Memaknai sebuah ulangtahun perkahwinan …
bukan sekadar rai-raian atau makan malam yang romantik di bawah cahaya lilin.. Mungkin ada kemucak bahagia untuk diulangtayang dan
mungkin juga ada ranjau yang amat ngeri pernah ditempuh namun masih untuk dikenang. Ujian Allah dalam
senang dan dalam susah dalam kita meburu nikmat bahagia berumahtangga.
Mengenang kembali saat cemas 5 tahun yang
lalu….“Acute brain hemorrhage” … tertulis di folder pesakit dan pesakitnya
adalah insan yang menakhodai hidup hamba. Ya Allah, berikanlah peluang untuk beliau sembuh. Berikanlah ya Rabb. Berikanlah hamba peluang berkhidmat untuknya lagi....Allahumma aamiin.
Terpacak sebuah janji untuk menjaganya sebaiknya.
Kata doktor "harapan tipis".
Kata
hati “Allah Maha Penyayang….Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuknya.
InshaAllah akan sembuh.”
Selepas 48 jam diserang stroke, beliau sedar
namun tidak mampu mengenali barang-barang yang ditunjukkan oleh doktor. Ingatan
beliau terjejas. Namun masih ada keajaipan apabila doktor bertanya siapa yang
sedang berada di sebelahnya, lalu dalam keadaan yang amat lemah beliau
menjawab, "Ini isteri saya, "
“Prof. ingat, tak, harijadi isteri Prof.?”
Tanya doktor lagi.
“Ingat. 31 Ogos. Hari merdeka.” Jawabnya
perlahan.
Allahuakbar….. apakah ini namanya kasih suami
yang syurgawi ? Suami masih mengingati isteri yang kerdil ini di saat beliau tidak mampu mengingat apa pun yang ditanya oleh doktor. Nikmat Allah yang mana yang hendak hamba nafikan kini?
Ujian Allah tidak terduga, nikmatNya juga
tidak terjangka. Selama 32 tahun melayari kehidupan bersama mengharung ranjau menempuh gelombang mengharap pelangi di hujungnya nanti. Perjalanan yang
panjang penuh liku mengaharap rahmah dan mawaddah hidup menjunjung shariah
mendidik anak-anak dalam dunia penuh pancaroba. Alhamdulillah, sejuta
kesyukuran.
Kini hamba berjalan bersamanya dan anak-anak
menganyam kembali kenangan lama, kenangan waktu bermastautin di negara orang 20 tahun yang lalu. Perjalanan bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk tetapi sebuah perjalanan yang penuh bermakna buat hamba yang hampir kehilangannya 5 tahun yang lalu.
Berjalan
mengembalikan memori membesarkan anak-anak bersama….. perjalanan seperti ini hampir
mustahil setelah beliau disahkan mendapat ‘stroke’… pendarahan di bahagian
tengah kepala. Waktu itu hamba hanya mengharapkan kasihNya Allah.
Alhamdulillah Allah memberikannya. Kini bukan saja boleh berjalan tetapi berjalan sejauh ini di tempat yang pernah kami bermusafir bersama anak-anak yang berderet suatu ketika dulu.
Alhamdulillah... pelangi itu sudah kami temui.
Apa ertinya ulangtahun perkahwinan bagi kami?
Kami ingin mengenang jasa
baik teman-teman yang membantu mempertautkan kami dahulu pada saat hati hamba amat sukar menerimanya sebagai teman hidup. Hati hamba cair akhirnya hanya kerana kata-kata seprang sahabat,"Neli, kata ustaz apabila kita menolak lamaran seorang lelaki bukan atas alasan shariah tunggulah bala yang bakal menimpa." Kerana kata-kata itu hamba menerima lamarannya.
Kami ingin mengenang jasa teman-teman yang
membantu kami pada saat kami diuji dalam kehidupan.
Teman-teman sejati yang selalu bersama amat memaknai kehidupan kami....Teringat hamba membaca sms dari seorang sahabat sewaktu hamba duduk dengan linangan air mata di tepi katil suami yang sedang kritikal selepas serangan stroke, "Neli, I know you are strong as you have always been."
Rasa terima kasih yang tidak dapat didengar lagi oleh kedua-dua arwah mertua yang menjadi kunci kebahagian kami atas redha, kasih sayang dan doa mereka sehingga ke akhir hayat mereka berdua.
Pengajaran hidup:
i.
Sahabat sejati hadhir dalam susah
dan senang.
ii.
Cinta sejati subur walau dalam
kehidupan bergelombang
iii. Hidup berkeluarga dalam rahmah dan mawaddah menuju jannah tidak mungkin dimiliki tanpa redha orang tua.
iv. Hargailah anugerah Allah kerana mungkin kita tidak mampu menghadapi kehilangannya nanti
Assalamualaikum wb,
Selamat berulangtahun perkahwinan Nely dan Azmi semoga kebahagian kekal hingga penghujung hayat.
Allah SWT akan sentiasa menguji hambanya yg bertaqwa,krn ujian tsb akan memperbaharui kembali kekuatan keimanan hamba yg teruji.
Salam bahagia selalu
dari kami sekeluarga.
http://fortunamedia.blogspot.com/
http://fazryan87.blogspot.com/