AHMAD MUSLIM


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dari rahim puteri sulung kami, Liyana, lahirlah lagi seorang putera membawa cahaya dalam keluarga besar kami. Cahayamatanya yang ke 4 dan Cucunda kami yang ke 6. Si comel lahir saat azan subuh berkumandang.
Seribu kesyukuran kepada Yang Maha Esa yang menggantikan puteri yang diambilNya 5 tahun yang lalu dengan menggantikan dengan dua putera dan seorang puteri mungil. Maha Pengasih Allah yang menguji hambaNya lalu mengurniakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Kesabaran anakanda Liyana dan Iswandi mengharungi peritnya kehilangan puteri tercinta yang sedang manja dan keletah buat hamba cemburu.
Masih terbayang kata-kata menantu semasa menjawab soalan hamba samada pensyarah dan rakan-rakan sekuliahnya mengetahui anaknya baru meninggal…. Beliau berkata,”Ibu, salah satu kunci syurga ialah apabila kita menerima musibah lalu kita menyembunyikannya dari manusia.”
Kata-kata yang diucapkan bersama genangan airmata yang hanya kami saja yang melihat.
Beliau terus menuju bilik kuliah sebaik selesai menguruskan pemakaman jenazah puterinya walau dalam hiba dan sayu tanpa memberitahu sesiapa tentang kesedihan yang melanda hatinya. Puteri yang di iqamatkannya waktu lahir tidak pernah terbayang olehnya akan mengimamkan sendiri solat jenazahnya. Buah hatinya didakap membawa ke kubur dan dimasukkan ke liang lahad dengan tangannya sendiri yang selama hampir dua tahun mengulit anak kesayangannya itu. Puteri tercinta yang yang setiap hari didendangkannya dengan zikir untuk menidurkannya tiba-tiba hilang dari mata.
Kesedihan yang menimpa seluruh keluarga kami mengiringi bidadari Aufa Hani menemui Rabbnya 5 tahun lalu. Dalam doa yang teriring buat keduanya agar yang hilang digantikan dengan yang lebih baik bagi meredakan kesedihan mereka....Alhamdulillah termakbul sudah.
Semoga rumahtangga mereka terus dikurniakan rahmah, barakah dan mawaddah....Amiiin.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai