Anak-anakku sudah besar


posted by Martinelli Hashim

No comments



Masa mereka kecil dulu, hari pertama persekolahan adalah hari yang paling sibuk bagi seorang ibu. Riuh rendah suara mereka, berebut bilik air, tolak-menolak semasa bercermin..... tiada pagi yang hening, tiada petang yang sepi bersama mereka. Setelah menyiapkan barang sekolah, pakaian dll….. yang perempuan perlu tudung yang licin, yang lelaki perlu pakai tali leher pengawas dan pasangkan tali pinggang. ..... aduhai anak-anak permata hati ibu. Biar letih biar penat .... segalanya demi untuk kebahagiaan mereka dunia dan akhirat.

Suasana itu sudah lama berlalu kerana yang bungsu pun sudah tingkatan 5 dan tinggal di asrama. Tiba-tiba pagi ini nostalgia itu kembali lagi. Hari ini hari pertama dua orang anakanda memulakan tugas rasmi …. Tidak dapat mengelak dari rasa terpanggil menolong mengikatkan tali leher dan memotong tali pinggang yang terlalu panjang, memastikan keterampilan mereka baik dipandang bakal majikan dan kawan sekerja. Dulu tali leher warna biru tua berzip, mudah untuk disarung. Sekarang tali leher bercorak mengikut kesesuaian warna baju. Tidak boleh terlebih dari 'buckle' tali pinggang ....dan...dan...dan...seribu satu pesan sebelum melangkah ke tempat kerja yang baru.

Saya mengiringi mereka ke pintu ….. waktu kecil dulu mereka naik van sekolah, sekarang masing-masing memandu sendiri kereta…..ucapan pamit pergi masih seperti dulu, "Assalmualikum, bu." sambil tangan melambai.

"Walaikum salam..... baik-baik bawa kereta." ucapan balas dan peringatan yang tidak pernah tertinggal.

MasyaAllah….. debaran yang dulu kembali lagi. Benarlah, hakikatnya hati seorang ibu tidak berubah dengan berubahnya umur anak. Di mata ibu anaknya masih si comel yang baru bertatih, bimbang anaknya jatuh atau disakiti…… usah tanya kenapa ibu resah apabila anak lambat pulang walau mereka sudah besar panjang.

Buat ibu-ibu muda, hargailah saat-saat sibuk semasa menguruskan anak-anak kecil kalian kerana ia adalah kemanisan yang dirindui apabila mereka sudah besar.... gembiralah, usah merungut.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai