Manusia biasa luarbiasa


posted by Martinelli Hashim

No comments


Selepas bercerita tentang sikap teman-teman yang melukakan hatinya, anak gadis saya bertanya, "Kenapa orang sanggup buat jahat kat kita, bu?"


Saya jawab," Syakirah, Allah tak beri kita orang-orang yang kita mahu. Tapi Allah beri kita orang-orang yang kita perlu. Teman yang jahat atau yang baik itu semua kita perlu untuk menjadikan kita matang, hebat dan lebih mendekati Allah asalkan kita redha dan sabar dengan apa yang Allah sudah takdirkan. Yang penting ialah kita belajar dari apa yang Allah bentangkan itu dan jadikan diri kita lebih dari mereka yang kita temui itu. Pengalaman yang menyakitkan itu mahal harganya sekiranya ia dijadikan pengajaran dalam menuju kehidupan yang lebih baik. Jadilah remaja Islam luar biasa bukan remaja yang biasa-biasa. Remaja luar biasa tidak lari dari masalah, jauh sekali dari mengalihkan masalah kepada orang lain. Remaja luar biasa besar jiwanya, tinggi budinya."


"Allah juga tidak beri kita kehidupan yang kita mahu tetapi kerana kasihNya kepada kita diberikan kita kehidupan yang kita perlu. Yang baik itu sudah tentu dari Allah dan yang kurang itu sudah tentu puncanya dari kita. Bersykurlah dengan apa pun yang dianugerahkanNya kerana hanya Dia yang maha tahu apa yang kita perlu. "


Kata ulama kalau mahu tahu seseorang itu adalah baik di mata Allah atau tidak lihatlah bagaimana orang sekeliling memandangnya. Kalau secara umumnya manusia merasakan dia seorang yang baik, InsyaAllah dia juga adalah seorang yang baik pada pandangan Allah.


Orang yang baik itu ibarat air sungai yang mengalir lembut.  Ia menyegarkan mata memandang, melegakan tekak yang kehausan dan mendinginkan badan yang kepanasan.

Perbualan kami berterusan sampai masing-masing mengantuk dan terus tertidur.


Soalan anak-anak yang perlu jawapan tepat agar mereka dapat berfikir menggunakan acuan yang betul. 


Pengalaman membesarkan anak-anak remaja adakalanya membuat ibubapa sesak dada. Tersilap jawapan boleh membahayakan fikiran anak. Tersilap reaksi badan atau mimik wajah semasa menjawab juga bakal memberi kesan yang besar kepada si anak. 


Seolah-olah ada suara berkata, "Jadilah ibubapa yang luar biasa, bukan ibubapa yang biasa-biasa walaupun kita hanyalah manusia biasa."


Betapa beratnya tanggungjawab kita mendidik pewaris yang bakal melakarkan corak  kehidupan generasi akan datang. Terdidik anak muda, InsyaAllah terdidiklah ummah.


Moga Allah membantu anak-anak kita membuat pilihan yang betul untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat.
Moga Allah membantu kita menunjukkan sikap yang betul agar kita mampu menyediakan acuan yang betul.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai