Nasihat Buat Anak-anak UIA


posted by Martinelli Hashim

1 comment




Saya tuliskan semula nasihat saya kepada pelajar dalam facebook IIUM ONLINE pada 26/9/2012
Buat anak-anak UIA. Walaupun saya tidak terlibat dalam PRK, namun apabila membaca dan memerhati gelagat pelajar yang terikut-ikut dengan gaya orang lain yang sanggup bertarung habis-habisan demi untuk mencapai kemenangan kumpulan masing-masing, saya merasa terpanggil untuk memberi sedikit nasihat.
Pengalaman sebelum ini sebagai pegawai STAD dan mendengar sendiri dari pihak atasan, UIA tidak pernah dan tidak akan menipu pelajar dalam proses pengundian. Maaf, bukan untuk mempertahankan sesiapa atau disuruh oleh seseiapa, tetapi merasakan apa saja kebenaran perlu disampaikan bagi membendung merebaknya fitnah yang boleh menjejaskan sesama Islam dan universiti tercinta ini.
Cara pelajar bercakap dan mengkritik pihak lawan, pentadbiran atau menulis dalam sosial secara tidak beretika menyebabkan ramai pensyarah dan pentadbir merasa begitu kecewa . Ingatlah memaki-hamun bukan budaya kita, jangan biasakan. Orang yang kita kutuk itu adalah saudara kita yang masih mengucap dua kalimah shahadah.
Usah lupa adab-adab Islam dalam kita mencari kebenaran.
1. Usah mudah menuduh dikhuatiri ia akan menjadi fitnah yang amat buruk kesannya kepada semua
2. Carilah kebenaran dengan penuh sopan dan beradab
3. Bertindaklah dengan penuh hikmah, adil, matang dan beretika
4. Berhujjahlah untuk mencari kebenaran bukan kemenangan semata-mata
5. Usah merasa kita lebih baik dari orang lain dan memandang rendah mereka yang tidak sependapat dengan kita
6. Usah merasa hebat apabila dapat mengalahkan orang lain dengan kata-kata yang kita ucapkan
7. Usah memperkecil dan menghina orang lain ditakuti orangg yang kita hina itu adalah orang yang amat dikasihi Allah, takut kita tidak sempat meminta maaf darinya dan dosa itu terus dibawa hinggga ke akhirat
8. Hormati hak Muslim lain terutama guru kita dengan tidak meberi penghinaan yang menjatuhkan maruah mereka di depan umum.
9. Jangan gadaikan nilai keperibadian sebagai mahasiswa UIA yang berhemah tinggi , intelektual dan Islamik semata-mata untuk meraih kemenangan kumpulan sendiri.
10. Berpolitiklah dengan matang dan rasional tanpa emosi yang keterlaluan
11. Kalau memang ada kesilapan yang tidak disengajakan, apalah salahnya kita memaafkan dan membantu membaiki keadaan bukan merosakkannya lagi.
12. Kalau kita tidak mampu menghormati saudara seIslam yang lain bagaimana mungkin orang lain menghormati agama kita.
13. Letakkan misi ummatik di atas kepentingan peribadi atau kepentingan kumpulan.
Ingatlah, apalah gunanya kemenangan kalau nama baik mahasiswa UIA dikotori oleh sikap kutuk-mengutuk dan fitnah-menfitnah.
PRK hanyalah satu privilege untuk mahasiswa untuk mengasah bakat berpolitik dengan cara yang bijaksana dan beradab agar kemahiran itu dapat digunakan nanti di medan politik sebenar.
Kenyataannya, yang menang tidak dapat apa-apa kuasa pun dan yang kalah bukan bererti tidak dapat kuasa bersuara. Kenapalah kita sanggup bergaduh sesama sendiri.
Cukuplah perpecahan ummah yang ada. Biarlah UIA yang menunjukkan model kesatuan ummah bukan perpecahan. Model politik mahasiswa yang matang bukan politik caci-mencaci.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai