PERKAHWINAN ITU AMANAH


posted by Martinelli Hashim

No comments




Saban minggu menghadiri majlis perkahwinan, melihat senyum bahagia pasangan pengantin kadang-kadang terlintas juga bayangan-bayangan perjalanan hidup sendiri….. perjalanan yang yang sudah tentu bukan mudah. Pasang surut gelombang yang tiada hentinya.

Saat laluan menjadi sukar hati memujuk, “InshaAllah akan ada kesenangan di hadapan, usah berhenti.”

Saat dilanda cemas hati akan merintih,”Ya Rabb, jangan biarkan hamba bersendirian.”

Saat sukar dan beratnya membawa amanah, akal menegur,”Allah tidak mencipta dirimu untuk bersenang-lenang di dunia tetapi untuk mengabdi kepadaNya dengan pengabdian yang sempurna agar kesenangan yang abadi akan dinikmati di sana nanti.”

Saat tidak mendapat apa yang dihajati, akal mengingatkan,"Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk diberkian kepada makhlukNya, bersyukurlah."

Lalu hamba mengingatkan diri bahawa Allah itu tidak pernah tidur, tidak pernah lengah dari mendengar apa saja lintas hati makhlukNya.

Pengalaman mengajar hamba perkahwinan itu amanah yang berat. Jalannya penuh liku. Kompasnya adalah taqwa.

Perkahwinan bukanlah perjudian tetapi penyerahan. Maka serahkanlah yang terbaik. Adakalanya ia menuntut pengorbanan yang sangat besar lalu kita redha akan sebuah kehilangan.

Perkahwinan bukanlah permainan tetapi perniagaan. Adatnya sebuah perniagaan sudah tentu perlukan modal, kemahiran, kesabaran dan tawakal. Maka berniagalah secara adil… dekatkan diri dengan AlQuran kerana janji Allah ,“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan shalat dan menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi”. (Fatir: 29)

Perkahwinan mungkin sebuah penjara, namun orang beriman yakin dengan memenjarakan diri dari dosa demi untuk membolehkan kehidupan yang bebas di jannah nanti.

Perkahwinan mungkin sebuah syurga, dan orang bijak tahu kelalaian menjaganya akan menjadikannya sebuah neraka. Nakhodalah yang mencorakkannya, pembantu nakhoda yang setialah yang memperkukuhkannya. 

Nakhoda yang hebat saat kapal dihempas gelombang dia tidak akan meninggalkan kapal dan pembantu bersendirian .... sehinggalah kapal kembali tenang.

Suami yang soleh, Isteri yang solehah ....doa mereka tidak akan dipersiakan Allah.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai