Archive for February 2013

'Orang kita' vs 'bukan orang kita'


posted by Martinelli Hashim

No comments

Berbicara melalui skype dengan anak yang bertanya tentang kelompok-kelompok yang menamakan kelompok mereka sebagai jemaah Islam, saya katakan, "Masuklah ke dalam jemaah Islam kerana itu adalah tuntutan agama dan ia membantu kita menjalani kehidupan yang terpimpin. Bergaulah dan berbicara dengan hikmah tetapi usah taksub kepada kelompok.

Kematangan menentukan peribadi kita. Kalau kelompok itu ketuanya mendidik ahlinya melalui indoktrinasi dan ahli menerima segalanya penuh taksub, memburukkan kumpulan lain, mereka adalah kelompok yang tidak matang yang tidak akan mampu menjadi penyelesai masalah ummah.

Kelompok yang matang akan memandang kelompok lain dengan penuh penghormatan, sama-sama  bersyukur dengan kejayaan mereka, tidak cemburu dan tidak memburukkan.

Tugas kita adalah memanggil orang ke jalan Allah. Kalau mereka sudah lembut hati untuk datang kenapa perlu membatasi fikiran mereka kepada kefahaman kita sahaja?  

Rasulullah saw menyatukan manusia dengan meraikan pelbagai sifat ummatnya sehingga semua merasa bahagia dan tiada yang merasa terpinggir di bawah lembayung kasih baginda. Ikatan ukhwah itu ikatan jiwa mempertautkan kasih sayang sesama manusia yang melafazkan shahadah. Ia melangkaui kelompok jemaah.

Berhati-hatilah dengan label-label 'orang kita'  kerana ia boleh saja membuat orang lain rasa terpinggir dan hak mereka sebagai saudara se Islam kita nafikan tanpa sengaja. Layanan kepada 'orang kita' akan dilebihkan berbanding dengan bukan 'orang kita'. Bukankah itu berdosa namanya?"

Wasiat Allah kepada Rasulullah saw


posted by Martinelli Hashim

No comments



Pertemuan seketika dengan guru saya, Datin Ustazah Aminah Zakaria yang sudah kelihatan agak uzur, beliau sempat menyampaikan ilmu di meja makan. Kata beliau, "Neli, tolong tuliskan 9 wasiat Allah kepada Rasulullah saw.:

1. Ikhlaslah dalam masa sunyi atau bersama khalayak
2. Berlaku adil lah pada masa suka atau pada masa marah, pada masa sayang atau pada masa benci
3. Beriqtisad lah (berjimat) pada masa kaya atau pada miskin
4. Hubungkan orang yang memutuskan tali persaudaraan.
5. Maafkanlah orang yang menzalimi kita. 
6. Berilah kepada orang yang tidak mahu memberi
7. Jadikanlah diam untuk berfikir
8. Jadikanlah bicara sebagai zikir
9. Jadikanlah penglihatan untuk mencari i'tibar"

Sebelum itu beliau mengingatkan tentang dua kunci perjuangan iaitu sabar dan taqwa. Dengan kunci itu ada 500 orang malaikat akan menjaga kita. Kunci itu sangat berguna terutama semasa menghadapi keperitan ujian menjalankan daawah. Kita akan ditemukan dengan sakitnya apabila teman sendiri menikam dari belakang.

Saya masih ingat tazkirah beliau lebih 20 tahun yang lepas di surau Kolej Khadijah UIA PJ :

"Di padang Masyar nanti Allah akan tunjukan curahan pahala kita yang sedang melakukan ibadah. Contohnya pahala yang Allah bagi untuk kita baca AlQuran.  Pada masa tertentu pahala itu putus-putus. Yang putus-putus itu adalah apabila semasa membaca ada orang lalu kita pun memperelokkan bacaan kita. Begitu juga pahala solat kita terputus-putus kerana  semasa sedang kita solat setiap kali ada orang lalu, kita memperelokkan solat kita. "

Saya mengkagumi beliau kerana tazkirah beliau yang sangat berkesan. Sekarang beliau adalah wanita yang sangat sabar menjaga suami, Datok Ustaz Hashim Yahya bekas Mufti Wilayah yang sedang koma sejak setahun yang lalu. Ustaz Hashim adalah naqib saya sewaktu di Universiti Malaya dulu. Semoga beliau segera sembuh dan kembali mencurahkan ilmu..