PESAN BUAT SARJANA


posted by Martinelli Hashim

1 comment

Sarjana bukan untuk disanjung-sanjung
Hari ini buat kesekian kalinya kakitangan saya mengadu lagi dikasari oleh seorang professor wanita dan merungut,”Pensyarah dari dua kuliyyah ini jarang sangat yang bercakap baik-baik. Agaknya di dua kulliyyah ini dah tak ada pensyarah yang beradab dengan staf bawahan. Silap sikit melenting. Kita tak silap pun dia melenting.”

Komen biasa yang sudah diulang-ulang. Seperti biasa saya sangat sensitif apabila mendengar pendidik mengkasari orang lain atau ketua mendera orang bawahannya. Apalagi kalau yang melakukannya adalah mereka yang sudah melalui tarbiyyah UIA.

Dua buah kulliyyah yang pensyarahnya sering tidak disenangi oleh kakitangan kerana sikap sombong mereka.

Apapun kesalahan kakitangan bawahan, apalah salahnya bercakap dengan baik tanda kita makhluk yang dicipta oleh Yang Maha Penyayang. Kita seharian dijaga oleh Yang Maha Pengasih yang mencurahkan kasihNya tanpa dipinta. Kita diberitahu bahawa Allah menjauhkan rahmatNya dari orang yang tidak mengasihi makhlukNya. Kita juga ada anak dan sudah tentu kita tidak mahu mereka dikasari oleh orang lain seperti itu.

Percakapan yang baik keluar dari jiwa tawadhu yang tahu dirinya hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa selain pinjaman sementara. Keserjanaan yang diraih adalah untuk menyenangkan manusia dan seisi alam, bukan untuk disanjung-sanjung atau digentari.

Teringat kata-kata Ustaz Dato’ Sidiq Fadhil, “Kalau terasa kita sudah hebat dengan gelaran jutawan, atau penguasa atau professor atau sarjana, cubalah solat dan sujud di atas tanah tanpa sejadah, rasakanlah  sebenarnya diri kita tidak lebih dari tanah itu,  begitu kerdil dan hina…… barulah kita tahu hanya Allah saja yang besar dan mulia.
Kita tidak dapat menghayati takbir membesarkan ALLAH kerana kita sibuk dengan membesarkan diri.”

Kita tidak dapat menghayati kemuliaan Allah kerana sibuk mencari kemuliaan diri. Kita mengharap untuk dipandang tinggi oleh makhluk di bumi tetapi kita lupa itu membuat kita dihina oleh makhluk di langit.

Teringat juga cerita Yussof Nada, jutawan Ikhwan Muslimin, dalam bukunya yang menceritakan pengalamannya dalam penjara dibantu oleh seorang banduan lain yang sangat bengis tetapi berlembut dengan yusof kerana dia tahu yusuf adalah anak seorang wanita yang selalu membantunya dulu.

Kata orang sekali kita bersikap baik kepada orang lain, InshaAllah, seribu kali anak cucu kita nanti akan menerima kebaikan dari orang lain. Begitulah sebaliknya.

 Profesor atau sarjana usah sekali-kali menghina orang lain kerana kita tidak tahu bagaimana hubungan orang yang kita hina itu dengan Allah. Kekasaran seorang sarjana kepada mereka yang dibawah sama dengan melacurkan nilai kesarjanaannya….. kata-kata yang saya pinjam dari sahabat saya,seorang sarjana yang baik dan tidak sombong.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai