Konflik Ummah


posted by Martinelli Hashim

No comments

Cuba mengelak membincangkan yang ini kerana ilmu saya yang amat terhad. Namun saya risau apabila berdepan dengan beberapa situasi:

Situasi 1: 
Seorang pelajar memberitahu saya, jangan baca Alfatihah selepas solat, Nabi tak suruh.

Situasi 2:
Pelajar mengadu menerima sms dituduh sebagai ketua iblis semata-mata kerana mengajak kanak-kanak bernasyid.

Situasi 3: 
Seorang anak muda marah-marah melihat orang mengangkat tangan semasa berdoa.

Situasi 4:
Seorang pelajar perempuan memperlekehkan mereka yang membaca al-maatsurat.

Situasi 5:
Disebabkan seorang ahli jemaah yang sering mempersoalkan kehadiran wanita solat di surau, akhirnya saya kehilangan teman-teman berjemaah maka sendirianlah saya jadinya. Usia saya yg sudah petang dan anak-anak sudah besar, sekaranglah baru impian sejak muda untuk mengisi hari tua di masjid/surau terlaksana sebagaimana yang dilakukan oleh almarhum nenda yang usia tuanya dihabiskan antara masjid dan rumah. Hanya mereka yang mencari saja dapat merasa nikmat damainya hati dalam i'tiqaf.

Tidak perlu saya terangkan apa yang berlaku kerana post sebegini amat banyak dalam facebook.

Mungkin saja ada yang menjawab lebih baik ajar ramai lagi yang tidak tahu membaca Alfatihah daripada sibuk memarahi orang membacanya selepas solat. Alfatihah ayat Allah yang pahalanya tidak terhingga buat mereka yang membaca apalagi dalam keadaan suci seperti sucinya orang yang selesai solat.

Mungkin saja ketua iblis yang sebenar ketawa besar mendengar gelaran itu sudah berpindah kepada seorang manusia beriman yang menarik kanak-kanak dengan nyanyian memuji Allah.

Mungkin ada yang berkata "Kalau Rasulullah saw tidak menyuruh amalan itu, tetapi adakah baginda melarangnya?"

Tidak berniat untuk menambah konflik, namun saya bimbang akan sikap dan cara isu ini disebarkan :

i. Adab berbeza pendapat tidak dijaga
ii. Kesibukan anak muda berhujjah tentang isu ini meminggirkan isu lain yang lebih pokok.
iii. Kesan buruk kepada mereka yang baru berjinak dengan agama
iv. Masyarakat lebih merujuk kepada ustaz youtube dari ulama yang muktabar
v. Bimbang akan ada musuh mengambil kesempatan mengkucar-kacirkan ummah menjadi berpuak-puak yang saling tuduh menuduh seperti yang dilakukan oleh Abdullah bin Sabak.

Saya fikir alangkah baiknya lebih ramai lagi para cendikiawan Islam, mufti, pakar-pakar agama aktif dalam dunia 'cyber'/maya inimelihat dan memperbaiki kekeliruan dan mendidik ummah dengan kaedah sebenar yang diajarkan dalam Islam

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai