Seringkali dalam memaknai hidup kita diuji. Yang diuji sebenarnya adalah jiwa kita. Kukuhkah ia untuk mampu mempertahankan segala prinsip yang dipegang. Prinsip beramal jariah adalah keikhlasan tetapi sering diduga dengan rasa riya'. Prinsip mencari ilmu adalah tawadhu' tetapi sering keserjanaan yang diraih menambah angkuhnya diri. Prinsip berkasih sayang adalah mencintai orang lain kerana Allah namun sering dikotori cinta untuk kepentingan diri sendiri memenuhi nafsu yang merosakkan ukhwah.
Jiwa yang kukuh hanya terhasil apabila sering dicuci lalu dibesarkan. Hanya mereka yang berjiwa besar dapat merasakan kecilnya dunia yang tidak mampu untuk kita bina syurga di atasnya, lalu mereka mencari bekal untuk menuju syurga sebenar.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh yang sentiasa berpesan-pesan tentang kebenaran dan berpesan-pesan tentang kesabaran."