IMAM MUDA HASSAN ADLI DAN KISAH UIA

Jul
2011
01

posted by Martinelli Hashim on

11 comments

Inilah mak  inilah juga abah saya, kata IM Hassan


Sudah beberapa hari membincangkan apa  yang terbaik untuk meningkatkan kualiti  pelajar. Semua orang mahu agar yang dihasilkan oleh UIA adalah manusia yang berperibadi unggul dan beragama sepenuhnya. Bukan mudah melaksana amanah. Memerah otak bukan semudah memerah santan kelapa. Perbincangan demi perbincangan dibuat. Hati membara mencapai misi ummah. Sudah terlalu sedikit waktu untuk diri sendiri.

Malam tadi duduk bersama anak-anak menonton acara kemuncak Imam Muda.  Program yang amat sesuai untuk semua namun tidak seramai peminat AF atau mentor atau Maharaja Lawak. Tidak ramai pun yang tahu bahawa malam tadi adalah final Imam Muda. Tetapi semasa final Akademi Fantasia  bandar-bandar dan kampung-kampung seluruh negara lengang seperti dilanda garuda kerana jutaan manusia sedang terpacak di depan tv.  Ribuan program merosakkan minda  tetapi rancangan Imam Muda bangkit menorobos kegersangan moral anak muda.

Saya mengikuti program realiti ini sejak dulu. Semasa peringkat awal audition, saya memujuk  anak-anak didik saya menyertainya kerana saya merasakan mereka punya potensi besar untuk menang. Terasa agak kecewa juga apabila tidak ada anak didik saya di UIA ini yang berjaya saya pujuk.

Namun malam tadi ....... seribu kesyukuran, Imam Muda Hassan Adli Yahya, graduan UIA yang  aktif semasa belajar dulu dinobatkan  sebagai Imam Muda Unggul 2011. Beliau lulusan Ijazah Srjana Muda Ilmu Wahyu dalam bidang Qur'an dan Hadith di UIA . Kini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa, anak syarikat UIA.

Betapa bangganya teman-teman beliau dengan kejayaan ini. Namun wajahnya hanya tersenyum dan meyatakan kejayaan itu untuk "Mak dan arwah ayah ."


Beliau menang dalam masa orang mempertikaikan mutu pelajar UIA. Beliau berdiri sebagai wira yang menjadi kebanggaan keluarga, kampung,  sekolah dan mereka yang menyayanginya. Beliau berhasil membawa kejayaan menyejukkan hati masyarakat UIA. Sudah berapa lama kita merasa resah dengan kemasukan pelajar-pelajar yang nakal dan tidak sempurna syakhsiah ke UIA dan memburukkan imej ke Islaman universiti tercinta ini.


Mesra bersama anak yatim kerana Hassan pun anak yatim juga
Beliau dinobatkan sebagai insan berpeibadi unggul dalam waktu beberapa kalangan menuduh pelajar UIA tidak bermoral.

Saya rasakan adalah tidak adil menuduh UIA gagal mendidik pelajar. Mereka yang masuk itu dipilih oleh UPU secara rambang. Adakalanya bukan pilihan calon pun. Sebelum ke universiti mereka sudah melalui 11 tahun alam persekolahan. Kalau 11 tahun pertama semasa jiwa masih lagi lembut melalui pendidikan tetapi masih gagal mendidik moral, bagaimana mungkin UIA mampu merubah mereka dengan mudah.  pada waktu jiwa mereka sudah pun keras  sewaktu memasuki UIA.

Kalau ibu bapa sendiri tidak mampu menegur, bagaimana mungkin guru yang asing boleh menundukkan mereka dengan mudah. Sedangkan guru yang mendidik pun tidak dihormati, mana mungkin mereka boleh hormat kepada pengawal keselamatan.

Lancar memberi tazkirah kerana sudah biasa di UIA dulu

Apabila isu pelajar nakal timbul, pentadbiran UIA dituduh tidak menjalankan tugas mengatasi isu moral di kalangan pelajar. Menuduh orang lain adalah suatu yang amat mudah untuk dilakukan tetapi bagaimana pula dengan tugas kita sebagai orang Islam untuk melakukan sesuatu bagi memperbaikinya?

Kalaulah UIA boleh memilih hanya orang seperti Imam Muda Hassan diterima belajar di UIA sudah tentu isu menuduh UIA tidak timbul. Realitinya tidak begitu. UIA tidak diberi kuasa memilih calon pelajarnya seperti tahun-tahun awal penubuhannya. Kalau UIA hanya menerima yang baik saja, yang tidak baik apakah mungkin dibiarkan begitu saja? Tidak sempurnalah da'awah kita kalau begitu.

Usah kita lupa tugas universiti adalah untuk mendidik pelajar termasuklah mereka yang kurang  baik akhlak mereka. Siapa saja yang masuk akan dididik sebaiknya. Pelajar yang nakal cuba diinsafkan dan yang baik dibaikkan lagi. Terpulanglah kepada mereka berfikir kerana usia 20an itu bukan anak-anak lagi. Mereka yang masuk itu bukanlah bayi kecil seputih kain putih yang mudah untuk dicorakkan mengikut corak yang kita mahu.

Kalau dizaman persekolahan pun sudah berani mencabar guru, apa lagi dalam usia dewasa, mana ada lagi rasa takut kepada pensyarah, jauh sekali kepada pentadbir atau pengawal yang mereka rasa sangat rendah statusnya.

Ilmu perlu dicari bukan menunggu untuk disuap. Murid menghadap guru dengan bersungguh-sungguh dan penuh hormat. Murid perlu berhati-hati agar tidak memburuk-burukkan mereka di belakang, takut pahala mencari ilmu hilang dan dosa yang dapat. Usah menyalahkan guru tidak mengajar dengan betul. Kalau mungkin ada guru yang kurang betul sudah tentu masih ada yang  betul. Kalau ada kakitangan yang tidak betul,  masih ada yang betul. Tanyalah pula apa peranan kita membantu mereka membetulkannya agar menjadi betul selain dari mengkritik dari jauh. Sekurang-kurangnya bacalah seayat doa buat mereka agar diberi hidayah memikul amanah sebaik-baiknya. Pernahkah kita melakukannya demi universiri tercinta ini?

Sebagai orang yang turut terlibat membincangkan strategi univerisiti menangani isu moral pelajar, saya dapat merasakan besarnya cabaran dan beratnya amanah. Namun demi untuk mencapai misi UIA menghasilkan anak muda penyelamat ummah, sepahit mana ujian, seberat mana tanggungjawab, usaha tetap diteruskan.

Semoga kemenangan Imam Muda Hassan menjadi pemangkin untuk anak muda lain untuk terus mengangkat martabat ummah.

ARTIKEL LAIN:

Kebenaran Ini

11 comments

  1. Anonymous
  2. siti nur fatimah
  3. Anonymous
  4. Anonymous
  5. Anonymous
  6. hamba allah yg berdosa

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai