MH370 Kembalilah

Mar
2014
16

posted by Martinelli Hashim

No comments

Mereka mempertaturhkan nyawa di tengah lautan
Dalam tempoh yang begitu pendek begitu banyak peristiwa menyayat hati yang Allah bentangkan kepada kita di bumi bertuah ini, Malaysia bumi nan indah.

Kucar-kacir poltik, himpitan ekonomi, ketempangan sistem pendidikan, jenayah berleluasa, pembuangan bayi, penderaan, kemarau, jerebu...ah, tidak cukup ruang untuk ditulis. 

Ummah terpecah-pecah sukar untuk diwahdahkan. Damai yang hilang begitu sukar untuk dikembalikan. Mereka yang punya hati dan budi semakin berkurang dan yang ada diselimuti kelemahan tanpa kuasa.

Kini kita diuji dengan ujian begitu berat. Sang pesawat yang begitu hebat hilang tanpa kesan. Kita dipalit dengan seribu isu yang amat sukar untuk diungkai.  Satu demi satu peristiwa yang dibentangkan di depan kita cukup menyesakkan nafas, menghiris hati yang dibaluti rasa kasih sesama manusia, rasa sayang kepada negara. 

Semua ini menuntut muhasabbah diri bermula dari pemimpin hinggalah ke rakyat jelata yang punya agama sekiranya masih tidak diikuti, punya budaya tetapi tidak dihormati, punya nilai tetapi diinjak dengan kaki. Renungkanlah seketika ....di manakah silapnya langkah yang disusun, di manakah kurangnya usaha yang dirancang.

Dosa apakah lagi yang tidak terampun sehingga doa tidak lagi termakbul, derita masih belum lagi terangkat.

Seribu satu persoalan yang tidak terjawab. Berbagai teori konspirasi yang buat kita ngeri. Bermacam-macam jangkaan yang buat kita resah. Namun mentari penyelesaian belum ada tanda untuk menyinsing.

Ketenangan kita dirobek. Maruah bumi bertuah dicabul. Satu dunia membicarakannya. Sebuah tragedi, sebuah mimpi ngeri, ada yang simpati tetapi ramai juga yang mengeji.

Atas rasa kemanusiaan, kita tolak ke tepi keji dan nista mereka dan kita terus mengiringkan doa buat para perwira kita yang terus mencari dan mencari meneroka lautan dan daratan seluas bumi terbentang. Mereka mempertarungkan nyawa mengharung badai dan gelora membawa misi menyelamat agar mangsa dapat dibawa pulang dalam apa pun keadaannya ke pangkuan keluarga yang resah menunggu. 

Kita yang tidak mampu membantu seperti mereka, cuma duduk di kamar memetik papankunci komputer berbicara sesuka hati..... mungkin perlu berhenti sejenak untuk berfikir. Apa yang kita tuliskan apakah ia memberi manfaat ataukah ia menambah kecelaruan sehingga membawa fitnah yang menambah mudharat. Kalau ia baik sebarkanlah, kalau ia buruk buangkanlah. Itu yang diajarkan dalam agama.

Sebuah kenistaan yang tersebar tidak mudah untuk dibersihkan. Sebuah kebaikan yang dikongsi membawa pahala yang tidak perlu disangsikan.

Pencarian ini menuntut doa kita. Penderitaan mereka perlu berakhir sesegeranya. 

Demi sebuah negara tercinta, kita yakin sekiranya para pemimpin dan rakyat beristighfar bersama, membetulkan kesilapan dan kembali ke jalan lurus,…… bersatu memohon limpahan rahmat ilahi, inshaAllah bantuan dariNya akan segera datang. 

Duhai pemimpin, laksanakanlah pimpinanmu seadil-adilnya. Naungilah kami dengan saksamamu. Letakkanlah agama pada kepentingan teratas bukan sampingan agar rahmat Allah tidak terhalang. Duhai negarawan ambillah pertimbangan bijak agar tiada kami yang tertindas.

Duhai sahabat, pemimpin itu Allah yang tentukan. Sempurnakanlah diri kita agar kita layak dianugerahkan pemimpin yang soleh. Kalau pemimpin itu berdosa janganlah jadikan diri kita juga ikut dibelit dosa.

...... Ya Allah, kembalikanlah MH370 dan mereka yang ada di dalamnya dengan selamat..

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai