Archive for June 2011

Nilai Kemanusiaan


posted by Martinelli Hashim

No comments



Zaman persekolahan dan universiti adalah zaman yang sangat penting dalam kehidupan, Di sinilah sebenarnya kita belajar tentang hidup dan kehidupan.sebagai persiapan kita untuk belajar tentang manusia dan kemanusiaan  dan seterusnya bersedia menjadi pemimpin yang tahu erti kepemimpinan.

Sejauh mana kita menghayati setiap pengalaman yang kita lalui semasa belajar akan menentukan sehebat mana kita nanti dalam kehidupan. Ia juga menentukan sekaya mana nilai kemanusiaan yang bakal kita miliki bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan khalifah Allah swt di muka bumi ini.


Apa yang dipelajari tidak semuanya betul tetapi kita punya akal untuk memilih yang mana harus dipegang dan yang mana harus ditepis....'to learn and to unlearn.'


Guru adalah insan mulia. Mengingati, memuliakan dan mendoakan mereka adalah ibadah tanda kita sudah berjaya menjadi manusia yang tinggi nilai kemanusiaannya.


Anak murid adalah insan suci yang sedang berjihad. Mati mereka dalam belajar adalah mati syahid. Mengajar, mengasihi dan mendoakan mereka adalah ibadah yang besar pahalanya. Mengajar mereka dengan baik tanda guru itu punya nilai kemanusiaan yang tinggi.


Sebagaimana solat tiang agama, nilai kemanusiaan adalah tiang  kehidupan yang bahagia. Robohnya nilai kemanusiaan akan berantakanlah kehidupan manusia.


Nilai kemanusiaan penentu manusia jenis apa kita di mata teman dan di mata Allah.


Nilai yang indah itu semakin gersang. Guru yang punya nilai itu juga sukar dicari. Nilai yang mahal ini juga terhakis dari diri para ibu yang sepatutnya mengajarkannya kepada anak-anak. 


Maka apa yang kita boleh harapkan daripada generasi yang bakal mengisi dunia ini?

NIKMAT MENJADI WANITA


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
(Posting yang pernah saya tulis di martinelli's blog. )

Almarhum Sukarno pernah berkata “wanita ibarat pohon karet (pokok getah). “ 

Kata-kata ini membuatkan ramai wanita yang marah. Tidak perlulah dihuraikan apa maknanya kata-kata itu. Maklum sajalah pokok getah waktu mudanya amat berguna dan apabila sudah tua akan dibiarkan atau ditebang saja. Paling-paling pun digunakan untuk membuat perabot.

Rasulullah saw. mengatakan bahawa para isteri yang beriman semasa di syurga nanti akan lebih cantik dari bidadari, maka tidak perlulah khuatir masa itu suami kita akan lebih tertarik pada bidadari atau isterinya sendiri. Pelbagai ungkapan disebut tentang wanita. Namun yang pasti kita adalah makhluk yang perlu sujud pada pencipta Yang Maha Agung, yang diberikan tanggungjawab tersendiri sebagai khalifah di bumiNya ini.

Saat yang paling bahagia bagi seorang wanita dan selalu diceritakan kepada rakan-rakannya ialah :

i. saat pertama kali jatuh cinta dan diterima cintanya

ii. saat orang yang dicinta mengucapkan akad nikah sebagai suami

iii. saat pertama kali doktor mengesahkan yang ia bakal jadi ibu

iv. saat doktor menyerahkan bayinya yang baru dilahirkan

v. saat anaknya mula pandai melangkah

vi. saat anaknya mula menyebut ‘ibu’ atau yang seistilah dengannya

vii. saat pertama kali membawa anak ke tadika

Semua itu adalah nikmat yang tidak terucap dengan kata-kata. Saat seterusnya adalah rentetan saat-saat cemas yang saling berganti dengan saat-saat bahagia membesarkan anak. Di sebalik setiap nikmat yang Allah anugerahkan ada tuntutan amanah yang besar untuk dilaksanakan.

Nikmat bila dicintai adalah upah keatas usaha yang bakal kita lakukan bagi meramaikan ummat.

Nikmat dimartabatkan sebagai ibu adalah upah disebabkan beratnya tugas mendidik anak yang akan menjadi khalifah penjaga bumi.

Kasihnya Allah tidak terhingga, upah diberi sebelum tugas dijalankan. Namun kadang-kadang kita lupa mensyukurinya apalagi untuk menunaikannya secara sempurna. Di masa-masa tertentu kita merosakkan nikmat itu.
Nikmat memiliki suami kadang-kadang disiakan-siakan dengan menyakiti hatinya.
Nikmat memilik rumahtangga kita tukarkan ia dari syurga menjadi neraka dunia
Nikmat menjadi ibu kita ketepikan dengan meletakkan kerjaya lebih utama
Nikmat memiliki anak cerdik dirosakkan dengan berbangga-bangga pada orang lain
Nikmat kadang-kadang dilambatkan atau tidak diberikan kepada sebahagian wanita kerana Allah tahu wanita itu mungkin tidak sanggup menggalas amanat dihadapannya nanti atau ada nikmat lain yang disimpan untuknya yang akan diberikan dikemudian kelak.

Kebahagian itu adalah nikmat. Keperitan pula adalah nikmat yang ditangguhkan.Tidak ramai orang mensyukuri nikmat memiliki suami apabila suami yang dimiliki bukan impian dihati. Sedangkan Allah tidak pernah menyatakan bahawa pahala melayan suami yang kacak dan tidak kacak adalah berbeza banyaknya.

Walaupun syurga isteri bukan terletak di tapak kaki suami, namun redha suami adalah nikmat yang sangat besar kerana ganjaran pahala yang dianugerahkan Allah tidak ternilai harganya. Redha Allah pada si isteri bergantung pada redha yang diberikan suami. Wanita yang derhaka pada suami tidak akan mencium bau syurga.

Allah tidak menghukum seberat itu kalau bukan kerana ada sesuatu yang penting berhubung dengan kesetiaan isteri pada suami. Walaupun wanita bersifat lemah, namun dia boleh menjadi penghancur atau pembina kejayaan seorang lelaki.

Nikmat hanya akan berharga apabila ia hilang dari kita.

Cerita berikut adalah kisah seorang wanita yang boleh dijadikan pengajaran berguna dan peringatan bagi setiap wanita yang bergelar isteri. Cerita yang saya terima melalui email beberapa tahun lepas . Ceritanya begini……
Saya mempunyai suami yang sangat baik dan keluarga yang sangat bahagia. Saya merasakan sayalah isteri yang paling baik menjaga suami dan anak-anak. Segala ciri2 isteri yang baik saya cuba pastikan ada pada saya. Tidak pernah saya meninggi suara kepada suami, tidak pernah menolak sebarang suruhan dan permintaannya. Makan dan minum saya layan dengan sempurna. 
Satu hari saya balik dari pejabat agak lambat. Saya tidak sempat menyediakan makan malam. Keletihan bekerja yang amat sangat di pejabat menyebabkan hilang selera untuk makan bersama suami. Saya terus masuk tidur. Tiba-tiba suami datang sambil berkata ….”tak apalah kalau sayang tak mahu makan dengan abang malam ni, tapi boleh tak sayang layan abang sekejap. “ 
Badan serasa sudah tidak bermaya dan mata sudah susah untuk dibuka. Saya menjawab “Ala bang, besok boleh tak?”
“Yang, kali ni je…lepas ni abang tak minta dah.” 
Antara sedar dengan tidak saya biarkan suami begitu saja dan saya terus tidur sambil membelakangkannya. 
Apabila bangun pagi keesokkannya saya dapati suami sudah keluar. Teringat kata-katanya malam tadi….astaghfirullah!!, besarnya dosa saya. Saya terus mencapai telipon berniat untk minta maaf. Beberapa kali mencuba masih tidak dapat.
Saya terus bersiap untuk ke pejabat. Tidak berapa lama hp saya berbunyi. Saya sangka dari suami tetapi kenapa suara lain. "Maaf cik, ini panggilan dari polis. Saya jumpa talipon ada nombor cik. Cik kenal ke tuan punya talipon ni?" 
"Ya, itu talipon suami saya, kenapa dengan dia?" 
"Maaf, cik, dia terlibat dalam kemalangan dan tidak dapat diselamatkan." 
Longlai seluruh badan. Kehilangan suami sudah cukup berat untuk ditanggung apatah lagi meninggalkan saya sebelum sempat memohon maaf dosa yang begitu besar. Terngiang-ngiang kata-kata suaminya..”Yang, kali ni je….lepas ni abang tak minta dah”. 
Dia sudah tahu yang dia nak pergi tapi saya yang bodoh mementingkan diri sendiri. Usaha saya menjadi isteri yang baik habis begitu saja dan neraka menunggu saya di depan. 
Saya rasa hampir gila memikirkan diri yang diselubungi dosa yang tidak terampun ini.
Allah dan bumi yang dipijak mengutuk wanita yang menolak hajat suaminya sehingga suami memaafkannya.”

Kita, wanita,  amat mudah terdedah dengan dosa. 

Reunion selepas lebih 30 tahun


posted by Martinelli Hashim

5 comments


Prof. Abdullah Hassan pernah menyebut kepada saya, "Kawan yang benar-benar  tulin adalah kawan-kawan yang kita kenali semasa kita tidak punya apa-apa, Tidak ada pangkat, kuasa atau kekayaan. Dia berkawan dengan kita dan kita berkawan dengannya tanpa apa-apa kepentingan. Mereka adalah kwan-kawan semasa kita kecil  atau kawan-kawan semasa kita masih belajar. Jagalah kawan-kawan lama kerana persahabatan mereka ikhlas."



Semalam buat kali pertama selepas lebih 30 tahun saya menghadiri reunion  Pelajar-pelajar Lepasan Asasi Sains Universiti Malaya 78/80 (PLAS UM 7880). Kami merupakan kumpulan kedua Pusat Asasi Sains UM  (PASUM) yang ditubuhkan tahun  1977. PASUM adalah cetusan idea Prof Ungku Aziz (Pak Ungku) untuk menghasilkan cendikiawan Melayu dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran dan pergiigian pada waktu itu. Pada masa itu kami  dikatakan anak emas Universiti Malaya kerana  masuk menggunakan SPM/MCE sedangkan orang lain menggunakan STP/HSC.
Dikumpulkan di kolej ke 5 semasa orientasi, masih terdengar-dengar usikan pelajar lain   dengan nyanyian, "Cepatlah besar anakku sayang. Minumlah susu Cap Junjung."


Kenangan mengusik jiwa.


Dipunghujung pengajian Asasi masing-masing meneruskan kuliah di pelbagai fakulti. Di fakulti dipisahkan pula mengikut jabatan . Pada tahun 84/85 semua  menamatkan pengajian dan mengikut halatuju profesion masing-masing. Saya mendapat ijazah dalam Genetiks tetapi bekerja dalam bidang lain. Dalam tempoh yang begitu panjang itu ada yang terus maju dan ada yang tercicir di tengah pengajian. Ada juga yang tersungkur dan bangun kembali memecut langkah mencapai obor kejayaan. Malah sudah beberapa orang yang sudah dijemput oleh Allah swt.




Kini Pak Ungku bolehlah tersenyum bangga kerana ribuan cendikiawan dan profesional Melayu sudah berjaya dihasilkan menyumbang kembali buat anak bangsa tercinta.


Melihat deretan nama-nama dalam senarai yang mendaftar, membuat saya bernostalgik seketika. Apa tidaknya mereka yang sudah hebat-hebat itu adalah teman-teman yang saya kenali sewaktu berumur 18 tahun. Lawak-lawak dan usikan zaman remaja kembali terbayang. Kini semuanya sudah melepasi umur setengah abad. Kulit sudah kendur dan rambut sudah memutih. Agak sukar mengecam wajah-wajah yang pernah suatu ketika dulu beriringan membawa beg biru menuju dewan kuliah 6 di Fakulti Undang-undang atau bertutorial  di Fakulti Kejuruteraan 33 tahun dahulu.


Bersama Pak Ungku  tahun 1978
Dulu bercerita tentang cinta sekarang bercerita tentang hasil cinta dahulu iaitu tentang anak dan cucu. Ada yang antara kami memilih pasangan sesama Asasi termasuk saya dan suami. 

Terkeluar juga cerita tentang tinggi-rendah  BP dan kolesterol yang tak pernah disebut semasa di Asasi33 tahun yang lalu. Dulu bermain ragbi di padang varsiti sekarang bermain golf di padang ukm...bola lebih kecil dan lebih ringan untuk usia petang. Tak perlu berlari, hanya batang besi diguna memukul bola putih....tanda tenaga sudah beransur pergi.
Kenangan dalam bilik kuliah yang menampung 600 pelajar setiap hari bersama pensyarah-pensyarah yang sabar dan penyayang. En. Othman Mohd Nor, Dekan dan pensyarah kimia, Pn Zaimi pensyarah Biologi, En. Abu Bakar dan En Alias pensyarah Fizik, En. Dayaniti dan En Mehrotra pensyarah matematik yang patah-patah katanya membuat orang ketawa. Satu dewan akan ketawa setiap kali En. Mehrotra menyebut, "Pemuda, pemudi zaman sekarang....." atau "Guna otak untuk kira. Buang ini barang nama calculator..." dengan loghat Indianya.






Terbayang juga Bed (Dr. Zabedah) menyanyi2 kecil, "Hitam manis, hitam manis. Yang hitam manis...." apabila En Dayaniti masuk dewan.


Pn Rio,  Puan Akmar tutor yang dedikasi. Mereka adalah guru-guru yang bertanggungjawab membantu menjadikan kami seperti hari ini.


Waktu itu tidak ada tanggungjawab lain. Tidak ada hutang untuk difikirkan, tidak ada anak merengek minta belikan itu, ini. Semester baru semua ceria, hujung semester tunduk membaca penuh stress. Apabila keputusan keluar berpusu-pusu ke papan kenyataan... makin stres kalau ada R tertulis dalam senarai keputusan.


Teman-teman dahulu yang tidak punya apa-apa kecuali semangat dan  harapan menggenggam ijazah, kini sudah punya kedudukan dan tambahan gelaran  di depan atau di hujung nama masing-masing. Dahulu berambut panjang, kini berambut pendek dan rambut ada yang sudah jarang-jarang menampakkan kulit kepala tanda ilmu sudah lebih banyak dari rambut. Dahulu berjalan kaki dari kolej ke 5 dan kadang-kadang berlari mengelak hujan, kini dibawa oleh pemandu kereta berjenama.


Mereka adalah teman-teman yang kini bertemu kembali dalam suasana yang berbeza. Bertemu bukan untuk apa-apa kecuali untuk membina semula sebuah persahabatan yang sudah lama terpinggir. Disebabkan persahabatan itu bermula semasa semuanya tidak punya apa-apa maka pertemuan ini cukup manis dan indah. Kalau dahulu semuanya berdarah muda, tetapi kini masa telah mematangkan diri. Yang dulu pendiam, sekarang tidak lagi....yelah sekarang sudah berstatus nenek dan atuk gelaran dari cucu-cucu.


Disebabkan wajah yang sudah banyak berubah, teman-teman lama ini tidak mungkin saya kenali lagi kalau bukan perjumpaan ini. Pertemuan kerana Allah dalam mencari ilmu kini juga kerana Allah mempertaut ukhwah.


Subhanallah. Engkaulah yang Maha Berkuasa. Berkatilah kehidupan kami. Curahkanlah rahmat kepada mereka yang telah berusaha menemukan kami kembali.

Anak anugerah Allah


posted by Martinelli Hashim on

4 comments


"Ibu, doktor kata baby ni songsang lagi. Doktor suruh operate 21hb." Suara Liyana, anak sulung yang sedang sarat hamil.


Kelahiran anak keduanya ini amat dinantikan oleh seluruh keluarga. Pedih kehilangan anak pertama 6 bulan lalu, moga boleh terubat dengan kelahirannya. Bidadari kecil yang pernah menambat hati setiap orang di rumah ini pergi terlalu cepat. Dalam usia setahun 8 bulan dia meninggalkan kami buat selama-lamanya. Kami terasa tidak sabar menunggu kelahiran penggantinya. Doa mencurah-curah agar yang ini lahir sempurna tanpa kesulitan tanpa kecacatan. 


Doa untuk dia berpusing supaya dapat lahir normal tidak putus-putus. Keyakinan yang tinggi agar Allah akan makbulkan.


Namun siapalah kita untuk memaksa Allah merubahnya.


"Tak apalah. Kita redha je  apa yang Allah bagi. Kalau memang Allah dah takdir kita tak dapat anak ramai, itu adalah yang terbaik untuk kita. " Kata menantu saya.


Dalam kesayuan pagi itu Liyana bersuara lagi, "Ibu, apa ye yang Allah nak tunjukkan pada kita? Allah ambil Aufa. Sekarang anak ini pula songsang." 


Saya mengumpulkan ilham untuk menjawab. Soalan-soalan begitu sering datang dalam fikiran siapa saja apabila menerima ujian yang bertimpa-timpa. Liyana, anak kami yang sering menerima ujian sejak kecil lagi adalah seorang yang tenang, alhamdulillah.


Dalam mengira-ngira waktu, tiba-tiba saat kelahiran tiba. Kesakitan yang datang mendadak. Kami berkejar membawa Liyana ke hospital. Hanafi memecut kereta dengan laju sehingga lampu merahpun tidak dihiraukan. Iswandi menenangkan isterinya yang kesakitan.  Mujurlah malam, jalan lengang. Cemas yang amat cemas, mengenangkan kedudukan bayi menyongsang dan siibu belum pernah melahirkan secara normal.


"Kenapa lambat sangat bawa? Tak sempat nak operate. Baby dah di pintu.." kata doktor.


Terasa juga kekesalan kerana tidak segera datang bila Liyana memberitahu dia dah terasa sakit sejak siang. Rupanya pengalaman saya melahirkan anak 6 orang tidak membantu keadaan yang cemas begini.


Selang 15 minit menantu datang memberitahu, "Alhamdulillah, bu. Baby lahir normal. Semua dah selamat."


Kesyukuran yang setingginya kepada Allah. Allah tidak mengizinkan bayi itu berpusing tetapi Allah menentukan dia keluar tanpa pendedahan dalam masa yang begitu pendek. 


Jawapan kepada soalan "Apa yang Allah nak tunjukkan?" kini terjawab.


Allah menunjukkan bahawa Dia adalah Tuhan dan kita adalah hambaNya.  Allah menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa, Dia menentukan segalanya.  Allah menunjukkan bahawa sangkabaik dan keyakinan kita kepadaNya tidak disia-siakan. 
Apabila Allah mengambil orang yang kita sayang, Allah menunjukkan bahawa kasihNya mengatasi kasih kita. Bagaimana besarnya kasih kita pada anak, kita  tidak mungkin mampu memberi sebaik yang Allah sediakan untuknya di alam sana. Di sana dia tidak lagi merasa sakit, sedih atau lapar. 
Maka akurlah kita apabila  Allah menganugerahkan anak, itu adalah amanah. Anugerah anak yang sihat, comel dan sempurna bukan untuk dibanggakan, dan anak yang tidak sempurna bukan untuk  dikesali. Usah bermegah dengan kehebatan anak kerana kita tidak dapat merasa kesedihan ibubapa yang memiliki anak tidak sempurna. 
Usah terkilan dengan kekurangannya  kerana kita tidak tahu apa anugerah yang Allah sediakan untuk kesabaran kita menerimanya. 
Anak bukan milik mutlak ibubapanya. Tukarlah rasa bangga atau terkilan itu dengan syukur dan redha.


Allah tidak akan berhenti menguji hambaNya. Sebentar kita gembira, sebentar kita berduka. Semua manusia diberi samarata. Bezanya mungkin bagaimana kita mencari jawapan kepada "Apa yang Allah nak tunjukkan?"


Kasih Allah akan menggunung buat orang yang bersangka baik kepadaNya setiap ketika pada setiap ujian. Kita hanyalah hamba yang diberi status sebagai khalifah di bumi Allah dan kita tidak punya kuasa apapun tanpa izinNya.


Kini si kecil yang baru berusia 4 hari terpaksa dimasukkan ke hospital kerana demam kuning yang dikatakan tinggi. Allah menguji lagi. Kami cemas lagi.


"YaAllah kasihani kami, sembuhkanlah buah hati kami."

Tiang yang roboh.


posted by Martinelli Hashim on

No comments


Dalam sibuk-sibuk menyiapkan makan malam, tiba-tiba Hasif, 6 tahun, datang meluru dari bilik. Dia  kelihatan cemas.


"Ibu macam mana ni? Tiang Hasif dah roboh?" Katanya sambil menggosok-gosok mata. Saya menyangka dia mengigau sebab tidur senja.


Saya cuba mencari penjelasan, "Tiang apa pula yang roboh ni?"


"Hasif berdosa. Hasif dah robohkan tiang Hasif. Hasif tak solat asar tadi. Hasif tertidur. Semalam Hasif dengar kat tv ustaz kata solat tu tiang agama. Siapa tak solat maknanya dah robohkan tiang agama. Nanti berdosa, masuk neraka." Jelas anak kecil ibu yang memang minat menonton ruangan agama di tv.


Saya tersenyum dalam syukur. Saya mendekatinya, memegang tangannya merendahkan badan  hampir sama tinggi dengannya  supaya sianak merasa selesa bercakap dan percakapannya dihargai.


"Oo ...Hasif takut berdosalah ye. Apa yang ustaz cakap tu maknanya solat tu sangat penting. Macam rumah, kalau  tiang rumah roboh, rumah ni robohlah. Tak boleh kita duduk lagi. Kalau sengaja kita robohkan, kitalah rugi, dah tak ada rumah untuk duduk. Orang lain dalam rumah mesti marah sebab ada orang yang sengaja robohkan rumah. Kita tak kan selamat hidup di luar. Kalau orang jahat atau ada binatang liar kita tak ada tempat nak selamatkan diri. Rumah yang buat kita terlindung. 


Kalau tiang agama roboh, kita tak ada agamalah lagi. Allah akan marah kita. Kita tak boleh hidup selamat . Agama yang buat kita terlindung sebab ada Allah melindungi kita.


Tapi Allah tak kejam. Allah tak mudah marah. Allah faham kita kalau kita ada masalah. Kalau kita tertinggal solat sebab tertidur, itu namanya tak sengaja. Allah sendiri akan tahankan supaya tiang agama kita tak roboh. Kita tidak berdosa sebab Allah maafkan perbuatan yang kita tak sengaja. Allah bagi pula pahala kalau kita minta ampun kat Tuhan. Kejap lagi qadho' solat Hasif yang tertinggal tu." Saya memberi penerangan untuk mententeramkannya.


Satu pengajaran yang saya dapati adalah, sedangkan rancangan tv yang baik pun  kita perlu sentiasa  bersedia memberi penjelasan kepada anak apatah lagi rancangan-rancangan tv yang lain yang tersasar dari nilai agama. Saya berbisik pada diri sendiri, sebagai ibu saya perlu ada:


1. kemahiran menyediakan suasana keluarga yang menggalakkan agar anak-anak  bertanya
2. kemahiran berhujah dengan anak


Sekarang Hasif, anak ke 4 saya,  jauh lebih tinggi dari ibu.  Dia yang terpaksa membongkok kalau bercakap dengan saya. Kami masih seperti dulu, seronok berbual tentang apa saja. Dari  topik tentang cerita silat, kawan-kawan se kuliyyah di UIA hinggalah cerita pokok-pokok di halaman rumah.

"Mana Mak?'


posted by Martinelli Hashim

6 comments


Cerita pendek karya asal oleh Martinelli Hashim.


Jam 6.30 petang.
Mak  berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya.  Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah  menonton tv.  Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”


Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang  asyik membaca majalah. 


Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" 


Ateh  menjawab, “Entah.” 


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.


Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar  kata-kata Adik. 


Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu. 


Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah.  Mak  resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak  mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.


Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?" 


Semakin anak-anak  Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.


Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan  bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.  


Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak  lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Anak-anak Mak sibuk melayan diri masing-masing. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. Adik menjeling Mak dengan wajah jijik melihat air menitik-nitik ke lantai dari baju Mak yang basah.


Mak letakkan  bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus  kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun riak wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda  faham. 


Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak  sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah! berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."


Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamad. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.


Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.


Mak keluar dari bilik, Ayah iring Mak ke dapur.  Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh memandang ke arah Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.


Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. 


Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira  dan  berlari mendakapnya seperti dulu. 


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan  setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak  masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak waktu kwcil dulu. 

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak  berangkat." 


Mak  minta Mak Uda telepon anak-anak, beritahu yang Mak tidak boleh berjalan  balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Kereta merah bata. 

Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak  ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.  Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa  menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang  merasa anak-anak   mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak. 

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. 


Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya  Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” 

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. 


Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. 


Dalam esakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak.  Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa  Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar telefon berbunyi semasa ayah telefon untuk beritahu mak sakit tenat. 


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.. 

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?".  Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "


Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang?Esok-esok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

Sekeliling ayah tiba-tiba jadi gelap gelita.


"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh selepas pulang dari kubur.. 


Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"    


Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?"  masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia. 

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Tulisan ini adalah karya asal Martinelli Hashim. 

Sila like di bawah untuk 'share'.