Mengkritik Dan Dikritik


posted by Martinelli Hashim

1 comment

Menerima kritikan bukanlah sesuatu yang mudah. Saya sendiri selalu memarahi diri setiap kali selepas menunjukan reaksi apabila dikritik.....  kritikan yang tidak betul tentunya.   Reaksi yang sememangnya berniat untuk mempertahankan diri  dan mahu memperbetulkan, tetapi kadangkala tanpa sengaja ia menjadi ter’over’.  ....mulut mengeluarkan keluhan panjang. Tanpa disedari terbawa-bawa menjadi umpatan. Akhirnya khusyu' dalam ibadah terganggu apabila merasa diri disaluti dosa sesama manusia.

Ah..... sikap yang perlu dihakis yang perlu banyak praktis.

Kata orang mereka yang sering dikritik itu adalah orang yang bekerja dan berfikir kerana orang yang diam tidak ada orang yang  peduli pun. Orang yang suka mengkritik pula adalah orang yang punya terlalu banyak masa maka dia menghabiskannya untuk mengkritik orang.

Kata orang wanita paling reaktif apabila dikritik maka kalau lelaki yang bersifat terlalu reaktif mungkin perlu meneliti kembali dirinya.

Kata pepatah Cina orang yang memuji itu adalah musuh kamu dan orang yang mengkritik itu adalah teman sebenar.

Kata ulama syukurlah apabila kita dikritik kerana mungkin itu adalah cara Allah menyampaikan pengajarannya  untuk mendidik hati kita. Sekurang-kurangnya didikan untuk bersabar sekiranya kritikan itu tidak betul.

Kata ulama kritikan adalah teguran yang hanya boleh dibuat setelah membersihkan niat dan lakukannya dengan penuh hikmah dengan tidak merasa diri lebih baik dari orang yang ditegur.

Kata pakar motivasi pemusnah utama dalam sesuatu hubungan dengan orang lain ialah kritikan. Teknik untuk memenangi hati orang lain ialah dengan mengelakkan dari mengkritik. Sakit yang paling menyakitkan oleh orang yang sensitif adalah apabila dikritik. Sifat yang paling sukar untuk ditanamkan adalah menerima kritikan dengan positif. Kemahiran dan ilmu yang sangat penting untuk kita miliki adalah teknik berkesan memberi dan menerima kritikan.

Kritikan sebahagiannya berasal dari prasangka maka kata Rasulullah saw.

 “Berhati-hatilah kamu dari berprasangka kerana sesungguhnya berprasangka itu adalah sebohong-bohong ucapan” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Apabila melihat sesuatu perkara, manusia yang berjiwa kecil lebih cenderong menafsirnya daripada sudut negatif, maka menjadilah ia sebagai prasangka. Prasangka buruk melahirkan sikap buruk yang lain iaitu riak, ego dan pemarah yang membawa kepada perbuatan fitnah dan mengumpat. 


Peringatan Rasulullah saw:

"Sebaik-baik manusia ialah yang menahan lidah dan tangannya dari menyakiti orang lain." 


Bagi mempertahankan diri, kita sering melanggar apa saja termasuk hak sahabat yang perlu dijaga maruahnya. Kita mengintai-intai perlakuan dan percakapan pihak lawan dan membuat gambaran dalam kepala yang dia sedang mengutuk kita. Lalu kita mengubah dan menokok tambah kata-kata sebenar dari pihak lawan tanpa menyedari kita sedang mencipta kebohongan dan fitnah. 

Hati menjadi panas dan fikiran dibodohi oleh diri sendiri. Jiwa menjadi kelam kerana terhijab dari cahaya kebenaran. Jiwa yang kelam mana mungkin dapat menerima hidayah Allah. 

Kita biasa orang menyebut, “Panas aku dibuatnya.”

Dari mana panas itu datang kalau  bukan dari iblis yang memang bersifat panas masuk ke dalam pembuluh darah kita. Kalau kita dapat bayangkan iblis itu wajahnya buruk dan menakutkan sudah tentu kita mahu dia keluar. Namun dengan jiwa yang sudah dikelami  bukan saja takut kepada Allah terpadam malah takut dengan gambaran  wajah buruk iblis yang yang sedang menggila dalam badan kita pun tidak ada. Ia ditukar dengan rasa enak melihat lawan kita lemah dan tersungkur dengan kata-kata kita. 

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 12:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”


Saya yakin sehebat manapun ilmu seseorang itu ia akan tersasar juga apabila orang lain takut mengkritiknya.  Setiap kritikan walau mungkin tidak benar perlu difikirkan sebaik mungkin tanpa menyerang orang yang mengkritik sehingga ia takut menegur lagi yang akhirnya kita kerugian. Belum tentu apabila kita berjaya bertegang urat dengan orang yang mengkritik kita  sebenarnya kita sudah menang. Apalah maknanya kemenangan yang begitu, Kita tidak tahu dalam kemenangan itu sebenarnya adalah malang yang ditimpakan apabila  Allah berhenti memberi pengajaranNya buat kita.

Apalah yang ada pada ego kerana dengan kepintaran iblis ia disering disalah gambarkan sebagai  maruah diri. Hakikatnya ia adalah riak yang menghapus amalan anak cucu Adam s.a.

Memang benar kritikan yang diterima dengan positf menjadi kunci utama bagi mencapai kejayaan dalam sebuah kehidupan.




1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai