Sebuah kesayuan

May
2011
02

posted by Martinelli Hashim

11 comments








Jam sudah menunjukkan 5:07ptg.....punch out, suatu kemestian dalam peraturan pejabat. Selalunya saya keluar pejabat selepas pukul 6 tetapi hari ini awal sedikit.

Langit kelihatan mendung. Rancangan petang ini....sebelum pulang ke rumah akan singgah di rumah anak yatim untuk sebuah temujanji bersama anak didik, Jali dan Amirul..

Sampai di rumah pertama selepas 10 minit perjalanan dari UIA. Rumah anak yatim yang juga berfungsi sebagai pusat perlindungan yang menempatkan gadis-gadis yang tersasar nafsu. Seorang gadis berumur 16 tahun sedang kesakitan untuk bersalin. Suatu kesayuan yang tidak terucap. Hati siapa yang tidak terusik melihat anak gadis semuda itu terpaksa melalui ranjau hidup yang entah apa penghujungnya. Nikmat yang cuma sebentar dengan lelaki durjana tetapi lukanya seumur hidup dan sepanjang zaman. Diri ternoda maruah keluarga tercalar.

gambar dari duniacacamarba.blogspot
Semalam seorang lagi melalui keadaan yang sama, gadis 19 tahun dihantar ke hospital untuk bersalin tanpa lelaki yang bernama suami. Maka lahirlah anak yang tidak berwali.

Beginilah pemandangan biasa yang meruntun jiwa kita melihatnya. Saban waktu pusat perlindungan ini menerima gadis-gadis yang membawa perut minta untuk bernaung.

Di pusat ini ditempatkkan juga anak-anak yatim. Ada yang benar-benar yatim dan ada yang ditinggalkan di situ oleh keluarga yang tidak mampu.

Setelah saya melangkah keluar, pengurus rumah memberitahu ada anak-anak itu yang menangis melihat wajah saya kata mereka sangat mirip dengan wajah arwah ibu mereka.

Allah saja yang tahu persaan saya waktu itu.......moga roh wanita itu ditempatkan bersama roh orang-orang soleh dan anak-anak itu dilindungi dari fitnah dunia.


Meneruskan perjalanan ke rumah anak yatim kedua dalam anggaran 1km dari rumah pertama sambil membawa sebak di dada. Kereta  Kembara kelabu yang sudah lama berkhidmat ini terus dipandu menuju sebuah rumah di atas bukit yang didiami oleh 16 orang anak yatim lelaki. Jalan yang sangat curam saya selusuri perlahan-lahan menggunakan gear L.

Sampai di destinasi. Sebuah rumah bunglow munggil hasil wakaf seorang insan berjiwa mulia terbina secara sederhana tetapi penuh kedamaian. Kelihatan anak-anak  yang remaja sedang bermain bola di padang kecil yang baru diratakan. Yang masih kecil bermain kejar-kejar sesama sendiri.

Dengan lafaz Basmalah salam diberi. Kedatangan kami disambut anak-anak kecil yang menghulurkan tangan untuk bersalam dengan lembut. Latihan dari pengasuh mereka yang berhati mulia. Wajah-wajah comel yang manja sambil tersipu malu menyentuh hati kita tanpa dipinta. Mengusap rambut mereka, suatu yang sangat saya sukai.... rasa hiba perlu ditahan. Subhanallah......rahmatilah mereka ya Allah.

Mereka kembali berlari-lari ke sana kemari selepas bersalam. Seorang terjatuh dan bangun sendiri sambil mengusap-ngusap kaki mungkin menahan sakit. Wajah hampir menangis tapi ditahan. Mungkin sudah terbiasa hidup tanpa ibu tidak guna  menangis kalau terjatuh. Tiada jeritan, "Maaaak!!!" sebagai ucapan spontan yang biasa diucapkan oleh kanak-kanak sebesar itu apabila kesakitan. Mungkin saja perkataan 'mak' sudah tiada lagi dalam kotak fikirannya.

Kawannya tertawa. Dia marah pada si teman. Dengan wajah menyimpan tangis dan  mulut yang mencemek, dia berkata, "Janganlah gelak. Makcik cakap kalau kawan jatuh jangan gelak kat dia."

Sebuah ucapan yang mengharukan dari seorang anak kecil yang baru berumur 4 tahun untuk mempertahankan maruahnya. Ingin saja saya memeluknya seperti yang biasa saya lakukan kepada anak sendiri, tetapi ada sesuatu yang menghalang.

Sang teman  menutup mulutnya terus berhenti ketawa sambil berkata," ok, ok, ok...".

Tidak disedari senja sudah melabuhkan tirainya.......saya harus pulang ke pangkuan keluarga sendiri. Buat ke sekian kalinya membawa sebuah kesayuan.

Hujan rintik sepanjang jalan seolah-olah memberitahu alam turut merasa kehibaan ini.

Allahu akbar...padaMu jualah tempat kami meminta. Bantulah mereka untuk kembali ke jalanMu yang lurus.
Ya Allah berikanlah kami kekuatan yang berpanjangan agar kami dapat meneruskan jalan da'wah ini......perjalanan kami masih jauh.... besok masih ada rumah ke 3 ke 4 ke 5 ......dan seterusnya untuk kami datangi.

Sampai di rumah disambut anak-anak dan  menantu. Seorang anak  dan seorang menantu sedang sarat hamil . Mereka sedang rancak bercerita tentang kandungan masing-masing.  Dua orang cucu saya akan lahir tidak lama lagi. Suasana yang berbeza sama sekali. Mereka ada ayah yang penyayang yang menyediakan segala kelengkapan untuk si comel bertuah. Mereka ada ibu yang setabil emosinya dan bersedia memberikan segalanya. Kelahiran mereka ditunggu dengan penuh kasih sayang.  Mereka ada rumah yang bahagia menanti. Semua ahli keluarga tidak sabar menunggu kelahiran mereka berdua. Moyang mereka yang sudah berusia 82 tahun turut  gigih menjahitkan cadar dan sarung bersulam untuk 2 cicitnya. Suasana harmoni hadiah dari Allah.

Jauh di hati masih terbayang bagaimanalah nasib bayi-bayi milik gadis-gadis muda di pusat perlindungan yang saya temui tadi......?!!Kelahiran yang disambut dengan seribu kepiluan kerana kemudian mereka akan terpisah dengan ibu sendiri dan ayah yang durjana itu entah di mana dan memangsakan siapa pula.

Saya buka tv untuk merehatkan minda dengan mendengar berita........ masih seperti hari-hari semalam dan sebelumnya.... hidangan berita hanyalah berkisar cerita politik lucah yang meloyakan. Petikan video seks pemimpin yang tidak sepatutnya jadi tontonan awam. Penyebar wajib dihukum 80 sebatan kerana menuduh tanpa saksi yang cukup. Namun tiada larangan penyebaran dan tiada hukuman kepada mereka khalayak terus menerimanya. 

Hati saya menjerit, 'Berhentilah membawa cerita lucah ini......anak muda kita sudah hancur ...apa  lagi yang kita mahu?"

TV saya tutup..... tidak sanggup menahan kesayuan melihat sikap manusia yang tidak sayang melihat  anak-anak bangsa yang sedang diasak kemusnahan.    Tidak cukup dengan helain akhbar, sehari-hari kita dan anak-anak muda kita disogok dengan cerita lucah oleh berita tv yang sepatutnya berfungsi sebagai penjana minda.

Sampai bilalah kesayuan ini akan terubat.

11 comments

  1. Mohamad Yazid Sabiyah

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai