Wanita hebat tidak terhasil dari perjalanan hidup yang mudah. Jalan itu panjang dan penuh liku. Ranjau dan duri yang dilalui adalah buku teks wajib untuk dihadamkan. Darinya kita akan menghayati erti ihsan sebenar. Sifat ihsan adalah asas kehebatan insan pemilik tangan yang bukan saja mampu mengayun buaian tetapi jua mampu mencorakkan dunia.
Dunia bukan tempat berehat dan bukan juga tempat untuk berduka nestapa semata-mata. Tempat rehat hanyalah diakhirat setelah kita berjaya memikul amanah dari Allah.
Sesekali kita jatuh tersungkur angkara perbuatan orang yang amat kita percayai. Usah ditanya kenapa mereka melakukannya kerana soalan itu akan ditanyakan nanti kepadanya di padang masyar oleh Rabbuljaleel. Bangunlah. Luruskan hati, luruskan saf. Susunlah langkah membina ummah.
Akan ada ketikanya kita akan merasa bersendirian setelah teman-teman meninggalkan kita di tengah gelanggang juang. Mereka lupa janji setia, kesunyian lalu menerpa. Langkah menjadi longlai seketika. Biarlah kita sunyi dari manusia asalkan makhluk langit tetap bersama. Disebalik setiap kesunyian ada Allah yang menuntut kehadiran hati kita untuk menghubungiNya sentiasa. Dalam kesunyian kita ada Rasulullah saw yang menjawab salawat yang kita ucapkan. Semua itu sudah cukup bagi seorang pejuang merasakan yang dia tidak bersendirian.
Akan ada juga ketikanya kita akan dikritik hebat. Berhentilah seketika untuk bermuhassabah membersihkan diri dari kesilapan yang mungkin tidak kita sedari. Dengar suara hati yang luhur kerana dosa akan membuatnya hati kita bergetar. Buang riya', buang rasa hebat kerana ia adalah barah yang mebawa bencana dalam perjuangan.