Kalaulah setiap kali kita berbuat dosa, Allah letakkan sedikit bau di badan kita, dan bau itu bertambah dengan pertambahan dosa kita. Agaknya betapa busuk badan kita ini dan betapa malunya kita keluar bertemu kawan. Kita akan bersegera mandi bagi membersihkan bau itu.
Namun Allah menyayangi kita. Dosa kita tidak dihidu oleh sesiapa sehingga kita tidak merasa malu dengan dosa itu. Kasihnya Allah yang menjaga aib hambaNya. Kita tidak perlu mandi. Sepatah istighfar yang tulus sudah cukup untuk mencuci dosa itu. Pemurahnya Allah yang sentiasa menunggu permohonan ampun oleh hambaNya. Walau sebanyak mana dosanya tetap diampunkan.
Ataupun kalaulah setiap kali kita berbuat dosa, Allah tumbuhkan satu titik hitam di muka kita dan titik hitam itu bertambah dengan bertambahnya dosa kita. Betapa sibuknya kita berusaha mencari pencuci muka menghilangkan titik hitam itu kerana malu dilihat orang.
Tetapi Allah meletakkan titik hitam di hati kita yang tidak dilihat oleh manusia lain.
Kita saja yang merasa resahnya dengan tertutupnya hati oleh titik hitam itu .....lalu Allah menyediakan ruang seluasnya untuk minta ampun agar hati bercahaya kembali. Allah mengajar bagaimana untuk beristighfar bagi mendapatkan cahaya itu. Kita mahu menjadi insan yang mengharap agar tergolong dalam mereka yang layak menerima seruan Allah, “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Masuklah ke syurgaKu,” (Al-Fajr: 27- 30).
"Ud'u ni istajib lakum.......mintalah. Aku tunaikan." KataNya.
Nafsulmutmainnah.... jiwa yang tenang. Layakkah....layakkah kami, ya Rabb?
Alhamdullillah satu perkongsian dan peringatan yang baik bagi mereka yang mahu beringat dan kembali kepad Nya...