ANAKKU SUKA CONTENG DINDING


posted by Martinelli Hashim

1 comment

Saya mungkin antara ibu yang percaya dengan memberi kebebasan kepada anak kecil dalam melakukan apa yang mereka minat mampu membina  kreativiti mereka. Usah terlalu menghalang mereka melakukan  apa yang mereka minat waktu kecil, walau kadang-kadang menyakitkan mata dan menyemak rasa. Selagi apa yang dilakukannya tidak membawa mudharat, biarlah mereka gembira melakukannya. Minat yang tertanam dari kecil dan mendapat sokongan ibubapa amat membantu anak menentukan jalan hidupnya dewasa nanti.

Semasa anak-anak masih kecil, adakalanya saya merasa malu apabila tetamu datang ke rumah menjeling dinding rumah yang penuh dengan contengan hasil karya tangan kecil yang kidal anak ke 3. Pernah saya terpaksa menghabiskan sehari suntuk membersihkan contengan dinding rumah sewa sebelum menyerahkan kembali kepada tuannya Bukunya penuh dengan lukisan. .... masa itu dia pun tidak tahu besar nanti nak jadi apa...yang dia tahu menconteng dan menconteng. 


Pertembungan antara disiplin dan perkembangan bakat anak menjadi dilema saya. Saya mengalah ... biarlah dia berkarya mengikut minatnya. Selpas itu rumah saya dicat dengan cat yang boleh dicuci dengan air....dicuci dua kali setahun. Dia terus berkarya dan kami terus menyokong.

Masa terus berlalu tanpa disedari. 


Anak-anak sudah besar.

"Ini sikit duit untuk ibu...." Katanya sambil menghulurkan gaji pertamanya sebagai arkitek pada usia 23 tahun. Oh, rupanya inilah hasilnya ibu bertahan mata tinggal di rumah yang penuh contengan si anak. Dulu dia menconteng dinding merosakkan keindahan rumah, sekarang dia menconteng menghasilkan model rumah yang indah-indah.

Anak ke4 amat suka mengumpulkan bateri dan kunci sejak berumur setahun. Kalau orang lain minta belikan mainan dia sudah cukup puas dapat bateri baru untuk dimasukkan ke dalam mainan. Permainan tamia menjadi kegemarannya. Habis wang belanja sekolah dibelanjakan untuk itu. Kami tidak pernah membantah kalau dia meminta mainan ini kerana memang dia fokus dengan minatnya itu. Semasa di sekolah menengah pertandingan yang paling diminatinya adalah pertandingan robotik. sekarang dia bekerja keras belajar dalam bidang mechatronich.

Begitu juga anak-anak yang lain. Saya lebih suka membuatkan mainan dari barang-barang terpakai seperti mengumpulkan kotak mancis untuk dijadikan kereta, rumah dll. Saya dan anak-anak membuatnya bersama dan amat menyeronokkan. Tetapi apabila anak sudah berderet, urusan mainan anak diuruskan oleh ayahnya yang tidak pernah mengecewakan permintaan anak-anak walau terpaksa ikat perut.


..... sebuah perkongsian buat ibu-ibu muda bagi membantu anak-anak disamping menjalin hubungan selesa dengan anak sampai ke tua, inshaAllah.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai