Archive for 2015

Di persimpangan


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kata orang smile is the way to solve problems, silence is the way to avoid problems. Ideally, true.
Namun tidak jarang kita berada dipersimpangan. Cuba senyum dan berdiam namun tatkala melihat mereka yang bertindak di luar kejujuran, meroboh tembok ukhwah memijak shariah...... senyum akan menjadi kelat dan diam menjadi mudharat... Terbayang ajaran Rasulullah saw sampaikanlah kebenaran walaupun pahit.... lalu kebenaran itu wajib disuarakan.
Kita hanyalah khadam ummah meletakkan kepentingan agama di atas kepentingan peribadi. Mencuci hati, meneguh peribadi, mengasah akal..., Mengharapkan agar apapun tindakan biarlah dalam hidayah Allah.
Terlintas di hati universiti kalau bukan medan untuk kita membina akal, membangun peribadi, menegak kebenaran, di mana lagi?
Universiti kalau tidak lagi memiliki pendidik yang jujur berperibadi mulia menjadilah ia bertaraf kilang pengeluar barang untuk diperniagakan. Lebih baiklah ia ditukar menjadi muzium.

KASIH MERTUA


posted by Martinelli Hashim

2 comments

Tiba-tiba menerima whattsap dari menantu menyatakan ucapan terima kasih dalam nada yang sangat indah. Banyak persamaan antara kami.



Kata-kata beliau mengingatkan hamba akan kenangan 32 tahun yang lalu semasa mula melalui hidup berumatangga. Usai majlis terima menantu di rumah keluarga suami, hamba duduk sopan di sebelah ibu mertua, cuba memenangi hati beliau menerima kehadiran hamba dalam keluarganya. Hamba adalah menantu pertamanya yang mungkin tidak diduga beliau kerana terlalu awal hadir dalam hidupnya....di saat kami berdua masih berstatus mahasiswa.

Melihat beliau menyapu airmata semasa hamba mendakapnya selepas akad nikah memberi seribu persepsi di kepala hamba.

Gambaran yang paling kuat adalah apakah hamba dianggap mengambil tempat beliau di hati anaknya yang beliau harapkan dapat menyumbang dahulu kepada adik-adiknya sebelum menanggung anak orang sebagai isteri. Mungkinkah beliau meragui kemampuan hamba melayani anaknya sebagaimana beliau melakukannya bertahun-tahun?



Hamba memahami perasaannya yang mungkin dibayangi kehilangan kasih anaknya. Keputusan kami untuk bernikah mungkin terburu-buru atas alasan menjunjung shariat. Istikharah sudah dibuat dan kami menyerahkannya kepada Allah kerana yang pasti pernikahan kami bukanlah atas dasar cinta dan nafsu.

Hamba merenung wajah beliau dalam-dalam. Hamba susuri melihat keseluruh sosok tubuhnya sambil menahan air mata sendiri .... ingin saja mengatkan kepada beliau,"Mak, saya hanya menumpang kasih. Dia tetap milik mak sepenuhnya."

Hamba akur wajah itulah yang memberi sepenuh kasih sayang sejak lelaki yang kini bergelar suami dilahirkannya. Mata itulah yang berjaga malam melayani keperluannya waktu kecil. Dari mata itulah air panas berguguran ketika berdoa untuk kejayaan anaknya dalam sujud sepanjang hayatnya. Tangan itulah yang memandikan dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Seluruh anggotanya digunakan demi anak tercinta.

Sedangkan hamba hanya penerima cintanya tanpa bersusah payah. Hamba
menerima perhatiannya lebih dari bondanya. Kejamkah hamba mengambil buah hati sang ibu yang bersakit-sakit melahir dan membesarkan sedangkan hamba mendapatnya secara percuma tanpa membayar satu sen pun.

Hamba tunduk menginsafi diri lalu bertekad menjadi menantu terbaik buat
wanita ini. Biarlah beliau tahu hamba bukan perampas tetapi adalah pelengkap dalam hidup anaknya. Biarlah beliau tahu hamba bukan penghasut untuk menjauhkan hati anaknya tetapi pelembut untuk mengeratkan hubungan mereka berdua. Biarlah wujud rasa sayang dan rindu yang mendalam di hatinya buat kami berdua.

Pada masa yang sama hamba juga punya ibubapa yang juga mungkin merasa kehilangan manja anak bongsu mereka dengan pernikahan ini.

Hamba renungi bacaan al matsurat yang antara lain termasuk doa membuang
rasa tamak, hasad dan malas.Hamba yakin dengan mengamalkan wirid ini perasaan haloba akan terhapus. Untuk yang seterusnya hamba serahkan kepada Allah membimbing hamba melakukan yang terbaik untuknya. Yang tertera di fikiran hanyalah sebuah impian kehidupan yang penuh rahmah dan mawaddah menuju jannah. Ia tidak mungkin hamba raih tanpa redha mertua.

Masa berlalu mengikut takdir Yang Maha Kuasa. Semakin hari semakin terasa kasih wanita itu. Doa hamba dimakbulkan.Usaha hamba membeli hatinya menghasilkan kejayaan. Tahun kedua perkahwinan kami hamba hamil anak kedua. Rutin menziarahi beliau kami jaga sebaiknya. Terngiang-ngiang kata-katanya kepada jiran sekampung sewaktu hamba tercuri dengar perbualan mereka, "Kalau aku ada 10 anak lelaki aku nak menantu macam dia."

Menitis air mata hamba bukan kerana rasa bangga tetapi kerana syukurnya menjadi pencuri hati mertua tanpa perlu berpura-pura. Hamba tidak mampu membeli kasih suami dengan wajah jelita atau sayang mertua dengan hadiah berlonggok kerana kedua dua itu hamba tidak punya. Yang ada hanya sebuah wajah polos tidak dipandang dan dompet kempes tidak berwang bersama sebuah kejujuran yang mereka tidak perlu ragui. 


Hamba dapat rasakan beliau sentiasa menanti kepulangan kami. Tidak jarang beliau menalipon hamba dengan ayat, "Balik, ye, mak ada buat kueh koci ni." Beliau tahu kueh koci beliau amat hamba sukai.

Hiduplah hamba berkongsi kasih lelaki yang sama dengan wanita mulia itu
dalam curahan doanya setiap waktu. Hamba hadiahkan beliau 5 orang cucu yang juga yang menyayangi beliau. Tetapi beliau pergi menemui Rabbnya 4 jam selepas hamba menghadiahkan beliau cucu ke 6.

Sudah 18 tahun beliau pergi dan hamba tidak lagi mendapat doa dalam sujudnya namun kasih sayangnya masih membayangi hidup hamba. Kasih sayang yang bukan hamba beli dengan wang ringgit namun diserahkannya tanpa syarat.

Lelaki mungkin tidak boleh hidup tanpa isteri walau boleh hidup tanpa ibu. Tetapi lelaki tidak wujud tanpa ibunya. Kehadiran isteri bukan mengambil alih tempat ibunya di hati suami. Kehadiran ibu bukan penyempit ruang di hati menantu. Bahagia isteri adalah atas kasih dan redha suami. Suami hanya mampu memberi kasih dan bahagia yang sempurna kepada isterinya setelah ia mampu membahagiakan ibunya.

Kontrak isteri dan suami hanyalah di atas surat nikah yang boleh terbatal bila-bila masa tetapi kontrak ibu dan anak lelaki adalah dalam genggaman Allah yang kekal hingga akhirat.

Sebuah kebaikan yang dilakukan oleh seorang lelaki kepada ibunya akan dibalas oleh Allah dengan seribu kebaikan yang bakal dilakukan oleh zuriatnya kepada dirinya kemudian kelak. Begitulah sebaliknya.

Kasihilah suami sebanyak yang kita mahu tetapi jangan mengalihkan kasihnya dari ibunya. Terimalah pemberian suami sebanyak yang diberi tetapi jangan lupa tentang hak ibunya untuk menerima pemberiannya.

Saat kita enak berada dalam dakapan suami pernahkah kita bertanya sudah berlamakah ibunya tidak merasakan dakapan sayang darinya.

Mertua.... kasihnya bukan untuk dijual namun kita perlu membelinya dengan keluhuran budi tanda kita beriman.

Buat lelaki … Pada saat menikmti dan memuji masakan enak sang isteri pernahkah anda membayangkan titisan susu ibu di kerongkong waktu kecil dulu.Itulah makanan pertama yang paling enak namun tidak pernah anak memuji pemberian itu. Dengan titisan susu itulah anda membesar sehingga mampu memiliki isteri yang senyum bahagia menerima pujian masakannya.

Mertua kita mungkin tidak sesempurna yang kita harapkan namun sebutir doanya lebih sempurna diterima Allah kerana doanya buat anak cucu tidak terhijab.

Sekadar perkongsian buat yang bergelar isteri yang mengharapkan
kebahagian sejati dalam rumahtangga.

ULANG TAHUN PERKAHWINAN


posted by Martinelli Hashim

1 comment



Memaknai sebuah ulangtahun perkahwinan … bukan sekadar rai-raian atau makan malam yang romantik di bawah cahaya lilin.. Mungkin ada kemucak bahagia untuk diulangtayang dan mungkin juga ada ranjau yang amat ngeri pernah ditempuh namun masih untuk dikenang. Ujian Allah dalam senang dan dalam susah dalam kita meburu nikmat bahagia berumahtangga.   

Mengenang kembali saat cemas 5 tahun yang lalu….“Acute brain hemorrhage” … tertulis di folder pesakit dan pesakitnya adalah insan yang menakhodai hidup hamba.  Ya Allah, berikanlah peluang untuk beliau sembuh. Berikanlah ya Rabb. Berikanlah hamba peluang berkhidmat untuknya lagi....Allahumma aamiin.

Terpacak sebuah janji untuk menjaganya sebaiknya.

Kata doktor "harapan tipis". 

Kata hati “Allah Maha Penyayang….Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuknya. InshaAllah akan sembuh.”

Selepas 48 jam diserang stroke, beliau sedar namun tidak mampu mengenali barang-barang yang ditunjukkan oleh doktor. Ingatan beliau terjejas. Namun masih ada keajaipan  apabila doktor bertanya siapa yang sedang berada di sebelahnya, lalu dalam keadaan yang amat lemah beliau menjawab, "Ini isteri saya, "

“Prof. ingat, tak, harijadi isteri Prof.?” Tanya doktor lagi.

“Ingat. 31 Ogos. Hari merdeka.” Jawabnya perlahan.

Allahuakbar….. apakah ini namanya kasih suami yang syurgawi ? Suami masih mengingati isteri yang kerdil ini di saat beliau tidak mampu mengingat apa pun yang ditanya oleh doktor. Nikmat Allah yang mana yang hendak hamba nafikan kini? 

Ujian Allah tidak terduga, nikmatNya juga tidak terjangka. Selama 32 tahun melayari kehidupan bersama mengharung ranjau menempuh gelombang mengharap pelangi di hujungnya nanti. Perjalanan yang panjang penuh liku mengaharap rahmah dan mawaddah hidup menjunjung shariah mendidik anak-anak dalam dunia penuh pancaroba. Alhamdulillah, sejuta kesyukuran.

Kini hamba berjalan bersamanya dan anak-anak menganyam kembali kenangan lama, kenangan waktu bermastautin di negara orang 20 tahun yang lalu. Perjalanan bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk tetapi sebuah perjalanan yang penuh bermakna buat hamba yang hampir kehilangannya 5 tahun yang lalu. 

Berjalan mengembalikan memori membesarkan anak-anak bersama….. perjalanan  seperti ini hampir mustahil setelah beliau disahkan mendapat ‘stroke’… pendarahan di bahagian tengah kepala. Waktu itu hamba hanya mengharapkan kasihNya Allah.

Alhamdulillah Allah memberikannya. Kini bukan saja boleh berjalan tetapi berjalan sejauh ini di tempat yang pernah kami bermusafir bersama anak-anak yang berderet suatu ketika dulu.

Alhamdulillah... pelangi itu sudah kami temui. 

Apa ertinya ulangtahun perkahwinan bagi kami?

Kami ingin mengenang jasa baik teman-teman yang membantu mempertautkan kami dahulu pada saat hati hamba  amat sukar menerimanya sebagai teman hidup. Hati hamba cair akhirnya hanya kerana kata-kata seprang sahabat,"Neli, kata ustaz apabila kita menolak lamaran seorang lelaki bukan atas alasan shariah tunggulah bala yang bakal menimpa." Kerana kata-kata itu hamba menerima lamarannya.

Kami ingin mengenang jasa teman-teman  yang membantu kami pada saat kami diuji dalam kehidupan.

Teman-teman sejati yang selalu bersama amat memaknai kehidupan kami....Teringat hamba membaca sms dari seorang sahabat sewaktu hamba duduk dengan linangan air mata di tepi katil suami yang sedang kritikal selepas serangan stroke, "Neli, I know you are strong as you have always been."

Rasa terima kasih yang tidak dapat didengar lagi oleh kedua-dua arwah mertua yang menjadi kunci kebahagian kami atas redha, kasih sayang dan doa mereka sehingga ke akhir hayat mereka berdua.

Pengajaran hidup:
i.              Sahabat sejati hadhir dalam susah dan senang.
ii.            Cinta sejati subur walau dalam kehidupan bergelombang
iii.      Hidup berkeluarga dalam rahmah dan mawaddah menuju jannah tidak mungkin                     dimiliki tanpa redha orang tua.
iv.     Hargailah anugerah Allah kerana mungkin kita tidak mampu menghadapi                 kehilangannya nanti


perkongsian doa angin ahmar
http://martinellihashim.blogspot.com/2011/01/kehebatan-doa-menolak-angin-ahmar.html

ANAK-ANAK BONDA


posted by Martinelli Hashim

No comments

Rasanya baru semalam memerah keringat melayan kerenah nakal anak-anak.  Anak –anak jantan yang lasak yang sering membuat jantung ibunya hampir gugur. Dua anak gadis yang sentiasa membuat kami dilanda cemas …… perasaan biasa insan bergelar ibu. Membesarkan mereka di zaman penuh cabaran dan ketidak tentuan. Mudah menyebut syarat untuk diberikan kepada anak-anak tetapi bukan mudah untuk meyakinkan hati bahawa semua syarat yang diletakkan itu diikuti sepenuhnya. 

Pada saat anak lelaki mula remaja hamba izinkn mereka memilih pasangan dan berkongsi cerita tentang pilihan mereka... tetapi bagaimana menentukan agar mereka mengikuti syarat, “no dating, no touching, no dreaming away.”……. syarat bonda yang ketat untuk anak muda yang dikelilingi segala gajet dan kemudahan untuk melakukan dosa di belakang ayahbonda.

Mengharapkan mereka yakin walau terlepas dari pandangan bonda Allah sentiasa mengawasi. Ya Rabb, Suburlkanah iman dan taqwa di hati mereka.

Pada saat anak gadis ingin memilih sendiri pakaian dan pakaian itu tidak cukup mematuhi syariat di mata bonda lalu hamba mengatakan, “Pakailah apa saja, jangan sampai ibu nampak dan kalau ibu ternampak jangan panggil ibu lagi. Ibu tak mahu masuk neraka disebabkan anak perempuan …. ”

Mendidik mereka dengan senyum dan tangis. Senyum saat melihat mereka gembira, menangis saat  mereka  terlanggar adab. Rotan dan airmata bonda mereka adalah dua senjata yang ampuh bersama doa yang tidak putus-putus.
Hamba katakan kepada mereka,”Biarlah ibu menangis sekarang takut kemudian nanti ibu tak sempat senyum sebab sudah terlambat.”

Alhamdulillah, mereka membesar jua. Namun walau sudah sebesar apapun, di mata bonda cemas tetap ada. Sesekali diperingatkan juga bahawa kita hidup bertuhan, maka letakkan Allah di atas bukan di tepi atau di belakang. Kita hidup bermasyarakat, maka letakkan diri  dalam adab yang direstui. Kita hidup berkeluarga, maka letakkan kepentingan keluarga lebih dari mengejar dunia.
Restu Allah membuat kita selamat, restu masyarakat membuat kita disayangi, kasih keluarga membuat kita bahagia...... usah izinkan diri kita tercicir salah satu darinya kerana ia penentu untuk kita hidup sebagai manusia yang berhati mulia membahagiakan dunia.

FADHILAT SURAH SURAH DALAM ALQUR'AN


posted by Martinelli Hashim

3 comments

Kelebihan dan Fadhilat Surah AL-KAHFI, SAJDAH, YAASIN, AD-DUKHAN, AL-WAQIAH, AL-MULK, AL-HASYR

SURAH AL-KAHFI (surah yang ke-18-mengandungi 110 ayat)
Daripada Umar berkata: Nabi saw telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat”

 SURAH AS-SAJDAH (surah yang ke-32-mengandungi 30 ayat)
Dan diriwayatkan imam Ahmad daripada jabir berkata:”Adalah Nabi SAW tidak tidur hingga dibaca surah As- Sajdah dan Al-Mulk”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa membaca Surah As-Sajdah, pahalanya seperti orang yang solat menepati malam al-Qadar dan dikuatkan keIslamannya, tauhidnya serta mendapat ilmu yang benar.

SURAH YAASIN (surah yang ke-36-mengandungi 83 ayat) 
Daripada Ma’qil ! Ibni Yasar berkata:
“Al-Baqarah adalah rangka Al-Quran diturunkan setiap satu ayat dengan disertakan 80 Malaikat dan Ayat Kursi khususnya diturunkan khas dari di bawah Arsy Allah swt yang tersusun di dalam surah Al-Baqarah. dan surah yaasin itu, adalah jantung hati Al-Quran”.

SURAH AD-DUKHAN (surah yang ke-44-mengandungi 59 ayat)
Daripada abi Hurairah r.a. berkata :nabi saw telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Ad-dukhan pada waktu malam, maka esoknya 70,000 malaikat akan meminta ampun baginya”.


SURAH AL-WAQIAH (surah yang ke56-mengandungi 96 ayat)
Rasulullah saw bersabda:
” Bacalah surah Al-Waqiah. Sesiapa yang membacanya tidak akan menjadi miskin selama-lamanya”


SURAH AL-MULK(surah yang ke-67-mengandungi 30 ayat)
Daripada Ibnu Abbas r.a berkata:
“Bacalah surah al-Mulk dan ajarkanlah kepada ahli keluarga kamu dan semua anak kamu dan juga kepada anak-anakmu yang belum baligh di rumahmu dan jiran tetanggamu, sesungguhnya yang menyelamatkan dan berdebat di hari kiamat di hadapan Allah swt memohon ampun kepada pembacanya supaya Allah swt menyelamatkan dia daripada api neraka dan pembacanya juga selamat dari siksaan kubur!”
Dan Nabi saw bersabda:
“saya suka kalau surah ini ada dalam hati tiap insan dari umatku”.

SURAH AL-HASYR(surah yang ke-59-mengandungi 24 ayat)
Nabi saw bersabda:
“Barangsiapa yang membaca 3 ayat terakhir surah al-Hasyr maka Allah swt mewakilkan 70 malaikat berselawat atasnya hingga petang. Begitu juga waktu petang dan jika dia meninggal pada hari itu, ia dikira mati syahid”

Disalin dari status facebook seorang sahabat 

HATI LUHUR


posted by Martinelli Hashim

No comments


facebook 13 Mac 2015
Saya katakan kepada anak-anak. "Jadilah manusia yang berperibadi mulia, berjiwa luhur dan mengasihi mereka yang berada di sekelilingi kita. Luhurnya hati tidak memilih yang lebih untuk diri sendiri.. yang kurang baik untuk orang lain. Luhurnya budi tidak kekok untuk memberi, tidak lokek untuk berkongsi.... rasa senang menyantuni.
Usah mengharap untuk diberi tetapi haraplah untuk sentiasa mampu memberi.
Pujian manusia belum tentu selamanya dan penghinaan mereka hanyalah sementara. Usah teruja dengan pujian, usah merasa rendah dengan penghinaan.
Hargai mereka yang menyayangi kita, sayangi mereka yang menyantuni kita, santuni mereka yang mendoakan kebaikan untuk kita dan doakan mereka yang pernah berjasa kepada kita.
Yang perlu dibimbangi bukan larinya kesenangan dunia atau sanjungan manusia.... Tetapi hilangnya barakah dan musnahnya kedamaian sehingga hidup tidak lagi bersandarkan iman.
Belajarlah menjadi manusia yang insani dari siapa saja hatta dari semut-semut kecil yang tidak diindahkan manusia."

AHMAD MUSLIM


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dari rahim puteri sulung kami, Liyana, lahirlah lagi seorang putera membawa cahaya dalam keluarga besar kami. Cahayamatanya yang ke 4 dan Cucunda kami yang ke 6. Si comel lahir saat azan subuh berkumandang.
Seribu kesyukuran kepada Yang Maha Esa yang menggantikan puteri yang diambilNya 5 tahun yang lalu dengan menggantikan dengan dua putera dan seorang puteri mungil. Maha Pengasih Allah yang menguji hambaNya lalu mengurniakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Kesabaran anakanda Liyana dan Iswandi mengharungi peritnya kehilangan puteri tercinta yang sedang manja dan keletah buat hamba cemburu.
Masih terbayang kata-kata menantu semasa menjawab soalan hamba samada pensyarah dan rakan-rakan sekuliahnya mengetahui anaknya baru meninggal…. Beliau berkata,”Ibu, salah satu kunci syurga ialah apabila kita menerima musibah lalu kita menyembunyikannya dari manusia.”
Kata-kata yang diucapkan bersama genangan airmata yang hanya kami saja yang melihat.
Beliau terus menuju bilik kuliah sebaik selesai menguruskan pemakaman jenazah puterinya walau dalam hiba dan sayu tanpa memberitahu sesiapa tentang kesedihan yang melanda hatinya. Puteri yang di iqamatkannya waktu lahir tidak pernah terbayang olehnya akan mengimamkan sendiri solat jenazahnya. Buah hatinya didakap membawa ke kubur dan dimasukkan ke liang lahad dengan tangannya sendiri yang selama hampir dua tahun mengulit anak kesayangannya itu. Puteri tercinta yang yang setiap hari didendangkannya dengan zikir untuk menidurkannya tiba-tiba hilang dari mata.
Kesedihan yang menimpa seluruh keluarga kami mengiringi bidadari Aufa Hani menemui Rabbnya 5 tahun lalu. Dalam doa yang teriring buat keduanya agar yang hilang digantikan dengan yang lebih baik bagi meredakan kesedihan mereka....Alhamdulillah termakbul sudah.
Semoga rumahtangga mereka terus dikurniakan rahmah, barakah dan mawaddah....Amiiin.

