Archive for June 2013

Dia Minat Aerospace


posted by Martinelli Hashim

No comments

Anak muda ini sejak kecil suka kepada mainan berbentuk mesin terutama lori..... rupanya minat itu sampai ke besar sehingga mendarat di bidang aeroangkasa .... ini hasil kajiannya mencipta campuran bahan pembakar yang dipanggil hybrid untuk menerbangkan roket yang sempat saya rakam pagi tadi .


Saya cuba memahami pembentangannya tetapi yang nampak hanyalah wajah seorang budak comel berumur dua tahun yang sedang leka menyusun lori-lori mainannya sambi mulut membunyikan, "vooom....voom...voooom." dan atok yang rajin melayannya ikut sama membunyikannya. Apabila penat bermain dia akan datang berbaring atas riba saya dan minat gosok belakang....Bayangan 25 tahun yang lalu yang tidak akan hilang walau sekarang dia sendiri sudah menjadi ayah kepada seorang budak comel berumur dua tahun yang punya hobi sama dengan ayahnya.. bayangan semua ibu yang sukar mengi'tiraf anaknya sudah besar.
Wahai anak muda, Hanafi Azami dapatkanlah ilmu sebanyak mungkin namun ingatlah kepintaran itu bukan untuk menyusahkan dunia, keserjanaan itu bukan untuk merosakkan manusia. Semasa mengkagumi indahnya bintang di langit, ingatlah mungkin ada makhluk yang terpijak di kaki yang masih punya hak untuk tidak disakiti. 
Semasa dianugerahkan kehebatan, ingatlah, ia bukan milik kita sepenuhnya. Sesekali Allah akan menguji dengan mengambil kembali apa yang sudah dianugerahkan ... itu adalah keadilanNya yang maha sempurna. Usah terlena dari menzikiriNya. Tiada yang kekal kecuali Dia.

MENCABAR DIRI


posted by Martinelli Hashim

No comments

Sudah lama saya tidak memandu jauh. Anak-anak sudah besar, maka mereka melantiklah diri mereka menjadi pemandu setia ibu yang sudah usia ‘petang’ ini termasuk untuk pergi dan pulang dari pejabat. Kadang-kadang terasa macam orang tak punya lesen. Kadang-kadang rasa macam ‘disable’. 

Minggu lepas tanpa pengetahuan anak-anak saya mencabar diri memandu ke Chemor, Perak, pergi dan balik bersama beberap orang pelajar menunaikan jemputan kenduri kahwin.

Sebelum sampai ke rumah jam 8 malam, anak-anak menalipon mengajak bermain badminton, permainan kesukaan keluarga kami. Sekali lagi saya cuba mencabar diri untuk bersetuju.

Semua ini dari pengaruh motivasi diri untuk sentiasa cuba bayangkan yang gembira bukan yang sedih, yang kuat bukan yang lemah ……… pasak minda untuk positif.
Bermain sekadarnya. Kalau masa mereka kecil saya memukul bulutangkis elok-elok supaya anak dapat menangkapnya, sekarang mereka melakukan yang sama supaya ibu tak perlu berlari dan melompat banyak. Kalau dulu saya bertepuk apabila si kecil berjaya mengalahkan abangnya, sekarang mereka bertepuk apabila saya dapat mengalahkan abahnya.

Sebuah percubaan menguji diri sendiri. Kata orang tidak guna mendengar pengajaran kalau tidak dicuba. …maka saya pun mencubanya. Alhamdulillah berjaya melaluinya, menggembirakan mereka yang disayang dan hasilnya malam itu dapat merebahkan kepala ke bantal dalam senyum penuh syukur.

- Mendengar dan mencuba baik kesannya
- Memasak minda positif boleh dilakukan kalau berusaha
- Gembira keluarga adalah harta yang tidak boleh dijual beli

DAAWAH GENERASI X


posted by Martinelli Hashim

No comments

Sembang santai di suatu petang dengan anakanda yang semakin terserlah penglibatannya dalam daawah.

Saya        : Masyarakat kita hancur kerana hancurnya moral anak muda.
Anakanda : Faktor utama sebab ibubapa, kan?
Saya        : Betul. Kita perlu berjuang menyelamtkan ummah.
Anakanda : Generasi kami ramai juga yang terlibat dengan gerakkerja daawah. Kami   pergi usrah, ceramah, outreach..... Tapi generasi ibu pun tak boleh duduk diam.

Saya terkedu sebentar mendengar pandangan anakanda saya ini. Kembali meneropong diri, sejauh manakah sebenarnya kita bekerja keras memperjuangkan nasib ummah selain beralasan, "zaman kami aktif sudah berlalu, ini zaman kamu yang masih muda."

Hakikatnya, masalah lebih berpunca dari kaum dewasa generasi x, sudah tentu generasi x lah yang lebih susuai menanganinya. Masih banyak nikmat Allah yang dianugerahkan  untuk memungkinkan kita berjuang membawa risalah suci. Namun kita lebih banyak menonton dari bertindak, lebih banyak menilai dari menyelesai, lebih banyak merintih dari merancang. Akhirnya semuanya berlalu begitu saja sedangkan baki usia semakin pendek. 

Peluang itu ada di mana-mana dalam pelbagai bentuk dan cara. Sekiranya kita mengumpulkan kekuatan penuh ikhlas, InsyaAllah kita mampu melakukannya.

......... Kenangan bergelumang di kancah daawah bersama CENSERVE begitu menggamit!!!!!!

Terbayang juga wajah-wajah mereka di Pusat Pemulihan Akhlak yang menangis dalam dakapan saya seusai program motivasi yang menjadi mangsa nafsu tidak terkawal kerana kelemahan iman.