Down the memory lane ... Dibesarkan oleh ayahanda dan bonda di tempat ini dipanggil Pasar Minggu Kampung Baru di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Di belakang saya berdiri adalah bekas tapak kedai ayahanda yang ranap akibat pembinaan stesen LRT Kg. Baru.
45 tahun yang lalu kami pernah terkurung di sini semasa peristiwa 13 Mei 1969 kerana tidak sempat pindah ke tempat perlindungan darurat. Banjir besar Kuala Lumpur 1970 menenggelamkan kedai ayahanda. Kami tinggal sehelai sepinggang dan mendapat bantuan baitulmal sebagai asnaf fakir miskin.
Di tempat saya berdiri ini adalah kakilima Restoran Rasa Sayang tempat saya bermain batu serimbat bersama teman-teman. Di sini jugalah ayahanda memeluk saya sambil air mata berguguran tanda gembira apabila menyerahkan kertas keputusan MCE. Anaknya selamat membesar walaupun disekelilingnya penuh dengan penagih dadah.
Di sinilah tempat kami berteduh, sebuah kediaman yang tiada air paip, tiada bilik air. Air diambil dari bilik air awam yang digunakan oleh berpuluh keluarga.
Di sini seorang gadis miskin menanamkan cita-cita untuk mengubah nasib keluarga..... "Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" terpendam ditelan waktu.... Di sini seribu kenangan waktu kecil hingga remaja yang tidak dapat dilupakan. Sebuah madrasah kehidupan dalam dakapan lembut kasih ayahbonda walau dunia penuh kekasaran. Di sini melatih diri mengenal nilai keinsanan, hidup beradab dan beradat membina jati diri mempertahankan maruah.... Yang kaya tidak disanjung, yang miskin tidak dihina.
Hari ini seluruh Pasar Minggu dirobohkan bagi membina syurga dunia..... kenangan silam hanya terpahat di hati kami yang pernah menjadi warganya.