posted by Martinelli Hashim
Meriahnya Aidilfitri dengan kanak-kanak dari kampung sekitar
datang ke rumah. Walaupun sudah hampir seminggu Hari Raya berlalu, tetapi masih ramai
yang datang mengetuk pintu. Saya pesan kepada ahli rumah, kalau kanak-kanak
datang, layan mereka baik-baik kerana:
i.
Mungkin saja ada di antara mereka itu adalah
anak yatim atau anak orang susah.
ii.
Mereka bakal jadi dewasa yang akan mengingat
kebaikan atau kejahatan orang yang melayani mereka waktu kecil.
iii.
Kehadiran mereka tetap membawa rahmat dan
membawa keluar dosa-dosa kita
iv.
Orang yang menyangi kanak-kanak akan disayangi
Allah.
v.
Kalau kita berbuat baik, insyaAllah mereka akan
juga belajar untuk berbuat baik
vi.
Kalau kita melayan mereka dengan baik,
insyaAllah anak cucu kita nanti juga akan dilayan oleh orang lain dengan baik.
Ada yang tersipu-sipu malu apabila saya tahu mereka sudah
datang sebelum ini. Untuk menghilangkan rasa malu mereka, saya katakan,” Hari ni datang
lagi sebab haus, ye? Kat luar tu panas, kan?”
Cepat dijawab,”Betul, makcik. Haus betul.”
Ada juga yang cuba mempertahankan diri,”Saya datang lagi
sebab nak temankan dia ni. Dia malu datang seorang.”
Saya akan berbual-bual dengan kanak-kanak ini kalau tiada
tetamu lain. Terdengar bisikan dari salah seorang dari mereka, “Makcik ni
baik betul,kan?”
Pujian hanya bagi Allah, semoga
saya lebih baik dari yang mereka sangkakan dan semoga mereka lebih baik dari saya apabila besar
kelak.
Semasa saya bertanya kepada salah seorang dari mereka, “Ayah kerja apa?”
Saya terkedu sebentar, apabila dijawab, “Ayah
dah meninggal”.
Ayah mereka menghadap Tuhannya baru-baru ini akibat denggi
dalam usia 29 tahun meninggalkan 5 orang anak yang masih kecil.
Semua memberi peringatan kepada saya,
“Kalau berbuat baik, buatlah yang terbaik tanpa syarat tanpa mengharap habuan dunia. Mana tahu
kebaikan yang itulah yang memberatkan timbangan kita nanti untuk masuk ke
syurga Allah.”