itu ungkapan, "gelombang kebangkitan ummah," the rising tide of Islam" menggegar semangat kami anak muda. Waktu cuti semester diisi pembangunan rohani dan intelektual. Siswa siswi bergerak senada-seirama kerana mengisafi peranan besar orang muda di menara ilmu merubah dunia mengangkat martabat ummah.

Semalam apabila berada di DK F itu terasa kembali gelombang yang sama. Dewan dipenuhi anak muda yang berbicara nada yang hampir sama....pendemokrasian pemikiran. Bezanya 30 tahun dahulu para pensyarah tidak begitu bersama. Tetapi semalam ramai pensyarah yang hadir kerana pensyarah itu adalah generasi kami yang berada di pentas yang sama pada tahun  70an dan 80an dahulu.

Saya merasa teruja kerana menyaksikan sebuah lagi gelombang 'the 2nd rising tide of Islam' yang dibawa oleh anak muda generasi-y yang 'color blind'. Mereka buta warna kulit. Mereka pantas mendapat dan menyebar maklumat kerana komunikasi ultra-speed yang menerobas segala halangan. Apa yang mereka perlu adalah kebijaksanaan menapis maklumat dengan ilmu  supaya dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Mereka perlu menjiwai nilai keinsanan berpandukan ilmu agama yang jitu agar tidak tersasar dalam bertindak.

Saya melihat sendiri gelombang ini di UIA apabila anak muda memenuhi dewan dalam forum keilmuan seperti siri forum Muslim Heroes, yang bukan bercorak politik kepartian. Ribuan anak muda menghadirinya mengisi kedahagaan intelektual.  Ertinya tarikan gelombang ini bukan saja tarikan politik dan mereka benar-benar 'color blind' sebab yang menyertainya terdiri dari pelbagai bangsa dan pengisiannya adalah isu kemanusiaan yang sejagat.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai