Archive for August 2014

Sejujur Persahabatan


posted by Martinelli Hashim

No comments

Di bawah lembayung Ilahi. Langkah terhenti seketika memandang teman-teman, adik-adik dan anak-anak yang ada di sekeliling menjalankan aktiviti kehidupan.
Banda Aceh: Misi bantuan untuk mangsa tsunami.

Wajah hamba tunduk ke bumi menginsafi akan kekurangan diri dalam serba-serbi. 

Sangat cetek ilmu di dada, sedikitnya amal jariah ...sedangkan masa terus berlari.

Tenaga semakin berkurang, umur semakin pendek…….Hidup dengan rezeki Ilahi, tidak kaya, tidak berkuasa, tidak berjenama malah tidak punya apa-apa yang lebih dari manusia biasa….. yang ada hanya kasih sayang buat saudara seagama, tanpa syarat tanpa balasan. Ada iman yang sedikit. Sering merintih untuk ia tidak tercabut dalam lena dunia.

Rasa ingin mencurahkan kebaikan, rasa takut menzalimi mereka yang tidak berdosa, rasa gentar tersalah membawa amanah…. Namun akur Allah akan menguji. Ujian Allah lewat manusia berbagai sikap berbagai perangai… menyuruh akal berfikir agar kita layak bergelar manusia…. Manusia, bukan flora bukan fauna yang melata. Manusia ada budi ada ruhaninya. Ada akal, ada adabnya. Ada selera, ada tanggungjawabnya.

Manusia ada hati, ada perasaan ... rasa sedih, rasa gembira, rasa ingin saling hormat menghormati menjadi manusia mulia, ....namun ada juga yang memilih menjadi tidak mulia membuang jauh akhlak dan budi hidup memenuhi nafsu sendiri.

Sahabat, tiada sumbangan yang lebih bermakna darimu selain membantu  memaknai hidup menuju jalan ke arah keredhaan Pencipta. Tunjukkan jalan untuk hamba sewaktu dalam kerabunan, berikan cahaya apabila hamba dalam kegelapan ....

Sahabat, ingat, tak? Waktu kecil dulu kita selalu menulis dalam autograf teman-teman,"I have a pen. My pen is blue. I have a friend. My friend is you." Kita melukis corak-corak hiasan berwarna-warni. Jari-jemari kita masih halus, hati kita sangat mulus. Tiada dosa yang tercatit oleh malaikat. Waktu itu sahabat sepermainan adalah belahan diri kita dan kita belahan dirinya kerana keduanya duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Waktu kakinya luka kita balutkan. Waktu kita terjatuh dia bangunkan.

Nilai sahabat waktu itu tidak mengenal rupa, wang atau kedudukan. Tiada protokol penghalang bicara.

Sahabat itu lebih mahal dari kekasih kerana ia tidak tertakluk kepada gender. Sayang dan kasihnya merentasi ras, keayuan wajah atau ketampanan rupa. Berbicaranya dari hati, mendengar juga dengan hati yang besih dari dengki atau penyanjungan yang pura-pura. 


Tiada janji setia, tiada paksaan dalam berfikir … fikirlah apa saja.

Memaknai Hidup


posted by Martinelli Hashim

No comments

Memaknai hidup dengan amal jariah, menajamkan akal dengan ilmu, mengkayakan jiwa dengan kasih sayang...... kita tidak selamanya sihat, tidak selamanya kuat dan tidak selamanya punya waktu. 


Seringkali dalam memaknai hidup kita diuji. Yang diuji sebenarnya adalah jiwa kita. Kukuhkah ia untuk mampu  mempertahankan segala  prinsip yang dipegang. Prinsip beramal jariah adalah keikhlasan tetapi sering diduga dengan rasa riya'. Prinsip mencari ilmu adalah tawadhu' tetapi sering keserjanaan yang diraih menambah angkuhnya diri. Prinsip berkasih sayang adalah mencintai orang lain kerana Allah namun sering dikotori cinta untuk kepentingan diri sendiri memenuhi nafsu yang merosakkan ukhwah. 

Jiwa yang kukuh hanya terhasil apabila sering dicuci lalu dibesarkan. Hanya mereka yang berjiwa besar dapat merasakan kecilnya dunia yang tidak mampu untuk kita bina syurga di atasnya, lalu mereka mencari bekal untuk menuju  syurga sebenar

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh yang sentiasa berpesan-pesan tentang kebenaran dan berpesan-pesan tentang kesabaran."

Peringatan Rabi’ah: Sesungguhnya Tuhan Kamu Memerhati


posted by Martinelli Hashim

No comments




Menyingkap Lembaran Ikhwan al Muslimin: Dr Muhammad Badie : Sesungguhnya Tuhan Kamu Memerhati

Peringatan Rabi’ah:  Sesungguhnya Tuhan Kamu Memerhati
(Ucapan Fadilatul Sheikh Dr Muhammad Badie Murshid al Am Ikhwan al Muslimin tanggal 9 Syawal 1434 bersamaan 16 Ogos 2013)
(Diterjemah dan disunting oleh Omar Mokhtar bin Hamdan)



Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat). (al Fajr 14)

Sebahagian manusia disesatkan dengan jawatan, harta dan kekuatan fizikal. Mereka disesatkan daripada hakikat bahawa mereka adalah hamba Allah swt, Tuhan sekalian alam. Mereka sangka bahawa merekalah tuhan-tuhan atau tuan-tuan kepada manusia. Maka mereka melampaui batas dan menzalimi serta cuba menukarkan manusia yang diciptakan Allah swt sebagai bebas, kepada menjadi hamba mereka.

Al Qur’an telah memberitahu tentang golongan taghut ini (Al Alaq 6-7) dan menceritakan mengenai Fir’aun (al Ghafir 29) serta kisah di kala Fir’aun mengancam ahli-ahli sihir yang kembali beriman (Ta ha 71).

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Al Alaq 6-7)

Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita? Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar. (al Ghafir 29)

Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan berselang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal" (Ta ha 71)


Kalau kita perhatikan akan akibat orang-orang zalim, kita akan dapati bahawa Allah swt menundakan untuk mereka kepada suatu tempoh masa kemudian bagi diazab dengan azab yang berat lagi setimpal. Maka sesungguhnya Fir’aun ditenggelamkan, lalu dia pada ketika itu sedang lemas sanggup meninggalkan keangkuhannya kerana melihat maut dan dia berkata-kata merayu (Yunus 90). Lalu Allah swt membalas dengan firmanNya (Yunus 91). Begitu juga Qarun yang ditelan oleh bumi kerana dia disesatkan oleh kemewahan hartanya. Sepertimana kesudahan Fir’aun, Ad dan Thamud (al Fajr 6-14).

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus 90)

(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang- orang yang melakukan kerosakan? (Yunus 91)


Aku katakan semua ini, sementara hati aku retak dan hiba kerana jenayah-jenayah hodoh yang diperlakukan oleh puak pengguling (kudeta) yang terdiri daripada tentera, polis dan pasukan keselamatan pada Rabu 14 Ogos 2013. Mereka menggempur dan menyuraikan para pendemonstran di medan Rabi’ah dan medan Nahdah. Demonstrasi itu telah berjalan dengan aman selama 50 hari. Para penunjuk perasaan melahirkan ekspresi mereka, berpegang kepada legitimasi perlembagaan, prinsip-prinsip demokrasi dan menuntut kepulangan presiden mereka yang telah dipilih secara sah, perlembagaan yang dipersetujui dan majlis syura sidang legislatif yang dipilih rakyat. Mereka menolak rampasan kuasa tentera. Ini berakhir dengan wajah berlumuran darah.

Maka terbunuh 500 orang syahid pada penyembelihan (al harasu al jumhuri) dan mencederakan sekurang-kurangnya 6000 orang warga Mesir serta ditangkap lebih daripada 2000 orang rakyat. Kemudian jelas sekali mereka tidak merasai kenyang dengan mengalirkan darah, maka mereka menjalankan penyembelihan baru dengan mengatasi segala apa yang dilakukan oleh pengganas gasar Barbarian sepanjang sejarah, Hulagu dan Nero. Tentera dan polis sepatutnya bertugas menjaga rakyat dan negara daripada ancaman musuh. Tetapi musibah dan malapetaka besar apabila mereka menyerang rakyat mereka sendiri dengan keganasan yang paling hodoh dan hina. Sesungguhnya ini adalah jenayah perang dan jenayah pencabulan hak asasi. Maka telah sempurnalah pembunuhan ke atas 2000 orang rakyat pada tempoh separuh hari sahaja. Puluhan ribu orang cedera dan ribuan yang lain ditahan dan dipenjarakan.

Regim Mubarak telah membunuh kurang daripada 1000 orang rakyat Mesir dalam tempoh 18 hari Thawrah Sy’ab tetapi Sisi dan gerombolannya membunuh 2000 orang rakyat dalam tempoh separuh hari. Pembunuhan dilakukan dengan teruk dan kejam. Para demonstran dibakar hidup-hidup di dalam khemah mereka. Bedilan tembakan bertubi-tubi penembak-penembak tepat ditujukan kepada orang ramai yang terdedah tanpa perlindungan. Senjata canggih dan kereta perisai digunakan bagi menggempur orang ramai. Jentolak-jentolak merempuh dan menolak badan-badan dan mayat-mayat yang bergelimpangan serta dibakar kesemuanya. Hospital-hospital diceroboh dan pesakit-pesakit ayng sedang dirawat diserang dan diburu. Sebahagian hospital dibakar dan Masjid Rabi’ah al Adawiyah dibakar oleh mereka.

Regim perampas kudeta (inqilabiyyun) menyiksa manusia dengan perasaan penuh enak dan membunuh orang tanpa berperi kemanusiaan. Seolah tiada tara bandingan kejahatan mereka lakukan. Sesungguhnya mereka lupa kepada Allah swt dan mengkhianati amanah mereka. Mereka menggulingkan dan merampas kuasa Presiden dan ketua mereka. Mereka mendakwa bahawa mereka lakukan semua ini kerana sayangkan rakyat dan kononnya mereka takut rakyat akan berpecah belah (inqisam). Sekiranya benar tanda mereka sayangkan rakyat kenapa ada kekerasan (al qoswah)? Sekiranya mereka ingin lindungi rakyat daripada perpecahan, kenapa mereka mencarik, merobak-rabik struktur fabrik  negara (tamziq al nasij al wataniy) serta mengugut untuk melancar perang saudara?

Sesungguhnya sebahagian orang lalai, dan menyokong malah menginginkan rampasan tentera (al inqilab al askariy). Ini bukan sahaja menyingkirkan Presiden Dr Morsi bahkan penguasaan tentera ke atas tampuk kuasa dan pencerobohan polis ke dalam medan politik, dan mendirikan negara militer (dawlah askariyyah) serta kediktatoran polis (diktaturiyyah bulisiyyah). Mereka menggugurkan (al itohah) kebebasan demokratik dan melanggari hak-hak kemanusiaan (huququl insani) serta membolot kuasa (tadawul as sultah). Adakah ini yang mereka inginkan? Mandat yang mereka dakwa diberikan itu telah menzahirkan kesannya pada penyembelihan di Rabi’ah, Nahdah dan di merata wilayah Mesir. Maka adakah ini yang mereka kehendaki?

Sesungguhnya demonstrasi-demonstrasi yang tidak henti-henti di setiap wilayah adalah oleh rakyat yang telah merasai dan menghargai demokrasi  serta mempertahankan perjuangan para syuhada’ Revolusi 25 Jun 2011. Mereka tidak akan mensia-siakan walaupun betapa mahal nilainya yang mereka terpaksa bayar. Sesungguhnya rakyat tidak menerima pemerintahan tentera. Alhamdulillah rakyat kita bangga bangun menentang, berpegang teguh kepada hak-hak. Mereka juga memilih dan menekuni penentangan dan bantahan secara aman walaupun berhadapan kekejaman (dhorowah) dan brutaliti (wahsyiah) regim kudeta. Rakyat percaya dan yakin bahawa kekuatan mereka di atas jalan keamanan dan mereka akan terus bangkit sehinggalah si perampas kudeta lenyap.

Sesungguhnya Allah swt memerhati dan tidak ridha ke atas pembunuhan dan keganasan yang telah diperlakukan kepada hamba-hambanya yang ingin kebebasan, penyiksaan ke atas mayat-mayat para syuhada’, pemburuan dan penghambatan ke atas pesakit-pesakit  yang mengalami kecederaan, pembakaran masjid, pembakaran kitab al Qur’an dan hospital.

Sesungguhnya Allah swt menangguhkan dan samasekali tidak mengabaikan. Kita akan lihat libasan azab Allah swt ke atas pembunuh-pembunuh pada masa yang ditentukan dengan izin Allah. Apa yang bakal menanti mereka di akhirat kelak adalah amat lebih dahsyat dan teruk dengan izin Allah.


Dan (ingatlah), orang- orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali (Al Syu’ara 227)



(Ucapan Fadilatul Sheikh Dr Muhammad Badie Murshid al Am Ikhwan al Muslimin tanggal 9 Syawal 1434 bersamaan 16 Ogos 2013)


(Diterjemah dan disunting oleh Omar Mokhtar bin Hamdan)


Cekalkan Hati


posted by Martinelli Hashim

No comments


Buat para wanita muda yang memilih untuk menjadi pejuang ummah.

Wanita hebat tidak terhasil dari perjalanan hidup yang mudah. Jalan itu panjang dan penuh liku. Ranjau dan duri yang dilalui adalah buku teks wajib untuk dihadamkan. Darinya kita akan menghayati erti ihsan sebenar. Sifat ihsan adalah asas kehebatan insan pemilik tangan yang bukan saja mampu mengayun buaian tetapi jua mampu mencorakkan dunia.

Dunia bukan tempat berehat dan bukan juga tempat untuk berduka nestapa semata-mata. Tempat rehat hanyalah diakhirat setelah kita berjaya memikul amanah dari Allah.

Sesekali kita jatuh tersungkur angkara perbuatan orang yang amat kita percayai. Usah ditanya kenapa mereka melakukannya kerana soalan itu akan ditanyakan nanti kepadanya di padang masyar oleh Rabbuljaleel. Bangunlah. Luruskan hati, luruskan saf. Susunlah langkah membina ummah.

Akan ada ketikanya kita akan merasa bersendirian setelah teman-teman meninggalkan kita di tengah gelanggang juang. Mereka lupa janji setia, kesunyian lalu menerpa. Langkah menjadi longlai seketika. Biarlah kita sunyi dari manusia asalkan makhluk langit tetap bersama. Disebalik setiap kesunyian ada Allah yang menuntut kehadiran hati kita untuk menghubungiNya sentiasa. Dalam kesunyian kita ada Rasulullah saw yang menjawab salawat yang kita ucapkan. Semua itu sudah cukup bagi seorang pejuang merasakan yang dia tidak bersendirian.

Akan ada juga ketikanya kita akan dikritik hebat. Berhentilah seketika untuk bermuhassabah membersihkan diri dari kesilapan yang mungkin tidak kita sedari. Dengar suara hati yang luhur kerana dosa akan membuatnya hati kita bergetar. Buang riya',  buang rasa hebat kerana ia adalah barah yang mebawa bencana dalam perjuangan.


Fitnah dan tohmah amat mengguris perasaan dan adakalanya mencalar maruah,   namun Allah tidak mungkin mengizinkan ia berlaku sia-sia tanpa ada hikmah yang tersimpan. Bukankah sudah dikatakan apabila Allah hendak menganugerahkan sesuatu kebaikan yang besar kepada insan yang dikasihiNya, Ia akan memberikannya kesusahan  yang berat terlebih dahulu?

Manusia boleh saja menyakiti kita, tetapi kita boleh memilih untuk melayan kesakitan itu atau membuangnya jauh-jauh. Kita ada Allah yang memilikki gudang rahmah yang amat luas yang mampu memadam kesakitan itu asal saja kita sabar menghadapinya. Allah  yang akan menghukum seadil-adilnya. Manusia boleh saja berjanji lalu memungkirinya pada saat imannya gugur, namun usah jadikan ia penyebab gugurnya iman kita pula. Allah akan menghukum seadil-adilnya dan tiada siapa yang akan terlepas darinya. Bersabarlah.

Andainya dihabiskan masa melayan perasaan kerana kehilangan sebutir kecil  dari isi dunia, bayangkanlah seluruh isi dunia akan mentertawakan kita kerana tewas dengan ujian itu. Biarlah airmata  gugur sebentar tanda kita manusia dan yang selebihnya biarlah disimpan menangisi peringatan dari Pemilik dunia tentang azab mensia-siakan akhirat akibat tertipu oleh dunia.

Keenakan  dunia datang dan pergi tanpa kita mampu menghalang. Enaknya akhirat akan datang apabila kita mampu meletakkan keenakan dunia di tapak kaki demi mencari redha Ilahi. Dialah pemilik kebahagian yang hakiki.