Archive for 2014

PANDUAN MEMBANTU MANGSA BANJIR


posted by Martinelli Hashim

No comments

Terharu mendengar teman-teman berusaha keras membantu mangsa banjir. Tidak dinafikan sangat ramai yang ingin turun padang. Ada pelbagai orang yang turun ke padang walaupun mungkin semua berniat baik.
i. mereka yang ingin meninjau dan melapor dalam sosial media dan jarijemarinya tidak lekang dari smart phone.

ii. mereka yang hanya bercakap dan menganggap dirinya amat penting membuat penyelarasan untuk memberi laporan kepada YB agar dapat pujian politik

iii. mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Masyarakat kita tidak seperti orang Jepun yang sangat berdisiplin dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menyelaraskan bantuan sedangkan kita lebih mengikut cara sendiri dan sering timbul kecelaruan. Kita akan bertemu dengan pelbagai situasi yang tidak menyenangkan.

Pengalaman bertahun-tahun mengetuai misi membantu mangsa banjir CENSERVE setiap kali berlaku musibah, membuat hamba terasa ingin berkongsi sedikit tips dengan mereka yang baru mencuba:

i. Sebelum pergi, solatlah dua rakaat, bersihkan hati, berdoa agar diberi petunjuk dan hikmah dari Allah   
  agar apa yang bakal dilakukan dapat memberi manfaat kepada mangsa.

ii. usah pergi sekiranya ia lebih menyusahkan dari membantu

iii. Mereka yang ditimpa musibah biasanya sangat sensitif. Pastikan kehadiran kita bukan sebagai   
    penonton sebagaiamana orang melihat haiwan di zoo. Rendahkan hati, ringankan tulang, bukakan    
    mata dan telinga sehingga mangsa merasa mereka adalah istimewa dengan bantuan kita.

iv. Usah terlalu memilih siapa yang perlu dibantu kerana sakit bencana sama saja walau mereka berlainan faham politik, bangsa dan agama.

v. Usah sebut siapa kita sekiranya tidak amat perlu. Yang diperlukan adalah bantuan kita bukan nama atau pangkat kita.

vi. Bawa buah tangan seperti coklat dalam kocek atau beg untuk diberikan apabila bertemu kanak-kanak yang boleh mengembirakan mereka.

vii. Bawalah keperluan peribadi yang diperlukan supaya tidak menyusahkan orang lain.

viii. Utamakan membantu orang tua. Dekati mereka dengan penuh hormat.

ix. Usah merasa diri atau kumpulan kita yang lebih hebat dari orang lain kerana ia akan merosakkan misi kita. Mangsa perlukan bantuan dan mereka tidak ada masa untuk memuji dan mengagumi kita.

x. Bertugaslah dengan penuh tawadhu' namun ceria semasa berhadapan dengan mangsa yang sedang kita bantu. Tanamkan rasa sayang tanpa syarat.

XI. Jagalah 3 batas utama iaitu batas pergaulan, batas aurat dan batas masa solat kerana ketiga-tiga itu membantu kita menjaga batas syariat yang lain.

xii. Doakan mereka kerana doa kebaikan untuk orang lain itu akan diaminkan oleh malaikat dan malaikat akan mendoakan kebaikan juga untuk yang berdoa.

Kata ulama di padang masyar nanti akan ada orang yang sedang dinaungi dan duduk bersenang lenang. Mereka adalah orang yang semasa di dunia sibuk membantu orang lain sedang orang lain duduk bersenang lenang dengan nikmat dunia.
SELAMAT MERAIH PAHALA
Salam dari perantauan.

TARBIYYAH DIRI


posted by Martinelli Hashim

No comments

Puncak bahagia dapat dikecap apabila dihujung ujian ditemukan kelapangan, dihujung kebencian ditemukan kasih sayang. Puncak kepuasan apabila dalam derita masih boleh ketawa dan membuat orang lain ikut ketawa gembira. 

Benarlah asas taqwa itu adalah tidak takut kepada yang lain selain Allah dan menyerahkan segalanya kepada Dia setelah berusaha sebaik-baiknya. Sebesar mana pun masalah yang dihadapi, kita yakin punya tuhan Yang Maha Besar untuk membantu
.
Kekuatan berfikiran positif adalah ajaran Islam yang menyuruh kita husnulzhon dengan Allah sepenuhnya. Berfikiran positif saat kita disakiti manusia dengan mengasingkan rasa benci kepada perbuatan mereka dari rasa benci kepada dirinya juga besar kesannya. Kita boleh membenci perbuatannya, tidak dirinya kerana dirinya adalah makhluk ciptaan Yang Maha Penyayang. Dalam badannya ada sel-sel dan organ yang berzikir kepadaNya.

Meletakkan sabar di saat diri difitnah adalah tarbiyyah yang sangat tinggi nilainya. Bukanlah suatu yang sia-sia apabila Allah menjamin untuk memakbulkan doa orang yang dianiaya kerana luka kesan fitnah itu amat dalam apalagi kalau ia melibatkan maruah diri.

Gelapnya alam pada saat kita tersungkur dikasari dunia tidaklah segelap liang lahat yang sunyi dan sempit. Namun keduanya ada persamaan. Keduanya bergantung kepada kekuatan iman di dada yang menjadi penerang menyuluh kegelapan. Tersungkur di dunia akan ada teman untuk membantu bergantung kepada jenis insan apa kita di hati mereka. Tersungkur di liang lahat akan ada teman berupa amal jariah untuk membantu bergantung kepada jenis insan apa kita pada pandangan Rabbul Jaleel.

Siapa kita di mata teman bergantung kepada kualiti apa yang kita terapkan dalam peribadi. Kasih sayang yang disemai, kasih sayang pulalah yang dituai dan begitulah sebaliknya. Siapa kita di mata teman juga bergantung kepada siapa kita di mata Allah. Allah sudah berjanji memberi ketenangan dalam dakapanNya buat mereka yang meletakkan dirinya sentiasa dalam genggaman Allah.

ANAK-ANAK BONDA


posted by Martinelli Hashim

1 comment

Alhamdulillah.... anak yang ramai membuat dunia hamba meriah.... waktu mereka kecil tiada pagi yang hening dan tiada petang yang sepi.Tiada masa untuk ibunya termenung..... superwoman yang 'multitasking' .... menggosok baju sambil ikan terjerang dalam kuali, pada masa yang sama meleraikan anak-anak yang sedang berebut mainan dan si kecil minta susu. 

Setiap saat dari masa 24 jam yang Allah beri adalah amat bermakna...lalu mengejar satu tugas ke satu tugas bagi memastikan anak-anak mendapat yang paling sempurna dan anak didik di Taman Ilmu dan Budi terasuh dengan nilai keinsanan yang kukuh. .

Anak-anak adalah penentu masa depan ummah, perlu dibekalkan bukan untuk hari tua kita tetapi untuk sebuah tekad agar mereka menjadi pembawa obor menerangi alam meletakkan martabat ummah di tempat yang tertinggi.

Menyantuni mereka yang susah di Kemboja
Biarlah mereka kaya dengan ilmu, perkasa dengan budi kukuh dengan iman. 

Masa 24 jam yang Allah beri juga perlu hamba gunakan sebahagiannya untuk menyantuni mereka yang susah. Itulah medan perjuangan bonda mereka. 

Kemampuan bonda yang terhad membawa sebuah perjuangan, biarlah mereka sambung dengan langkah yang lebih kukuh dan tersusun.

Subhanallah....Sekarang mereka semuanya bertebaran di muka bumi Allah di enam tempat yang berbeza .... Ireland, UK, Penang, Johor, Negeri Sembilan dan K.L. ..... Masih tiada masa untuk ibunya termenung kerana rupanya telepati tetap bersambung ..... facetime, skype, fb dan whatsapp sentiasa aktif dan tak putus .... Alhamdulillah, bukan pagi dan petang saja meriah, tengah malam pun masih "beez....beez..." bunyi mesej dari w.a .... dua orang yang berada di balik dunia sana berjaga waktu kita di sini lena tidur.
Maafkan bonda, sayang, dengan lebih 20 w.a group, "beeze" sentiasa berbunyi, selalu tidak sempat melayani kesemuanya termasuk "beeze" dari anak-anak tersayang.

Dengan w.a, mereka masih di peringatkan, "Dah solat , belum? Dah makan ubat? Dah telepon atok? Jangan lupa exercise dan makan buah.... bla...bla...."
Yang penting, mereka masih sentiasa diperingatkan tanggungjawab 'ummatic' agar tidak terlena dengan enaknya dunia.

Komunikasi dengan anak adalah amat penting bagi hamba. Sebelum ada aplikasi canggih seperti sekarang, kami membayar lebih RM1000 sebulan untuk bil telepon semata-mata agar anak-anak sentiasa berkomunikasi dengan kami.

Walau sebesar manapun anak, di mata ibunya anak itu masih si kecil yang dipimpin tangannya waktu belajar berjalan. Debar dan cemas bila anak melalui kesukaran tetap tidak berkurang. Kasih dan sayang walau anak itu sudah punya buah hati sendiri, tetap tidak luntur. Biarpun yang terpapar di wallpaper hp mereka adalah wajah buah hati masing-masing, namun di wallpaper hati ibunya tetap wajah si anak bersama kasih tidak bersyarat.
Pertemuan setiap waktu walau dalam dunia maya .... ia adalah nikmat dari Allah.

Sahabat Lebih dari Kekasih


posted by Martinelli Hashim

No comments

Jarak beribu batu tidak jadi halangan untuk berbual dengan permata hati di seberang benua stiap hari. Perbualan dengan anak tentang persahabatan pagi tadi.

Bukakan pintu hati menerima sahabat sebaik-baiknya
Sahabat adalah orang yang selalu muncul dalam kepala kita untuk berkongsi dengannya apa saja yang kita lalui dalam kehidupan seharian. Minda kita seolah-olah sentiasa berbual dengannya.
Semakin kita rapat dengan sahabat kita sepatutnya semakin tebal hati kita menerima kata-katanya bukan semakin sensitif. Sahabat lebih dari kekasih kerana sayang kita bukan berdasarkan nafsu dan kasih kita kepadanya tidak punya syarat.

Kehadhiran sahabat sejati membawa cahaya yang dengannya kita dapat melihat kekurangan diri tanpa rasa curiga. Kehadiran kekasih membawa angan-angan yang dengannya tertutup penglihatan terhadap kebenaran dan kita diselubungi curiga akan kekurangan diri.

Kita tidak menarik perhatian sahabat kita dengan menunjukkan kelebihan kita sebagaimana yang kita lakukan kepada kekasih. Sahabat tidak tergoda dengan kecantikan atau kekacakan kita malah dialah yang menghampiri kita kerana kekurangan yang kita ada. 

Sahabat untuk kita ‘express’
Kekasih untuk kita ‘impress’.


Antara ‘ to express’ atau ‘to impress’ sudah tentulah kita lebih suka ‘to express’ kerana ia melegakan. ‘To impress’ itu amat memenatkan dan memakan banyak masa kita. Oleh itu jagalah sahabat sejati yang jujur dan ikhlas dalam kita senang atau susah. Biarkanlah mereka mengkritik kerana itu yang kita perlu sebenarnya dalam hidup walaupun mungkin bukan yang kita mahu. Kalau kita tidak suka, buat-buatlah seperti kita suka kerana niat yang baik itu Allah akan mungkin membuatkan kita benar-benar suka selagi tidak bercanggah dengan agama….. jagalah persahabatan.

Kekasih adalah insan yang  yang membuat kehidupan kita tempang tanpanya.
Tatkala kita sudah memiliki sahabat sejati dan kekasih yang menyayangi jangan lupa kita masih tetap dagang apabila berhadapan dengan Allah nanti. Kasih sayang mereka akan kita tinggalkan dan tidak mampu membantu kita di sana nanti di 'sana' kerana amal baik yang bakal kita bawa adalah atas usaha kita sendiri.

Betulah kata orang berkawan biar seribu, berkasih biar satu kerana menjaga kekasih yang satu itu lebih memenatkan dari menjaga kawan yang seribu.

Namun jangan lupa, ibu lebih dari kekasih, lebih dari sahabat …… kasih kita sudah bertaut lebih awal dan lebih dalam dari mereka dan ibu hanya satu tiada tukargantinya.

KENANGAN YANG TIDAK BISA PADAM


posted by Martinelli Hashim

No comments


Bangunan tempat hamba dibesarkan sudah rata dirobohkan....Di sinilah gelanggang hamba belajar erti pahitnya kehidupan.
Belajar sabar dan redha dengan apa yang tidak mampu dimilikki. Adat dijaga, syara' digenggam. Pandangan mata harus ke bumi agar tidak rambang mengikuti nafsu dan keinginan.

Namun kenangan bersama insan yang memaknai kehidupan hamba tetap abadi di sanubari.

KEHILANGAN


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dari sebuah soalan,"Kenapa airmata tu biru? Macam air laut je "



Sebuah ungkapan, 
"When you love something, let it free. When it returns it is yours but if it doesn't, it never was"

Sering kita diuji dengan kehilangan apa yang kita sayang. Meredhakan sesuatu kehilangan adalah pengorbanan perasaan yang amat berat. Mengisi kekosongan yang ditinggalkan adalah lebih berat dan menyakitkan.

Tiba-tiba kita berada di sebuah tempat asing dan kita adalah dagang yang sedang berjalan longlai mencari tapak untuk berpijak, mencari dahan untuk berpegang, mencari rendang untuk berteduh. Suram yang mencipta sebuah kesunyian .... tiada bicara, tiada kata-kata.

Langkah walaupun longlai perlu diteruskan demi meneruskan sebuah kehidupan. Airmata biru bersama sebuah sendu yang datang dari hati membanjiri rasa.

Datang dan perginya insan lain dalam kehidupan kita adalah ketentuan Allah tanda kita manusia. Ada yang persinggahannya lama dan menjadi milik kita dan ada yang cuma seketika namun mampu mengukir bahagia mencipta keindahan. Lama atau sebentarnya kehadiran mereka tetap hanya untuk sementara sebagai pinjaman dari Yang Maha Kuasa.

Airmata biru bukan dari laut dan tidak sampai ke laut.... korbannya adalah kertas tisu putih yang setia menanti.

"When you love something, let it free. When it returns, keep it well ...."



MAHASISWA TAMAN ILMU DAN BUDI


posted by Martinelli Hashim

No comments



Bajet….!! Setiap kali selepas pembentangan kita tidak mampu untuk tidak bersuara walau hanya bersuara kepada teman ....................... bagaimanalah senario penyelidikan di IPT selepas ini agaknya. Apakah Taman Ilmu dan Budi akan lupakan harapan untuk menjadi RU dan perkuat T&L.
Mendidik mereka menjadi insan penyayang
Apapun yang diperuntukkan kepada IPT, kebijaksanaan merancanglah yang paling penting. Saya akan bangga kalau UIA tercinta perkuat nilai keinsanan mahasiswa agar menjadi warga dunia yang hebat di segi:
1.     Kerohanian
2.     Intelek
3.     Fizikal
4.     ketampanan sosial
5.     kemandirian
Lima aspek utama yang suatu ketika dulu saya jadikan panduan asas dalam merangka  ‘strategic planning’  pembangunan pelajar UIA. Ia diolah untuk dihadzamkan oleh anak-anak didik yang terasuh minda mereka bagi membawa obor penerang ummah.

Walaupun sudah berada dipersada penyelidikan, hati tidak mampu untuk tidak melihat perkembangan anak muda yang bernaung di Taman Ilmu dan Budi ini. Jauh di sudut hati masih mengharap agar mereka yang dididik di sini biarlah benar-benar menghasilkan insan berkualiti. Masih mengharap mereka yang membawa amanah benar-benar sedia mendidik anak-anak muda ini menjadi insan berjiwa besar yang di dalam diri mereka ada
i.   Jiwa bertuhan
ii.  Jiwa bermasyarakat
iii. Jiwa berkeluarga
iv. Jiwa berwatan
Itualah jiwa yang terasuh dan apabila pulang kepada Rabb, disambut Allah dengan firmanNya
" Wahai jiwa yang tenang..kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhai. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu. Masuklah ke syurgaKu" ...surah al Fajr.

Sekadar cetusan rasa insan kerdil yang tidak punya apa-apa selain nostalgia indah 23 tahun bergelumang dalam membangunkan kemahiran insaniah mahasiswa.

PASAR MINGGU KAMPUNG BARU


posted by Martinelli Hashim

No comments

Down the memory lane ... Dibesarkan oleh ayahanda dan bonda di tempat ini dipanggil Pasar Minggu Kampung Baru di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Di belakang saya berdiri adalah bekas tapak kedai ayahanda yang ranap akibat pembinaan stesen LRT Kg. Baru.
45 tahun yang lalu kami pernah terkurung di sini semasa peristiwa 13 Mei 1969 kerana tidak sempat pindah ke tempat perlindungan darurat. Banjir besar Kuala Lumpur 1970 menenggelamkan kedai ayahanda. Kami tinggal sehelai sepinggang dan mendapat bantuan baitulmal sebagai asnaf fakir miskin.
Di tempat saya berdiri ini adalah kakilima Restoran Rasa Sayang tempat saya bermain batu serimbat bersama teman-teman. Di sini jugalah ayahanda memeluk saya sambil air mata berguguran tanda gembira apabila menyerahkan kertas keputusan MCE. Anaknya selamat membesar walaupun disekelilingnya penuh dengan penagih dadah.
Di sinilah tempat kami berteduh, sebuah kediaman yang tiada air paip, tiada bilik air. Air diambil dari bilik air awam yang digunakan oleh berpuluh keluarga.
Di sini seorang gadis miskin menanamkan cita-cita untuk mengubah nasib keluarga..... "Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" terpendam ditelan waktu.... Di sini seribu kenangan waktu kecil hingga remaja yang tidak dapat dilupakan. Sebuah madrasah kehidupan dalam dakapan lembut kasih ayahbonda walau dunia penuh kekasaran. Di sini melatih diri mengenal nilai keinsanan, hidup beradab dan beradat membina jati diri mempertahankan maruah.... Yang kaya tidak disanjung, yang miskin tidak dihina.
Hari ini seluruh Pasar Minggu dirobohkan bagi membina syurga dunia..... kenangan silam hanya terpahat di hati kami yang pernah menjadi warganya.

KELUHURAN BUDI DAN SANJUNGAN DUNIA


posted by Martinelli Hashim

No comments


Bahagia bersama insan-insan ini
Amat malang apabila manusia meletakkan kehebatan itu hanya terlihat pada mereka yang bijak mengampu ketua bukan yang menyantuni pekerja, bersikap keras bukan bersikap santun, pandai menyerang bukan pandai berunding, menuding jari bukan membimbing, banyak bicara bukan banyak mendengar, mencari perhatian manusia bukan perhatian Allah ...... lalu Allah menurunkan keresahan yang tidak berkesudahan dalam kehidupan.

Lupakah kita manusia dinilai dari ketinggian imannya. Iman lebih sempurna apabila jiwa tidak dikotori oleh sikap mengagungkan manusia. Kita tidak dilahirkan ke dunia sebagai tuan tetapi sebagai hamba kepada Tuhan. Jiwa sang hamba perlu tunduk kepada perintah Rabb yang menyuruh berbuat baik kepada sesama insan.

Berbudi luhur itu adalah asas kebaikan walau dengannya kita tidak dinobatkan sebagai manusia agung di mata dunia. Keluhuran budi dan sanjungan dunia tidak akan berjalan selari.


Helang


posted by Martinelli Hashim

No comments




Serasa ingin bertanya kepada sang helang bagaimana mampu ia terbang melayang diudara penuh kehebatan.... kepada sang semut, bagaimana mungkin badannya yang kecil mampu membawa beban berat untuk sang ratu penuh setia .... kepada sang angsa putih di kolam bagaimana hujan yang lebat tidak meninggalkan walau setitis air di badan. Keindahan dirinya menyejukkan mata yang memandang. 

Tentu saja mereka menjawab,

"Kami akur kepada hukum alam yang ditentukan oleh Rabb kami."

Mungkin juga mereka menjawab,

"Hanya manusia yang tidak berfikir. Diberikan akal tetapi tidak digunakan sebaiknya. Diberikan tenaga tetapi tidak dirasakan menfaatnya. Diberikan dunia tetapi tenggelam di dalamnya. Diberikan syurga tetapi tidak mendekatinya"

Ingin menjadi helang pada saat diri terasa lemah, menjadi semut pada saat bangga mengotori hati, menjadi angsa pada saat gulana singgah dalam kehidupan. Namun hakikat diri tetap manusia yang punya rasa, punya keinginan dan punya tanggungjawab keinsanan. 

Akur akan ada batas tenaga, ada had usia. Memerlukan kasih sahabat pengingat diri di kala tersesat. Tidak mampu hidup tanpa kasih Ilahi dan tidak mahu mati tanpa iman yang mencukupi.

Hadhirkanlah Mereka Untuk Kami


posted by Martinelli Hashim

No comments


Kenangan di Montreux Switzerland
Allahumma rabbana ....... hadhirkanlah kepada kami mereka yang Engkau pilih sebagai para kekasihMu. Mereka yang hatinya putih seputih mutiara disinari cahaya iman. 

Mereka yang punya jiwa dan jiwa itu sentiasa dicuci dengan zikrullah sehingga mulut terkunci untuk mengeluh resah. Mereka yang punya kaki yang sudah terpacu menongkah redho Allah sehingga langkah tidak lagi kecundang berjalan di titi kehidupan yang sempit. Mereka punya tangan yang sentiasa terhulur untuk menyumbang sehingga tidak tertadah lagi mengharapkan rezeki yang berlebihan......

Hati mereka diselimuti rasa qana'ah, dunia diletakkan di tapak kaki.

Manusia yang baik, aura mereka ibarat magnet menarik manusia lain melakukan kebaikan, menolak jauh kejahatan.

Jadikanlah kami seperti mereka.

TRUE FRIENDS ARE FOREVER


posted by Martinelli Hashim

No comments



Time runs so fast. It was just like yesterday that we met. We were in our primary school, went on to secondary school, studying in the same class, learning from the same teachers, shared erasers and pens, rulers with lots of pictures pasted on them. We even sipped iced syrup from the same glass, eat nasi lemak using the same spoon, laughed our hearts out over small jokes.

Sekolah Rendah Kg. Baru, K.L, Sekolah Perempuan Jalan Ipoh and Methodist Girls' School K.L were where the memories created.

It was just like yesterday when we opened our ears to hear what our friends had to say on their crushes. We hugged each other during bitter times. We exchanged autographs with fancy writings on them, "I have a pen, my pen is blue. I have a friend, my friend is you.",  "Forget Me Not." "You may be gone from my sight, but you'll never be gone from my heart." ...... signed, your friend, S.W.A.L.K (Sealed With A Loving Kiss.... )

Those were the days when friendship was built when all of us were nobody, no ranks, no wealth..... true friends who love each other unconditionally. 


Things changed when we had to go through different journeys. Each of us took different routes . We didn't see each other. Each one was destined as what Allah has decided. 


Today, after almost 4 decades suddenly those memories become fresh when we meet again...just us, putting aside other things for a while. We recalled back the jokes, shared each others' love stories which we missed to hear before. Listened to the love songs that made us dreaming away....The best reunion ever. 

Down the memory lane ...... Subhanallah ..... that friendship gets stronger and the hugs are warmer. Thanks my friends.... friends are forever.
 


Seribu Jalan Kenangan


posted by Martinelli Hashim

No comments




Terjumpa video ini yang dibuat beberapa bulan sebelum saya meninggalkan CENSERVE. Sepanjang jalan kenangan menyantuni mereka yang memerlukan, 

Dua puluh tahun tiga membimbing anak-anak muda menghadamkan nilai kemanusiaan. Tujuh belas tahun darinya membina CENSERVE bersama mereka mengotori tangan mensucikan hati bagi memaknai hidup anugerah Ilahi. Ke gunung sama di daki, ke lurah sama kami turuni. Tiada keluhan walau seribu keperitan yang dilalui kerana di hati hanya mendambakan redho dan rahmat agar usaha yang sedikit mendapat curahan barakahnya.

Carilah Ilmu


posted by Martinelli Hashim

No comments

Saya katakan kepadanya,

"Carilah ilmu agar kita tidak mudah ditipu dunia. Ilmu didatangi, ia tidak mendatangi. Batasnya langit yang luas, syaratnya usaha yang keras. Dengannya tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada laut yang terlalu dalam untuk diselami.

Perjalanan hidup kita panjang. Kita akan jatuh dan bangun mengikut takdir Ilahi. Sesekali akan bertemu dengan mereka yang menyakiti, yang berjanji lalu memungkiri, yang beramanah lalu memecahkannya. Yang pasti saat kita tabah dan menyerah kepadaNya mereka akan diadili seadil -dilnya. Kesusahan itu hanyalah kesenangan yang tertangguh. Dahulukan redho Allah dari redho manusia. InshaAllah anakanda akan selamat
."





Pagi tadi kami menghantarnya ke KLIA untuk meneruskan pengajian di seberang benua...berurailah lagi airmata antara kami yang saling mengasihi.... Semoga anakanda Syakirah Azami tetap tabah dengan segala dugaan dan cabaran meniti cita-cita membawa obor kejayaan untuk ummah.

Sejujur Persahabatan


posted by Martinelli Hashim

No comments

Di bawah lembayung Ilahi. Langkah terhenti seketika memandang teman-teman, adik-adik dan anak-anak yang ada di sekeliling menjalankan aktiviti kehidupan.
Banda Aceh: Misi bantuan untuk mangsa tsunami.

Wajah hamba tunduk ke bumi menginsafi akan kekurangan diri dalam serba-serbi. 

Sangat cetek ilmu di dada, sedikitnya amal jariah ...sedangkan masa terus berlari.

Tenaga semakin berkurang, umur semakin pendek…….Hidup dengan rezeki Ilahi, tidak kaya, tidak berkuasa, tidak berjenama malah tidak punya apa-apa yang lebih dari manusia biasa….. yang ada hanya kasih sayang buat saudara seagama, tanpa syarat tanpa balasan. Ada iman yang sedikit. Sering merintih untuk ia tidak tercabut dalam lena dunia.

Rasa ingin mencurahkan kebaikan, rasa takut menzalimi mereka yang tidak berdosa, rasa gentar tersalah membawa amanah…. Namun akur Allah akan menguji. Ujian Allah lewat manusia berbagai sikap berbagai perangai… menyuruh akal berfikir agar kita layak bergelar manusia…. Manusia, bukan flora bukan fauna yang melata. Manusia ada budi ada ruhaninya. Ada akal, ada adabnya. Ada selera, ada tanggungjawabnya.

Manusia ada hati, ada perasaan ... rasa sedih, rasa gembira, rasa ingin saling hormat menghormati menjadi manusia mulia, ....namun ada juga yang memilih menjadi tidak mulia membuang jauh akhlak dan budi hidup memenuhi nafsu sendiri.

Sahabat, tiada sumbangan yang lebih bermakna darimu selain membantu  memaknai hidup menuju jalan ke arah keredhaan Pencipta. Tunjukkan jalan untuk hamba sewaktu dalam kerabunan, berikan cahaya apabila hamba dalam kegelapan ....

Sahabat, ingat, tak? Waktu kecil dulu kita selalu menulis dalam autograf teman-teman,"I have a pen. My pen is blue. I have a friend. My friend is you." Kita melukis corak-corak hiasan berwarna-warni. Jari-jemari kita masih halus, hati kita sangat mulus. Tiada dosa yang tercatit oleh malaikat. Waktu itu sahabat sepermainan adalah belahan diri kita dan kita belahan dirinya kerana keduanya duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Waktu kakinya luka kita balutkan. Waktu kita terjatuh dia bangunkan.

Nilai sahabat waktu itu tidak mengenal rupa, wang atau kedudukan. Tiada protokol penghalang bicara.

Sahabat itu lebih mahal dari kekasih kerana ia tidak tertakluk kepada gender. Sayang dan kasihnya merentasi ras, keayuan wajah atau ketampanan rupa. Berbicaranya dari hati, mendengar juga dengan hati yang besih dari dengki atau penyanjungan yang pura-pura. 


Tiada janji setia, tiada paksaan dalam berfikir … fikirlah apa saja.

Memaknai Hidup


posted by Martinelli Hashim

No comments

Memaknai hidup dengan amal jariah, menajamkan akal dengan ilmu, mengkayakan jiwa dengan kasih sayang...... kita tidak selamanya sihat, tidak selamanya kuat dan tidak selamanya punya waktu. 


Seringkali dalam memaknai hidup kita diuji. Yang diuji sebenarnya adalah jiwa kita. Kukuhkah ia untuk mampu  mempertahankan segala  prinsip yang dipegang. Prinsip beramal jariah adalah keikhlasan tetapi sering diduga dengan rasa riya'. Prinsip mencari ilmu adalah tawadhu' tetapi sering keserjanaan yang diraih menambah angkuhnya diri. Prinsip berkasih sayang adalah mencintai orang lain kerana Allah namun sering dikotori cinta untuk kepentingan diri sendiri memenuhi nafsu yang merosakkan ukhwah. 

Jiwa yang kukuh hanya terhasil apabila sering dicuci lalu dibesarkan. Hanya mereka yang berjiwa besar dapat merasakan kecilnya dunia yang tidak mampu untuk kita bina syurga di atasnya, lalu mereka mencari bekal untuk menuju  syurga sebenar

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh yang sentiasa berpesan-pesan tentang kebenaran dan berpesan-pesan tentang kesabaran."

Peringatan Rabi’ah: Sesungguhnya Tuhan Kamu Memerhati


posted by Martinelli Hashim

No comments




Menyingkap Lembaran Ikhwan al Muslimin: Dr Muhammad Badie : Sesungguhnya Tuhan Kamu Memerhati

Peringatan Rabi’ah:  Sesungguhnya Tuhan Kamu Memerhati
(Ucapan Fadilatul Sheikh Dr Muhammad Badie Murshid al Am Ikhwan al Muslimin tanggal 9 Syawal 1434 bersamaan 16 Ogos 2013)
(Diterjemah dan disunting oleh Omar Mokhtar bin Hamdan)



Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat). (al Fajr 14)

Sebahagian manusia disesatkan dengan jawatan, harta dan kekuatan fizikal. Mereka disesatkan daripada hakikat bahawa mereka adalah hamba Allah swt, Tuhan sekalian alam. Mereka sangka bahawa merekalah tuhan-tuhan atau tuan-tuan kepada manusia. Maka mereka melampaui batas dan menzalimi serta cuba menukarkan manusia yang diciptakan Allah swt sebagai bebas, kepada menjadi hamba mereka.

Al Qur’an telah memberitahu tentang golongan taghut ini (Al Alaq 6-7) dan menceritakan mengenai Fir’aun (al Ghafir 29) serta kisah di kala Fir’aun mengancam ahli-ahli sihir yang kembali beriman (Ta ha 71).

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Al Alaq 6-7)

Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita? Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar. (al Ghafir 29)

Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan berselang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal" (Ta ha 71)


Kalau kita perhatikan akan akibat orang-orang zalim, kita akan dapati bahawa Allah swt menundakan untuk mereka kepada suatu tempoh masa kemudian bagi diazab dengan azab yang berat lagi setimpal. Maka sesungguhnya Fir’aun ditenggelamkan, lalu dia pada ketika itu sedang lemas sanggup meninggalkan keangkuhannya kerana melihat maut dan dia berkata-kata merayu (Yunus 90). Lalu Allah swt membalas dengan firmanNya (Yunus 91). Begitu juga Qarun yang ditelan oleh bumi kerana dia disesatkan oleh kemewahan hartanya. Sepertimana kesudahan Fir’aun, Ad dan Thamud (al Fajr 6-14).

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus 90)

(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang- orang yang melakukan kerosakan? (Yunus 91)


Aku katakan semua ini, sementara hati aku retak dan hiba kerana jenayah-jenayah hodoh yang diperlakukan oleh puak pengguling (kudeta) yang terdiri daripada tentera, polis dan pasukan keselamatan pada Rabu 14 Ogos 2013. Mereka menggempur dan menyuraikan para pendemonstran di medan Rabi’ah dan medan Nahdah. Demonstrasi itu telah berjalan dengan aman selama 50 hari. Para penunjuk perasaan melahirkan ekspresi mereka, berpegang kepada legitimasi perlembagaan, prinsip-prinsip demokrasi dan menuntut kepulangan presiden mereka yang telah dipilih secara sah, perlembagaan yang dipersetujui dan majlis syura sidang legislatif yang dipilih rakyat. Mereka menolak rampasan kuasa tentera. Ini berakhir dengan wajah berlumuran darah.

Maka terbunuh 500 orang syahid pada penyembelihan (al harasu al jumhuri) dan mencederakan sekurang-kurangnya 6000 orang warga Mesir serta ditangkap lebih daripada 2000 orang rakyat. Kemudian jelas sekali mereka tidak merasai kenyang dengan mengalirkan darah, maka mereka menjalankan penyembelihan baru dengan mengatasi segala apa yang dilakukan oleh pengganas gasar Barbarian sepanjang sejarah, Hulagu dan Nero. Tentera dan polis sepatutnya bertugas menjaga rakyat dan negara daripada ancaman musuh. Tetapi musibah dan malapetaka besar apabila mereka menyerang rakyat mereka sendiri dengan keganasan yang paling hodoh dan hina. Sesungguhnya ini adalah jenayah perang dan jenayah pencabulan hak asasi. Maka telah sempurnalah pembunuhan ke atas 2000 orang rakyat pada tempoh separuh hari sahaja. Puluhan ribu orang cedera dan ribuan yang lain ditahan dan dipenjarakan.

Regim Mubarak telah membunuh kurang daripada 1000 orang rakyat Mesir dalam tempoh 18 hari Thawrah Sy’ab tetapi Sisi dan gerombolannya membunuh 2000 orang rakyat dalam tempoh separuh hari. Pembunuhan dilakukan dengan teruk dan kejam. Para demonstran dibakar hidup-hidup di dalam khemah mereka. Bedilan tembakan bertubi-tubi penembak-penembak tepat ditujukan kepada orang ramai yang terdedah tanpa perlindungan. Senjata canggih dan kereta perisai digunakan bagi menggempur orang ramai. Jentolak-jentolak merempuh dan menolak badan-badan dan mayat-mayat yang bergelimpangan serta dibakar kesemuanya. Hospital-hospital diceroboh dan pesakit-pesakit ayng sedang dirawat diserang dan diburu. Sebahagian hospital dibakar dan Masjid Rabi’ah al Adawiyah dibakar oleh mereka.

Regim perampas kudeta (inqilabiyyun) menyiksa manusia dengan perasaan penuh enak dan membunuh orang tanpa berperi kemanusiaan. Seolah tiada tara bandingan kejahatan mereka lakukan. Sesungguhnya mereka lupa kepada Allah swt dan mengkhianati amanah mereka. Mereka menggulingkan dan merampas kuasa Presiden dan ketua mereka. Mereka mendakwa bahawa mereka lakukan semua ini kerana sayangkan rakyat dan kononnya mereka takut rakyat akan berpecah belah (inqisam). Sekiranya benar tanda mereka sayangkan rakyat kenapa ada kekerasan (al qoswah)? Sekiranya mereka ingin lindungi rakyat daripada perpecahan, kenapa mereka mencarik, merobak-rabik struktur fabrik  negara (tamziq al nasij al wataniy) serta mengugut untuk melancar perang saudara?

Sesungguhnya sebahagian orang lalai, dan menyokong malah menginginkan rampasan tentera (al inqilab al askariy). Ini bukan sahaja menyingkirkan Presiden Dr Morsi bahkan penguasaan tentera ke atas tampuk kuasa dan pencerobohan polis ke dalam medan politik, dan mendirikan negara militer (dawlah askariyyah) serta kediktatoran polis (diktaturiyyah bulisiyyah). Mereka menggugurkan (al itohah) kebebasan demokratik dan melanggari hak-hak kemanusiaan (huququl insani) serta membolot kuasa (tadawul as sultah). Adakah ini yang mereka inginkan? Mandat yang mereka dakwa diberikan itu telah menzahirkan kesannya pada penyembelihan di Rabi’ah, Nahdah dan di merata wilayah Mesir. Maka adakah ini yang mereka kehendaki?

Sesungguhnya demonstrasi-demonstrasi yang tidak henti-henti di setiap wilayah adalah oleh rakyat yang telah merasai dan menghargai demokrasi  serta mempertahankan perjuangan para syuhada’ Revolusi 25 Jun 2011. Mereka tidak akan mensia-siakan walaupun betapa mahal nilainya yang mereka terpaksa bayar. Sesungguhnya rakyat tidak menerima pemerintahan tentera. Alhamdulillah rakyat kita bangga bangun menentang, berpegang teguh kepada hak-hak. Mereka juga memilih dan menekuni penentangan dan bantahan secara aman walaupun berhadapan kekejaman (dhorowah) dan brutaliti (wahsyiah) regim kudeta. Rakyat percaya dan yakin bahawa kekuatan mereka di atas jalan keamanan dan mereka akan terus bangkit sehinggalah si perampas kudeta lenyap.

Sesungguhnya Allah swt memerhati dan tidak ridha ke atas pembunuhan dan keganasan yang telah diperlakukan kepada hamba-hambanya yang ingin kebebasan, penyiksaan ke atas mayat-mayat para syuhada’, pemburuan dan penghambatan ke atas pesakit-pesakit  yang mengalami kecederaan, pembakaran masjid, pembakaran kitab al Qur’an dan hospital.

Sesungguhnya Allah swt menangguhkan dan samasekali tidak mengabaikan. Kita akan lihat libasan azab Allah swt ke atas pembunuh-pembunuh pada masa yang ditentukan dengan izin Allah. Apa yang bakal menanti mereka di akhirat kelak adalah amat lebih dahsyat dan teruk dengan izin Allah.


Dan (ingatlah), orang- orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali (Al Syu’ara 227)



(Ucapan Fadilatul Sheikh Dr Muhammad Badie Murshid al Am Ikhwan al Muslimin tanggal 9 Syawal 1434 bersamaan 16 Ogos 2013)


(Diterjemah dan disunting oleh Omar Mokhtar bin Hamdan)