Showing posts with label KELUARGA. Show all posts

Tiang yang roboh.


posted by Martinelli Hashim on

No comments


Dalam sibuk-sibuk menyiapkan makan malam, tiba-tiba Hasif, 6 tahun, datang meluru dari bilik. Dia  kelihatan cemas.


"Ibu macam mana ni? Tiang Hasif dah roboh?" Katanya sambil menggosok-gosok mata. Saya menyangka dia mengigau sebab tidur senja.


Saya cuba mencari penjelasan, "Tiang apa pula yang roboh ni?"


"Hasif berdosa. Hasif dah robohkan tiang Hasif. Hasif tak solat asar tadi. Hasif tertidur. Semalam Hasif dengar kat tv ustaz kata solat tu tiang agama. Siapa tak solat maknanya dah robohkan tiang agama. Nanti berdosa, masuk neraka." Jelas anak kecil ibu yang memang minat menonton ruangan agama di tv.


Saya tersenyum dalam syukur. Saya mendekatinya, memegang tangannya merendahkan badan  hampir sama tinggi dengannya  supaya sianak merasa selesa bercakap dan percakapannya dihargai.


"Oo ...Hasif takut berdosalah ye. Apa yang ustaz cakap tu maknanya solat tu sangat penting. Macam rumah, kalau  tiang rumah roboh, rumah ni robohlah. Tak boleh kita duduk lagi. Kalau sengaja kita robohkan, kitalah rugi, dah tak ada rumah untuk duduk. Orang lain dalam rumah mesti marah sebab ada orang yang sengaja robohkan rumah. Kita tak kan selamat hidup di luar. Kalau orang jahat atau ada binatang liar kita tak ada tempat nak selamatkan diri. Rumah yang buat kita terlindung. 


Kalau tiang agama roboh, kita tak ada agamalah lagi. Allah akan marah kita. Kita tak boleh hidup selamat . Agama yang buat kita terlindung sebab ada Allah melindungi kita.


Tapi Allah tak kejam. Allah tak mudah marah. Allah faham kita kalau kita ada masalah. Kalau kita tertinggal solat sebab tertidur, itu namanya tak sengaja. Allah sendiri akan tahankan supaya tiang agama kita tak roboh. Kita tidak berdosa sebab Allah maafkan perbuatan yang kita tak sengaja. Allah bagi pula pahala kalau kita minta ampun kat Tuhan. Kejap lagi qadho' solat Hasif yang tertinggal tu." Saya memberi penerangan untuk mententeramkannya.


Satu pengajaran yang saya dapati adalah, sedangkan rancangan tv yang baik pun  kita perlu sentiasa  bersedia memberi penjelasan kepada anak apatah lagi rancangan-rancangan tv yang lain yang tersasar dari nilai agama. Saya berbisik pada diri sendiri, sebagai ibu saya perlu ada:


1. kemahiran menyediakan suasana keluarga yang menggalakkan agar anak-anak  bertanya
2. kemahiran berhujah dengan anak


Sekarang Hasif, anak ke 4 saya,  jauh lebih tinggi dari ibu.  Dia yang terpaksa membongkok kalau bercakap dengan saya. Kami masih seperti dulu, seronok berbual tentang apa saja. Dari  topik tentang cerita silat, kawan-kawan se kuliyyah di UIA hinggalah cerita pokok-pokok di halaman rumah.

Nilai sebuah keluarga


posted by Martinelli Hashim on

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
"Saya tak pernah jumpa ibu bapa saya sebenar. Kata orang ayah saya meninggal semasa ibu saya mengandungkan saya. Selepas saya lahir, ibu pula meninggal. ." Cerita Aiman (bukan nama sebenar) semasa berbual dengan saya. Wajahnya agak sayu ketika itu. Mata yang mula berkaca cuba disembunyikan.

"Aiman anak yang hebat sebab itu Allah memilih Aiman untuk diberi ujian ini. Yakinlah Allah ada perancangan yang terbaik untuk Aiman. Hargailah hidup yang Allah sudah susun sebab dihujungnya nanti bergantung kepada bagaimana kita membawa kehidupan kita dari sekarang." Saya cuba menambah kata2 motivasi supaya dia lebih bersemangat mengambil peperiksaan PMR.

Pernah saya melihat Aiman duduk bersendirian di dewan sekolah sedangkan rakannya2 yang lain ada bersama ibubapa masing2 mengambil buku laporan sekolah. Dia hanya memandang ibubapa rakannya2 dari jauh berbaris menemui guru untuk melihat perkembangan anak masing2. Tuhan sajalah yang tahu rasa hiba yang mendalam di hatinya di saat2 seperti ini, saat yang memerlukan kehadiran ibubapa. .

 Aiman mempunyai seorang abang angkat yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Abang inilah yang menjadi pendengar setia apabila Aiman memerlukan. Sesekali saya bertemu Aiman dan kami menjadi mesra. Kalau dia nampak saya dari jauh dia akan datang  untuk menyapa.

Aiman mengingatkan saya pada Adi (bukan nama sebenar), anak Aceh, berumur 17 tahun yang tinggal sebatang kara kerana seluruh ahli keluarganya dihanyutkan tsunami.

"Waktu mama dulu hidup mama ada bilang dia menabung buat beli komputer buat Adi. Mama mahu Adi sukses belajar. Mama bikin apa saja asalkan Adi bisa belajar. Sekarang mama sudah tidak ada. Tabungan mama juga hanyut. Adi akan terus berusaha demi cita2 mama. Dulu ya Adi sering sedih. Tapi sekarang tidak apa2 lagi" Kata Adi suatu malam sewaktu kami sedang duduk2 di pangkin di depan asrama, tempat Adi dan rakan2 yang senasib dengannya tinggal.

Sewaktu kami membawa Adi dan rakannya2 berkelah di tepi pantai mereka mandi dengan gembira walaupun dihati kecil masing2 masih ada kenangan sedih bencana tsunami yang menelan orang tua mereka. Pada awal2 dahulu mereka cukup fobia dengan laut. Bagi mereka sekarang keluarga adalah keluarga besar dalam pesantren yang sudah tentu jauh berbeza dengan keluarga sendiri.

Kedua2 Aiman dan Adi adalah ramaja yang tidak punya pilihan lain kecuali meneruskan kehidupan tanpa ibubapa dan keluarga untuk bermanja. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya mereka menyambut sesuatu kejayaan yang diperolehinya. Anak2 lain biasanya akan berlari2 datang memeluk ibubapa mereka apabila mendpat keputusan peperiksaan. Tetapi bagi kedua2 Aiman dan Adi, mereka terpaksa menahan keinginan untuk memeluk ibu mereka yang tak mungkin datang.

Sewaktu keputusan PMR diumumkan, saya mencari2 Aiman di sekolah, sekurangnya2 dia dapat dia berkongsi keputusannya dengan seorang ibu yang menyayanginya dari jauh, tetapi Aiman tidak ditemui. Khabarnya Aiman dapat tinggal di asrama. Semoga dia terus berjaya dalam hidup.
Saya katakan pada anak2 saya, "Memiliki keluarga yang ada di sisi adalah nikmat Allah yang sangat besar. Janganlah persiakan nikmat itu. Kita biasanya akan merasa menyesal apabila yang kita sayangi sudah bukan milik kita lagi. Duduklah bersama ibu dan abah bila ada waktu, kerana peluang ini belum tentu akan panjang waktunya. Selain untuk diri sendiri, sediakanlah juga masa untuk orang lain yang memerlukan kehadiran kita."

Kasih ibu sepanjang hayat


posted by Martinelli Hashim on

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Tuntutan tugas selalu membuat kita lupa menoleh sebentar, bagaimana agaknya keadaan orang2 yang sangat menyayangi kita. Kita selalu 'take things for granted' apabila orang2 yang menyayangi kita dalam keadaan tenang.
Adakah kita termasuk orang yang meletakkan tugas menghubungi ibubapa sekurangnya2 setiap minggu sebagai agenda utama dalam hidup?

Adakah kita punya checklist untuk tugas di atas?

Saya amat bertuah punya ibu yang sentiasa bersama saya sejak saya lahir ke dunia sehingga sekarang. Beliau sanggup menjual rumahnya demi untuk tinggal bersama anak cucu. Meninggalkan perniagaannya sebaik saja mendapat cucu pertama. Keselamatan dan kesejahteraan cucu adalah prioritas tertinggi. Hidupnya tidak pernah tanpa dikelilingi cucu . Sekarang dalam usia 80 tahun, cucu kesayangan menghadiahkan cicit pertama yang menambah kebahagiaan hidupnya. Kegembiraannya terpancar setiap kali mendukung cicit dan masih gigih untuk memandikan bayi kecil itu sendiri.

Ibu seorang yang warak yang tidak pernah tertinggal solat tahajud setiap malam sejak muda lagi. Walau dalam keadaan apa pun, solat rawatib tetap dilakukan. Wanita yang pernah melalui kehidupan yang amat perit sekarang menjalani hari tua yang penuh bahagia. Masih terbayang pengalaman waktu kecil di rumah usang di Kampung Baru Kuala Lumpur, setiap malam ibu saya akan mengiringi tidur saya dengan alunan ayat2 al-Quran sehingga saya terlena dalam kesamaran lampu pelita. Sesibuk manapun berniaga, membaca al-Quran adalah wirid harian yang tidak pernah ditinggalkan. Mengkhatamkan Qur'an dalam tempoh 14 hari menjadi kebiasaannya. Membaca akhbar juga menjadi hobi utama.

Sejak dari cucu pertama lagi, setiap hari ia akan melepaskan cucu ke sekolah dan menyambut mereka pulang dengan payung di tangan takut cucu kepanasan. Cucu yang sudah besar pun masih ditatang macam minyak penuh takut tersalah haluan. Senyumnya akan lebih terserlah setiap kali anak ke5 saya apabila pulang dari asrama akan menyebut guarauan manjanya " oh, nenekku, mana nenekku"

Kata orang untuk menimbulkan keinsafan terhadap tanggungjawab pada ibubapa dan orang2 yang menyayangi kita , perhatikanlah waktu ia sedang nyenyak tidur. Kalau ia seorang ibu, lihatlah sekujur tubuhnya dari rambut ke hujung kaki. Sewaktu tidur badannya tidak punya apa2 upaya. Bayangkanlah betapa badan yang sedang tidak berupaya itulah yang selama ini gagah membesarkan kita dalam senang dan susah
.
Mata yang sedang tertutup itu pernah disengkang berjaga malam waktu kita sakit masa kecil.
Nafas yang turun-naik itu menjadi nyawa kita dalam rahim.

Tangan yang kini lemah itu pernah mengayun buaian dan memeluk kita waktu kecil. Bilakah kali terakhir tangan kita dihulurkan memeluk insan ini bila dia merindui anaknya?

Jari2 yang kini sudah terketar2 itulah yang pernah menyuapkan makanan dan membersihkan najis kita waktu kecil. Jari2 kita pernahkah dilabuhkan untuk menyentuh badan ibu yang tidak bermaya ini?
Bibir tua yang sudah layu ini tidak putus2 berdoa untuk kebahgiaan anaknya.

Kasihnya tidak pernah bersyarat. Apa saja dilakukan bukan saja demi untuk anak tercinta, tetapi terus berpanjangan hingga ke cucu dan cicit. Sudahkah kita memberi perhatian secukupnya pada orang yang kasihnya sepanjang hayat ini?

Dua perkara yang saya pelajari ialah kasih dan pengorbanan seorang ibu yang solehah adalah sepanjang hayat bukan sepanjang jalan. Kasih tidak bersyarat dan tidak mengharapkan apa2 imbuhan. Sesibuk manapun kehidupan kita hak Allah perlu didahulukan dan dilaksanakan dengan sempurna.

Pengalaman menjadi seorang anak yang dibesarkan dalam serba kemiskinan, kemudian menjadi ibu kepada 2 puteri dan 4 putera dengan penuh kecemasan, kini Allah menambahkan lagi nikmatNya dengan memberikan seorang cucu penyambung jenerasi. AlhamduliLlahi rabil 'alamin.