Second Class Citizen


posted by Martinelli Hashim

1 comment



Saya amat mencintai tugas di pejabat. Saya juga amat mencintai kehidupan di rumah bersama keluarga.  Setiap saat di pejabat dipenuhi butir-butir bahagia kerana anak-anak muda yang mengelilingi saya adalah mereka yang menyerah diri untuk berjuang di gelanggang daawah dan mereka adalah anak muda berjiwa besar. Kegembiraan dikelilingi keluarga juga tiada bandingnya.  Tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain kesyukuran yang tinggi kepada Allah atas kurniaan ini. 

Tugas menggerakkan manusia melaksanakan daawah bukannya mudah. Tiada jalan lurus tanpa onak dan duri. Tiada cerahnya langit dari pagi hingga ke petang. Akan ada saja hati-hati yang tidak senang. Akan ada saja suara-suara sumbang. Akan ada saja mereka yang ragu dan bertindak melulu.. Akan ada yang rakus mencari nama menyamar sebagai wira.

Pertembungan status siapa berkuasa atas siapa meruntuhkan semangat saling hormat saudara seperjuangan membawa misi ummah.

Ramai rakan-rakan sejawat yang meluahkan rasa terhina oleh pensyarah muda  yang menganggap jawatan pentadbir sepenuh masa dalam sebuah institusi pengajian tinggi  hanyalah  bertaraf 'second-class citizen' sahaja. Ramai anak-anak muda yang merasa tinggi di awan  lupa memandang ke bawah dan memberi hormat kepada saudara seagama walau apa kedudukannya. 

Saya amat mengkagumi beberapa orang profesor yang berilmu tinggi tetapi mampu menghormati orang lain dan mengiktiraf peranan mereka dan tidak menurunkan status mereka kepada 'second class citizen'. Mereka adalah ketua yang berbudi dan rakan sepasukan yang disenangi. Mereka dapat merasa 'denyut nadi' orang lain. Namun mereka tidak ramai.

Bagi memujuk rasa resah, kata-kata ustaz Ismail Chong  suatu ketika dahulu cukup menyejukkan

"Segalanya berpunca dari hati. Bersihkan hati. Kalau hati sudah rosak minta Allah gantikan dengan yang baru. Usah mengejar dunia, jangan mencari nama kerana itu semua perosak jiwa."

Memang benar insan yang berhati bersih tidak bergantung kepada manusia lain untuk mengembirakannya dan tidak bersedih apabila ada manusia menyakitinya.  Ia tidak gundah apabila ada orang merampas nikmat dunia yang sudah dimilikinya. Ia  tidak .tergugat apabila dihina.dan tidak terlambung apabila dipuji. Orang yang begini adalah golongan yang sangat sedikit. 

Ya Allah masukkanlah kami ke dalam golongan yang sedikit ini.


1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai