Archive for September 2011

JANGAN GADAI UMMAH....TITAH RAJA NAZRIN


posted by Martinelli Hashim

No comments



Titah ucapan seorang anak raja yang bijaksana yang membuat semua terpegun.


Teks penuh:


TITAH DIRAJA
RAJA NAZRIN SHAH
Hati yang sebak tidak dapat disembunyikan.
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI
SELURUH MALAYSIA.
TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI

Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan Nya.[1]  Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.
2.         Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian.  Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan.  Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.
“ WALLAHI,  WABILLAHI, WATALLAHI
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnyapemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang danPerlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.  Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”
3.         Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.  Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan.  Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah.  Terkandung limakata kunci dalam sumpah jawatan tersebut; ia itu: Undang-undang,Perlembagaan NegeriAgama IslamAdil dan Aman.
4.         Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja.  Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk Patik menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.

Read more

Semakin berilmu semakin tawadhu'


posted by Martinelli Hashim

No comments


"Humanity is the basic element when we deal with other people." Kata saya kepada anak remaja saya sewaktu dia berhadapan dengan masalah salah faham.

"Orang yang ada jiwa keinsanan saja yang boleh beralah dan mengutamakan orang lain. Fahami orang lain dahulu sebelum kita mengharapkan mereka memahami kita.Beralah tidak semestinya kita kalah. " Sambung saya.

"Saya nak minta tukar ke tempat lain. Ada 3 bos atas saya. Mereka tidak pernah pun cuba memahami kesusahan saya. Semua kerja saya yang buat dan mereka hanya mengarah. Kalau gagal program saya yang kena. Kalau berjaya mereka yang dapat nama. Alasan mereka cuma 'mereka adalah academic administrator  dan kita kena serve mereka'. Kerja mereka asyik mengumpat dan mencari salah orang admin. Bagi mereka orang admin tak ada 'brains' sebab tak belajar setinggi mereka, so layak buat kerja-kerja remeh saja. Setiap kali orang-orang ini berkumpul topik utama adalah ceirta tak puas hati dengan admin. Promotion saya terbatas bergantung kepada kekosongan tapi mereka boleh capai setinggi mana pun. Kerja kuat dapatlah naik. Tapi saya kerja bagai nak rak pun bertahun-tahun masih pegawai biasa.  Sampai bila saya nak jadi hamba orang-orang yang tak berhati perut ini. " Seorang pegawai  bercerita sambil menangis.

"Saya geram sangat bila saya minta orang admin buat kerja, mereka soal balik saya." Kata seorang pensyarah yang tidak puas hati dengan pegawainya.

Isu salah faham antara pentadbir dan ahli akademik berlaku di mana-mana universiti. Terutama di kalangan mereka yang masih muda. Orang akademik tidak mahu dibebankan dan orang admin tidak mahu dibuli. Masing-masing cuba mempertahankan status dan melupakan hakikat bahawa status, kedudukan, pengaruh dan jawatan adalah amanah. Kita lupa bahawa kelebihan yang kita miliki hanyalah buat sementara.

Merendahkan dan membuli orang lain sudah tentu mencacatkan status iman. Merasa diri kita lebih dari orang lain sudah pasti petanda orang riya' dan nerakalah tempatnya.

Semakin kita berilmu sudah seharusnya kita semakin tawadhu'.

"Bekerjalah dengan saya bukan untuk saya." Kata Pak Lah.

"Ketua yang baik adalah ketua yang menjaga solatnya." Kata sahabat saya, Khairulzain, yang kaya dengan pengalaman bekerja dengan berbagai kerenah manusia. Kata-kata yang memotivasikan saya untuk lebih menjaga solat agar saya mampu menjadi ketua yang baik itu.

Menyayangi dan menghormati orang lain tidak perlu sebarang bayaran. Merendahkan diri kepada orang lain tidak mengurangkan sesen pun harta kita. Mendengar kesusahan orang lain tidak menuntut apa-apa modal. Menangguhkan marah tidak mengurangkan sedikitpun rezeki kita. Satu-satunya yang diperlukan adalah jiwa yang bersih yang meletakkan Allah di atas segalanya.

Jiwa yang bersih akan kaya dengan sifat penyayang kepada orang lain. Jiwa yang bersih tidak akan sanggup melihat orang lain sengsara apatah lagi menyakiti secara sengaja. Jiwa yang bersih tidak mengejar pangkat dan jawatan dengan  memijak orang lain. Jiwa yang bersih membantu orang lain untuk naik bersama. Jiwa yang bersih dapat merasa denyut nadi orang lain yang tidak diperlakukan secara adil.

Ketua adalah imam. Imam membawa makmum mendekati syurga. Ketua yang merasakan dirinya imam akan malu dengan Allah setiap masa sehingga tidak ada lagi rasa besar diri dan riya'dalam dirinya. Ketua yang baik tidak akan sanggup melihat anak buahmya menderita menerima bebanan kerja. Sesuai dengan lebihan gaji yang diterima, ketua adalah pekerja sebenar dan orang bawahannya hanyalah membantu.

Kita perlu mengikut fahaman barat yang mengatakan 'The boss is always right' sehingga kita lupa konsep Islam sebenar tentang amanah besar yang dipikul oleh seorang ketua.

Memang benar, jiwa yang sempurna bersih hanyalah milik orang yang menjaga solatnya. Ketua yang sempurna adalah ketua yang menjaga solatnya kerana barakah solat itu akan melembutkan jiwa yang keras, tamak dan berlagak, penyaki yang menyebabkan hancurnya rasa keinsanan dalam diri kita.

KEBENARAN INI


posted by Martinelli Hashim

No comments



By Martinelli on Tuesday, January 4, 2011 at 8:36pm

Kita yakin akan kebenaran ini:

Apabila doa kita segera dimakbulkan, itu tandanya Allah menyayangi kita.
Apabila doa itu lambat dimakbulkan, itu tanda Allah hendak menguji hambaNya.
Apabila doa tidak dimakbulkan, itu tanda Allah sudah menyediakan ganjaran yang lebih besar samada di dunia lebih lagi di akhirat. Allah tidak zalim, tidak akan mungkir janji. Hanya saja kita meletakkan solat agenda utama dan sabar atas segalanya.

Siapalah kita untuk meragui janji Allah, “Berdoalah. Aku akan makbulkan.”

Siapalah kita untuk mendesak Allah membuat sesuatu yang kita mahu sedangkan Dia lebih tahu apa yang lebih baik untuk hambaNya.

Siapalah kita untuk dikecualikan dari ujian sedangkan Rasul saw. kekasih Allah sendiri menerima ujian yang sangat berat.

Siapalah kita untuk merungut dengan ujianNya sedangkan limpahan nikmat Allah selama ini belum lagi kita syukuri sepenuhnya.

Siapalah kita untuk merintih dengan kehilangan yang tersayang, sedangkan yang kita sayangi itu sedang berada dalam curahan kasihNya yang Maha Agung.

Siapalah kita pada pandanganNya ….. diri yang selalu alpa padaNya sedangkan Dia tidak pernah alpa pada kita. Diri yang sering melakukan dosa sedangkan Dia masih tidak jemu memaafkannya. Diri yang ibadah tidak seberapa tetapi masih meminta padaNya. Diri yang masih biasa tertipu dengan dunia sedangkan akhirat sudah pasti menanti.

Janji Allah itu benar. Kasih Allah itu benar. Rencana Allah itu benar. Qadha’ dan qadar Allah itu memang benar dan akhirat itu sudah pasti benar.

Yang palsu adalah kegembiraan di dunia. Kegembiraan itu akan padam pada bila2 masa.

Wahai hati bersabarlah. Dunia adalah penjara orang beriman.  Orang beriman itu ada Allah dihatinya  biarpun seribu dugaan melanda. Orang beriman itu ada taqwa dalam jiwanya. Orang bertaqwa  itu meletakkan akhirat  di atas junjungannya dan merebahkan dunia di kakinya agar apabila dunia cuba menggodanya ia akan mudah ditendang jauh-jauh.

Akuilah kebenaran ini

Syurga hanya ada di akhirat dan tidak mungkin kita menciptanya di dunia ini.

Sudah ramai yang sudah tersungkur  kerana cuba mencipta syurga di dunia dan sudah tentu dunia akan ketawa dengan kebodohan mereka.

Ya Allah! Dari Engkau kami datang. KepadaMulah kami kembali.

ARTIKEL LAIN
Malu Kita Dengan Orang Jepun 

Bibik oh Bibik


posted by Martinelli Hashim

No comments


"Sudah hampir 20 orang pembantu rumah yang saya dah ambil. Tidak seorang pun yang boleh diharapkan. Semuanya menyakitkan hati."


Rungutan biasa kaum ibu yang mengambil pembantu rumah. Isu yang tidak berkesudahan tetapi perlu dihadapi. 


Isu ini terlalu jarang dibincangkan secara bernas mungkin kerana yang boleh berbincang secara bernas itu hanyalah majikan sedangkan pembantu cuma mampu bersungut sesama mereka.


Sedikit perkongsian ini mungkin boleh dibincangkan lagi.


Pertama kali saya mengambil pembantu rumah adalah 25 tahun yang lalu sewaktu anak saya masih 2 orang. Suprana seorang wanita yang sudah agak berumur, punya suami di Malang, Indonesia, bekerja dengan saya tanpa kemahiran memasak atau berkemas mengikut selera kita. Sifat wara'nya membuat saya yakin dia boleh menjaga anak-anak saya dengan baik. Saya memanggilnya Kak Ana dan dia memanggil saya Dik Neli. Beliau minta berhenti apabila mendapat berita suaminya meninggal di kampung. Dia menangis terisak-isak semasa berpisah.


Kemudian saya mendapat Kak Zarah, juga sudah berumur, punya cucu, merasakan dirinya bukan pembantu malah boleh memarahi saya apabila tidak betul menjaga badan semasa dalam pantang. Kebersihan dan kemahiran memasaknya membuat saya suka dengannya. Beliau berhenti selepas 10 tahun berkhidmat kerana sudah makin uzur dan ingin menjaga cucu sendiri.


Sekarang saya punya pembantu bernama Ati yang juga sudah punya 3 cucu dan suami di Indonesia. Sudah 14 tahun berkhidmat dengan kami. Memandangkan sudah terlalu lama bekerja saya  menasihatkannya supaya berhenti dan menguruskan suaminya yang semakin tua di kampung. Namun dia merayu untuk membenarkan dia terus bekerja.


Kalau disenaraikan perkara yang tidak saya sukai tentang mereka, rasanya sama saja dengan orang lain, sangat banyak dan tidak tertuliskan. 


Kesemua pembantu saya akan pulang berhari raya selama sebulan setiap tahun. Mereka bebas berjalan ke bandar atau bershopping apabila perlu.


Saya rasakan kita punya 3 pilihan samada untuk 


1.  membantu mereka berubah atau 
 2. membiarkan saja sikap mereka ataupun
3.  memberhentikan mereka dan mencari yang lain. 


Meninjau cara-cara Rasulullah (saw)  melayan pembantunya.


Rasulullah saw membuat pilihan membantu pembantu berubah melalui bimbingan baginda yang mulia sehingga kesemua pembantu baginda menjadi ahli hadiths. Baginda tidak membuat pilihan kedua atau ketiga.


1. Abdullah bin Mas'ud
Abdullah bin Mas’ud yang dikenal sering membawakan sandal Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Jika beliau hendak pergi Abdullah membantu mengenakannya, bila beliau duduk Abdullah memegang di tangannya hingga beliau akan beranjak pergi. Walaupun sebagai pembawa sandal, tetapi Rasullah melatihnya menjadi pakar hadith.


2. Anas bin Malik


Berkata Anas bin Malik RA:
"Saya telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas barang yang saya kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Mengapa tidak engkau kerjakan?". Tidak pernah pula baginda berkata pada barang yang tidak ada: "Alangkah baiknya kalau barang itu ada". Kalau pada suatu ketika terjadi perselisihan saya dengan ahlinya, dia berkata kepada ahlinya itu. "Biarlah sebab apa yang telah ditakdirkan Allah mesti terjadi."


Apabila difikirkan, banyak perkara yang boleh dijadikan pertimbangan tentang kerenah pembantu rumah 
  • Mereka dari kampung yang sangat 'hulu', tidak pernah diberi latihan pengurusan rumah, tidak berpelajaran tinggi, mempunyai pergaulan dan minda yang terbatas, maka sudah tentu tidak mampu memenuhi semua yang kita mahu.
  • Kedatangan mereka ke Malaysia meninggalkan suami dan anak-anak, sudah tentu sedikit sebanyak mempunyai tekanan perasan tersendiri melihat kita hidup bekeluarga dengan sempurna.
  • Mereka adalah wanita biasa, punya keinginan untuk memiliki barang-barang sudah tentu ingin merasa membeli-belah mengikut kehendak sendiri.
  • Mereka adalah manusia biasa inginkan kebebasan dan punya teman-teman, maka membiarkan mereka terkurung di rumah terlalu lama akan memberi tekanan yang membahayakan
  • Mereka punya sifat memberontak samada dalam diam atau dinyatakan, sudah tentu kita perlu membantunya menyalurkan rasa tidak puas hati secara yang benar.
  • Sebagaimana mereka, kita bukanlah manusia sempurna tanpa ada cacat dan cela. Mengakui kesalahan dan kekurangan diri di depan pembantu dan memohon maaf kepadanya sudah tentu mencalar ego. Sedangkan itu mungkin saja tauladan yang baik untuk mereka.


Wartawan Malaysia Ditembak di Somalia


posted by Martinelli Hashim

1 comment


Allahyarham Noramfaizul

Dalam mengira-ngira untuk menghantar dana terkumpul ke  Somalia, tiba-tiba pagi ini saya dikejutkan dengan berita seorang jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan  di Mogadishu, Somalia semalam.

Mereka sedang menaiki pacuan empat roda bersama 4 anggota rombongan lain dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. Kenderaan mereka diiringi oleh kenderaan tentera Somalia.

Seorang lagi wartawan TV3, Aji Seregar Mazlan juga terkena serpihan peluru dan mendapat cedera ringan di bahu.

Wartawan Bernama TV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata peluru menembusi paru-paru Noramfaizul dan beliau dibawa ke tempat rawatan tetapi tidak dapat diselamatkan. Beliau meninggal jam 6.10 waktu tempatan.

Sdr. Noramfaizul meninggalkan seorang balu, Norazrina Jaafar, 37, dan 2 orang anak lelaki, Mohd. Irfan 8 dan Mohd. Naufal,3.

Noramfaizul terkena peluru sesat yang ditujukan kepada tentera yang mengiringi mereka. Memang bukannya suatu yang mudah untuk menghantar bantuan ke Somalia. Kebencian rakyat kepada tentera pemerintah mereka boleh saja menyebabkan orang lain menjadi mangsa seperti apa yang berlaku kepada Noramfaizul kerana kita disangka bersekongkol dengan pemerintah. Bendera Malaysia boleh saja disangka bendera Amerika yang sangat mereka benci.

Rombongan Noramfazul  bertolak ke Somalia pada 28 Ogos meninggalkan keluarga dan menyambut Syawal di perantauan demi membantu mereka yang memerlukan. Subhanallah….besarnya pengorbanan mereka.

Moga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para syuhada dan keluarga mereka dianugerahkan rahmat dan kesabaran yang tinggi.

ALFATIHAH!!!!


ARTIKEL LAIN
Malu Kita Dengan Orang Jepun






Malam Perpisahan


posted by Martinelli Hashim

No comments








Bergetar rasanya lutut sewaktu melangkah anak tangga masjid UIA Gombak. Rasa sendu yang mencengkam atas sebuah perpisahan. Seluruh alam  bersedih kecuali hati-hati yang tidak mampu menilai nikmat kasih Ilahi.

Malam ini malam terakhir solat tarawih......malam ke 29 Ramadhan. Masih ramai yang datang untuk beri'tiqaf.

Terasa cemburu melihat anak-anak muda yang begitu gigih membaca Al-Qur'an setiap hari di masjid ini walaupun mereka banyak pilihan untuk melakukan seribu keseronokan di luar sana seperti kebiasaan anak muda yang lain.

Azan Isya' berkumandang.....Ya Allah begitu cepat masa berlalu. Malam ini buat kali terakhir menghayati malam di sini. Biarpun suasana hingar bingar dengan suara kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa mereka yang datang untuk beri'tiqaf sepanjang 10 terakhir Ramadhan, namun ia tetap menciptakan kesyahduan bermunajat kepada yang Maha Esa.

Sebuah kepiluan yang tidak terucap. Kalaulah boleh, ingin saja menahan waktu dari terus berjalan dan malam ini diperpanjangkan..

Malam ini imam membacakan Juz 30, juz terakhir  penuh sayu dalam solat tarawih. Bacaan imam yang cukup indah tetapi penuh kehibaan. Ayat-ayat yang dibacakan seolah kapas-kapas salji yang jatuh dari langit mengisi setiap inci ruang masjid. Subhanallah.....Terasa kesejukan yang menusuk ke tulang. Perasaan yang dibuai dengan ayat-ayat yang silih berganti sehingga berakhir dengan surah AnNas. Isak  tangis para makmum dalam solat meruntun perasaan. Saat perpisahan semakin hampir. Air mata para jemaah berguguran membasahi lantai rumah Allah yang mulia ini.

Jam 5 pagi solat tahajjud berjemaah berakhir. Perjalanan pulang bersama anak-anak penuh kesedihan. Dalam rayuan doa kepada Ilahi agar  diizinkan lagi menemi Ramadhan di tahun-tahun yang akan datang dengan ibadah yang lebih baik dan sempurna. Azan subuh berkumandang tanda berakhirnya malam terakhir Ramadhan..

Teringat kata-kata ustaz sebelum Ramadhan, "Usah terjadi penyesalan dihujung Ramadhan apabila tanpa disedari malam-malamnya kita biarkan berlalu tanpa diisi  dan kita terlepas hadiah yang amat agung dari Allah."
Kata-kata itu pemberi semangat di waktu-waktu malas membalut diri....

Kembali menyoroti ibadah sepanjang Ramadhan.........seolah-olah ada suara yang berbisik, "Bukanlah bilangan berapa kali kamu khatam Al-Qur'an atau bilangan rakaat solat tahajjud di sepertiga malam atau bilangan ringgit yang disedekahkan atau sekuat mana esak tangismu dalam sujud   sepanjang Ramadhan ini yang menjadi penentu kepada tingkatan iman kamu . Sejauh mana amalan itu sudah berjaya mentarbiyyahkan pemikiran kamu dan sejauh mana pula amalan itu diterima Allah Rabbul Jalil adalah lebih penting dari semua itu.

Apakah amalan itu mampu membersihkan hati dan menjinakkan jiwa untuk merasakan Allah itu amat dekat sekali. Hati yang dekat dengan Khaliqnya adalah


  • Hati yang sudah dicuci dengan amalan yang penuh ikhlas. 
  • Hati yang  mampu menghindarkan tuannya dari menyakiti orang lain. 
  • Hati yang menahan tuannya dari cemburu dengan kelebihan orang lain. 
  • Hati yang membiasakan tuannya agar redha dengan apa saja yang datang yang tidak disukainya
  • Hati yang tunduk patuh kepada Penciptanya
  • Hati yang cinta dan kasihnya tertumpu kepada Allah

Hati inilah yang membina taqwa dalam diri tuannya. Ia sebagai penentu samada amalnya akan diterima oleh Khaliqnya. Tidak ada amalan yang diterima oleh Allah kecuali  amalan yang dilakukan oleh orang bertaqwa.


إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertakwa.” (Qs. Al Ma-idah: 27)”

Layakkah diri ini tergolong ke dalam orang yang bertaqwa? Jika tidak maka sia-sialah segala amalan yang dikerjakan.

Teringat kata-kata Rabiatul Adawaiyah, "Tingkat iman yang tinggi adalah apabila Ibadah yang dilakukan bukanlah kerana hendak masuk syurga Allah dan bukan juga kerana takutkan neraka Allah tetapi adalah semata-mata kerana kasih yang tidak berbelah bagi kepada Allah."

Esok tidak ada lagi tarawih, tidak akan kedengaran lagi isak tangis mereka yang bertahajjud di masjid UIA, masjid istimewa yang mengumpulkan manusia dari pelbagai pelusuk dunia di malam-malam Ramadhan demi Tuhan mereka Yang Maha Esa. Taqabalallahu minnaa wa minkum. ..... biarlah perpisahan ini perpisahan sementara dan kami ditemukan lagi di Ramadhan yang akan datang.