Archive for June 2014

Lapangkan orang lain


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kata ulama lapangkan orang lain, maka Allah akan lapangkan kita. Mudahkan kesulitan orang lain, maka Allah akan mudahkan kesulitan kita. Sayangi orang lain, maka Allah akan sayangi kita. Sekiranya tidak mampu melapangkan, memudahkan kesulitan atau menyayangi orang lain, usahlah menyusahkan, menyulitkan atau mendendami orang lain kerana Allah itu Maha Adil dalam menghukum mereka yang menyakiti makhlukNya samada di dunia atau di akhirat nanti.

Memberi laluan kepada orang lain semasa memandu adalah contoh melapangkan orang lain yang InshaAllah akan diberi ganjaran sebaiknya tanpa diduga pada saat kita memerlukannya.....selamat memandu kepada anak-anak yang akan memandu jauh hari ini......

Kyoto


posted by Martinelli Hashim

No comments

Pagi ini dalam perjalanan dari osaka ke kyoto menaiki van, berhenti di services (RnR). Seorang teman bertanya kepada pemandu apakah selamat meninggalkan laptop dalam van, soalan biasa kita di Malaysia. Pemandu menjawab, "Japan is not like other countries.... You can leave your things anywhere."

Sebuah jawapan , sebuah sindiran yg menghiris jiwa. Lalu saya berkata kepada Prof Yusof osman yang bersama kami dalam van itu, "prof, kalaulah bahu kita cukup kuat memikul budaya mereka untuk dibawa pulang ke malaysia saya akan pikul bagi mengembalikan budaya kita yg sudah calar balar."
Kami meneruskan perjalanan untuk menghadiri simposium bertajuk "5th i ternational symposium on Islam, civilization and science: Islam as basis for civilizational thought and development "

...... Aneh, kan? Bersimposium tentang ketamaddunan islam di universiti kyoto, Jepun.
Dalam hati merintih, kalaulah budaya sopan santun, bersih dan berdisiplin yg saya sedang lihat di negara matahari terbit ini merupakan sehelai baju, dan saya mampu membelinya, akan saya beli buat disarungkan ke setiap mereka bergelar muslim. Terbayang keadaan ummat Islam yang bertolak tolak mendapatkan tempat duduk untuk diri masing-masing dalam masjidil haram, menggunakan tandas di tepi masjidil haram dengan tidak bertanggungjawab dan seribu satu lagi perbuatan tidak bertamaddun yang dilakukan walau dalam keadaan berihram. Kehebatan tamaddun hanya yang dulu bukan yang sekarang. Kita hanya mampu mendendangkannya di seminar-seminar bukan di dunia nyata.

Surah AlMulk


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kita tidak dihidupkan kecuali untuk beribadah. Memperbanyakkan ibadah sunnah menyelamatkan kita di hadapan Allah nanti.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.”

Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”

Kepanasan Alam


posted by Martinelli Hashim

No comments



Selama lebih setengah abad hidup, saya tidak pernah merasa perlunya penghawa dingin di rumah.... kipas sudah memadai. Perpindahan ke kampung ulu gombak yang dikelilingi rimba menambahkan hilangnya keinginan memasang penghawa dingin. Namun kepanasan yang luar biasa yang sering melanda, akhirnya saya kalah, maka tertebuk jugalah dinding dan tercacaklah mesin itu di teratak kami.
Allah menguji kita dengan kepanasan yang tidak pernah kita rasakan sebelum ini di tanah air tercinta. Mungkinkah ini kafarah dosa kita yang banyak sehingga alam tidak lagi sejinak dulu lagi dengan manusia. Mungkinkah ini peringatan dari Yang Maha Kuasa tentang amanah sebagai khalifah yang tidak kita sempurnakan?. Mungkinkah ini tanda Allah mengingatkan kita amanah yang tidak dilaksanakan itu akan menerima hukuman kepanasan yang lebih lagi diakhirat nanti?
Ayat-ayat Allah itu ada di mana-mana .........

Beradab terhadap manusia


posted by Martinelli Hashim

No comments

Apalah guna banyak beribadah kepada ALLAH tetapi biadap dengan makhlukNya... Manusia adalah makhluk Allah yang perlu kita perlakukan dengan adab yang mulia. Jauhi sifat biadab walau kepada siapapun ...... manusia yang baik dikasihi Allah dan makhlukNya.

Anak-anakku sudah besar


posted by Martinelli Hashim

No comments



Masa mereka kecil dulu, hari pertama persekolahan adalah hari yang paling sibuk bagi seorang ibu. Riuh rendah suara mereka, berebut bilik air, tolak-menolak semasa bercermin..... tiada pagi yang hening, tiada petang yang sepi bersama mereka. Setelah menyiapkan barang sekolah, pakaian dll….. yang perempuan perlu tudung yang licin, yang lelaki perlu pakai tali leher pengawas dan pasangkan tali pinggang. ..... aduhai anak-anak permata hati ibu. Biar letih biar penat .... segalanya demi untuk kebahagiaan mereka dunia dan akhirat.

Suasana itu sudah lama berlalu kerana yang bungsu pun sudah tingkatan 5 dan tinggal di asrama. Tiba-tiba pagi ini nostalgia itu kembali lagi. Hari ini hari pertama dua orang anakanda memulakan tugas rasmi …. Tidak dapat mengelak dari rasa terpanggil menolong mengikatkan tali leher dan memotong tali pinggang yang terlalu panjang, memastikan keterampilan mereka baik dipandang bakal majikan dan kawan sekerja. Dulu tali leher warna biru tua berzip, mudah untuk disarung. Sekarang tali leher bercorak mengikut kesesuaian warna baju. Tidak boleh terlebih dari 'buckle' tali pinggang ....dan...dan...dan...seribu satu pesan sebelum melangkah ke tempat kerja yang baru.

Saya mengiringi mereka ke pintu ….. waktu kecil dulu mereka naik van sekolah, sekarang masing-masing memandu sendiri kereta…..ucapan pamit pergi masih seperti dulu, "Assalmualikum, bu." sambil tangan melambai.

"Walaikum salam..... baik-baik bawa kereta." ucapan balas dan peringatan yang tidak pernah tertinggal.

MasyaAllah….. debaran yang dulu kembali lagi. Benarlah, hakikatnya hati seorang ibu tidak berubah dengan berubahnya umur anak. Di mata ibu anaknya masih si comel yang baru bertatih, bimbang anaknya jatuh atau disakiti…… usah tanya kenapa ibu resah apabila anak lambat pulang walau mereka sudah besar panjang.

Buat ibu-ibu muda, hargailah saat-saat sibuk semasa menguruskan anak-anak kecil kalian kerana ia adalah kemanisan yang dirindui apabila mereka sudah besar.... gembiralah, usah merungut.

Menghadapi kerenah manusia


posted by Martinelli Hashim

No comments

Seharian bertemu manusia dengan pelbagai ragam. Ada yang menyakitkan hati dan sudah tentu ada juga yang menyenangkan.
Reaksi kita apabila disakiti samada membalas, menyimpan, melupakan, meluahkan kepada teman atau menulisnya dalam facebook, twitter atau laman sosial lainnya. Sering saja wall fb itu sebagai tempat meluahkan segala rasa, tempat mengadu dan tempat menyerang orang lain.
Saya katakan kepada anak-anak, atas kasihnya Allah, Dia menemukan kita dengan mereka yang bukan kita mahu tetapi mereka yang kita perlu bagi meletakkan kita di maqam yang lebih tinggi apabila sabar menghadapinya.
Akhirnya nanti Allah bukan bertanya siapa yang kita temui tetapi bagaimana reaksi kita terhadap mereka yang kita temui. Pastikanlah reaksi yang kita tunjukkan adalah reaksi yang mengundang redha Allah dan barakah dariNya bukan mengundang murka dan dosa yang tidak sanggup kita tanggung nantinya.