Syukur yang setinggi-tingginya buat Allah yang Maha Agung. Buat kesekian kalinya dibangkitkan dari tidur menghirup udara nyaman, rahmat Allah yang Maha Pengasih...... kasih yang begitu indah, tidak terukir oleh kata-kata.
Dalam takut menghadapi hari yang belum tentu apa akan ditemui, hati mencari pautan kukuh dari Pencipta Yang Maha Agung. Kaki gementar memijak bumi Allah....tanpa bantuanMu ya Allah, bumi yang dipijak bisa saja bergoncang, angin yang bertiup bisa saja menjadi badai dan kita tidak mungkin mampu menyelamatkan diri.
Hari ini, seperti hari-hari yang lalu, bakal menemukan berbagai jenis manusia. Hari ini juga tidak menjanjikan perjalanan hidup yang mudah atau terselamat dari fitnah dunia. Hari-hari semalam sudah menyaksikan, dalam ribuan manusia yang berjiwa mulia, ada saja mereka yang hatinya penuh kudis, yang tamak, yang menindas, yang menipu dan tidak punya rasa untuk menjaga kepentingan saudara seagama. Mereka lupa setiap apa yang dilakukan akan ada balasannya nanti.
Iman yang sudah sedia lemah ini boleh saja tercalar, taqwa yang longgar ini boleh saja tergugat kerana di sekeliling diri ini ada jutaan iblis yang tidak berputus asa menggoda agar kita hilang sabar. Di dalam diri ada saja nafsu dunia yang bukan mudah untuk dilentur.
Sang akal berkata, "Apapun keadaan, hidup perlu diteruskan sebaik-baiknya."
Sayup-sayup di sudut hati seolah-olah ada suara membisikkan, "Kamu mungkin tidak mampu merubah keadaan tetapi kamu mampu merubah cara berfikir dan bertindak. Lihatlah dengan mata hati dan bertindaklah dengan jiwa yang kudus."
- Apabila ada orang menyakiti hati kamu, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya kamu masih hidup di kelilingi manusia, bukan binatang buas.
- Apabila ada rakan yang membenci kamu , bersyukurlah kerana masih ada orang yang sedar kehadiran kamu . Kamu tidak akan mampu hidup di dunia ini tanpa teman.
- Apabila ada rakan menghina kamu dengan kata-kata yang pedas, bersyukurlah kerana kamu masih ada telinga untuk mendengar.
- Apabila ada orang merampas apa yang kamu miliki, bersyukurlah kerana kamu pernah dianugerahkan Allah untuk memilikinya walau hanya sementara.
- Apabila sahabat yang kamu percayai menikam dari belakang, bersyukurlah kerana dia hanya menikam dengan kata-kata bukan peluru seperti di Gaza dan kamu masih mampu bernafas dengan udara segar.
- Apabila kasih sayang kamu tidak dibalas, bersyukurlah sekurang-kurangnya kamu ada perasaan kasih-sayang kurniaan Yang Maha Penyayang.
- Apabila kamu mula rasa benci dengan seseorang, tahanlah tangan dan lidah dari menyakitinya kerana kamu tidak tahu mungkin orang yang kamu benci itu adalah kekasih Allah.
- Apabila kamu sudah penat berusaha memenangi hati rakan-rakan, bertafakurlah sejenak, mungkin saja kamu sudah terlebih menjaga hati manusia sehingga mengurangi perhatianmu dari menjaga perintah Allah.
Temuilah manusia dan sampaikan risalah Allah. Apabila bertemu dengan saudara seIslam lakukanlah 3 perkara:
- Beri perhatian kepada apa yang dikatakannya
- Muliakan dia sebaik-baiknya
- Hargai dia sewajarnya
Kita tidak layak membenci saudara se Islam kerana kita dicipta oleh Yang Maha Penyayang. Antara benci dan sayang tidak mungkin ditemui titik pertemuan.
Sahabat yang soleh amat tinggi nilainya |
Katakanlah, "Ana uhibbukum fillah.....saya menyayangi kalian kerana Allah."
"Apabila kamu sudah penat berusaha memenangi hati rakan-rakan, bertafakurlah sejenak, mungkin saja kamu lupa menjaga Allah lebih dari menjaga hati manusia".. muhasabah diri bila membaca ayat ni ibu. Malu rasanya bilamana diri asyik ingin menjaga hati kawan sedangkan amalan yg bakal dibawa kelak tidak seberapa mana. Syukran ibu ingtkan anak ibu yang lalai ini.
Subhanallah! Peringatan yang indah lagi bermakna. Terima kasih Kak Nelly...