Bersuluh Di Depan Bukan Di Belakang


posted by Martinelli Hashim

No comments




Mengongsikan tazkirah usai solat zohor di Masjid SHAS UIA Gombak semalam;

Bersuluhlah Di depan Bukan Di Belakang.

Kisah 100 tahun dahulu mengenai seorang hamba/khadam yang sangat setia kepada tuannya. Setiap hari sebelum subuh khadam akan mengejutkan tuannya, menyediakan air untuk berwudhu’ lalu menemani tuannya ke masjid dengan membawa pelita di depan supaya tuannya nampak jalan.

Atas kesetiaan khadam yang baik itu, tuannya berkata, “Aku berwasiat akan membebaskan kamu bila aku sudah mati nanti.”

Sang khadam hanya terdiam mendengar kata-kata tuannya.

Keesokkan harinya seperti biasa mengejytkan tuannya, membawa air untuk berwudhu’ lalu mengiringi tuannya di belakang membawa pelita.

Tuannya bertanya,”Setiap hari kamu membawa pelita di depanku. Kenapa sekarang kamu membawanya di belakang?”

Khadamnya menjawab,”Tuan, untuk menerangi jalan kita bersuluh di depan bukan di belakang. Begitulah juga untuk melakukan amal jariah adalah sewaktu kita masih hidup, bukan selepas mati.”

Tuannya tersentap dengan jawapan khadamnya lalu berkata,”Aku akan bebaskan kamu sekarang juga.”

Khadam hanya tersenyum. Mulai hari itu sang khadam semakin setia dengan tuannya.

Banyak pengajarannya, bukan?
• Hikmah datang dari sesiapa saja walau dari orang yang rendah status sosialnya
• Usah bertangguh melakukan kebaikan
• Antara tuan dan hamba ada amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin
• Berkhidmat dengan amanah terutama dengan mereka yang baik tidak rugi apa-apa
• Kasihilah siapa saja kerana Allah

Manusia Yang Baik


posted by Martinelli Hashim

No comments

Berbahagialah manusia hebat yang apabila pagi bermula dia pun mula berharap hari itu dia dapat menolong orang lain yang memerlukan, menggembirakan orang lain yang berduka, menghormati orang lain yang berilmu, menyayangi orang lain tanpa syarat... Lalu menebarkan salam kepada semua muslim sehingga semua yang ditemuinya akan senyum bahagia dengan kehadirannya..
Karaketer manusia yang sukar dicari namun perlu dibina.
Bagaimanakah perasaan anda kalau ada orang yang memanggil anda untuk bertemu ? Bergantung kepada siapa dan bagaimana karakter orang itu. Teruja dan gembira sekiranya dia adalah orang yang kita senangi. Rasa ingin lari kalau sebaliknya
Dalam deretan senarai mesej whatsapp atau telegram yang anda dapat... mesej dari siapa yang akan anda baca dahulu.... juga bergantung dari siapa dan karekter yang bagaimana pengirimnya. Tidak sabar membukanya sekiranya dari orang yang kita sayangi dan mendiamkan kalau dari orang kita benci....
Kata Rasulullah saw, orang yang baik itu syurga tempatnya. Orang baik itu disenangi orang, didoakan oleh malaikat dan dikasihi oleh Yang Maha Pengasih.
Indahnya karakter kita terpancar di wajah dari hati yang bersih dan lidah yang terjaga sebelum mengeluarkan kata-kata.
Sekadar renungan... layak kah diri ini untuk disenangi dan disayangi oleh sahabat kerana Allah dan di jalan Allah di bawah lembayung shariat.