PENSYARAH YANG BERPERIKEMANSIAAN


posted by Martinelli Hashim

No comments

Semalam membawa staf yang kelihatan agak ‘stress’ makan di Seri Gombak, selepas dikasari oleh seorang pensyarah. Dimarahi hanya kerana meminta agar tandatangan HOD perlu diisi dalam borang sebagai prosedur ISO biasa tetapi dianggap menyusahkan.

Kami keluar berlima ….. ‘lunch jamai’e’. Bersembang di meja makan dan masing-masing meluahkan keperitan berurusan dengan para pensyarah yang terlalu egoist. Saya dapat merasakan cabaran yang mereka lalui seharian. Bekerja dari pagi dan balik selepas jam 6.30 ptg.

Rata-rata mereka mengatakan pensyarah yang paling mereka suka adalah pensyarah dari Kulliyyah Engineering. Mereka mudah dihubungi, mudah memberi kerjasama, menghormati kakitangan bawahan, tidak banyak komplen, tidak berungut, tidak sombong ….. secara mudahnya mereka adalah sangat berperikemanusiaan apabila berurusan.

“Sebab dia orang semua baik-baik, rasa seronok nak tolong.” Kata mereka.

Seorang lagi berkata,” Mungkin Prof Faris dari awal lagi dah mengujudkan budaya Islamic di KOE kot. Bila bos baik, orang lain pun baiklah.”

Dalam fikiran saya, kalau manusia sudah menyenangi mereka, apatahlah lagi Allah dan makhluk di langit. Betapa untungnya menjadi manusia yang disenangi.

Saya setuju dengan mereka kerana dari pengalaman peribadi memang begitu. Teringat kata-kata Prof Irwandi, pensyarah Biotech yang hebat tetapi sangat tawadhu’, “ Kalau buat baik, buatlah yang terbaik bukan agak-agak baik.”

Tidak rugi menghormati orang lain walau hanya kakitangan bawahan kerana kehidupan kita berputar. Buatlah kebaikan walau sekelumit kerana mungkin kebaikan yang sekelumit itu membuat Allah mencurahkan rahmat dan hidayahNya. Mungkin saja kebaikan yang kita berikan itu membuat orang lain terbuka hati membantu kita atau anak cucu kita yang dalam kesusahan suatu masa nanti.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai