Ummat jenis apakah kita ini?


posted by Martinelli Hashim

No comments

Sengaja saya mengambil cuti hari ini untuk bebas membaca dan menulis. Banyak yang hendak diltulis sebelum ini, terhalang oleh tuntutan tugas lain. Saya akur dengan tuntutan hati, menggunakan tulisan sebagai  jihad dan menolong menyebarkan tulisan orang lain yang boleh dimanfaatkan sebagai amal jariah. Allahu akbar ….. semakin dibaca dan semakin ditulis, semakin sebak hati ini.  

Semakin melihat ketabahan mereka yang ditindas, semakin terasa kerdilnya diri.

Insaf saya, mereka tidak memerlukan rintihan dan tangisan kita. Tidak juga mereka perlu nyanyian atau kata-kata puisi dari kita. Di depan mereka ada peluru, di hati mereka ada syurga. Tumpahan darah tidak mengerikan mereka lagi. Ugutan maut mereka sambut dengan senyum.

Kita tidak tahu bila kezaliman ini akan berakhir.  Kita ada lebih 1 bilion jiwa. Sebahagiannya adalah anak-anak muda yang perlu diteguhkan dengan iman, ilmu dan kemahiran. Musuh mencipta senjata untuk membunuh kita. Mereka bersatu bertungkus-lumus meningkatkan ciptaan sedangkan kita hanya mampu melontar mereka dengan batu. Ya, kita jauh terkebelakang dalam bidang penciptaan.

Kita memberikan upah yang tinggi  kepada pencipta lagu dan filem. Jutaan ringgit dibelanjakan untuk mendorong seniman berkarya dan para seniman kita menjadi jutawan dengannya. Dalam masa yang sama karyawan filem berlumba-lumba menyogokkan nilai yang meruntuhkan budaya dan peradaban.

Seluruh negara mengenal  M.Nasir dan beliau disanjung tinggi hingga dipanggil 'sifu'. Tetapi siapakah yang mengenal para profesor yang punya ciptaan sains yang hebat-hebat? Kita punya saintis Islam yang sangat hebat, yang bekerja penuh keikhlasan. Mereka cukup zuhud, tidak mengharapkan apa-apa untuk kekayaan hidup. Apa yang keluar dari mulut mereka hanyalah,"I do this for the sake of the ummah." 

Namun siapakah yang mengenal mereka selain dari komuniti universiti?

Apa yang orang kafir cipta? 

Segalanya, malah yang tidak terfikir oleh akal sebelumnya. Zionis tidak perlu menghantar askar mereka untuk membunuh rakyat Palestine. Robot-robot kecil yang dilepaskan mampu membunuh siapa saja dengan tepat. Kalau senjata ini digunakan sepenuhnya untuk menakluki Negara Islam, apakah kita tidak merasa bersalah saintis kita tidak berusaha melakukan sesuatu disebabkan tiada kewangan, tiada keupayaan atau tiada dorongan?

Saya kagum melihat  robot yang dicipta oleh saintist UIA ini, alangkah bagusnya kalau ia dimajukan lagi. Ia dapat bergerak seperti ular melalui sebarang permukaan. Kata penciptanya ia berguna untuk mencari mangsa runtuhan agar dapat diselamatkan. Sayangnya penciptaannya tersekat kerana memerlukan dana yang besar.

Ratusan lagi ciptaan ahli sains Islam tergendala kerana dana yang tidak mencukupi.

Negara kaya seperti Saudi sanggup menghamburkan wang USD2 bilion untuk membantu universiti Oxford membuat kajian tentang terrorism yang ternyata fokusnya bukan kepentingan ummah, alangkah baiknya sekiranya sedikit diberikan untuk para penyelidik Islam.

Apa yang anak muda mereka cipta?

Mark  Zuckerberg mencipta facebook dan ia berjaya merubah dunia.

Anak muda kita yang bijak sedikit mencipta teknik menggodam komputer. Anak-anak muda kita yang lain hebat mencipta dadah dari najis lembu, mencipta teknik baru untuk membunuh. Jauhnya status anak-anak kita dari mereka. 

Ada yang berkata, "Apa nak buat, sistem persekolahan kita mendidik anak untuk menghafal bukan untuk mencipta."

Ada juga yang mengeluh,"Apa nak buat, pemimpin kita sibuk  berpolitik, bukan memimpin."

Teringat kata-kata Dr. Muhammad AlGhazali dalam bukunya Berinteraksi Dengan AlQuran, "Ilmu yang banyak dalam AlQuran adalah tentang sains. Ilmu sains perlu dititikberatkan. Hancurnya tamaddun Islam adalah kerana pemimpin sibuk dengan rebutan kuasa dan meninggalkan ilmu yang penting ini."

Dan kita hanya melihat tanpa rasa apa-apa...... ummat jenis apakah kita?

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai