Kampung Susu dan Pelajar UIA


posted by Martinelli Hashim

No comments


"Maaf, van ni tak boleh masuk." Kata Imam, pemandu van UIA yang membawa kami sejak jam 6 pagi menuju Kampung Susu, Cameron Highlands sebuah penempatan Orang Asli. Beliau melihat jalan tanah berlopak yang curam menuruni bukit. Nun di sebalik bukit kelihatan bumbung beberapa rumah masyarakat Temiang. Jali mengetuai perjalanan ini. Fad, Qasim dan Lotfi adalah peneman yang setia ikut bersama.


Van ditinggalkan di tepi Lebuhraya. Kami menyusuri jalan yang tidak sempurna itu menuruni lembah dan naik bukit dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang1km. Syukurlah kaki ini masih mampu melangkah walaupun semalam sudah digunakan untuk menyertai acara Larian Ummatik di UIA.


Bayangkanlah bagaimana dua hari lepas seramai 60 pelajar-pelajar UIA dari Kelab COMRADE dan Kelab JASA  sampai di kampung ini  jam 9 malam membawa barang-barang makanan, tong gas, set generator, periuk besar dan peralatan memasak yang lain. Peralatan ini penting kerana untuk menarik Orang Asli mereka akan lebih seronok apabila ada makan-makan. Makanan dimasak sendiri oleh para pelajar dan mereka makan beramai-ramai dengan orang kampung.


Malam itu mereka berjalan dalam gelap gulita diselubungi kesejukan daerah Cameron Highlands. Set generator yang begitu berat itu di tarik beramai-ramai. Dalam perjalanan,  tiba-tiba terserempak dengan seorang anak muda Orang Asli yang mengenali mereka. Si anak muda itu terus memecut motornya dan menjerit memberitahu orang kampung, "UIA datang...UIA datang...cepat, cepat tolong!!!!"


Mendengar jeritan anak muda itu maka berbondong-bondonglah orang kampung datang menyambut mereka dan menolong mengangkat barang-barang. Mereka cukup gembira dengan kehadiran anak-anak UIA yang sebahagiannya sudah menjadikan Kg. Susu sebagai kampung kedua masing-masing.


Penat berjalan hilang sebaik saja sampai di Kampung Susu. Banyak aktiviti yang berjaya dilaksanakan untuk orang kampung dan kanak-kanak. Pokoknya  mesej daawah sampai dengan pendekatan yang begitu santai.


Cerita dari Jali, salah seoarang aktivist tegar Kelab COMRADE, beberapa tahun lepas dia dan kawan-kawannya termasuk pelajar luar negara pernah membawa beberapa ekor lembu korban  ke kampung ini. Mereka menaiki lori yang membawa lembu dari Jeli, Kelantan. Sampai di Kg. Susu sudah malam. Pada awal perjalanan mereka mengheret lembu, tetapi semasa menuruni bukit lembu yang mengheret mereka. 


"Lembu ada 4 kaki, bolehlah jalan steady. Kita cuma 2 kaki, gelap pula tu......bagi lembu yang garang kita minta budak foreigner yang biasa jaga lembu di negara mereka untuk bawa..... pengalaman yang sangat mencabar, tapi kenangan itu yang paling manis." kata Jali bernostalgia.


Mereka mengadakan solat Aidil Adha di Kg. Susu atas tanah beralaskan tikar. Khatib berdiri atas batu besar. Mereka sama-sama menyembelih lembu. Orang kampung begitu gembira dan sehingga kini tautan hati mereka dengan penduduk Kg. Susu sangat kuat.


Kampung Susu sudah menjadi kampung angkat CENSERVE melalui kelab COMRADE sejak beberapa tahun yang lalu. Penduduknya hanya 53 keluarga. Semuanya, alhamdulillah sudah memeluk Islam. Kata Tok Batin, kampung ini akan dijadikan empangan dan mereka akan dipindahkan ke tempat lain dan dijanjikan dengan rumah batu serta pampasan terhadap kehilangan pokok buah-buahan yang jadi punca rezeki mereka.


Kampung Susu, sebuah kampung yang bersih. Dinding rumah dibuat dari buluh dan bumbung dari jerami. Halamannya sangat bersih, tiada sampah bertaburan. Orang bandar patut malu dengan masyarakat ini. Mereka hidup sihat tanpa pencemaran udara. Mereka hidup tenang kerana tiada hutang yang menggusarkan kepala seperti kita.


Kehadiran anak-anak muda UIA merupakan sumbangan kecil untuk menguatkan aqidah mereka kepada Allah. Anak-anak muda ini adalah pendaawah yang sanggup mengharungi pelbagai kesulitan demi menyahut panggilan agama. Alhamdulillah, sebanyak 17 kampung yang dijadikan kampung angkat mereka, sebagai penanda bahawa pelajar UIA mampu memenuhi tanggungjawab ummatik Universiti tercinta ini. Mereka adalah 'THE UNSUNG HEROES'. 


Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai