Hatinya bukan milik keluarga lagi..


posted by Martinelli Hashim

2 comments


sewaktu hatinya masih milik bonda

"Tak seronok duduk rumah.....mak dengan ayah tak faham. Lepak dengan kawan lagi best."

"Mak asyik membebel. Ayah sibuk kerja. Balik rumah marah-marah.....ughhh tensyenlah."

Luahan biasa anak-anak muda tentang keluarga mereka.

Dalam program RESILIA (remaja suci dari zina dan mulia dalam agama) anjuran CENSERVE hujung minggu lepas, rata-rata remaja mengatakan faktor ibubapa merupakan punca remaja terlibat dalam gejala sosial remaja. .....satu signal kepada kita yang punya anak remaja untuk mencari kembali hati dan jiwa anak yang semakin menjauh.

Tidak ada siapa yang sanggup kehilangan anak. Kehilangan adik Sharlinei yang tidak ditemui sampai sekarang menghiris hati seluruh rakyat Malaysia. 

Tetapi tanpa kita sedari anak-anak remaja yang ada di depan mata kita setiap hari mungkin hanya jasad mereka saja yang bersama kita sedangkan hati, perasaan dan jiwa mereka entah di mana. Kita kehilangan hati anak-anak kerana mereka sudah memberikan hati mereka kepada orang lain. Perasaan mereka bukan lagi untuk kita tetapi untuk orang lain yang begitu asing cara hidupnya dengan kita. Senyum mereka juga untuk orang lain dan yang ditinggalkan untuk kita tatap seharian hanyalah wajah mereka yang mencuka. 

Jiwa berkeluarga begitu gersang dan mereka tidak lagi merasa bahagia bersama ibubapa dan adik-beradik sendiri. Gelak ketawa bertukar menjadi rungutan yang menyakitkan telinga. Rumah menjadi tempat yang paling membosankan. Wajah ibu dan bapa menjadi wajah yang paling dibenci. Suara ibubapa tenggelam dalam bentakan suara mereka.

Darah daging yang pernah ditatang bagai menatang minyak penuh kini menjadi begitu asing. Cara hidup mereka begitu jauh dari yang diharapkan. Rakan-rakan mereka menguasai seluruh pemikiran si anak.

Kita cuba mencari punca di mana silapnya. Amat sering kita mengatakan yang kita sudah melakukan segalanya tetapi anak tidak berterima kasih.

Anak-anak kita melalui proses kekosongan jiwa. Mereka kehilangan

1. Jiwa bertuhan
2. Jiwa berkeluarga
3. Jiwa bermasyarakat
4. Jiwa berwatan
5. Jiwa mandiri

Secara tabi'i sesuatu yang kosong tidak akan dibiarkan kosong dan akan diisi oleh sesuatu samada diingini atau tidak. 

Jiwa bertuhan diisi dengan bermaksiat. Jiwa berkeluarga diisi dengan berpoya bersama rakan. Jiwa bermasyarakat diisi dengan menghadap internet. Jiwa berwatan diisi dengan vandalisma dan jiwa mandiri diisi dengan kehidupan mencuri harta orang.

Di dalam kotak fikiran mereka bukan lagi Allah tempat bergantung, bukan keluarga tempat bermanja, bukan ada masyarakat untuk bergaul, bukan ada negara untuk dilindungi maka hiduplah mereka dengan dunia khayalan yang tiada kesudahan.

Ibubapa tidak lagi mendengar keluhan hati mereka maka orang lainlah yang mendengar. Ibubapa tidak lagi memeluk anak mereka maka orang lainlah yang memeluk mereka. Pelukan pasangan yang lebih hangat dapat melupakan pelukan ibu yang lebih menyamankan jiwa.

Semakin dipanggil, semakin jauh mereka pergi. Mampukah kita menariknya kembali? InsyaAllah kita mampu. Allah sudah mengatakan doa ibubapa itu amat mustajab selagi kita tawaqal kepadaNya.

Ibubapalah orang terbaik untuk menyelamatkan anak sendiri. Usah putus asa. Dekatilah Allah, insyaAllah anak akan mendekati kita. Bantu orang lain apabila ada peluang, InsyaAllah, Allah akan membantu kita apabila kita memerlukan. Bantu anak orang lain yang memerlukan, InsyaAllah akan ada orang membantu anak kita apabila ia memerlukan.

2 comments

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai