Di antara yang membuat saya bahagia ialah apabila mengenang kembali melahir dan membesarkan anak-anak. Setengah dozen semuanya, kadang-kadang terasa seolah-olah tidak percaya, saya mampu melaluinya. Membesarkan anak-anak di tengah bandaraya yang bukan kecil cabarannya.
Di antara yang membuat saya senyum juga adalah apabila mengenangkan keletihan bekerja sepanjang hari disambung pula dengan tugas memastikan mereka menjalankan rutin ibadah dan rutin belajar setiap malam. Enam anak dengan seribu kerenah, seribu warna kehidupan. Tangis dan ketawa mereka, pencak dan gurau mereka kekadang mengundang kemarahan tetapi selalunya menjadi hiburan jiwa seorang wanita yang tidak punya apa-apa ini..
Di antara yang membuat saya bahagai ialah apabila Allah memberi saya kemampuan untuk saya menyusukan semua anak-anak sepuasnya. Tekad untuk menyusui sendiri anak-anak agar mereka membesar dengan sempurna tercapai jua. Walau penat, walau susah alhamdulillah ia tetap terlaksana. Di hati berdoa agr setiap titisan susu itu menjadi ibadah, dan ia mengalir di tubuh anak menghasilkan gelombang suci ke jiwanya agar besar nanti tetap mengabdi kepada Ilahi.
Saya bertuah kerana mempunyai ibu yang tidak percaya dengan cara 'berpantang' orang Melayu atau makan jamu. Saya disuruh banyak makan sayur, minum air. Tiada istilah 'masuk angin' atau memanjakan diri dengan tidur sepanjang hari. Pulang dari hospital selepas bersalin lalu mencapai penyapu atau mencuci sendiri lampin anak mungkin agak pelik bagi sebahagian orang orang Melayu.
Saya disuruh makan sayur jantung pisang setiap hari. Kata ibu agar air susu banyak terhasil. Jantung pisang dimasak kuah putih dicampur bawang dan halia dan kadang-kadang ditambah sedikit santan menjadi makanan wajib setiap hari. Ia juga ulaman dalam pecal.
Hari ini semasa berbual-bual dengan Dr. Maizirwan pakar bioteknologi UIA, beliau memberitahu bahawa seorang lagi pakar sains UIA menemukan bukti kandungan zat yang ada dalam bunga jantung pisang boleh meningkatkan aktiviti hormon estrogen yang berfungsi mengaktifkan sel untuk menghasilkan air susu ibu.
Subhanallah, syukur kepada Allah yang mengilhamkan ibu saya menyediakan sayur jantung pisang setiap kali saya bersalin.
Kekayaan zat yang ada dalam jantung pisang juga membantu mempertahankan badan dari serangan stroke.
Buat para ibu muda, susukanlah bayi dengan sebaiknya. Ia hadiah yang amat berharga tiada tolok bandingnya.