Showing posts with label UMMATIC. Show all posts

Menjejaki Mujahid Tulin dari Taman Ilmu dan Budi


posted by Martinelli Hashim on

1 comment

pic from this blog 


Terharu saya membaca beberapa tulisan dalam blog bekas2 pelajar UIA tentang kerinduan mereka terhadap universiti tercinta ini. Contohnya blog ini dan ratusan blog lain.

Semasa berjalan di kota Istanbul, saya bertemu beberapa bekas pelajar UIA dari Turkey yang menyatakan kerinduan mereka juga kepada kampus ini.

Bagi sebahagian besar pelajar-pelajar kenangan kehidupan di kampus adalah amat bermakna membantu mencorakkan pemikiran mereka tentang tanggungjawab ummatik. Mereka menempuh jalan mujahid  yang meletakkan kepentingan peribadi di belakang kepentingan ummah. Allah di depan segala yang lain.

Ada yang sanggup menolak jawatan yang lebih tinggi gajinya di luar sana demi untuk menginfakkan masa meneruskan perjuangan di gelanggang ini…mujahid yang sentiasa merindui jalan jihad demi agama tercinta.

Seorang mujahid tulin akan merasa resah apabila terhenti aktiviti da’wah. Walau di mana mereka berada, walau sesempit mana masa yang ada, walau sekosong mana saku dengan ringgit, walau sesusah mana kehidupan, bakti untuk membawa risalah Allah tidak akan dibiarkan terhenti. Berhenti berda’wah seolah-olah terhenti nadi mereka dari berdenyut. Jiwa mereka tidak tenang. Itulah mujahid tulin yang rindu mereka kepada perjuangan tidak memungkinkan mereka mencari alalsan utuk berdiam diri. Mereka tidak lena diulik kesenangan dunia.

Memang ramai yang berjiwa begitu. Ramai juga yang ingin meneruskan kegiatan seperti dulu tetapi tidak mampu melakukannya. Di antara cabarannya adalah seperti:



- Suasana kerja yang tidak memberi ruang waktu.

- Suasana hidup berkeluarga yang menuntut perhatian.

- Kehidupan sosial yang baru menuntut perubahan cara bergaul.

- Teman-teman perjuangan sudah jauh, tiada lagi usrah, tiada lagi tazkirah untuk mengingatkan  
   diri.

- Tuntutan kewangan yang  tiada hentinya.

- Tidak mampu menguruskan masa dengan baik.

- Kemalasan yang tidak terubat.


Kesemua itu adalah cabaran dilalui oleh setiap  graduan selepas melangkahkan kaki ke luar dari kampus. Selama 4 hingga 6 tahun melalui tarbiyyah penyucian minda agar mereka keluar membawa obor penerang ummah. Kalau obor yang dibawa tidak cukup terang buat menerangi alam, sekurang-kurangnya ia sudah cukup terang untuk menerangi perjalanan diri sendiri, perjalanan hidup luhur berpanjikan shari'at.

Berbekalkan semangat itu  ramai yang masih meneruskan jejak da'wah. Mereka adalah mujahid tulin dari Taman Ilmu dan Budi. Sesekali mereka akan singgah buat mengisi kerinduan kepada tempat mereka pernah dididik membantu adik-adik yang masih di sini.

Bagi yang tidak punya masa berda'wah masih ada peluang membantu jalan da'wah melalui sumbangan lain terutama kewangan. Universiti bersusah payah mencari dana membiayai perbelanjaan buat menggerakkan operasinya menggilap minda dan jiwa pelajar. 

Berapa ramai yang tahu sebenarnya yuran yang dibayar oleh pelajar hanya mampu membiayai 7% dari seluruh perbelajaan universiti setiap tahun  Sebanyak 93% lagi perlu dicari agar operasi universiti tidak terhenti.

Berapa ramai yang tahu kesusahan yang terpaksa ditempuh oleh pentadbiran universiti mencari dana yang semakin berkurangan kini. Peruntukan bajet dipotong sedangkan  kos pengurusan semakin  meningkat.

Semuanya dilakukan untuk meneruskan perjuangan mendidik bakal pemimpin ummah. Hanya sebahagian yang tahu tentang tanggungjawab ummatik ini kerana tidak semua manusia mampu menjiwai hidayah Allah. Tidak semua yang mensyukuri nikmat dididik di sini. Mereka yang mensyukurinya akan merasa rindu.  Mereka yang sangat rindu akan meneruskan tekad tidak akan berhenti berjuang walau sekadar menyumbang idea atau seringgit dua ke dalam tabung masjid UIA. Mereka juga adalah mujahid tulin dari Taman Ilmu dan Budi.

Teringat kata-kata Datuk Seri Rektor, Prof Syed sewaktu membincangkan kesempitan kewangan universiti, “I wonder why our alumni do not have the feelings to contribute back to the University. I know they love the university...but they don't show it through contributions. There are thousands of them out there. What can we do to have alumni  like those from Havard or other western universities. Their universities are well supported financially by their alumni.”

Memang benar, tidak mudah menjadi mujahid pembawa obor ummah....ia memerlukan pengorbanan. Dalam banyak-banyak pengorbanan, pengorbanan wang ringgitlah yang paling susah terutama di kalangan orang Melayu. Sebahagian besar orang Melayu selalunya akan mempersoalkan secara sangat terperinci sebelum memberi sumbangan walau sumbangan itu tidak sebesar mana pun. Suatu yang berbeza dengan kaum lain. Akhirnya peluang mengumpulkan pahala bersedekah terlepas begitu saja.

Kalau setiap alumni menginfakkan 1% pendapatan mereka kepada UIA, kita  tidak perlu lagi menagih dana dari pemerintah dan kita akan punya autonomi sendiri……… namun siapa yang sanggup melakukan jihad yang ini, jihad wang ringgit lebih berat dari jihad masa walaupun hanya RM10 sebulan i.e tidak sampai 50sen sehari.




IMAM MUDA HASSAN ADLI DAN KISAH UIA


posted by Martinelli Hashim on

11 comments

Inilah mak  inilah juga abah saya, kata IM Hassan


Sudah beberapa hari membincangkan apa  yang terbaik untuk meningkatkan kualiti  pelajar. Semua orang mahu agar yang dihasilkan oleh UIA adalah manusia yang berperibadi unggul dan beragama sepenuhnya. Bukan mudah melaksana amanah. Memerah otak bukan semudah memerah santan kelapa. Perbincangan demi perbincangan dibuat. Hati membara mencapai misi ummah. Sudah terlalu sedikit waktu untuk diri sendiri.

Malam tadi duduk bersama anak-anak menonton acara kemuncak Imam Muda.  Program yang amat sesuai untuk semua namun tidak seramai peminat AF atau mentor atau Maharaja Lawak. Tidak ramai pun yang tahu bahawa malam tadi adalah final Imam Muda. Tetapi semasa final Akademi Fantasia  bandar-bandar dan kampung-kampung seluruh negara lengang seperti dilanda garuda kerana jutaan manusia sedang terpacak di depan tv.  Ribuan program merosakkan minda  tetapi rancangan Imam Muda bangkit menorobos kegersangan moral anak muda.

Saya mengikuti program realiti ini sejak dulu. Semasa peringkat awal audition, saya memujuk  anak-anak didik saya menyertainya kerana saya merasakan mereka punya potensi besar untuk menang. Terasa agak kecewa juga apabila tidak ada anak didik saya di UIA ini yang berjaya saya pujuk.

Namun malam tadi ....... seribu kesyukuran, Imam Muda Hassan Adli Yahya, graduan UIA yang  aktif semasa belajar dulu dinobatkan  sebagai Imam Muda Unggul 2011. Beliau lulusan Ijazah Srjana Muda Ilmu Wahyu dalam bidang Qur'an dan Hadith di UIA . Kini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa, anak syarikat UIA.

Betapa bangganya teman-teman beliau dengan kejayaan ini. Namun wajahnya hanya tersenyum dan meyatakan kejayaan itu untuk "Mak dan arwah ayah ."


Beliau menang dalam masa orang mempertikaikan mutu pelajar UIA. Beliau berdiri sebagai wira yang menjadi kebanggaan keluarga, kampung,  sekolah dan mereka yang menyayanginya. Beliau berhasil membawa kejayaan menyejukkan hati masyarakat UIA. Sudah berapa lama kita merasa resah dengan kemasukan pelajar-pelajar yang nakal dan tidak sempurna syakhsiah ke UIA dan memburukkan imej ke Islaman universiti tercinta ini.


Mesra bersama anak yatim kerana Hassan pun anak yatim juga
Beliau dinobatkan sebagai insan berpeibadi unggul dalam waktu beberapa kalangan menuduh pelajar UIA tidak bermoral.

Saya rasakan adalah tidak adil menuduh UIA gagal mendidik pelajar. Mereka yang masuk itu dipilih oleh UPU secara rambang. Adakalanya bukan pilihan calon pun. Sebelum ke universiti mereka sudah melalui 11 tahun alam persekolahan. Kalau 11 tahun pertama semasa jiwa masih lagi lembut melalui pendidikan tetapi masih gagal mendidik moral, bagaimana mungkin UIA mampu merubah mereka dengan mudah.  pada waktu jiwa mereka sudah pun keras  sewaktu memasuki UIA.

Kalau ibu bapa sendiri tidak mampu menegur, bagaimana mungkin guru yang asing boleh menundukkan mereka dengan mudah. Sedangkan guru yang mendidik pun tidak dihormati, mana mungkin mereka boleh hormat kepada pengawal keselamatan.

Lancar memberi tazkirah kerana sudah biasa di UIA dulu

Apabila isu pelajar nakal timbul, pentadbiran UIA dituduh tidak menjalankan tugas mengatasi isu moral di kalangan pelajar. Menuduh orang lain adalah suatu yang amat mudah untuk dilakukan tetapi bagaimana pula dengan tugas kita sebagai orang Islam untuk melakukan sesuatu bagi memperbaikinya?

Kalaulah UIA boleh memilih hanya orang seperti Imam Muda Hassan diterima belajar di UIA sudah tentu isu menuduh UIA tidak timbul. Realitinya tidak begitu. UIA tidak diberi kuasa memilih calon pelajarnya seperti tahun-tahun awal penubuhannya. Kalau UIA hanya menerima yang baik saja, yang tidak baik apakah mungkin dibiarkan begitu saja? Tidak sempurnalah da'awah kita kalau begitu.

Usah kita lupa tugas universiti adalah untuk mendidik pelajar termasuklah mereka yang kurang  baik akhlak mereka. Siapa saja yang masuk akan dididik sebaiknya. Pelajar yang nakal cuba diinsafkan dan yang baik dibaikkan lagi. Terpulanglah kepada mereka berfikir kerana usia 20an itu bukan anak-anak lagi. Mereka yang masuk itu bukanlah bayi kecil seputih kain putih yang mudah untuk dicorakkan mengikut corak yang kita mahu.

Kalau dizaman persekolahan pun sudah berani mencabar guru, apa lagi dalam usia dewasa, mana ada lagi rasa takut kepada pensyarah, jauh sekali kepada pentadbir atau pengawal yang mereka rasa sangat rendah statusnya.

Ilmu perlu dicari bukan menunggu untuk disuap. Murid menghadap guru dengan bersungguh-sungguh dan penuh hormat. Murid perlu berhati-hati agar tidak memburuk-burukkan mereka di belakang, takut pahala mencari ilmu hilang dan dosa yang dapat. Usah menyalahkan guru tidak mengajar dengan betul. Kalau mungkin ada guru yang kurang betul sudah tentu masih ada yang  betul. Kalau ada kakitangan yang tidak betul,  masih ada yang betul. Tanyalah pula apa peranan kita membantu mereka membetulkannya agar menjadi betul selain dari mengkritik dari jauh. Sekurang-kurangnya bacalah seayat doa buat mereka agar diberi hidayah memikul amanah sebaik-baiknya. Pernahkah kita melakukannya demi universiri tercinta ini?

Sebagai orang yang turut terlibat membincangkan strategi univerisiti menangani isu moral pelajar, saya dapat merasakan besarnya cabaran dan beratnya amanah. Namun demi untuk mencapai misi UIA menghasilkan anak muda penyelamat ummah, sepahit mana ujian, seberat mana tanggungjawab, usaha tetap diteruskan.

Semoga kemenangan Imam Muda Hassan menjadi pemangkin untuk anak muda lain untuk terus mengangkat martabat ummah.

ARTIKEL LAIN:

Kebenaran Ini

Kita yang diancam dosa.


posted by Martinelli Hashim on

1 comment



Saya mendengar dari ustaz tentang bicara zina, fitnah dan tuduhan yang sedang meluas ketika ini. Sebagai seorang Islam, saya perlu kongsikannya.

Katanya ….Berhatilah2 dengan ancaman Allah. Ingatlah orang yang membuat fitnah, membuka aib org lain atau membantu menyebarkannya tempatnya adalah dalam neraka dan dia akan kekal di neraka itu. Kalau orang itu tidak melakukan zina bermakna kita sudah melakukan dosa membuat fitnah.

Kalau memamng benar dia lakukan zina pun kita sudah melakukan dosa mengaibkan saudara seagama. Tak kiralah dia pemimpin atau rakyat biasa, dosa atas kita tetap sama.  Ingatlah dosa ke atas kita tetap sama.

Kalau sekiranya nanti dia sudah disahkan tidak melakukan zina itu, mampukah  kita memberitahu kepada setiap orang yang sudah kita sampaikan fitnah itu dan orang lain yang mereka sampaikan pula dan semua rantaian manusia lain yang mendengarnya?

Mampukah kita, sempatkah kita minta maaf padanya sebelum nyawa kita atau nyawa dia dicabut nanti? Kalau tidak sempat, tempat kita adalah neraka dan Allah tidak akan mengampunkan dosa kita ke atas sesama  manusia selagi orang yang kita tuduh itu tidak memaafkan kita. Na’uzubillah. 

Samada dia melakukan atau pun tidak kita tetap berdosa menuduh atau membicarakan aibnya secara terbuka. Itu adalah ghibbah.

Sdr., taubat nasuha sekalipun tidak akan boleh membersihkan dosa kita  itu !!
Janganlah disebabkan kebencian kita kpd seseorang itu kita akhirnya terjerumus ke dalam kebencian Allah. Kita tidak tahu sekiranya orang yang kita benci itu mungkin saja kesayangan Allah. Siapa kita untuk membenci  kekasih Allah?

Kalaupun dia bukan kekasih Allah, kita masih haram membenci  dan tuduh-menuduh sesama Islam. Kita hanya ada hak untuk memberi peringatan dan bukan menghukum.

Kalaupun ingin mencari kebenaran, carilah dengan kaedah yang sudah dijelaskan dalam agama, secara berhikmah, ilmiah dan tawadhu’ bukan rendah-merendahkan, sindir-menyindir sesama saudara seagama. Kebenaran tidak mungkin tertutup selamanya sebagaimana kepalsuan tidak mungkin diselindungi  sampai bila-bila.

Janganlah mempermainkan agama Allah, berat padahnya nanti. Bukankah Allah melarang kita menuduh sesuatu yang belum pasti.? Perbincangan zina hanyalah dalam mahkamah yang tertutup bagi memelihara agama dan ummat Islam bukan di depan umum atau di facebook.. Biarlah hakim dan mahkamah yang membicarakannya, bukan kita.

Apabila fitnah sudah berleluasa di kalangan masyarakat, hukum Allah dipersenda, nasihat ulama' diketepikan maka tunggulah bala' Allah yang akan turun tanpa disangka-sangka. 

Sekadar renungan dalam mengahadapi teman-teman yang berbicara tentang isu politik semasa yang membuat saya terasa ngeri. Selamatkanlah saudara seagama kita dari dosa yang tidak ada ampunan ini.

Mengambil ajaran dari hadith, "Sampaikanlah walupun satu ayat"