RESILIA


posted by Martinelli Hashim

No comments



Terharu membaca tulisan remaja berumur 17 tahun peserta program RESILIA, "Terima kasih uia sebab merubah saya. saya nak terus berubah. saya tak nak berzina, minum arak, lawan cikgu , lawan mak ayah lagi. Kakak, abang fasi tolonglah saya...."


Seorang lagi menulis,"Saya tak pernah dilayan dan disayangi macam ini...sejak berada di sini hati saya tenang. saya tak akan tinggalkan solat lagi."


Tidak semua mereka bermasalah malah sebahagiannya adalah remaja yang sudah cukup hebat sahsiah mereka.

Fasi RESILIA berlatih di pejabat CENSERVE
Tiga hari berada di UIA mengikuti kem RESILIA (Remaja Suci Dari Zina Dan Mulia Dalam Agama) kesemuanya mengaku merasa terkesan dan ingin berubah. 


Projek ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya zina kepada pelajar-pelajar sekolah. Kumpulan sasarnya adalah pelajar berumur 11-17 tahun, remaja yang sudah sedia baik dan juga mereka yang ada masalah disiplin.

Sebahagian anak-anak muda kita berada dalam kancah maksiat. Mereka tenggelam dalam dunia yang menghancurkan masa depan mereka. Bukan diri mereka saja yang hancur, malah mereka berterusan mengheret teman-teman lain. Tidak dapat dibayangkan perasaan ibu bapa di rumah. Tidak dapat dibayangkan beratnya beban guru di sekolah.

Satu demi satu helaian luahan hati mereka saya baca. Airmata berguguran. Sebahagian dari mereka adalah anak-anak  malang yang tidak terbimbing. Ada yang menyebut ada ayah tetapi tidak merasa kasih-sayangnya. Ada ibu tetapi ibu lebih sibuk menjaga hati teman lelaki dari menjaga hati anak remaja yang perlu perhatian. Ada yang menjadi mangsa kerakusan teman lelaki, saudara lelaki dan lelaki-lelaki durjana pada usia mereka yang masih mentah. Perasaan yang bermula dari dendam akhirnya menghancurkan diri sendiri.

Di rumah mereka hanya mendengar kata-kata kesat dari ibubapa dan adik-beradik. Kata-kata seperti, "Bodoh, lebih baik mampus,....".dan segala maki hamun sudah menjadi habuan telinga setiap hari. Di sekolah kata-kata guru macam mana baik pun pada telinga mereka hanyalah suara yang menyakitkan sahaja.

Mereka hanyalah anak muda dengan seribu kelemahan. Mereka ada perasaan untuk disayangi, ada keinginan untuk diberi perhatian, dihargai dan dimuliakan sebagai manusia biasa. Namun persekitaran tidak cukup sempurna untuk mereka mendapatkannya.


Kadang-kadang ibubapa cukup perihatin, cukup menjaga pertuturan, tetapi tidak mampu menghalang pengaruh luar yang menguasai pemikiran anak tersayang.

Saya katakan kepada anak-anak  UIA yang berhempas-pulas menjayakan Projek RESILIA, 

 "Alhamdulillah, kita diberi peluang untuk menarik mereka ke jalan yang benar. Bayangkanlah kalau yang menarik mereka adalah orang-orang dari gereja...dan mereka ramai-ramai ke sana. Sebuah gereja moden yang canggih baru saja terbina di sebelah Giant Bt. Caves walaupun kawasan itu diduduki oleh majoriti orang Islam. 
Bayangkanlah 10 tahun dari sekarang bagaimana keadaan anak-anak muda di sekeliling UIA ini. Kita sekarang sedang berjihad menyelamatkan akidah mereka.....bersabarlah dengan kerenah mereka kerana kalau bukan kita siapa lagi? InsyaAllah kita mampu melakukannya.....di 'sana' nanti ada syurga menanti orang-orang  yang berjuang menegakkan agama Allah."

Kita tidak perlu menunggu sehingga negara ini dipimpin oleh pemimpin sehebat Muhammad Al Fateh atau sekuat Salehuddin Al Ayubi baru hendak berjihad kerana tiada janji yang kita akan memilikinya dalam masa terdekat.. Muhammad Al Fateh hebat kerana tenteranya wara' dan rakyatnya juga wara'. Salehuddin Al Ayubi hebat kerana waktu siang dia adalah singa yang gagah, di tengah malam dia adalah seorang 'abid yang sujud merendah kepada Tuhannya. Begitu juga tenteranya yang meletakkan perjuangan di atas segalanya menuju syahid impian utama.


Sudah cukup wara' kah kita untuk layak mendapat pemimpin yang wara'?
Sudah cukup abidkah anak muda kita untuk menjadi pahlawan ummah sedangkan siang dan malam mereka diselubungi maksiat?


Dalam keadaan politik yang tidak menentu ini, yang sudah tentu dan pasti adalah hakikat bahawa  tenaga kita diperlukan untuk menyelamatkan anak-anak muda yang sedang bergelumang dosa ini. Selagi kita masih punya peluang untuk berjuang, berjuanglah dengan tenaga masa dan harta kerana belum tentu esok kita akan terus memiliki peluang ini.


Kalau kita tidak dapat merubah semua, mungkin sebahagian. Kalau bukan sebahagian mungkin seorang. Kalau tidak seorangpun mungkin anak cucu mereka. Tidak ada satu pun usaha kecil yang ikhlas yang terlalu kecil di mata Allah.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai