Archive for April 2014

PENDIDIK YANG SOLEH


posted by Martinelli Hashim

1 comment



Entah kali ke berapa saya mendengar orang berkata,"Suasana Islamiy di Kulliyyah of Engineering banyak dipengaruhi oleh aura Prof. Faris sepanjang beliau menjadi dekan.”

Mereka mendidik penuh amanah di sini
Semalam saya mendengar ayat itu lagi sewaktu bersembang dengan Timbalan Dekan baru, Dr. Sharul Naim, tentang suasana di pelbagai kulliyyah dan keterampilan para pendidiknya sewaktu berurusan.

Mungkin saya agak ‘biased’ kepada kulliyyah yang satu ini. Sewaktu dijemput memberi sedikit taklimat tentang program kemanusiaan dalam “Kulliyyah Board Meeting” beberapa tahun yang lalu, saya amat terpegun apabila mesyuarat dimulakan bukan saja dengan ummulkitab tetapi dengan setengah jam tazkirah yang dikatakan agenda wajib mereka sejak bertahun-tahun.

Semasa beliau menjadi Timbalan Rektor tidak pernah saya mendengar rungutan orang tentang beliau. Bekerja selama 9 bulan di bawah beliau, tidak pernah melihat beliau marah walau sesukar mana keadaan yang dilalui. Mungkin tidak menghairankan kalau melihat beliau solat zohor dan asar setiap waktu di Masjid UIA, tetapi siapa tidak kagum melihat para pensyarah dan pelajar KOE memenuhi masjid tersebut, termasuk pensyarah wanita walaupun kulliyyahnya terletak begitu jauh.

Maka yakinlah saya pemimpin yang soleh akan membawa mereka yang dipimpin ke arah kesolehan tanpa paksaan. Pendidik yang soleh akan membawa cahaya kesolehan menerangi alam melalui anak didik yang menghadam ilmu penuh penghayatan. Mereka mengajar ilmu sambil mendidik  jiwa penuh insani.

Saya rasa cukup yakin menghantar dua orang anak lelaki saya dididik di kuliyyah berkenaan oleh pendidik yang soleh.


Teringat kejadian 20 tahun yang lalu saya menukarkan anak saya ke sekolah lain semata-mata kerana sikap gurunya menulis dengan pen merah perkataan “PEMALAS” sebesar-besarnya dibuku latihannya kerana gagal menyiapkan kerjarumah. Apabila bertemu guru tersebut sekadar bertanya tentang anak saya, beliau dengan kasarnya menjawab menggunakan bahasa  yang kurang sopan. Sebagai ibu, saya merasakan beliau tidak layak sebagai pendidik yang menerima doa dari anak murid.  Anak-anak sudah dilatih mendoakan guru-guru yang mendidik mereka.

Kita Tidak Dicipta Untuk Menjadi Tuan


posted by Martinelli Hashim

No comments



Kita tidak dicipta untuk menjadi tuan, tetapi sebagai abdi kepada Tuhan, penguasa alam. Pengabdian ini adalah pengabdian yang mutlak sifatnya kerana kuasa yang ada pada Tuhan yang memiliki kita adalah kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Pengabdian yang mutlak menuntut perhatian yang mendalam terhadap ibadah yang dilakukan. Kualiti ibadah adalah titik penentu akan sempurnanya kita sebagai hamba yang layak menerima pengi'tirafan dari Pencipta. Kita tidak memiliki apa-apa kerana semua itu adalah hak Dia. Kita adalah makhluk yang hina tetapi dimuliakan atas kasih sayangNya.

Disebabkan tugas utama dalam pengabdian ini adalah tugas sebagai khalifah bumi, kita dianugerahkan kehebatan. Hebatnya manusia kerana diberi akal, diberi upaya untuk memilih yang baik.

Namun, walau dengan sedikit kehebatan yang dianugerahkan ilahi sering saja kita terlalai perangkap iblis. Kita merasa tinggi apablia diper'tuan'kan oleh manusia lalu memandang 'hamba' kepada orang bawahan. Kita terbuai dengan sanjungan mereka. Kita lupa bahawa setitik rasa sombong akan membuat kita dicampak ke neraka. Pangkat, gelaran, harta keserjanaan bukan alasan untuk memaksa mendapat penghormatan dari orang lain…. Itu sombong namanya. Peringatan dari Allah swt. “Sombong itu adalah selendangKu dan Aku benci sesiapa yang memakainya.”

Hidupkanlah kehidupan dengan jiwa insani yang sentiasa merasa hadirnya Tuhan di mana-mana. Hidup biar berjasa, mati biar beriman. Berfikir biar berlmu, berbicara biar berbahasa, bergaul biar beradab, berakal biar berakhlak.

Yang miskin usah dihina, yang kaya usah disanjung. Yang lemah usah dipijak, yang berkuasa usah dijulang.

Taburkanlah budi dan kasih sayang di setiap perhentian sebelum tibanya kita di perhentian yang abadi.