Kita tidak dicipta untuk menjadi tuan, tetapi sebagai abdi kepada Tuhan, penguasa alam. Pengabdian ini adalah pengabdian yang mutlak sifatnya kerana kuasa yang ada pada Tuhan yang memiliki kita adalah kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Pengabdian yang mutlak menuntut perhatian yang mendalam terhadap ibadah yang dilakukan. Kualiti ibadah adalah titik penentu akan sempurnanya kita sebagai hamba yang layak menerima pengi'tirafan dari Pencipta. Kita tidak memiliki apa-apa kerana semua itu adalah hak Dia. Kita adalah makhluk yang hina tetapi dimuliakan atas kasih sayangNya.
Disebabkan tugas utama dalam pengabdian ini adalah tugas sebagai khalifah bumi, kita dianugerahkan kehebatan. Hebatnya manusia kerana diberi akal, diberi upaya untuk memilih yang baik.
Namun, walau dengan sedikit kehebatan yang dianugerahkan ilahi sering saja kita terlalai perangkap iblis. Kita merasa tinggi apablia diper'tuan'kan oleh manusia lalu memandang 'hamba' kepada orang bawahan. Kita terbuai dengan sanjungan mereka. Kita lupa bahawa setitik rasa sombong akan membuat kita dicampak ke neraka. Pangkat, gelaran, harta keserjanaan bukan alasan untuk memaksa mendapat penghormatan dari orang lain…. Itu sombong namanya. Peringatan dari Allah swt. “Sombong itu adalah selendangKu dan Aku benci sesiapa yang memakainya.”
Hidupkanlah kehidupan dengan jiwa insani yang sentiasa merasa hadirnya Tuhan di mana-mana. Hidup biar berjasa, mati biar beriman. Berfikir biar berlmu, berbicara biar berbahasa, bergaul biar beradab, berakal biar berakhlak.
Yang miskin usah dihina, yang kaya usah disanjung. Yang lemah usah dipijak, yang berkuasa usah dijulang.
Taburkanlah budi dan kasih sayang di setiap perhentian sebelum tibanya kita di perhentian yang abadi.