Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saya Pilih Awak Sebagai Suri Hidup Saya


posted by Martinelli Hashim on

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 


“Saya pilih awak sebab saya rasakan awak adalah gadis yang terbaik untuk  menjadi suri dalam hidup saya dan ibu kepada bakal zuriat saya. Saya mahukan seorang isteri  seperti  Siti Khadijah. Saya mahu  awak menjadi ibu yang berjaya mendidik anak-anak saya nanti.”

Ayat biasa yang digunakan oleh lelaki semasa mengayat bakal isterinya. Gadis mana yang tidak bahagia dipuji begitu apalagi yang berkata adalah pemuda idamannya.

Mungkin saja dia akan menjawab, “Kalau saya seperti  Siti Khadijah, mampukah awak penyayang seperti Rasulullah saw? Kalau saya mendidik anak, mampukah awak memimpin saya menjadi isteri yang solehah?”

Apakah yang kita lakukan semasa memilih pasangan hidup? Apakah  yang kita lakukan setelah kita menerimanya ? Yang paling penting, apakah yang kita lakukan untuk menjadi pasangan yang baik di mata Allah untuk orang yang kita pilih itu? 


Firman Allah kepada kita:
 Wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita yang keji. Sedangkan wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita yang baik..........". [Surah al-Nur, ayat 26] ۚ
Setelah kasih terbina sudahkah kita memastikan sekurang-kurangnya 4  batas terjaga agar nanti doa kita tidak terhadang untuk sampai kepada Yang Maha Pemberi?

  1. 1.     Batas aurat
  2. 2.     Batas pergaulan
  3. 3.     Batas masa
  4. 4.     Batas bicara

Batas-batas ini pendinding dosa, pelindung jiwa, pengukuh hati kepada Ilahi. Melanggar batas-batas ini akan membawa kepada tercabutnya barakah dan jauhnya redho Allah. Bagaimana mungkin bahagia akan dikecap tanpa barakah dan redho dari Yang Maha Esa?


MEMPERBAIKI DIRI MENCAPAI IMPIAN


Impian indah.... tetapi pernahkah kita merangka strategi  untuk menjadikannya suatu realiti. 


Apakah setiap pertemuan dengan si dia adalah pertemuan kerana Allah agar perpisahan nanti jugalah adalah perpisahan kerana Allah.Di antara peretemuan dan perpisahan di manakah kita letakkan Allah?


Apakah setiap kata-kata kepada kekasih  telah ditapis oleh akal dan budi yang terpimpin oleh syar'ie agar ia terlepas dari dosa?  Ingatlah, yang paling ramai di dalam neraka nanti adalah mereka yang tidak menjaga lidahnya

Sekurang-kurangnya ada 7 proses yang perlu kita lakukan untuk mencapai impian menjadi insan yang baik.

  1. 1.     Meneroka
  2. 2.     Memerhati
  3. 3.     Memahami
  4. 4.     menilai
  5. 5.     Memilh
  6. 6.     Mengaplikasi
  7. 7.     Meletakkan sabar dan tawakal atas segala usaha


Meneroka
Perancangan tidak akan sempurna tanpa maklumat dan ilmu yang cukup. Ilham dan ilmu tidak mungkin datang begitu saja tanpa kita meneroka dan mencarinya. Terokalah kehidupan dengan cara yang baik demi mendapat ilmu dan maklumat untuk digunakan bagi mencapai impian. Alam yang luas terbentang penuh dengan pengajaran. Teroka dengan nama Allah agar ilmu yang ditemui adalah ilmu yang benar.

Memerhati
 Perhatikanlah apa yang ditemui  dengan persiapan hati yang bersih, mata yang tajam dan telinga yang sedia mendengar. Adakalanya kita terpaksa mendengar kata-kata yang memedihkan telinga dan melukakan hati, namun teruskanlah memerhati. Perhatikan dengan nama Allah agar penglihatan kita tidak dikaburi oleh kesesatan.

Memahami
Fahamilah rahsia disebalik sesuatu kejadian. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia untuk makhlukNya. 

Menilai
Hebatnya akal manusia adalah kerana kita mempunyai akal yang tajam  untuk menilai apa yang dilihat, didengar dan dirasa. Nilai sesuatu itu dengan adil dan saksama kerana adil sesaat itu lebih baik dari tahjjud sepanjang malam.

Memilih
Hati yang bersih menjana akal untuk membezakan yang baik dan yang buruk bagi dirinya lalu memilih yang mana yang perlu diambil  sebagai pengajaran  dan yang mana perlu dibuang dan dijauhkan sebagai I’tibar.( to learn and to unlearn) Letakkan Allah di depan agar pilihan kita adalah pilihan yang terbaik dan diredhoi.

Mengaplikasi
Sesuatu pengajaran akan hilang begitu saja tanpa dipraktikkan segera. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Meletakkan sabar dan tawakal atas segalanya
Inilah proses yang paling susah untuk dilaksanakan oleh mereka yang bercinta dan lebih mencabar lagi buat suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga. Sabar dan tawakal itu kunci ke syurga. Tidak mungkin iblis gembira kalau kita memilikinya. Berbicaralah dengan Allah dengan zikir dan istghfar agar kita mampu memegangnya dengan erat.

Sebelum sah menjadi suami isteri... 
sabarkah kita menghindarkan diri dari zina mata, zina telinga dan zina hati apatah lagi zina sebenar?

Mampukah kita mengatakan tidak apabila dirayu oleh kekasih?

Setelah menjadi pasangan yang sah,

Sabarkah kita menghadapi realiti yang sangat jauh dari apa yang kita bayangkan sebelum ini?

Mampukah kita menahan segala keinginan yang tidak mampu kita miliki kini?

Sanggupkah kita bersabar dengan kekurangan yang ada pada pasangan kita?

Berapa kerapkah kita bersyukur kerana mendapat pasangan yang baik?

Berapa kerapkah pula kita bersungut dan berkeluh kesah dengan ujian yang menimpa?


Berapa kerapkah kita memohon ampun sehari-semalam?


Berapa kerapkah kita berselawat kepada junjungan Rasulullah s.a.w?


Senarai soalan ini akan semakin sepanjang kerana nikmat Allah itu tidak terhitung banyaknya dan dosa kita tidak terukur jumlahnya.

Komunikasi dengan anak


posted by Martinelli Hashim on ,

No comments


بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Sambungan dari entri sebelum ini...

Pada hari jadi ke 16 anak kedua saya, kami berdua berbual hingga larut malam. Perbualan antara ibu dan anak yang selalu terpisah kerana anak belajar di asrama. Kami sama2 menikmati kehadiran masing2. Waktu itu jam 2.00pagi dan semua ahli rumah sudah pun tidur. 

Anak inilah yang pernah membuat langkah saya terhenti kerana tangisannya apabila ditinggalkan untuk ke pejabat. Sudah lebih 3 jam kami berbual dari satu topik ke satu topik dan tidak ketinggalan topik tentang cinta remajanya. Pada topik terakhir saya bertanya, ” Angah tahu tak ibu selalu rasa bersalah tinggalkan anak setiap hari, kadang2 balik lambat, kadang2 outstation. Ibu rasa nak berhenti kerja.”

Jawapan dari sianak ”Ibu jangan berhenti. Apa yang ibu dah buat untuk anak2 ibu dah cukup perfect. Walaupun angah duduk di asrama, tapi ibulah yang paling banyak mempengaruhi angah, bukan cikgu, bukan sekolah dan bukan kawan2. Angah nak cari awek macam ibu?”

Semasa menghartarnya mendaftar diri di Matrik UIA, saya bertanya apa tekad dia bila dah masuk UIA, diterus menjawab dalam gurauan” Nak cari pengganti awek lama. Nak cari awek macam ibu.” Saya kata "Betulkan niat dulu."

Tiga hari kemudian dia menghantar sms “Mission accomplished. Angah dah jumpa, orangnya ” . Saya jawab, “Ingat! no dating, no touching, no coupling. Jaga batas syariat.”
Sekadar melayan kisah anak2 dan cinta2 monyetnya yang panjangnya pun biasanya cuma sepanjang ekor monyet juga.

Jika anda seorang ibu


Tahukah anda lebih 90% anak2 remaja Melayu merasakan mereka gagal berterus terang dengan ibu kerana ibu tidak mampu merobohkan jurang komunikasi dengan anak. Adakalanya kerana ego ibu yang merasakan mereka lebih faham tentang perasaan anak, anak menjadi mangsa tindakan terburu2 ibu yang tidak memberi kesempatan kepada anak untuk memberi pandangan.

Pernyataan ini bukan saja dibuat oleh anak2 remaja bermasalah, tetapi juga oleh remaja yang baik akhlaknya. Anak2 yang baik ini biasanya terpaksa memendam perasaan kerana takut ibunya marah dan tidak mahu digelar derhaka. Biasanya anak2 perempuanlah yang paling berat menanggung masalah ini. Dalam hati mereka merintih supaya ibu menjadi sahabat yang paling baik dalam hidupnya.

Syurga di bawah tapak kaki ibu amat dalam maknanya. Ibu yang solehah akan amat berhati2 dengan kuasa tapak kakinya. Kasih ibu melampaui alam dunia kerana dia bukan saja mahu anaknya bahagia di dunia tetapi lebih dari itu biarlah juga anaknya nanti selamat di akhirat. Senakal mana anak kita sewaktu kecil, dengan penuh gembira kita akan memaafkannya.

Apabila si anak besar dan apabila perkara yang menyinggung perasaan ibu, masihkah kita mampu bersabar dan berdoa, “Ya Allah, janganlah hukum anakku atas perbuatannya menyakiti hatiku sebentar tadi”.

Dalam dunia yang serba kelam-kabut ini ramai ibu yang suka melayan perasaan marah terhadap anak sehingga terlupa kemarahan itu bukan saja akan membawa anak ke neraka, malah sepanjang tempoh kemarahan itu, apa yang dilakukan anak akan terhindar dari redha Allah sehinggalah siibu dapat memaafkannya. Bayangkanlah kehidupan tanpa redha Allah, walaupun seminit seorang manusia beriman akan merasa resah gelisah. Apatah lagi sekiranya pertelingkahan antara anak dan ibu berpanjangan.

Saya pernah mendengar jawapan seorang ibu yang sedang sibuk didapur apabila ditanya kenapa dia tidak meminta anak –anak membantunya. Katanya ”Sengaja saya tidak tidak menyuruhnya takut kalau dia menolak, saya akan tersinggung dan takut nanti anak saya dicop oleh Allah sebagai anak derhaka.”

Apapun interpretasi orang tentang tindakan ibu itu, pokoknya, ibu itu amat berhati2 menjaga anaknya. Logiknya, masa anak kita kecil kita tersangat berhati2 menjaga keselamatannya, bila sudah besar tentulah kita mahu dia terus bahagia hingga ke akhirat.
Sebuah cerita rakyat Jepun yang boleh kita kongsi
Ada seorang ibu tua yang amat miskin dan lemah tinggal bersama anak lelakinya. Disebabkan terlalu miskin, sianak merasakan sudah tidak mampu menjaga ibunya kerana dia pun perlu bekerja untuk mencari makan. Dia memutuskan untuk membuang ibunya ke dalam hutan. 
Si ibu digendong dengan kain di belakang dan berjalanlah si pemuda menuju hutan. Sepanjang perjalanan si ibu memegang ranting kayu. Ranting itu dipatahkan kecil2 dan dicicirkan satu demi satu sepanjang perjalanan. 
Apabila sampai di tengah hutan si anak menurunkan ibunya dan memohon pengertian tentang niatnya hendak meninggalkan sang ibu di situ. 
Tanpa sebarang bantahan ibu menjawab ”Pulanglah, nak. Tinggalkanlah ibu di sini. Sepanjang perjalanan tadi ibu ada menjatuhkan ranting kayu yang ibu patah-patahkan. Ikutlah ranting2 itu supaya nanti kamu tidak sesat jalan pulang.” 
Si anak tergamam mendengar kata2 lembut ibunya, terus memeluk ibunya sambil menangis teresak2 menginsafi kesalahannya. Si ibu digendong semula dan dibawa pulang. Ia menjaga ibunya sampai ke akhir hayat.
Masa dan kesempatan membalas jasa ibubapa sebenarnya sangat pendek. Masa menikmati kemanjaan anak juga tidak lama. Kesempatan yang sedikit yang diberikan Allah gunakanlah semeksimanya agar tiada kesal dikemudian hari.

Pesanan yang biasa saya berikan kepada anak2 “Janganlah sakiti hati ibu kerana ibu takut hilang kemampuan untuk memaafkan kamu dengan segera.Kalaupun sekarang ibu dapat maafkan, tetapi tidak mustahil sewaktu ibu nazak nanti iblis akan memperlihatkan peristiwa kamu menyakiti ibu dan pada masa itu perasaan marah ibu datang kembali. Dalam keadaan tengah marah takut tiba2 nayawa ibu putus sebelum sempat memaafkan kamu. Tanpa maaf ibu seorang anak tidak akan mencium bau syurga.”

Ini adalah coretan terakhir saya sebelum bertolak ke Tanah Suci. Insya Allah saya akan pergi pada hari Khamis 14/5/2009.

Ya Allah, berkatilah mereka yang membaca coretan ini. Amin.

Kita umpama sebatang pensel


posted by Martinelli Hashim on

No comments


بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Kebelakangan ini kerap juga saya bertemu dengan bekas-bekas pelajar UIA yang sudah berjaya dalam karier masing-masing. Syabas, anakanda semua. Masih ramai yang mengingat 'ibu' dan menyatakan mereka membaca blog ini. Alhamdulillah, setakat ini graduan yang aktif cepat disambar majikan. Susah pula mencari yang belum mendapat tawaran kerja.


Sedikit catatan untuk anak-anak yang membaca entri ini.


Tahniah, berkat usaha gigih kalian semasa belajar di UIA membawa misiummatik yang suci ini telah dibalas dengan rezeki yang melimpah apabila Allah melembutkan hati majikan mengambil anda bekerja.
Kepada anakanda semua teruskan dengan pembinaan sifat sidiq, amanah, tabligh dan fathonah yang menjadi teras pembinaan insan. Jangan lupa diri, ibubapa, guru-guru dan mereka yang pernah berjasa mendidik kalian. 


Jadikanlah pengalaman dan pendidikan di UIA tempat yang pernah kalian bertapak satu ketika dulu sebagai pemangkin semangat meneruskan perjuangan memartabatkan ummat. Pada waktu-waktu anda berada di atas jangan lupa melihat ke bawah sekali-sekala kerana dibawah ini sangat banyak pengajaran tentang hidup.


Sebahagian kalian mungkin pernah mendengar pesan ibu melalui kisah si pensel yang berbunyi begini.....
Kita umpama sebatang pensel.
Pensel yang terbaik ialah apabila ia dapat meninggalkan bekas melalui tulisan yang berguna untuk dibaca oleh manusia. Bekas itu dihasilkan oleh isi pensel yang terang dan tidak mudah patah. Walau secantik manapun sebatang pensel itu, yang penting adalah isinya. Ia hanya boleh menghasilkan tulisan yang cantik apabila ia sentiasa tajam. Pensel akan hanya tajam apabila ia selalu diasah atau diraut dengan pisau yang tajam... ianya amat menyakitkan!! Pensel yang rupanya tidak sehebat mana, namun ia boleh menjadi lebih hebat dari pedang yang tajam. Pensel tidak pernah meminta untuk dipuja walaupun ia banyak berjasa. Namun yang paling penting ialahp pensel boleh berfungsi dengan baik hanya apabila ia berada dalam genggaman tuannya. 
Kita ibarat sebatang pensel. 
Insan yang baik adalah apabila ia meninggalkan bekas yang memberi faedah pada orang lain. Kita akan meninggalkan bekas yang baik di mana saja kita berada hanya apabila kita memiliki hati yang baik dan tidak mudah patah. Secantik manapun seseorang itu, yang penting hanyalah hatinya. Hati yang baik dan kukuh itu terbina dari proses kehidupan yang selalunya menyakitkan. Kehebatan kita tidak terletak pada wajah, tetapi kepada apa yang kita sumbangkan. Orang yang baik tidak mengharapkan dirinya dipuja. Namun yang paling penting ... letakkan dirimu sentiasa dalam genggaman tuanmu yang sebenar iaitu Allah swt.
Kisah ini biasanya ibu sampaikan kepada pelajar-pelajar yang mengunjungi ibu buat kali terakhir sebelum mereka meninggalkan UIA dipenghujung pengajian. Ibu sampaikan sebagai amanat yang mungkin berguna sepanjang penerokaan dunia kehidupan di luar sana.

"From IIUM To The Hearts of The Ummah"