Mencari Damai Yang Tersembunyi


posted by Martinelli Hashim

No comments



Ada teman bertanya apa impian hamba.
Wahai teman, dalam usia petang ini apalah yang hamba perlu cari lagi. Hamba tidak dimanjakan oleh kehidupan. Namun kerasnya dunia tidak menghalang hamba mencari dan terus mencari sisa-sisa kelembutan dunia untuk dikongsi bersama mereka yang hamba santuni.

Mengharapkan ketenangan yang mungkin bersembunyi. Tetap meyakini dahsyatnya gelombang di lautan masih saja menghasilkan mutiara indah di dasarnya.

Berangan-angan membayangkan sosok seorang wanita yang punya ketenangan di wajahnya. Tiada rungutan atau sungutan di bibir jauh sekali kata-kata kasar kepada sesiapa pun...... wanita berperibadi mulia, tidak gundah tidak gulana.

Hamba mengimpikan sosok itu adalah hamba. Di mana saja dia berada, hanya keceriaan yang disebarkan pada setiap ketika, di setiap situasi. Aura positif terserlah, penuh ikhlas menerangi dunia.
Dia bukan kaya namun kekayaan jiwanya melebihi kayanya sorang jutawan. Dia bukan orang berpangkat namun kuasa tarikan peribadinya mampu menundukkan egonya seorang egoist.

Dia mampu membahagiakan orang lain kerana bahagia memang sudah meliputi kehidupannya. Bahagianya ditemui melalui pencarian redho Ilahi. Gembiranya diperolehi kerana dia suka menggembirakan orang lain. Mereka digembirakan bukan dengan pemberian wang ringgit. Bukan pula dengan ampu-ampuan yang dibuat-buat.
Mengimpikan menjadi wanita seperti itu.

Dia mengasihi mereka dan mereka menyayangi dirinya kerana Allah..... kasih suci yang tidak mendambakan apa-apa.

Dihatinya hanya ada redha... tidak luka apabila disakiti oleh manusia tetapi pedih apabila dinoda oleh dosa.

Oh Tuhan, sehari-harian hamba melalui cabaran kehidupan, menyaksikan persengketaan, mendengar fitnah yang tidak berkesudahan, menemui manusia yang mengejar nama, harta dan kuasa, hidup saling berdengki, menjatuhkan yang lain....semua itu menyeret diri untuk dipalit bersama dosa yang menggelapkan jiwa....

Perlu rasanya lari seketika mencari ruang untuk bernafas, mencari damai yang tersembunyi.
Ingin saja hamba menjadi seekor semut kecil di dalam lubang yang tidak dikenali oleh sesiapa. Ingin menjadi insan kerdil yang tidak disebut oleh manusia di dunia tetapi dikagumi oleh makhluk di langit.

Ingin sekali untuk menjadi wanita sempurna. Wanita yang tidak nampak besarnya dunia kerana di hatinya ada Allah Yang Maha Besar. Dia tidak nampak tingginya langit untuk dijulang kerana matanya sering tunduk ke bawah berselimutkan tawadhu', sujud menyembah Rabbul Jalil. Ia akur kepada hakikat ia tidak mungkin mampu menawan dunia sebelum menawan bumi yang di bawah.

Tidak salah untuk berangan-angan walaupun masih jauh untuk dicapai...... Ya Rabb....,capaikanlah.


Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai