Archive for August 2013

PESAN BUAT SARJANA


posted by Martinelli Hashim

1 comment

Sarjana bukan untuk disanjung-sanjung
Hari ini buat kesekian kalinya kakitangan saya mengadu lagi dikasari oleh seorang professor wanita dan merungut,”Pensyarah dari dua kuliyyah ini jarang sangat yang bercakap baik-baik. Agaknya di dua kulliyyah ini dah tak ada pensyarah yang beradab dengan staf bawahan. Silap sikit melenting. Kita tak silap pun dia melenting.”

Komen biasa yang sudah diulang-ulang. Seperti biasa saya sangat sensitif apabila mendengar pendidik mengkasari orang lain atau ketua mendera orang bawahannya. Apalagi kalau yang melakukannya adalah mereka yang sudah melalui tarbiyyah UIA.

Dua buah kulliyyah yang pensyarahnya sering tidak disenangi oleh kakitangan kerana sikap sombong mereka.

Apapun kesalahan kakitangan bawahan, apalah salahnya bercakap dengan baik tanda kita makhluk yang dicipta oleh Yang Maha Penyayang. Kita seharian dijaga oleh Yang Maha Pengasih yang mencurahkan kasihNya tanpa dipinta. Kita diberitahu bahawa Allah menjauhkan rahmatNya dari orang yang tidak mengasihi makhlukNya. Kita juga ada anak dan sudah tentu kita tidak mahu mereka dikasari oleh orang lain seperti itu.

Percakapan yang baik keluar dari jiwa tawadhu yang tahu dirinya hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa selain pinjaman sementara. Keserjanaan yang diraih adalah untuk menyenangkan manusia dan seisi alam, bukan untuk disanjung-sanjung atau digentari.

Teringat kata-kata Ustaz Dato’ Sidiq Fadhil, “Kalau terasa kita sudah hebat dengan gelaran jutawan, atau penguasa atau professor atau sarjana, cubalah solat dan sujud di atas tanah tanpa sejadah, rasakanlah  sebenarnya diri kita tidak lebih dari tanah itu,  begitu kerdil dan hina…… barulah kita tahu hanya Allah saja yang besar dan mulia.
Kita tidak dapat menghayati takbir membesarkan ALLAH kerana kita sibuk dengan membesarkan diri.”

Kita tidak dapat menghayati kemuliaan Allah kerana sibuk mencari kemuliaan diri. Kita mengharap untuk dipandang tinggi oleh makhluk di bumi tetapi kita lupa itu membuat kita dihina oleh makhluk di langit.

Teringat juga cerita Yussof Nada, jutawan Ikhwan Muslimin, dalam bukunya yang menceritakan pengalamannya dalam penjara dibantu oleh seorang banduan lain yang sangat bengis tetapi berlembut dengan yusof kerana dia tahu yusuf adalah anak seorang wanita yang selalu membantunya dulu.

Kata orang sekali kita bersikap baik kepada orang lain, InshaAllah, seribu kali anak cucu kita nanti akan menerima kebaikan dari orang lain. Begitulah sebaliknya.

 Profesor atau sarjana usah sekali-kali menghina orang lain kerana kita tidak tahu bagaimana hubungan orang yang kita hina itu dengan Allah. Kekasaran seorang sarjana kepada mereka yang dibawah sama dengan melacurkan nilai kesarjanaannya….. kata-kata yang saya pinjam dari sahabat saya,seorang sarjana yang baik dan tidak sombong.

Kenapa kita lemah?


posted by Martinelli Hashim

No comments

Ummat Islam yang dizalami Yahudi
gambar ihsan dari Reuters
Menonton Youtube yang merakamkan kata-kata seorang tentera Yahudi yang sedang menunjukkan jari kea rah orang Arab di balik tembok di Gaza, “Look at them. They are dogs and gorillas kept in there. Hehe… they can’t go out.” 

Betapa sakitnya hati mendengar tetapi sakit lagi penderitaan saudara kita. Mereka dikepung dan dihina seperti anjing dan gorila oleh zionist laknatullah di sebalik tembok yang melingkari Gaza, penjara terbesar di dunia.


Mereka berani berkata begitu walaupun tahu ramai Orang Islam yang menontonnya kerana mereka percaya Orang Islam lemah.

Lemahkah kita? Benar, rata-rata ummah kita lemah dan yang lebih malang kita tidak berusaha untuk membina kekuatan yang sudah diajarkan Rasulullah saw..

gambar ihsan dari Reuters
Mereka semakin kuat dengan kelebihan usaha, ilmu dan  kemahiran termasuk kemahiran teknik psokolgi hasutan. Mereka tertawa terbahak-bahak, tugas mereka menyembelih orang Islam secara kejam tidak perlu mereka lakukan lagi kerana sudah dilakukan sendiri oleh anak-didik mereka, Elsisi dan Bashar.

Negara Islam mana yang akan selamat, sekiranya Mesir dan Syria terus bergolak?

Malaysia? Indonesia? Kekuatan apa yang kita ada?

Tidak ada. Hanya kekuatan Allah yang ada dan akan diberikannya hanya apabila kita berusaha memilikkinya.

Memang benar doa adalah senjata kita. Senjata tidak berguna kalau tangan dan kaki kita tidak dilatih menjadi kuat. Allah tidak akan membantu sekiranya apa yang disuruhNya masih tidak kita tunaikan. 

Kita  masih tidak berganjak, masih aman di sini. Sudah tentu tidak cukup dengan hanya merintih di facebook dan twitter atau menghantar memorandum kepada kedutaan kerana telinga mereka sudah tidak lagi mendengar, mata mereka tidak lagi memandang kebenaran.

Lupakah kita kepada sumber kekuatan yang diajarkan Rasulullah saw dan dilaksanakan oleh wira-wira Islam dahulu? Muhammad AlFateh kuat kerana solatnya. Salehuddin AlAyubi juga kuat kerana solatnya. Mereka yakin kekuatan hanya dari Allah dan Allah hanya akan menganugerahkannya kepada mereka yang mendekatinya. Siapa lagi yang lebih dekat dengan Allah kalau bukan mereka yang sujud kepada Rabnya dalam solat.

Kata Rasulullah saw "Solat itu tiang agama."

Sudahkah kita pastikan tiang agama cukup kuat di jiwa pemuda kita?  

Constatinople roboh dengan kekuatan AlFateh yang kuat bersolat.

Tentera salib bertempiaran lari melihat Salehuddin AlAyyubi. Kekuatan solatnya lebih menakutkan dari pedangnya yang terkenal paling tajam itu.

Kata Rasulullah saw, "Kalaulah mereka tahu apa yang tersimpan dalam Solat subuh dan Isyak berjemaah maka mereka akan mendatanginya walau dengan merangkak."

Orang Yahudi berani memijak kita kerana dalam kitab mereka menyatakan bahawa mereka hanya akan kalah apabila masjid-masjid dipenuhi untuk solat subuh seperti penuhnya pada solat Jumaat.

Wahai anak muda!! 
Surau dan masjid kita masih lengang menunggu kehadiran kalian. Mereka yang memenuhinya sekarang adalah mereka yang sudah berusia petang. Mereka ini sejak muda adalah kaki surau sebab itu masih mengisi surau sementara kaki masih mampu bergerak. Kalian adalah harapan mereka bukan sekadar pengganti tetapi sebagai pahlawan yang perlu dibina dari sekarang.

6 pasang selipar milik 6 orang jemaah
Wahai anak muda!!! 
Usah disalahkan sesiapa kalau keberanian kita dicabut Allah sekiranya  musuh datang dengan tiba-tiba. Keberanian hanya akan wujud dalam diri orang yang sanggup menahan kesusahan. Solat subuh berjemaah itu susah. Bangun dari tempat tidur itu susah. Sabar dalam beristiqomah solat di masjid itu lebih susah. Namun itulah satu-satunya jalan untuk membina kekuatan menyelamatkan maruah ummah. Kita sudah terlalu lama dibuai kesenangan. Di depan sana tidak menjanjikan kesenangan ini akan beterusan.....BANGUNLAH!!!

Gambar ini saya rakam pagi tadi di surau milik penduduk yang terdiri dari 37 buah rumah. Solat subuh di pagi Jumaat, penghulu segala hari yang dicurahi rahmat Allah…. para pemilik selipar ini sajalah yang mengimarahkan surau ini setiap hari. Selesai solat saya mencuri rakam dari belakang untuk bahan tulisan ini..... maafkan saya, sahabat, sekiranya gambar ini tidak direstui. 

Gambaran yang sama di mana-mana masjid dan surau di Malaysia. Tidak sampai 3% penduduk  yang solat di surau atau di masjid. 


Ummat jenis apakah kita ini?


posted by Martinelli Hashim

No comments

Sengaja saya mengambil cuti hari ini untuk bebas membaca dan menulis. Banyak yang hendak diltulis sebelum ini, terhalang oleh tuntutan tugas lain. Saya akur dengan tuntutan hati, menggunakan tulisan sebagai  jihad dan menolong menyebarkan tulisan orang lain yang boleh dimanfaatkan sebagai amal jariah. Allahu akbar ….. semakin dibaca dan semakin ditulis, semakin sebak hati ini.  

Semakin melihat ketabahan mereka yang ditindas, semakin terasa kerdilnya diri.

Insaf saya, mereka tidak memerlukan rintihan dan tangisan kita. Tidak juga mereka perlu nyanyian atau kata-kata puisi dari kita. Di depan mereka ada peluru, di hati mereka ada syurga. Tumpahan darah tidak mengerikan mereka lagi. Ugutan maut mereka sambut dengan senyum.

Kita tidak tahu bila kezaliman ini akan berakhir.  Kita ada lebih 1 bilion jiwa. Sebahagiannya adalah anak-anak muda yang perlu diteguhkan dengan iman, ilmu dan kemahiran. Musuh mencipta senjata untuk membunuh kita. Mereka bersatu bertungkus-lumus meningkatkan ciptaan sedangkan kita hanya mampu melontar mereka dengan batu. Ya, kita jauh terkebelakang dalam bidang penciptaan.

Kita memberikan upah yang tinggi  kepada pencipta lagu dan filem. Jutaan ringgit dibelanjakan untuk mendorong seniman berkarya dan para seniman kita menjadi jutawan dengannya. Dalam masa yang sama karyawan filem berlumba-lumba menyogokkan nilai yang meruntuhkan budaya dan peradaban.

Seluruh negara mengenal  M.Nasir dan beliau disanjung tinggi hingga dipanggil 'sifu'. Tetapi siapakah yang mengenal para profesor yang punya ciptaan sains yang hebat-hebat? Kita punya saintis Islam yang sangat hebat, yang bekerja penuh keikhlasan. Mereka cukup zuhud, tidak mengharapkan apa-apa untuk kekayaan hidup. Apa yang keluar dari mulut mereka hanyalah,"I do this for the sake of the ummah." 

Namun siapakah yang mengenal mereka selain dari komuniti universiti?

Apa yang orang kafir cipta? 

Segalanya, malah yang tidak terfikir oleh akal sebelumnya. Zionis tidak perlu menghantar askar mereka untuk membunuh rakyat Palestine. Robot-robot kecil yang dilepaskan mampu membunuh siapa saja dengan tepat. Kalau senjata ini digunakan sepenuhnya untuk menakluki Negara Islam, apakah kita tidak merasa bersalah saintis kita tidak berusaha melakukan sesuatu disebabkan tiada kewangan, tiada keupayaan atau tiada dorongan?

Saya kagum melihat  robot yang dicipta oleh saintist UIA ini, alangkah bagusnya kalau ia dimajukan lagi. Ia dapat bergerak seperti ular melalui sebarang permukaan. Kata penciptanya ia berguna untuk mencari mangsa runtuhan agar dapat diselamatkan. Sayangnya penciptaannya tersekat kerana memerlukan dana yang besar.

Ratusan lagi ciptaan ahli sains Islam tergendala kerana dana yang tidak mencukupi.

Negara kaya seperti Saudi sanggup menghamburkan wang USD2 bilion untuk membantu universiti Oxford membuat kajian tentang terrorism yang ternyata fokusnya bukan kepentingan ummah, alangkah baiknya sekiranya sedikit diberikan untuk para penyelidik Islam.

Apa yang anak muda mereka cipta?

Mark  Zuckerberg mencipta facebook dan ia berjaya merubah dunia.

Anak muda kita yang bijak sedikit mencipta teknik menggodam komputer. Anak-anak muda kita yang lain hebat mencipta dadah dari najis lembu, mencipta teknik baru untuk membunuh. Jauhnya status anak-anak kita dari mereka. 

Ada yang berkata, "Apa nak buat, sistem persekolahan kita mendidik anak untuk menghafal bukan untuk mencipta."

Ada juga yang mengeluh,"Apa nak buat, pemimpin kita sibuk  berpolitik, bukan memimpin."

Teringat kata-kata Dr. Muhammad AlGhazali dalam bukunya Berinteraksi Dengan AlQuran, "Ilmu yang banyak dalam AlQuran adalah tentang sains. Ilmu sains perlu dititikberatkan. Hancurnya tamaddun Islam adalah kerana pemimpin sibuk dengan rebutan kuasa dan meninggalkan ilmu yang penting ini."

Dan kita hanya melihat tanpa rasa apa-apa...... ummat jenis apakah kita?

HARI RAYA TANPA AYAH.


posted by Martinelli Hashim

No comments

Meriahnya Aidilfitri dengan kanak-kanak dari kampung sekitar datang ke rumah. Walaupun sudah hampir seminggu Hari Raya berlalu, tetapi masih ramai yang datang mengetuk pintu. Saya pesan kepada ahli rumah, kalau kanak-kanak datang, layan mereka  baik-baik kerana:

i.                     Mungkin saja ada di antara mereka itu adalah anak yatim atau anak orang                            susah.

ii.                   Mereka bakal jadi dewasa yang akan mengingat kebaikan atau kejahatan orang                          yang melayani mereka waktu kecil.

iii.                  Kehadiran mereka tetap membawa rahmat dan membawa keluar dosa-dosa kita

iv.                 Orang yang menyangi kanak-kanak akan disayangi Allah.

v.                   Kalau kita berbuat baik, insyaAllah mereka akan juga belajar untuk berbuat baik

vi.                 Kalau kita melayan mereka dengan baik, insyaAllah anak cucu kita nanti juga     akan                 dilayan oleh orang lain dengan baik.

Ada yang tersipu-sipu malu apabila saya tahu mereka sudah datang sebelum ini. Untuk menghilangkan rasa malu mereka, saya katakan,” Hari ni datang lagi sebab haus, ye? Kat luar tu panas, kan?”

Cepat dijawab,”Betul, makcik. Haus betul.”

Ada juga yang cuba mempertahankan diri,”Saya datang lagi sebab nak temankan dia ni. Dia malu datang seorang.”

Saya akan berbual-bual dengan kanak-kanak ini kalau tiada tetamu lain. Terdengar bisikan dari salah seorang dari mereka, “Makcik ni baik betul,kan?”

Pujian hanya bagi Allah,  semoga saya lebih baik dari yang mereka sangkakan dan semoga  mereka lebih baik dari saya apabila besar kelak.

Semasa saya bertanya kepada salah seorang dari mereka, “Ayah kerja apa?”

Saya terkedu sebentar, apabila dijawab, “Ayah dah meninggal”.

Ayah mereka menghadap Tuhannya baru-baru ini akibat denggi dalam usia 29 tahun meninggalkan 5 orang anak yang masih kecil.

Semua  memberi peringatan kepada saya,

Kalau berbuat baik, buatlah yang terbaik tanpa syarat tanpa mengharap habuan dunia. Mana tahu kebaikan yang itulah yang memberatkan timbangan kita nanti untuk masuk ke syurga Allah.”

DARAH PARA SHUHADA TUMPAH DI BUMI AMBIYA'


posted by Martinelli Hashim

No comments

Hentikanlah status yang keterlaluan membincangkan isu poligami. Ia bukan isu lagi dan tidak perlu berbalas hujjah. Hujjah AlQuran dan hadith sudah cukup dan tidak perlu dipertikaikan.
Wanita Mesir mempertahankan maruah agamanya

Isu kita masakini adalah isu penindasan ummah. Saban hari kita diselubungi resah mendengar saudara seaqidah dizalimi di merata penjuru dunia. Mereka dizalimi sezalim-zalimnya. Dari China, ke Myanmar, Kashmir, Iraq, Afghanistan, Palestine, Mesir, Syria hinggalah ke Guatanamo. Malang yang teramat malang mereka yang dizalimi oleh suadara se agama sendiri. Sedih yang bukan kepalang  apabila para  pemimpin arab ikut bersekutu membantu kezaliman di Mesir. Kita terbayang wajah almarhum al malik faisal satu-satunya raja yang berani mempertahankan  prinsip agamanya
.
Iran yang pernah kita sangka sebagai wira dunia Islam rupanya iblis yang lebih zalim dari yahudi.

Terfikir pula apakah benar Saddam Husin itu jahat ataukah kita yang dikelabui fakta yang salah. Dia dituduh membunuh ramai ulama ….. bukankah yang dibunuh itu ulama shiah yang sekarang baru kita tahu  peranan mereka untuk menghancurkan sunni. Pemerintahan Saddam diganti oleh puak shiah yang bertindak menjatuhkan hukum mati kepada satu-satunya menteri sunni yang terpaksa lari dari Iraq untuk menyelamatkan diri.

Lalu, siapa lagi yang harus kita harapkan?  Erdogan pemimpin Islam yang paling berani masa kini masih diuji oleh rakyat sendiri  yang termakan hasutan musuh Islam. Sanggupkah Turkey menghantar bantuan tentera ke Syria dan Mesir? Sekiranya ya, apakah sejarah kejatuhan Andulusia akan berulang di Syria dan Mesir?  Kerajaan Uthmaniah terpaksa membatalkan armada yang akan bertolak membantu Andalusia kerana kejahatan  puak shiah yang membuat kekacauan di Istanbul pada saat-saat armada hendak bergerak. Bantuan ke Andulisia dibatalkan bagi menyelesaikan masalah dalam negeri  dan akhirnya kerajaan Islam Andalusia terkubur hingga sekarang. Begitu jahatnya shiah.

Dapat kita rasakan kesedihan Erdogan apabila sahabatnya Dr. Mursi yang diharapkan dapat berganding bahu menyelamatkan Palestine, tiba-tiba digulingkan. Kesedihan itu mengalir ke jiwa semua pencinta Islam. Kita hanya bersedih dari jauh tetapi kesedihan saudara kita di Gaza yang  semakin menderita tidak dapat kita bayangkan.

Kita juga terbayang kata-kata Hasan Albanna dan Syed Qutb bahawa jalan jihad ini sangat panjang. Mereka sudah dipanggil sebagai shuhada meninggalkan kita meneruskan perjuangan. Oh Tuhan, berapa jauhkah lagi perjalanan ini? Tabahkan hati mereka, tetapkan hati kami di jalanmu yang suci

Doa menggunung agar timbulnya seorang pemimpin yang berani, cekap dan warak seperti Muhammad AlFateh dan Salehuddin AlAyubi. Doa kita buat mereka yang sedang disakiti agar mereka terus tabah dan dilindungi Allah.

Bumi ambiya' dicurahi darah para shuhada. Kita yang tidak punya peluang seperti mereka curahkanlah doa buat mereka agar para mujahidin dan mereka yang masih dizalimi tetap tabah dan dilindungi Allah swt.