Archive for May 2015

ULANG TAHUN PERKAHWINAN


posted by Martinelli Hashim

1 comment



Memaknai sebuah ulangtahun perkahwinan … bukan sekadar rai-raian atau makan malam yang romantik di bawah cahaya lilin.. Mungkin ada kemucak bahagia untuk diulangtayang dan mungkin juga ada ranjau yang amat ngeri pernah ditempuh namun masih untuk dikenang. Ujian Allah dalam senang dan dalam susah dalam kita meburu nikmat bahagia berumahtangga.   

Mengenang kembali saat cemas 5 tahun yang lalu….“Acute brain hemorrhage” … tertulis di folder pesakit dan pesakitnya adalah insan yang menakhodai hidup hamba.  Ya Allah, berikanlah peluang untuk beliau sembuh. Berikanlah ya Rabb. Berikanlah hamba peluang berkhidmat untuknya lagi....Allahumma aamiin.

Terpacak sebuah janji untuk menjaganya sebaiknya.

Kata doktor "harapan tipis". 

Kata hati “Allah Maha Penyayang….Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuknya. InshaAllah akan sembuh.”

Selepas 48 jam diserang stroke, beliau sedar namun tidak mampu mengenali barang-barang yang ditunjukkan oleh doktor. Ingatan beliau terjejas. Namun masih ada keajaipan  apabila doktor bertanya siapa yang sedang berada di sebelahnya, lalu dalam keadaan yang amat lemah beliau menjawab, "Ini isteri saya, "

“Prof. ingat, tak, harijadi isteri Prof.?” Tanya doktor lagi.

“Ingat. 31 Ogos. Hari merdeka.” Jawabnya perlahan.

Allahuakbar….. apakah ini namanya kasih suami yang syurgawi ? Suami masih mengingati isteri yang kerdil ini di saat beliau tidak mampu mengingat apa pun yang ditanya oleh doktor. Nikmat Allah yang mana yang hendak hamba nafikan kini? 

Ujian Allah tidak terduga, nikmatNya juga tidak terjangka. Selama 32 tahun melayari kehidupan bersama mengharung ranjau menempuh gelombang mengharap pelangi di hujungnya nanti. Perjalanan yang panjang penuh liku mengaharap rahmah dan mawaddah hidup menjunjung shariah mendidik anak-anak dalam dunia penuh pancaroba. Alhamdulillah, sejuta kesyukuran.

Kini hamba berjalan bersamanya dan anak-anak menganyam kembali kenangan lama, kenangan waktu bermastautin di negara orang 20 tahun yang lalu. Perjalanan bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk tetapi sebuah perjalanan yang penuh bermakna buat hamba yang hampir kehilangannya 5 tahun yang lalu. 

Berjalan mengembalikan memori membesarkan anak-anak bersama….. perjalanan  seperti ini hampir mustahil setelah beliau disahkan mendapat ‘stroke’… pendarahan di bahagian tengah kepala. Waktu itu hamba hanya mengharapkan kasihNya Allah.

Alhamdulillah Allah memberikannya. Kini bukan saja boleh berjalan tetapi berjalan sejauh ini di tempat yang pernah kami bermusafir bersama anak-anak yang berderet suatu ketika dulu.

Alhamdulillah... pelangi itu sudah kami temui. 

Apa ertinya ulangtahun perkahwinan bagi kami?

Kami ingin mengenang jasa baik teman-teman yang membantu mempertautkan kami dahulu pada saat hati hamba  amat sukar menerimanya sebagai teman hidup. Hati hamba cair akhirnya hanya kerana kata-kata seprang sahabat,"Neli, kata ustaz apabila kita menolak lamaran seorang lelaki bukan atas alasan shariah tunggulah bala yang bakal menimpa." Kerana kata-kata itu hamba menerima lamarannya.

Kami ingin mengenang jasa teman-teman  yang membantu kami pada saat kami diuji dalam kehidupan.

Teman-teman sejati yang selalu bersama amat memaknai kehidupan kami....Teringat hamba membaca sms dari seorang sahabat sewaktu hamba duduk dengan linangan air mata di tepi katil suami yang sedang kritikal selepas serangan stroke, "Neli, I know you are strong as you have always been."

Rasa terima kasih yang tidak dapat didengar lagi oleh kedua-dua arwah mertua yang menjadi kunci kebahagian kami atas redha, kasih sayang dan doa mereka sehingga ke akhir hayat mereka berdua.

Pengajaran hidup:
i.              Sahabat sejati hadhir dalam susah dan senang.
ii.            Cinta sejati subur walau dalam kehidupan bergelombang
iii.      Hidup berkeluarga dalam rahmah dan mawaddah menuju jannah tidak mungkin                     dimiliki tanpa redha orang tua.
iv.     Hargailah anugerah Allah kerana mungkin kita tidak mampu menghadapi                 kehilangannya nanti


perkongsian doa angin ahmar
http://martinellihashim.blogspot.com/2011/01/kehebatan-doa-menolak-angin-ahmar.html

ANAK-ANAK BONDA


posted by Martinelli Hashim

No comments

Rasanya baru semalam memerah keringat melayan kerenah nakal anak-anak.  Anak –anak jantan yang lasak yang sering membuat jantung ibunya hampir gugur. Dua anak gadis yang sentiasa membuat kami dilanda cemas …… perasaan biasa insan bergelar ibu. Membesarkan mereka di zaman penuh cabaran dan ketidak tentuan. Mudah menyebut syarat untuk diberikan kepada anak-anak tetapi bukan mudah untuk meyakinkan hati bahawa semua syarat yang diletakkan itu diikuti sepenuhnya. 

Pada saat anak lelaki mula remaja hamba izinkn mereka memilih pasangan dan berkongsi cerita tentang pilihan mereka... tetapi bagaimana menentukan agar mereka mengikuti syarat, “no dating, no touching, no dreaming away.”……. syarat bonda yang ketat untuk anak muda yang dikelilingi segala gajet dan kemudahan untuk melakukan dosa di belakang ayahbonda.

Mengharapkan mereka yakin walau terlepas dari pandangan bonda Allah sentiasa mengawasi. Ya Rabb, Suburlkanah iman dan taqwa di hati mereka.

Pada saat anak gadis ingin memilih sendiri pakaian dan pakaian itu tidak cukup mematuhi syariat di mata bonda lalu hamba mengatakan, “Pakailah apa saja, jangan sampai ibu nampak dan kalau ibu ternampak jangan panggil ibu lagi. Ibu tak mahu masuk neraka disebabkan anak perempuan …. ”

Mendidik mereka dengan senyum dan tangis. Senyum saat melihat mereka gembira, menangis saat  mereka  terlanggar adab. Rotan dan airmata bonda mereka adalah dua senjata yang ampuh bersama doa yang tidak putus-putus.
Hamba katakan kepada mereka,”Biarlah ibu menangis sekarang takut kemudian nanti ibu tak sempat senyum sebab sudah terlambat.”

Alhamdulillah, mereka membesar jua. Namun walau sudah sebesar apapun, di mata bonda cemas tetap ada. Sesekali diperingatkan juga bahawa kita hidup bertuhan, maka letakkan Allah di atas bukan di tepi atau di belakang. Kita hidup bermasyarakat, maka letakkan diri  dalam adab yang direstui. Kita hidup berkeluarga, maka letakkan kepentingan keluarga lebih dari mengejar dunia.
Restu Allah membuat kita selamat, restu masyarakat membuat kita disayangi, kasih keluarga membuat kita bahagia...... usah izinkan diri kita tercicir salah satu darinya kerana ia penentu untuk kita hidup sebagai manusia yang berhati mulia membahagiakan dunia.