Archive for March 2015

FADHILAT SURAH SURAH DALAM ALQUR'AN


posted by Martinelli Hashim

3 comments

Kelebihan dan Fadhilat Surah AL-KAHFI, SAJDAH, YAASIN, AD-DUKHAN, AL-WAQIAH, AL-MULK, AL-HASYR

SURAH AL-KAHFI (surah yang ke-18-mengandungi 110 ayat)
Daripada Umar berkata: Nabi saw telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat”

 SURAH AS-SAJDAH (surah yang ke-32-mengandungi 30 ayat)
Dan diriwayatkan imam Ahmad daripada jabir berkata:”Adalah Nabi SAW tidak tidur hingga dibaca surah As- Sajdah dan Al-Mulk”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa membaca Surah As-Sajdah, pahalanya seperti orang yang solat menepati malam al-Qadar dan dikuatkan keIslamannya, tauhidnya serta mendapat ilmu yang benar.

SURAH YAASIN (surah yang ke-36-mengandungi 83 ayat) 
Daripada Ma’qil ! Ibni Yasar berkata:
“Al-Baqarah adalah rangka Al-Quran diturunkan setiap satu ayat dengan disertakan 80 Malaikat dan Ayat Kursi khususnya diturunkan khas dari di bawah Arsy Allah swt yang tersusun di dalam surah Al-Baqarah. dan surah yaasin itu, adalah jantung hati Al-Quran”.

SURAH AD-DUKHAN (surah yang ke-44-mengandungi 59 ayat)
Daripada abi Hurairah r.a. berkata :nabi saw telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Ad-dukhan pada waktu malam, maka esoknya 70,000 malaikat akan meminta ampun baginya”.


SURAH AL-WAQIAH (surah yang ke56-mengandungi 96 ayat)
Rasulullah saw bersabda:
” Bacalah surah Al-Waqiah. Sesiapa yang membacanya tidak akan menjadi miskin selama-lamanya”


SURAH AL-MULK(surah yang ke-67-mengandungi 30 ayat)
Daripada Ibnu Abbas r.a berkata:
“Bacalah surah al-Mulk dan ajarkanlah kepada ahli keluarga kamu dan semua anak kamu dan juga kepada anak-anakmu yang belum baligh di rumahmu dan jiran tetanggamu, sesungguhnya yang menyelamatkan dan berdebat di hari kiamat di hadapan Allah swt memohon ampun kepada pembacanya supaya Allah swt menyelamatkan dia daripada api neraka dan pembacanya juga selamat dari siksaan kubur!”
Dan Nabi saw bersabda:
“saya suka kalau surah ini ada dalam hati tiap insan dari umatku”.

SURAH AL-HASYR(surah yang ke-59-mengandungi 24 ayat)
Nabi saw bersabda:
“Barangsiapa yang membaca 3 ayat terakhir surah al-Hasyr maka Allah swt mewakilkan 70 malaikat berselawat atasnya hingga petang. Begitu juga waktu petang dan jika dia meninggal pada hari itu, ia dikira mati syahid”

Disalin dari status facebook seorang sahabat 

HATI LUHUR


posted by Martinelli Hashim

No comments


facebook 13 Mac 2015
Saya katakan kepada anak-anak. "Jadilah manusia yang berperibadi mulia, berjiwa luhur dan mengasihi mereka yang berada di sekelilingi kita. Luhurnya hati tidak memilih yang lebih untuk diri sendiri.. yang kurang baik untuk orang lain. Luhurnya budi tidak kekok untuk memberi, tidak lokek untuk berkongsi.... rasa senang menyantuni.
Usah mengharap untuk diberi tetapi haraplah untuk sentiasa mampu memberi.
Pujian manusia belum tentu selamanya dan penghinaan mereka hanyalah sementara. Usah teruja dengan pujian, usah merasa rendah dengan penghinaan.
Hargai mereka yang menyayangi kita, sayangi mereka yang menyantuni kita, santuni mereka yang mendoakan kebaikan untuk kita dan doakan mereka yang pernah berjasa kepada kita.
Yang perlu dibimbangi bukan larinya kesenangan dunia atau sanjungan manusia.... Tetapi hilangnya barakah dan musnahnya kedamaian sehingga hidup tidak lagi bersandarkan iman.
Belajarlah menjadi manusia yang insani dari siapa saja hatta dari semut-semut kecil yang tidak diindahkan manusia."

AHMAD MUSLIM


posted by Martinelli Hashim

No comments

Dari rahim puteri sulung kami, Liyana, lahirlah lagi seorang putera membawa cahaya dalam keluarga besar kami. Cahayamatanya yang ke 4 dan Cucunda kami yang ke 6. Si comel lahir saat azan subuh berkumandang.
Seribu kesyukuran kepada Yang Maha Esa yang menggantikan puteri yang diambilNya 5 tahun yang lalu dengan menggantikan dengan dua putera dan seorang puteri mungil. Maha Pengasih Allah yang menguji hambaNya lalu mengurniakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Kesabaran anakanda Liyana dan Iswandi mengharungi peritnya kehilangan puteri tercinta yang sedang manja dan keletah buat hamba cemburu.
Masih terbayang kata-kata menantu semasa menjawab soalan hamba samada pensyarah dan rakan-rakan sekuliahnya mengetahui anaknya baru meninggal…. Beliau berkata,”Ibu, salah satu kunci syurga ialah apabila kita menerima musibah lalu kita menyembunyikannya dari manusia.”
Kata-kata yang diucapkan bersama genangan airmata yang hanya kami saja yang melihat.
Beliau terus menuju bilik kuliah sebaik selesai menguruskan pemakaman jenazah puterinya walau dalam hiba dan sayu tanpa memberitahu sesiapa tentang kesedihan yang melanda hatinya. Puteri yang di iqamatkannya waktu lahir tidak pernah terbayang olehnya akan mengimamkan sendiri solat jenazahnya. Buah hatinya didakap membawa ke kubur dan dimasukkan ke liang lahad dengan tangannya sendiri yang selama hampir dua tahun mengulit anak kesayangannya itu. Puteri tercinta yang yang setiap hari didendangkannya dengan zikir untuk menidurkannya tiba-tiba hilang dari mata.
Kesedihan yang menimpa seluruh keluarga kami mengiringi bidadari Aufa Hani menemui Rabbnya 5 tahun lalu. Dalam doa yang teriring buat keduanya agar yang hilang digantikan dengan yang lebih baik bagi meredakan kesedihan mereka....Alhamdulillah termakbul sudah.
Semoga rumahtangga mereka terus dikurniakan rahmah, barakah dan mawaddah....Amiiin.

Bersuluh Di Depan Bukan Di Belakang


posted by Martinelli Hashim

No comments




Mengongsikan tazkirah usai solat zohor di Masjid SHAS UIA Gombak semalam;

Bersuluhlah Di depan Bukan Di Belakang.

Kisah 100 tahun dahulu mengenai seorang hamba/khadam yang sangat setia kepada tuannya. Setiap hari sebelum subuh khadam akan mengejutkan tuannya, menyediakan air untuk berwudhu’ lalu menemani tuannya ke masjid dengan membawa pelita di depan supaya tuannya nampak jalan.

Atas kesetiaan khadam yang baik itu, tuannya berkata, “Aku berwasiat akan membebaskan kamu bila aku sudah mati nanti.”

Sang khadam hanya terdiam mendengar kata-kata tuannya.

Keesokkan harinya seperti biasa mengejytkan tuannya, membawa air untuk berwudhu’ lalu mengiringi tuannya di belakang membawa pelita.

Tuannya bertanya,”Setiap hari kamu membawa pelita di depanku. Kenapa sekarang kamu membawanya di belakang?”

Khadamnya menjawab,”Tuan, untuk menerangi jalan kita bersuluh di depan bukan di belakang. Begitulah juga untuk melakukan amal jariah adalah sewaktu kita masih hidup, bukan selepas mati.”

Tuannya tersentap dengan jawapan khadamnya lalu berkata,”Aku akan bebaskan kamu sekarang juga.”

Khadam hanya tersenyum. Mulai hari itu sang khadam semakin setia dengan tuannya.

Banyak pengajarannya, bukan?
• Hikmah datang dari sesiapa saja walau dari orang yang rendah status sosialnya
• Usah bertangguh melakukan kebaikan
• Antara tuan dan hamba ada amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin
• Berkhidmat dengan amanah terutama dengan mereka yang baik tidak rugi apa-apa
• Kasihilah siapa saja kerana Allah