LEBURNYA SEBUAH CINTA


posted by Martinelli Hashim

No comments




LEBURNYA SEBUAH CINTA

Ngeri bunyi tajuk ini. Apatah lagi kalau cinta itu adalah cinta antara suami isteri yang dibina bertahun-tahun…. Hubungan halalan toyiban tiba-tiba terlerai gara-gara orang ketiga. Kejadian ini mungkin biasa terjadi di mana-mana, namun apabila berlaku di kalangan mereka yang rapat dengan kita, ia sudah cukup membuat hati kita luluh... ternodanya cinta murni suami isteri yang selama ini saling manyayangi?

Melihat airmata kaum sejenis yang berguguran apabila kesetiaannya dikhianati boleh saja mengundang air mata sendiri turut berguguran. Rumahku syurgaku bertukar menjadi neraka dunia yang tidak pernah diduga.

Melihat wajah anak-anak comel yang telah lahir atas cinta ayah dan bonda kini kehilangan gurau-senda mereka gara-gara si ayah ingin memaksakan kehadiran ibu tambahan untuk mereka. Jatuhnya talak oleh si ayah adalah hukuman yang amat berat buat anak-anak yang mendambakan kehidupan sempurna ada ayah dan bonda sentiasa bersama…. bagi hamba ia cukup menghiris perasaan.

Siapa pun yang bersalah, kesannya tetap sama…. Sebuah kesakitan yang amat pedih.

Bukankah perkahwinan itu adalah sebuah perjuangan, sebuah pelayaran , sebuah pelaburan yang memang secara lumrah tidak akan terlepas dari dugaan, gelombang dan untung rugi kehidupan.

Di medan juang panglima seharusnya sentiasa di depan sebagai benteng pertahanan bukan si pengecut yang mudah terpedaya digoda musuh. Panglima tidak mengkhianati perjuangannya membiarkan mereka yang dilindungi disakiti.

Dalam pelayaran, nakhoda kapal bertanggungjawab membaiki kapalnya apabila berlaku kerosakan, bukan meninggalkan kapal membiarkan ia terus tenggelam.

Dalam pelaburan kita wajib punya kemahiran memilih dan menentukan pelaburan yang boleh memberi untung.

Saat diduga dengan timbulnya rasa jemu pada pasangan setelah didatangi orang lain yang kita rasakan lebih menarik lebih sempurna, pernahkah kita bertafakur sebentar…. Pasangan kita adalah makhluk Allah. Allah itu Maha sempurna, maka sudah tentu ciptaanNya juga sempurna… hanya mata kita yang dikaburi oleh nafsu dunia yang menutup kesempurnaan orang yang sepatutnya kita sayangi. Kita lupa di setiap kekurangan yang kita nampak itu ada kelebihannya yang tersembunyi.

Pasangan kita dicipta oleh Yang Maha Penyayang. Allah sentias berlembut dengan makhlukNya. Siapalah kita yang menjadi pembenci dan berkasar dengan makhluk yang dikasihiNya. Mungkin saja dia kekasih Allah, siapalah kita sanggup menyakiti kekasihNya.
Bertafakur seketika lebih baik dari beribadah sepanjang malam.

Kelmarin kami memijak pepasir di pantai mengenang kembali liku-liku hidup bersama.. Hamba katakan pada diri, “Kaki ini telah melangkah begitu jauh.... Langkah ini bukan sentiasa lurus namun saat ia tergelincir ada saja si dia membantu membetulkan lalu Allah mengizinkankannya kembali lurus.

Kaki ini tidak sentiasa teguh melangkah namun saat ia menjadi lemah ada saja sayang dicurahkan oleh dia sebagai penawar lalu dengan rahmat Allah ia kukuh kembali meneruskan langkah menuju jalanNya.

Hati ini juga tidak sentiasa teguh namun saat ia lemah doa dan sokongan dari pasangan membuat ia kembali kuat.

Mata ini bukan sentiasa kering, namun di saat ada butiran mutiara berguguran ada saja tangan si dia membantu menyapunya."

Pasangan melindungi di saat orang lain tidak peduli. Itu adalah amanah dari Allah yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Amanah yg tidak ditunaikan akan menghalang penanggungnya dari memasuki syurga walaupun dia mati sebagai syuhada di medan perang. Pahala shahid tidak cukup untuk menutup dosa meninggalkan amanah.

Faham sepenuhnya bahawa dalam rumahtangga perlu ada kaki yang gagah, hati yang teguh dan bahu yang kukuh memikul tanggungjawab dan amanah yang bukan calang-calang beratnya. Saling menggagahi, meneguhkan kekuatan masing-masing, saling menerima dan saling memberi membuat kita mampu melupakan ketidak sempurnaan si dia.

Langit tidak selamanya cerah dan sememangnya tidak selamanya hujan. Saat panas memancar kita cuba saling meneduhi dan saat hujan turun mencurah kita sama-sama berpayungan.
Kita berusaha membetulkan niat berkahwin kerana Allah bukan kerana siapa atau kerana apa-apa.

Kita insaf Allah tidak menjanjikan bahagia tanpa kita berusaha mencarinya. Sesekali bahagia itu ditarik tanda ia ingin kita menjadi lebih kuat. Allah tidak memberi apa yang kita mahu tetapi tetap memberi apa yang kita perlu.

Kita sering diperingatkan bahawa apa yang ditanam hari ini itulah yang bakal dituai di hari tua nanti. Menanam kasih sayang sebanyak manapun tidak perlukan wang namun pulangannya amat besar dan amat diperlukan saat tenaga kita sudah semakin merosot nanti.

Yakin sepenuhnya bahawa Allah tidak pernah tidur, tidak pernah membiarkan tadahan doa tanpa memberinya.

Lalu dengan tarikan nafas yang panjang kita sama-sama memperakui bahawa
rumahtangga ini rumahtangga kita lalu kalau bukan kita yang menjaganya siapa lagi. Langkah kita masih belum boleh berhenti. Di depan sana masih belum pasti tiada ranjau menanti.

Melihat pasangan muda yang berpegangan tangan berjalan penuh bahagia, hamba ingin saja bersuara bersedialah berjuang mempertahankan pegangan tangan itu sehingga ke hari tua nanti. Kalau orang ketiga itu adalah racun yang bisa dan pasangan kita tidak mampu menerimanya, usah biarkan ia mendekati. Bahagia ummah itu bermula dari bahagianya institusi keluarga.
 — in Galway Bay, Ireland.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai