DI PUNCAK GUNUNG


posted by Martinelli Hashim

1 comment



Di puncak gunung …. yang ada hanya sebuah kekosongan kecuali ais yang tidak mampu pun kita mengenggamnya lebih dari 30 saat. Alam yang indah pun akan tertutup apabila kabus meliputinya. Semua adalah kosong kecuali zikir buat Pencipta. 

Setinggi mana kita daki, keindahan yang lebih bererti hanyalah ketika dahi menyentuh bumi bersujud kepada Ilahi tanda kita akur Dialah Yang Maha Tinggi.

Begitulah hidup di dunia. Setinggi mana kita mendaki puncak kehidupan belum tentu ia tidak menjanjikan segalanya. Mungkin saja ia hanya sebuah kekosongan. Pangkat yang tinggi dan harta yang banyak belum tentu menjanjikan bahagia.

Setinggi manapun kedudukan kita, yang lebih bererti hanyalah ketika dahi menyentuh bumi bersujud kepada Ilahi tanda kita akur Dialah Yang Maha tinggi.... Ya, Rabb, tiada nikmat yang mampu kami nafikan,

Dunia bukan tempat berehat


posted by Martinelli Hashim

No comments



Dunia bukan tempat berehat. Ia tempat berpenat-berpenat mencari redha Allah .... jalannya banyak ranjau menuntut kesakitan, keperitan, kekeletihan dan kesabaran yang tinggi.... namun di hujungnya anugerah yang teramat indah menanti.

Dunia bukan tempat berehat. Ia tempat berjuang.... ada cara, ada peraturan dan hanya yang berilmu mampu jadi panglima. Senjatanya doa, perisainya taqwa. 

Batas waktunya hanya maut

AlQuran Sahabat sejati


posted by Martinelli Hashim

No comments


Cucu saya yang baru berumur dua tahun sedang disuapkan makan oleh ayahnya, tiba-tiba berkata, "Nak kawan dengan Allah." 
Bonda yang sentiasa bertemankan AlQuran

Walau dia belum mengerti apa yang diucapkannya, namun ia memberi sebuah pernyataan yang amat mendalam tentang erti "berkawan dengan siapa"


Manusia saja makhluk yang tercari-cari sahabat dalam kehidupannya. 


Semakin akrab kita dengan sahabat semakin banyak rahsia yang dikongsikan. Begitu jugalah Al Quran, semakin akrab kita dengannya semakin banyaklah rahsia yang kita tahu.  AlQuran lebih dari sahabat kerana ia penghubung kita dengan Rabbul'alamin, peneman di kala sunyi, perawat di kala sakit, penghibur di kala sedih dan penerang apabila kelam tanpa batas waktu tanpa batas  tempat.

Darinya kita mengenal Allah dan rasul dan darinya juga kita mengenal alam seisinya ..... darinya juga kita belajar tentang jenis-jenis manusia termasuk diri kita sendiri serta sahabat yang digauli.

Kehadirannya di kala nyawa meninggalkan badan lebih diperlukan dari kehadiran seribu sahabat. Sahabat akan kita tinggalkan tetapi AlQuran tetap menemani di kala munkar dan nankir menanyakan soalan-soalannya. 

Oleh itu lebih baiklah kita menyibukkan diri dengan berinteraksi dengan al Quran pada saat interaksi kita dengan manusia melalui jalan sukar.

Memuji Si Comel


posted by Martinelli Hashim

No comments

Cucunda yang selalu menyebut Allah


Teruja membaca status anak-anak yang baru jadi ibu dan ayah dalam facebook... sekadar nak berkongsi antara tips membesarkan anak dengan baik, sebutkan 'masyaAllah' atau 'subhanAllah' sebelum memuji si comel . InsyaAllah anak itu akan membesar dengan baik dalam jagaan dan rahmat Allah yang Maha Pengasih dan terhalang dari gangguan shaitan. 

"MasyaAllah, comelnya anak umi", "SubhanAllah, anak umi dah pandai jalan?", "InshaAllah, anak umi tak buat nakal lagi"....... indah, kan?


Teringat kata-kata seorang ustaz, "Pujian yang TIDAK didahului dengan nama Allah, boleh membawa mudharat kepada orang yang dipuji seperti mudah kena penyakit atau mudah mendapat gangguan iblis."


Anak-anak yang dibiasakan sebutan memuji Allah, sel-sel darah, otak  dan dagingnya InsyaAllah tumbuh dengan sempurna. Ia sebagai persiapan untuk menjadi insan yang sihat badannya, baik akhlaknya, tajam akalnya dan kuat imannya.


Anak ibarat kain putih....kita tidak mahu ia dikotori oleh apapun apalagi najis.

Mencapai bintang di langit


posted by Martinelli Hashim

No comments

Usai menghadiri 'Global University Leadership Summit' di Kota Singa.... sepanjang persidangan ada bicara tentang kehebatan universiti utama dunia, kehebatan pengurusan mereka, kehebatan mereka meraih geran penyelidikan berbilion dolar setahun, kehebatan sumbangan alumni mereka, kehebatan mereka menjana kewangan ......  saya amat kagum apabila disebutkan, "Most of these universities are successful because they have great people who are very loyal to the university..."


Dibicarakan juga ciri-ciri 'global universities '....ia  membuat saya termenung sebentar mengenangkan gelaran "Premier Global Islamic University" yang ingin diraih oleh UIAM dan menilai ciri-ciri yang ada pada kita pada ketika ini ...... kehebatan yang mana satu?...... tarik nafas dalam-dalam, "Demi ummah kita perlu bekerja keras lagi memperbaiki segalanya...kurangkan bicara, perbanyakkan usaha. Bintang yang hendak dicapai masih jauh dilangit, pendakian yang amat perit....."

Buat diri yang serba kurang


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dengan tugas yang semakin mencabar, dengan masa yang terhad untuk melabuhkan diri di majlis-majlis ilmu, dengan runtunan jiwa untuk lebih banyak turun menyumbang dalam amal maaruf nahi munkar, ….. langkah terhenti sebentar memandang teman-teman, adik-adik dan anak-anak yang ada di sekeliling…. wajah tunduk ke bumi menginsafi akan kekurangan diri dalam serba-serbi. 

Dengan ceteknya ilmu, tidak mampu menjadi ulama. Dengan kurangnya kemahiran, tidak mampu meraih kehebatan. 

Tenaga semakin berkurang, umur semakin pendek…….Hidup dengan rezeki Ilahi, tidak kaya, tidak berkuasa, tidak berjenama malah tidak punya apa-apa yang lebih dari manusia biasa….. yang ada hanya kasih sayang buat saudara seagama, tanpa syarat tanpa balasan. Ada iman yang sedikit merintih untuk tidak tercabut dalam lena dunia. 

Rasa ingin mencurahkan kebaikan, rasa takut menzalimi mereka yang tidak berdosa, rasa gentar tersalah membawa amanah…. Namun akur Allah akan menguji. Ujian Allah lewat manusia berbagai sikap berbagai perangai… menyuruh akal berfikir agar layak bergelar manusia…. Manusia, bukan flora bukan fauna yang melata. Manusia ada budi ada ruhaninya. Ada akal, ada adabnya. Ada selera, ada tanggungjawabnya.

Manusia ada hati, ada perasaan ... rasa sedih, rasa gembira, rasa ingin saling hormat menghormati menjadi manusia mulia, ....namun ada juga yang memilih menjadi tidak mulia membuang jauh akhlak dan budi hidup memenuhi nafsu sendiri. 

Buat kerja dengan betul


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dalam mengharungi tugas pejabat yang sangat mencabar, kerenah sebahagian para pensyarah yang kadang-kadang hilang adab dan nilai kemanusiaan, tiba-tiba saya merasa damai apabila berurusan dengan seorang profesor muda yang saya kagumi, pakar aeroangkasa, Prof Dr. Yulfian Aminanda yang berkata, “We engineers are trained to work with accuracy, transparent, think straight and follow the right procedures….”

Kata-kata itu diucapkan selepas saya berterima kasih kepadanya yang sangat memahami tugas saya mengendalikan geran penyelidikan…. “Prof., thanks for making things easy for us. You have submitted complete documents. You’ve never skipped any procedure. ”

Dia jawab, “It’s my pleasure. I have to thank you more. Your staff has been very helpful.……but please don’t call me prof, saya cuma orang kecil.” Dengan loghat Indonesianya.

Orang kecil yang berjiwa besar. Fahamlah saya apabila membayangkan apa akan terjadi kalau tersilap memasang sebiji skrew dalam enjin kapalterbang.

Saya mengkagumi beliau bukan saja kerana peribadinya yang sangat menghormati siapa saja, sangat tawadhu’ malah cara beliau mengendalikan projek kajian jutaan ringgit yang amat tersusun, jelas dan lengkap membuat urusan kami menjadi mudah. Semua prosedur diikuti dengan baik. Tidak pernah kami mendengar sedikitpun rungutan dari dia. Jauh sekali bezanya dari sikap sebahagian pensyarah yang mudah melenting menyalahkan Bertuahnya Kulliyyah of Engineering yang punya ramai pensyarah seperti beliau. Kalaulah semua kuliyyah macam KOE !!!!

Kata ulama, orang yang menyenangkan urusan orang lain, Allah akan menyenangkan urusannya dan hidupnya akan bahagia.

…… sebuah inspirasi buat saya,”Work with accuracy, transparent, think straight and follow the right procedures.” …….Saya tambah, “with respect and humanity”