KES BULI DI KALANGAN DOKTOR


posted by Martinelli Hashim

2 comments



KES  BULI DI KALANGAN DOKTOR

Hasil carian imej untuk stetoskop
Mungkin pelik tajuk ini. Dulu apabila melihat doktor2 di hospital kerajaan menengking-nengking para pelatihnya serasa mahu saja bersuara menasihatkan doktor berkenaan.  Bagi kita setiap orang ada maruah, apatah lagi doktor…. Dan  yang ditengking itu adalah yang sedang dididik. Mendidik secara keras dan kasar tidak menghasilkan apa2 kecuali kekerasan dan kekasaran yang lebih teruk…. Alasan yang menengking ‘aku pun dulu kena teruk dengan senior sebab tu aku tough’. Sehingga berlakulah HO yang baru jadi senior belumpun jadi MO sudah mula membuli junior. 

Dalam hati berkata ‘hospital gomen!!’…… ‘mental harrasment’ oleh orang kumpulan orang paling bijak di Malaysia terhadap orang bawahan yang juga kumpulan paling bijak di Malaysia.
Menjadi doctor adalah pilihan manusia yang ‘gila’ saja.  Mereka tahu pengajiannya amat susah….. untuk dapat tempat Kulliyyah Perubatan di UIA contohnya perlu sekurang-kurangnya SPM 9 A+. Untuk biasiswa MARA sebelum belajar di luar negara perlu buat diploma dulu…… maka belajarlah bertahun-tahun dididik oleh pendidik Orang Putih yang sangat berakhlak dalam suasana yang menitik beratkan  perikemanusiaan…. Tetapi bila pulang ke tanahair terkejut dengan budaya buli semasa housemanship.

Mereka tahu menjadi doktor pelatih atau HO kerjanya luar biasa berat. Mereka tahu gaji bukanlah sebesar mana berbanding dengan beban kerja. Mereka tahu setiap saat mereka berhadapan dengan pelbagai risiko yang mengancam nyawa. Mereka tahu betapa mereka terpaksa mengorbankan ‘family life’….. namun mereka yang ‘gila’ ini terus juga menjalankan amanah menyelamatkan nyawa manusia ……. Ya, mereka GILA PAHALA.

Namun siapakah yang melindungi mereka dari keadaan serba menekan ini….. mereka ini adalah penjawat awam yang sangat malang. Malah mereka diperingatkan bahawa usai housemanship masa depan kerjaya mereka tiada jaminan apa-apa.

Sepanjang pengajian berapa ramai yang gugur tidak sanggup meneruskan. Yang sudah lulus dan menjalani latihan sebagai HO di hospital tempatan berapa ramai yang meninggalkan saja kerjayakerana merasakan mereka melalui ‘neraka kerja’.

Yang sedihnya ‘neraka’ ini dicipta oleh doctor senior, bukan oleh pesakit. Mereka masih mampu bertahan dengan tugas melebihi 14 jam sehari tanpa henti. Masih mampu senyum bila sepatutnya cuti tapi perlu bertugas atas arahan. Namun kata2 kesat seperti “bodoh”, “bengap” oleh MO dan specialist yang sepatutnya manusia yang paling berperikemanusiaan di dunia kepada HO menjadi makan harian menambah kesengsaraan kerja yang sudah sedia berat.

Diceritakan kisah2 HO yang keguguran kandungan akibat ‘neraka kerja’ ini. Diceritakan juga kisah2 doktor pelatih kemalangan jalanraya akibat tekanan ‘neraka kerja’. Belum lagi cerita2 mereka yang terpaksa melalui ‘mental depression’ hingga mahu bunuh diri.

Semalam tiba-tiba anakanda saya menelepon sambil terisak2, “ Tak sangguplah nak teruskan ….. specialist tengking lagi depan pesakit sambil sebut ‘aku tampar karang’ …”
Kata2 nasihat keibuan,”Sabarlah, cabaran buat kita. Perbaiki diri sendiri, inshaAllah keadaan akan lebih baik. Perbaiki hubungan dengan Allah, inshaAllah hubungan kita dengan manusia akan terjaga.” mungin sudah terlalu terbiasa didengarnya dari mulut hamba, sedangkan keadaan ‘neraka kerja’ tetap begitu.

Rasa tersiat jantung bukan hanya kerana ia kena pada anak sendiri tetapi suasana melampau yang tidak berkesudahan oleh manusia2 ber IQ tinggi tetapi bermoral rendah.

 Ya, kita faham tugas para doctor ini berat.  Mereka beralasan mahu melatih supaya HO jadi ‘tough’ ……. Eh, Islam tidak mendidik cara begitu, doc. Islam mendidik dengan rahmah dan kasih sayang. Kalau di negara barat yang tidak Islam, mereka boleh mewujudkan suasana harmoni tanpa buli dan doctor yang dihasilkan masih tetap kompeten tetapi kenapa di Malaysia para doctor begitu kejam.  
Menjatuhkan maruah orang di depan pesakit  adalah perkara yang sangat tidak bermoral. 

Bayangkanlah aib yang terpaksa ditanggung oleh doctor yang sedang menjalani latihan. Mereka tidak punya masa untuk menulis dan melaporkan. Hatta kalau ada masa pun mereka bimbang markah penilaian mereka akan terjejas jika diketahui mereka membuat aduan. Malah untuk menolong kawan yang dibulipun mereka ketakutan ….. akibatnya timbullah suasana yang tidak sihat meruntuhkan rasa setiakawan dikalangan mereka yang bekerja keras untuk membuat orang lain sihat.

Buli membawa kesan yang sangat tidak baik
1.      Doktor pelatih hilang motivasi dan harga diri
2.       Peningkatan tekanan yang menjejaskan kesihatan doctor pelatih
3.       Gangguan emosi yang boleh menjejaskan tugas dalam merawat pesakit
4.       Para doctor pelatih akan takut bertanya bagi mengelak dibodohkan di depan para pesakit lalu        terhambatlah ilmu yang sepatutnya diterima
5.       Kerugian wang negara yang menyara biasiswa atas perletakan jawatan oleh doctor pelatih yang merasa demoralised angkara doctor senior yang sepatutnya menunjukkan contoh dan tauladan yang baik
6.       Pengalaman pahit dibuli akan membuat mereka menjadi kaki buli apabila sudah menjadi senior dan pusingan akan diulang dan bertambah parah.
7.       Kejadian buli ini memburukkan nama baik hospital kerajaan dan memalukan  Kementerian Kesihatan Malaysia serta negara amnya.

Kajian menunjukkan 80% HO mengaku pernah dibuli.

Dalam usaha kerajaan menigkatkan prestasi jabatan2 kerajaan di bawah pemerintahan Malaysia Baru apatah lagi PM dan TPM keduanya adalah doktor perubatan, sudah seharusnyalah pihak KKM menyeselesaikan isu ini secara serius.

2 comments

  1. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai