Pilihanraya Kampus


posted by Martinelli Hashim

No comments


Di Syria mereka serang menyerang dengan peluru. Yang zalim sudah jelas kemungkarannya dan yang dizalimi sudah gembira menerima pahala syahid.

Terkedu saya melihat serang-menyerang mulut dan tulisan di kalangan pelajar untuk memenangi pilihanraya kampus.  Yang diserang, dituduh zalim masih mengucap shahadah dan solat 5 waktu malah sebahagian besarnya adalah ahli jemaah setia masjid SHAS waktu zohor dan asar. Yang menyerang dan menuduh zalim juga mereka yang berbicara tentang kesatuan ummah.

Nasihat buat warga UIA yang sedang panas mengharungi pilihanraya kampus.  teruskanlah menegur apa saja bagi membantu menambahbaikan lagi universiti. Universiti membawa amanah ummah dan kita perlu bertanggungjawab sama-sama menggerakkan misinya.

Tidak dinafikan adanya seribu kepincangan di sana-sini namun yang pasti  tuduh-menuduh, sindir-menyindir dan serang menyerang ini tidak membawa apa-apa kebaikan. Ia hanya menyuburkan rasa kebencian yang sangat memudharatkan.

Semasa menegur gunakanlah ayat-ayat menyeru bukan menyerang. Menasihati dengan penuh tawadhu'... bukan menghina. Dibimbangi kita tidak tahu yang kita serang itu mungkin tidak bersalah atau telah mendapat pengampunan dari Allah.

Kita dan mereka masih berkongsi shahadah. Usah sakit-menyakiti kerana kita tidak tahu bila Allah akan mengambil nyawa kita, bimbang tidak sempat bermaafan. Gunakanlah ayat yg mendamaikan bukan memperpanaskan.

Kita pendakwah bukan penghukum, pemberi peringatan bukan penghasut, penyuluh jalan bukan penambah keceleruan. Persaudaraan kita tercalar dan musuh ketawa gembira .....

Nasihat ikhlas dari orang lama kerana bimbang kita lupa siapa musuh kita yang sebenarnya.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai