Archive for December 2012

Harga rumah yang melampau


posted by Martinelli Hashim

3 comments


Sedih melihat anak mengeluh sewaktu berkira-kira  keperluan bulanan untuk membeli rumah …… takut kalau tidak beli sekarang, harganya akan naik lagi. Apa yang harus dilakukan?

Beberapa minggu yang lalu saya menghadiri seminar isu perumahan anjuran Majlis Professor Negara. Entah kenapa nama saya termasuk dalam senarai jemputan, terselit dicelah-celah senarai professor-profesor yang sedia dikenali. Mungkin ada transmisi rohani dari saya kepada pihak yang menjemput saya. Sejak akhir-akhir ini saya amat berharap ada tindakan pihak berkuasa mengawal harga rumah. Ia akan memberi kesan buruk ke atas seluruh kehidupan rakyat. Masyarakat yang terhimpit dan tertekan akan melakukan apa saja. 

Kita sudah tidak sanggup melihat gejala sosial, kesan dari tekanan hidup ibubapa.

Ibubapa yang bermati-matian bekerja dari pagi hingga malam meninggalkan anak tanpa asuhan penyebab utama perpecahan dalam keluarga dan penyebab utama juga kepada keruntuhan moral remaja. 

Disebabkan isu agak menarik saya gagahkan juga diri menghadirinya di sebuah hotel mewah. 

Terpegun sebentar melihat kehadiran peserta yg tidak begitu ramai. Kebanyakan yang datang adalah wajah-wajah muda yang samada mereka adalah professor muda atau, seperti biasa, kakitangan yg dikerah datang untuk memenuhkan dewan. Saya tercari-cari wajah-wajah profesor yang saya baca dalam senarai.... tidak seorang pun kelihatan…. Mungkin para professor tidak minat dengan isu rakyat marhaen ini.

Seminar diteruskan. Dalam perbincangan rata-rata semua setuju masalah kenaikan harga rumah amat melampau sekarang. Pihak berkuasa sedar, pembeli sedar, rakyat biasa sedar, profesor negara juga sedar…. Masing-masing mencari dimana silapnya dan siapa penyebabnya. Kocek siapa yang penuh sebenarnya dan menzalimi hak rakyat untuk dapat tempat berlindung dengan sempurna?

Si kaya akan memborong rumah yang kemudian menjualnya dengan harga yang tinggi walaupun sudah ada syarat tidak boleh dijual dalam tempoh sekian tahun. Sebahagiannya membeli untuk disewakan dan mengait keuntungan yang melampau yang menambah kepada isu kenaikan harga rumah dan sewa rumah.

Rumah-rumah di kawasan elit, walaupun ada peruntukan sekian peratus untuk bumiputera, tetapi anak bumi mana yang mampu membelinya dengan harga melangit. Kalau rumah pangsapuri kecil di ceruk Gombak pun sudah RM450K seunit, di mana lagi rumah yang mampu mereka miliki.

…….kasihan anak-anak kita yang hidup mereka bakal dipalit hutang. Belanja  hidup amat melampau tingginya. Setelah ditolak hutang rumah, hutang kereta, hutang PTPTN dan hutang-hutang lain, berapa ringgit lagi yang tinggal untuk hidup membiayai makan minum keluarga? Berapa lagi yang tinggal untuk dikirim ke kampung buat ayahbonda?

Byangkanlah 10 tahun dari sekarang, bagaimanakah keadaan keluarga muda Melayu di bandar-bandar Malaysia? 

Anak kecil bermain api, bumi dipijak milik orang.... angkara kerakusan manusia yang mementingkan diri untuk jangka pendek dan amanah yang tidak dilaksanakan dengan baik.

Apabila bergaul sesama insan


posted by Martinelli Hashim

No comments



Pesan buat anakanda.


Apabila bergaul sesama insan..

Bukalah hati untuk menyantuni mereka , insyaAllah, ianya akan tertutup dari tamak haloba. Tutuplah hati dari menagih dunia, insyaAllah ia akan terbuka untuk diisi dengan rahmatNya. 

Hati itu berbolak-balik, maka tetapkanlah ia dengan tawaqal bersama doa kepada penciptanya..

Usah mengeji, usah menghina kerana kita tidak tahu bagaimana kita nantinya pada penghujung nyawa.


Allah menghadhirkan untuk kita manusia berbagai kerenah, berbagai cara supaya kita berfikir tentang penciptaanNya. Mereka adalah cermin untuk melihat diri kita, kerenah kita dan cara kita mengahdapi dunia. Baik mereka atau jahat mereka mungkin saja sebagai bayangan diri  tidak kita sedari sebelumnya. 


Semua itu adalah ayat-ayat Allah yang berbicara tanpa suara.


Usah teruja apabila mereka memuji dan tak perlu kita kecewa apabila hati kita disakiti. Pujian manusia hanya untuk sementara. Benci mereka belum tentu buat selamanya. Puji atau benci manusia bukan pengikat perlakuan kita.  Yang baik jadikan tauladan, yang buruk itu adalah sempadan.


Pujilah Allah dalam senang dan dalam susah kerana pada saat-saat kita menghadapi kerenah manusia yang berubah-ubah dan menyakitkan, kasih Allah tetap begitu, tidak berubah, tidak menyakitkan. Ia amat menenangkan.


Dunia itu letakknya di kaki kerana dijunjungan itu adalah untuk tempat bagi akhirat. 


Carilah ilmu agar kita tidak ditipu dunia


posted by Martinelli Hashim

No comments


Hasif Azami
Buat anak-anak tersayang yang sedang bertarung mempersiapkan diri untuk peperiksaan. 

Ingatlah tugas kita sebagai khalifahNya, mendamaikan dunia menjaga alam. Tugas itu memerlukan ilmu dan ia tidak mudah.


Carilah ilmu agar kita tidak mudah ditipu dunia. Ilmu didatangi, ia tidak mendatangi. Batasnya langit yang luas, syaratnya usaha yang keras. Dengannya tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada laut yang terlalu dalam untuk diselami.

Ilmu membezakan antara yang bijak dan yang jahil, yang tulin dan yang palsu. 

Ia menerangi yang kelam, meluruskan yang bengkok dan menguraikan yang kusut. 

Dengan ilmu kita menjunjung martabat ummah. Tanpanya akan tercalarlah maruah, menjauhlah barakah.

Teruskan perjuanganmu walau resah meredah susah kerana yang bernilai itu tidak  dimilikki dengan mudah. Hanya kepada Allah kita menyerah dan untuk Dia kita sujud merendah.


...... Iswandi, Hasif dan Syakirah, ibu iring kalian dengan doa.  

Bukan Belasan Tahun Lagi


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kelahiran

“Biarlah kali ini dapat anak perempuan.” Harapan kami setelah pasti yang Muhammad Hasif akan dapat adik. 

Seperti anak-anak yang lain, kelahirannya kami rancang. Istilah merancang keluarga bagi kami adalah merancang untuk dapat anak yang hebat bukan untuk mengelak dari dapat anak. Kami menyediakan mereka dengan kasih sayang tidak bersyarat.

Sepanjang kehamilan, apa yang masuk ke perut dan apa yang keluar dari mulut saya jaga sebaik-baiknya. Biar yang lahir nanti adalah anak soleh, sihat, cantik dan bijak. Kismis, kurma dan badam jadi makanan penting. Ayat Qur’an jadi halwa telinga supaya misi tercapai.

Anak-anak tahu, tidur mereka diiringi, jaga mereka dirai. Tangis dan tawa mereka tidak sendirian, sentiasa ada kami yang bersedia untuk mendengar di setiap ketika di mana saja. Keluarga adalah segalanya.

Selalu lupa dia bukan bongsu
Dia lahir petang Rabu di Hospital Pusrawi Jalan Ipoh. Kami memilih nama Syakirah atas kesyukuran kami mendapat seorang lagi anak perempuan dengan harapan ia menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur. 

Saya yakini fakta bahawa pemberian susu ibu, perhatian penuh dan dakapan yang kerap boleh menjana otaknya jadi bijak. Maka dia menyusu badan selama dua setengah tahun dan menjadi ‘anak kangaroo’ kerana selalu menyorok dalam baju ibu dalam cuaca sejuk di New Castle. Kami mahu dia menjadi bijak. 

Aci-aci Buka Pintu

Membesar sejak berumur 2 bulan  di Bandaraya New Castle Upon Tyne, di utara England selama 3 tahun, dia selalu menarik perhatian orang apabila saya membawanya menaiki bas awam. Dia suka menyanyi lagu Aci-aci Buka Pintu dengan bunyi pelat, tanpa rasa takut. Penumpang lain akan tepuk tangan dan dia pun akan tepuk tangan.

Walau dapat kasih sayang penuh, namun sekali-sekala apabila dia nakal, cubit dan rotan hinggap juga di kaki. Apabila saya bertanya, “Garang, tak ibu?” Dia ketawa geli hati.

Dia membesar menjadi anak gadis yang dikelilingi kawan-kawan berbagai latar belakang. Kata orang tua menjaga lembu sekandang lebih mudah dari menjaga anak dara seorang. Kata Rasulullah saw mereka yang dapat mendidik anak perempuan dengan baik akan dijamin syurga. Saya mungkin meletakkan harapan tinggi agar dia menjadi anak yang mampu membawa obor kecemerlangan. Ada jiwa beragama, ada jiwa bermasyarakat, tindakan dibatasi syariat, akhlak terpimpin dengan akal yang sehat. 


Hari-hari yang dilalui membesarkan budak yang petah dan berani bercakap cukup mencabar.

Waktu pertama kali dia minta izin keluar bersama kawan-kawan sekolah, rasanya seolah-olah ingin saja kalau boleh dia tak usah besar. Berbagai soalan berlegar dalam kepala. Mampukah dia membawa apa yang sudah diajarkan? Tidak terlajak laku, tidak terlupa batas syariat. Bantuan dari abang-abangnya yang ketat mengewal sedikit melegakan.

Sentiasa dikawal abang-abang
Tiru gaya ibu

Walau sudah melalui pengalaman dengan anak pertama, Liyana, namun pengalaman membesarkan anak ke 5, Syakirah, memerlukan kemahiran lain. Kepetahannya berhujah membuat saya memerah otak untuk berdepan dengannya setiap kali ada persoalan. Dia mewarisi bakat ayahnya bercakap tetapi ayahnya akan menyerahkan kepada ibu kalau berhujjah dengan syakirah.

Pernah suatu malam apabila saya balik  lewat dari pejabat, dia menunggu di depan pintu. Masa itu dia baru berumur 9 tahun. Sambil menarik tangan saya ke bilik, dia berkata, “Ibu,Syakirah ada sesuatu nak bincang dengan ibu. Ibu duduk kat sini, Syakirah nak tutup pintu bilik ini.”

Dia meniru gaya saya apabila menasihatkan anak, membawa anak masuk ke bilik dan tutup pintu supaya anak-anak lain tidak curi dengar demi menjaga 'privacy' anak yang ditegur.

Saya mengikut saja naik ke bilik.

Kami duduk di atas katil. Dia duduk di depan saya dengan wajah yang serius. 

Dia mula berhujjah, “Ibu tahu tak apa dia masalah sosial di kalangan remaja? Punca utama anak remaja terjebak dalam gejala sosial adalah disebabkan ibu bapa suka balik malam. Sekarang ibu dah menyebabkan anak remaja bermasalah…bla...bla....bla.”

Rupanya siang itu dia membaca akhbar tentang gejala sosial. Saya terangkan dan kami berbincang. Akhirnya dia memeluk saya, “Syakirah rasa ibu memang best…..”

Masa itu saya menerima hakikat yang setiap anak mempunyai cara tersendiri untuk kita mendidiknya. Tidak ada satu formula yang tetap untuk digunapakai untuk semua anak.

Si montel berbaju merah
Masa begitu pantas. Hari ini cukup 20 tahun usianya. Dia bukan belasan tahun lagi, tetapi di mata ibu dia masih si kecil yang sedang belajar melangkah. Bayangan budak montel yang putih melepak memakai jaket merah berlari dan tergolek atas salji lalu mencari ibu bila diketawakan abang-abang masih kerap bermain di kepala. 

Kini dia sendirian di Galway, Ireland, tanpa ibu, abah dan abang-abang yang selama ini memberi apa saja yang dia mahu. Berjuang di medan ilmu menyahut cabaran ibu dua tahun yang lalu, walau susah dilalui juga..

"Ibu redha Syakirah belajar di luar negara kalau Syakirah dapat buktikan akan lebih solehah berbanding dengan kalau di UIA. Jadi doktor yang berbudi tinggi berjasa kepada ummah." 

Masa itu saya bersedih kerana dia mengambil keputusan berhenti belajar perubatan di UIA setelah menerima tawaran luar negera. Keras tekadnya tidak mudah digugat walau semua abang-abang memujuk.

Walau bukan lagi dalam dakapan ibu sebab jarak yang beribu batu memisahkan kami, namun kenangan membesarkannya kadang-kadang buat saya tersenyum sendiri.


Lurus selurus pembaris

Masa kecil  kalau bercakap dia lurus selurus pembaris. Tiap-tiap malam saya menidurkannya dengan nyanyian dan cerita-cerita ….. Dia percaya semua cerita ibu termasuk cerita rekaan untuk memujuk dia tidur. Salah satu ceritanya adalah begini:

Di mata ibu dia masih bayi yang perlu selalu didakap
“Ada seorang budak nama dia Ah Soi. Dia ada adik nama dia Ah Moi. Satu hari Ah Soi kejar adik dia. Tiba-tiba dia jatuh longkang. Kaki dia sakit. Dia kejar juga adik dia. Adik dia ajuk abang dia Ah Soi “ jalan kedok, kedok, kedok, kedok,kedok, kedok (masa ini ibu nyanyikan ayat ini).” Ah Moi lari, larl, lari, lari. Ah Soi kejar, kejar, kejar, kejar. Ah Moi lari, lari, lari, lari, lari, Ah Soi kejar, kejar, kejar, kejar, kejar………. Ah Soi lari kedok, kedok, kedok, kedok……” 

Ibu  mengulang-ulang ayat yang sama sampai dia tertidur. 

Sesekali  Syakirah akan tanya, “Asyik kejar-kejar je, bila dia nak dapat tangkap adik dia, bu?.”

Ibu akan jawab, “Nanti kalau Syakirah dah tidur, dapatlah dia tangkap adik dia..”

Dia pun akan tertidur dalam dakapan ibu sambil tangan memegang hidung ibu, ketagih yang sukar dilepaskan. Esok pagi dia tanya, “Ah Soi dah dapat tangkap adik dia, tak, bu?”


Soalan sebelum remaja

Semasa dia berumur 10 tahun, sedang saya menjelaskan apa itu remaja, dia bertanya, “Kalau Syakirah dah remaja nanti boleh bercinta, tak?”

Semalam,  sepuluh tahun selepas pertanyaan itu,  saya sempat berseloroh, “Hei, Syakirah dah bukan remaja lagi, tau. Dah boleh kawin pun. Bila nak kawin? ……. Dengan siapa nak kawin?”

Dia ketawa geli hati, Kami sama-sama ketawa dalam skype. “Typical question from a mom.”

SELAMAT HARI JADI anakanda Syakirah ….. Hidup  beragama dan berilmu supaya tidak ditipu dunia. Perjalanan masih jauh....Genggam bara api biar jadi abu. Jadilah doktor   terbaik bagi menjaga martabat ummah.

Cantik anak gadis pada budi bahasanya


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kata pepatah minang

Nan kuriak  kundi
Nan sirah sago
Nan baiak  budi
Nan rancak baso
Muluik manih kucindan murah
Alun takileh alah takalam
Syara' mangato, adaik mamakai

maksudnya:

Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa
Mulut yang manis, gurauan mudah
Belum terlintas sudah difaham
Syara' berkata, adat mengguna

Gurindam indah zaman berzaman yang mungkin saja dilupakan, tetapi usah lupa pengajarannya. Orang Melayu itu perlu kaya budinya dan indah bicaranya. Mulut orang Melayu itu sentiasa manis dalam bertutur, tidak lokek masa untuk menceriakan orang lain. Mudah merasa denyut nadi orang lain supaya dapat mengelak dari menyakiti sesama sendiri. 

Hukum syara' yang tertulis dipakai untuk panduan adat. Adat dijaga untuk keharmonian bangsa  selagi ia tidak melanggar syariat.

Kuat Melayu kerana agamanya, indah mereka kerana budi bahasanya.

Kini adat tercalar, syara' ditinggalkan. Anak Melayu mula lupa menyanjung syariat, lupa juga  menyarung budi, tidak mengenal lagi bahasa indah. Hiduplah mereka dengan jiwa yang lemah meredah dunia yang tidak mungkin dapat digenggam.

Agama itu martabat kita, akal itu jatidiri kita dan budibahasa itu mahkota kita.  Usah ada yang ditinggalkan. Malu Melayu tanpa semua itu.

Saya katakan kepada anak gadis saya,

"Cantik anak gadis itu pada budi bahasanya. Segak anak bujang juga pada budi bahasanya. Berbicaralah dengan bahasa yang indah dari hati yang bersih kerana ia adalah gambaran budi pekerti yang luhur dan maruah diri yang tingg."