Archive for November 2010

Di saat mereka bergelumang dosa...


posted by Martinelli Hashim

1 comment


بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Sekali lagi saya berkesempatan menghadiri persidangan menangani isu pembuangan bayi anjuran Kementerian Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. Ramai wakil2 NGO dan GO yg hadir memerah otak berbincang mencari penyelesaian yg wajar.
Kitakah yang lalai?

Ramai yang bersungut sudah terlalu banyak persidangan bercakap dan bercakap mengenai isu ini. Ibarat dalam perang, sudah sangat banyak perancangan pertahanan sedangkan musuh sudah lama mara menyerang.

Satu demi satu usul dibincang berulang2 namun semuanya seolah2 berpusing2 dalam lubuk gelap tanpa cahaya. Pedekatan Islam seolah2 suatu yang mustahil dilaksanakan. Kalau tidak mustahilpun, sudahkah ada garispanduan terperinci, berhikmah dan bijaksana hasil kesepakatan para cendikiawan yang boleh diutarakan?

Orang akademik masih mempersoalkan tentang data ....apakah kajian cukup akademik atau tidak. Wakil2 NGO berbicara tentang peruntukan bajet untuk mereka. Wakil2 jabatan kerajaan berkeras mempertahankan gerak-kerja mengikut SOP dan ISO mereka.

Di penghujung rumusan, pendekatan yang ada lebih tertunpu kepada mempertahankan pelaku2 dosa. Ia jauh dari mengelakkan mereka mengulanginya dan siapa saja boleh melakukannya kerana mereka akan dilindungi

Ditanya kepada beberapa ramaja yang hadir dibawa khas dari pusat perlindungan remaja mengandung luar nikah ,"Kenapa adik melakukan'nya' (berzina) ?"

Rata2 mereka mengatakan,
"Tak seronok di rumah."
"Mak ayah tak memahami."
"Mak ayah sibuk, cuma tahu nak marah je."
"Kawan2 tak geng kalau masih dara."
"Hampir semua kawan2 satu kelas sudah tidak dara ."
"Buat di mana saja termasuk di rumah bila mak ayah tak ada."

Semua yang mendengar terdiam sebentar.

Fitrah manusia memerlukan kasih sayang. Sekiranya kita tidak menyayangi anak kita, maka orang lain yang akan sayang. Sekiranya kita tidak memeluk anak kita, maka orang lain yang akan memeluknya. Sekiranya kita tidak membelai, mencium dan mendakap anak kita, maka orang lain yang akan membelai, mencium dan mendakap mereka.

Sekiranya kita tidak mendengar suara hati anak kita, maka mereka mencari telinga orang lain yang sudi mendengar.

Semua itu kerana anak kita adalah manusia yang memerlukan perhatian, kasih sayang, belaian, dakapan dan ciuman dari mereka yang mampu memberi. Pelukan dan kasih sayang yang penuh rahmah dari ibubapa ditukar dengan pelukan bersyahwat yang penuh noda dan dosa.

Di usia muda dengan iman yang lemah, mana mungkin mereka mampu mengawal nafsu yang bergelora. Dalam dunia tanpa batas mana mungkin kita menghalang mereka dengan sekadar tegahan dan leteran.

Di mana kita di saat mereka bergelumag dosa?
Ibubapa sedang sibuk memburu pangkat dan harta atau leka dengan mencari kepuasan nafsu dunia.
Pemimpin politik sedang bercakaran memburu kuasa di Galas dan Batu Sapi
Para akademia sedang memburu SI dan scorpus mencapai KPI
Para imam termenung menunggu jemaah yang tidak kunjung tiba di rumah Allah
Para cendikiawan sibuk berhujah di pentas forum
Para guru berhempas pulas mencapai target sekolah mencapai UPSR, PMR, SPM tertinggi dalam dunia
Para usahawan terus pijak memijak mencari untung
Para NGO sibuk mencari nama sebagai hero.
Anak-anak pewaris kita terus lemas dalam dosa tanpa bimbingan.
Saya sempat menyuarakan cadangan
  • Menghentikan segera filem2 yang merosakkan moral dari tontonan rakyat
  • Menghentikan konsert2 hiburan seperti konsert malam merdeka, tahun baru dll.
  • Mengurangkan rancangan hiburan di tv
  • Mengharamkan anak-anak remaja berkeliaran selepas 11 malam tanpa ditemani ibubapa.
  • Mengubah waktu bekerja dengan memberi kemudahan kepada kaum ibu yang mempunyai anak kecil atau remaja masuk kerja lewat dan pulang sejam lebih awal dari waktu biasa agar anak2 punya lebih masa bersama ibu mereka.
Namun amat menyedihkan, di saat anak kita bergelumang dosa dan bayi2 tidak berdosa dibuang seperti sampah, Malaysia masih belum puas selagi tidak mendapat pengiktirafan " hub hiburan " dunia.

Hadiah untuk abah.


posted by Martinelli Hashim on

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Sabtu, 3hb. Oktober 2010, tarikh yang ditunggu-tunggu namun dia datang dalam seribu kesyahduan buat kami sekeluarga.
kasih abah tidak mengenal sakit
“Insya Allah ibu akan datang tapi lambat sikit. Abah desak suruh ibu pergi.” SMS saya kepada anak2 yang sudah lama menunggu di dalam dewan CAC.

Langkah longlai anak2 menerima skrol jelas ketara walapun masing2 cuba tunjuk kuat untuk menerima hakikat bahawa ‘abah tidak hadir bersama’ dan sedang terbaring dihospital.

Selesai acara, tinggal kawan, tinggal sahabat, yang nampak di mata hanya wajah ayahanda tercinta. Kereta dipecut terus menuju hospital dalam jubah graduan.

“Abah, buka mata abah. Ini hadiah untuk abah. ”Kata si anak sambil mengambil tangan ayah untuk menyentuh skrol yang baru diterima. Ayah mereka membuka mata dan meminta untuk disandarkan,
“Alhamdulillah...... Anak2 abah lebih hebat dari abah. Tahniah. Maafkan abah tak dapat pergi konvo tadi.”

Oh Tuhan Yang Maha Penyayang

Dalam duka Kau hiburkan. Dalam gembira Kau peringatkan. Kasih dan rahmatMu jua yang kami dambakan.

Bagi mereka abah adalah icon dan model kehebatan yang merangsang mereka untuk memacu ke puncak kejayaan. Di luar abah seorang  yang sibuk tetapi di rumah abah mereka adalah bapa yg sangat pemurah,  teman baik yang masih ada masa untuk  menikmati rancangan tv bersama setiap malam. Abah mereka masih peminat cerita ultraman walaupun anak2 sudah tidak meminatinya. Abah masih banyak masa untuk untuk sama2 ketawa terbahak2 berkongsi cerita anak2 waktu petang.

Abah mereka seorang profesor matematik tetapi tidak pernah mengerahkan supaya anak belajar walaupun hampir waktu ujian. Kecuali naka yang sulung, semua anak2 mewarisi otak matematik si ayah yang setiap bicaranya akan dikaitkan dengan nombor. Abah mereka lebih gemar mengajak mereka pergi makan-makan dari duduk belajar, suatu kelemahan abah tetapi menjadi kelegaan anak-anak. Namun anak2 tidak pernah mengambil kesempatan atas kelonggaran abah kerana ada ibu yang ketat disiplinnya.

Sekarang abah mereka terbaring lemah diserang angin ahmar. Sayu yang amat sayu memenuhi kehidupan kami sekeluarga.

Anak kami, Syakirah yg sedang berusaha untuk menjadi doktor menjadi asakan,"Cepatlah jadi doktor, boleh tolong abah."

Kasih Allah di hujung redho


posted by Martinelli Hashim on

1 comment

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
"Maaf puan, saya nak beritahu tadi Prof Azami collapse masa sedang buat presentation. Sekarang on the way ke hospital." Suara dalam telepon yg membuat hamba lemah seluruh badan. Panggilan yang menakutkan setiap isteri, setiap anak dan setiap ibubapa apabila orang yang disayang mendapat musibah.

Kereta dipecut dengan laju oleh anak kedua. Hamba dapat mengerti dia tidak dapat menahan resah untuk melihat sendiri keadaan ayahnya. Airmata berguguran sepanjang perjalanan.

"Maaf puan. Suami puan kena stroke. Ada pendarahan dalam otak sebelah kiri. Kami tak pasti kalau ada tumor. Ada kemungkinan perlu dibedah." Kata-kata doktor yang membuat dunia sekeliling saya terasa semakin kelam.

Kawan-kawan  sudah ramai yang datang memenuhi ruang menunggu di wad kecemasan.

Anak-anak yang berada di asrama tiba di hospital. Kami berpelukan dalam esakan tangis.

"Apa pun berlaku pada abah, kita masih punya Tuhan. Allah suruh kita berdoa. Itu saja yang kita ada. Apa pun kata doktor, sejauh manapun kepakaran doktor, mereka hanya membantu. Kita tidak bergantung pada manusia. Kita hanya bergantung pada Allah. Allah yang mengizinkan ia berlaku dan Allah saja yang dapat pulihkan abah. Jangan menangis di depan abah. Abah perlu sokongan kita supaya dia kuat," Saya cuba mencari kekuatan untuk menasihati anak-anak walaupun saya sendiri hampir tidak mampu menahan perasaan.

Demi untuk suami dan anak-anak hamba terpaksa menunjukkan yang hamba kuat. Sedikit kerisauan di wajah kami akan meningkatkan tekanan darah suami dan ia amat berbahaya. Kami tidak mahu ia berlaku.

"Rodhitu billahi rabba, aku redha ya Allah kalau ini ujianMu untuk meningkatan maqam kami disisiMu. Ampunkanlah dosa kami. Iyya kan'budu wa'iyyakanasta'in......Engkaulah yang aku sembah dan padaMulah aku kini merayu pertolongan. Selamatkan suamiku ya Allah...."

Dalam doa yang kudus hamba mencari Allah. Kalaulah Allah itu punya tangan ingin hamba merasa dalam rangkulan tanganNya. Allah punya lebih dari itu, hamba hanya berserah. Sebagai makhluk kita tidak punya apa-apa. Allah lah satu-satunya tempat mengadu ... bukan teman bukan saudara.

Dalam cemas yang tidak terhingga hamba dapat merasakan sejuknya kasih Allah yang memberi keyakinan bahawa bantuanNya akan tiba jua.

Pada hari kedua, ingatan dan ucapan suami semakin merosot. Tekanan darah turun naik tidak menentu. Tertulis di atas kertas.....'acute brain haemorage'.

Doktor memanggil hamba ke belakang, "Maaf, keadaan suami puan adalah kritikal tapi setakat ini tidak perlu dibedah kecuali kalau berlaku pendarahan lagi atau otak dan jantungnya membengkak. ..."
"Allah...Allah ya Rabb....aku masih yakin dengan bantuanMu. Tolonglah suami ku...........!!!!!" Doa yang mendalam yang hamba penuh yakin Allah mendengar dengan penuh rahmah.

Maha Pengasih Allah, selepas 12 jam kemudian Prof Dato' Raymond, pakar saraf mengesahkan suami hamba sudah ada tanda semakin pulih dan tiada tanda-tanda pembengkakan dalam otak atau jantung. "Alhamdulillah, Prof Azami is progressing so well. It's so amazing. Mungkin sebab dia seorang mathematician, it helps him to recover faster,"Katanya kepada anak kami, Syakirah, sambil menceritakan keadaan ayahnya secara terperinci.

Masa berlalu. Ingatan suami semakin pulih. Percakapannya semakin baik. Beliau dapat mengingat nombor kakitangannya dan bil-bil yang perlu diselesaikan. "Syukur alhamdulillah......"Rahmat yang amat besar dari Allah.

Jumaat, Jam 4 pagi tiba-tiba tekanan darah suami  jatuh menjunam dan keadaan menjadi cemas. Allah memberi ujian lagi.

Hamba merenung suami yang terbaring dengan topeng oksigen menutup muka. Air mata berderai tanpa boleh ditahan-tahan. Terbayang bgaimana beberapa hari yang lalu beliau masih kuat dan penuh bahagia menunggu hari yang dinanti-nanti keluarga, beliau akan naik ke pentas CAC mewakili VC UKM di majlis konvokesyen UIA. Dua orang anak lelaki kesayangannya akan menerima ijazah. Anak kedua akan menerima anugerah dari Sultan. Kami merancang untuk naik satu kereta bersama. Kami membayangkan hamba dan menantu akan duduk bersama ibubapa yang lain di bawah.

Tapi kini.......segalanya berubah. Impian kami berkecai. Allah tidak mengizinkan. Sekarang lelaki yang hamba cintai sejak 27 tahun yang lalu hanya menunggu taqdir Ilahi. Badannya lemah tidak bermaya. Hanya tarikan nafas nurun naik yang kelihatan. Sesekali matanya dibuka memandang hamba disisinya. Doa hamba agar Allah memberinya umur yang panjang untuk meneruskan ibadahnya. Memberi hamba peluang berkhidmat untuknya lebih baik lagi.

Kita hanya merancang dan Allah juga merancang. Rancangan Allah jugalah yang berlaku dan sudah tentu ada hikmah yang tidak kita ketahui.

Sabtu 3 Oktober 2010. Jam 5 pagi tekanan darah suami masih tidak begitu setabil. Tiub drip dan topeng oksigen masih terpasang. Semalam hamba berjanji kepada anak-anak kalau sekiranya tekanan darah ayah mereka setabil hamba akan hadir di majlis konvo mereka.

Hamba memandang jam...Sebentar lagi anak-anak seharusnya sudah bersiap. Hamba  menghantar sms kepada anak, "Maaf ibu mungkin tak dapat juga nak pergi konvo. Ibu tak berani nak tinggalkan abah."

Hamba dapat merasakan kesedihan kedua-dua anak. Namun keduanya berkata, "Sekarang kesihatan abah adalah segala-galanya. Ibu jagalah abah, jangan tinggalkan dia."

Berderai air mata. Namun dengan takdir Allah tiba-tiba suami membuka mata. Dengan perlahan beliau berkata,"Hari ni anak kita konvo. Pergilah. Abang ok."

Subhanallah ..... benarlah kasih Allah di hujung redho kita atas ujianNya.

September Bulan Sedih UIA...Graduan UIA dibunuh dengan kejam


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
September tahun 2009, kita digemparkan dengan pembunuhan Bro. Ubaida M.A AlQudsi graduan UIA yg dibunuh secara kejam dengan ditembak di kaki dan perut oleh Yahudi apabila pulang dari Masjid Ibrahim di Gaza.

Pada penghujung September 2002, UIA digemparkan dengan penahanan pelajarnya Ahmed Ibrahim Bilal yang disyaki oleh Amerika sebagai teroris. Ia ditahan selama 8 tahun dan kita tidak tahu bagaimanakah keadaannya sekarang.

Kini September 2010 di saat kita merayakan Aidil Fitri, kita digegarkan lagi dengan pembunuhan yang sengat kejam terhadap graduan undang-undang UIA Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang dizalimi bersama jutawan Sosilowati yang menjadi anak guamannya.

Ahmad Kamil anak ustaz Abd. Karim, seorang pesara dari Seremban, meninggalkan seorang isteri dan anak yang masih kecil. Melihat wajahnya saja kita sudah tahu beliau seorang yang baik. Beliau setia bertugas sebagai peguam sivil kepada Datuk Sosilawati. Semasa di UIA tinggal di mahallah AsSidiq, seorang 'typical IIUM student' yang bersih dan kemas Beliau grad tahun 2002 dan terus bekerja dengan syarikat guaman Kamarudin & Partners. Kecemerlangan kerjanya menyebabkan beliau kemudian dilantik sebagai rakan kongsi dan sebagai pengarah cawangan di Putrajaya.

Tidak dapat dibayangkan orang sebaik itu dipukul, dibelasah, ditikam, dibakar di atas zink dan abu mayat dibuang begitu saja ke dalam sungai. Bukan satu sungai tetapi beberapa buah sungai yang berasingan. Apalah daya mereka untuk melayan bila dikurung oleh tembok yang tinggi dan dikerumuni oleh manusia2 ganas tidak berhati perut. Semoga keluarga mereka sabar menerima.
Ubaidah dan Kamil dibunuh oleh tangan kafir di bulan Ramadhan. Moga kedua mereka mendapat pahala syahid. Bilal ditahan oleh tangan kafir juga. Ketiga2 mereka punya wajah yang amatlah bersih memancarkan cahaya iman yang kuat di hati. Sudah tentu rakan2 dan pensyarah yang mengenali mereka merasa kehilangan yang amat sangat. Antara kesemua itu pembunuhan Kamil adalah yang paling kejam.

Tiga peristiwa sedih berlaku kepada anak didik UIA di bulan September.

Kebetulan juga Presiden UIA kedua, Dato' Seri Anwar dilucutkan dari jawatan presiden dan kabinet Malaysia juga berlaku di bulan September dua belas tahun yang lalu.

Kesemua peristiwa itu mendapat liputan di seluruh dunia.

Sebagai orang lama yang mengikuti peristiwa2 itu saya simpulkan September adalah bulan sedih UIA!!!!

Akhirnya Om dan Tante Pergi Jua....


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Semasa menulis Semalam di Jakarta saya tidak menyangka jejak kasih menemui bapa saudara saya, Om Lukman yang sangat berjasa dalam kehidupan saya adalah pertemuan yang terlau hampir dengan hujung usia beliau. Empat puluh tahun kami terpisah oleh sempadan dua negara. Om di Indonesia, saya di Malaysia. Dua negara yang penduduknya bersaudara sedarah sedaging, seagama dan seaqidah tidak mungkin dipisahkan walau dicuba oleh mereka yang tidak mahu melihat fakta sejarah.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Tante ada membisikkan, "Neli, doakan Lia. InsyaAllah sudah ketemu jodohnya. Mereka akan nikah bulan September ini. Tapi Lia pesan jangan diceritain sama siapa2 dulu. Tante cuma bilang sama Neli. Nanti Neli datang ke sini lagi untuk pestanya, ya? "
Waktu itu Tante sangat gembira dan kelihatan tidak sabar menunggu bulan September.

Tidak lama selepas pertemuan di Jakarta itu saya mendapat panggilan bahawa Om Lukman sedang sakit tenat dan diterbangkan ke Hospital Gleaneggles Singapura menggunakan pesawat khas. Saya bergegas ke Singapura. Allah mengizinkan kami dapat berkomunikasi sebentar. Suara Om semakin tidak jelas tetapi masih boleh menyebut "Maafkan Om, ya, Neli,ya. Terima kasih datang melihat Om ke sini."


Saya mencium tangan Om yang kelihatan begitu lemah tetapi masih gagah memperagakan kasih sayangnya. Tangan itu pernah menjijit bakul menjaja kueh waktu kecil. Tangan itu juga pernah menggendong saya waktu kecil. Tangan itu juga pernah memegang senjata sebagai pahlawan ABRI yang dikagumi.

Dua hari selepas itu panggilan telepon dari sepupu saya, "Om sudah meninggal." Jenazah akan diterbangkan kembali ke Jakarta.

Innalillhai wa inna ilaihi raji'un. Airmata bercucuran menyambut khabar. Saya, suami dan anak kedua bergegas ke Jakarta menziarahi jenazah. Beliau dikebumikan secara pengkebumian negara dengan perbarisan tentera darat, udara, laut dan polisi Republik Indonesia.

Saya mengkagumi kesabaran ibu saudara saya, Tante Atik yang ditinggalkan. Tante tokoh isteri yang amat setia kepada suami. Semasa Om hidup mereka tidak pernah berenggang walau sebentar.Tante meninggalkan karier sebagai doktor semata2 untuk menjadi isteri sepenuh masa melayani Om dan anak2. Om sentiasa dilayani sebagai manusia yang teristimewa dalam hidupnya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana tante bisa menghadapi hari-harinya tanpa Om lagi. Syukurlah ada Lia yang baru dinobatkan sebagai doktor pakar dan kembali bertugas di Jakarta.

Seminggu sebelum Hari Raya, Tante menelepon saya, "Tante baru keluar rumah sakit. Tante jatuh di kamar mandi. Sekarang tante dirawat sama Lia di rumah saja. Ubat yang dikasi itu bikin gula dalam darah tante makin tinggi. Tapi tante tak apa-apa sekarang. Pernikahan Lia akan diteruskan. Semua sudah siap diuruskan, cuma menunggu harinya saja. Neli jadi datang, ya, ke Jakarta."

"InsyaAllah Neli datang. Tiket pesawat sudah dibeli. Tapi tante tenang2 aja. Tidak usah kerja yang berat2. Tante harus isterehat yang banyak." Saya menjawab.

Saya faham betapa terujanya beliau menanti saat2 puteri kesayangannya, Lia, diijabkabulkan walaupun Om sudah tiada. Kata Tante, calon suami Lia, sempat bertemu Om di Singapura semasa Om sakit dan meminta izin nikah dengan Lia. Om senyum mengizinkan sebelum pergi menghadap Allah.

AIRMATA DI AIDIL FITRI
Awan mendung masih belum mahu berlalu. Selesai meraikan 1 Syawal, tiba2 saya mendapat sms Tante dimasukkan ke ICU. Tidak sampai 1 jam kemudian saya menerima satu lagi panggilan telepon mengatakan Tante sudah meninggal dunia. Tante pergi buat selamanya2 cuma 3 bulan selepas pemergian Om. Saya terus membuka internet untuk membuat booking tiket penerbangan ke Jakarta.
Sedihnya, pemergian saya ke Jakarta gagal untuk diteruskan. Kami hanya mampu berdoa dan melakukan solat ghoib untuk arwah. Moga roh mereka berdua ditempatkan bersama roh orang2 yang soleh.

AKAD NIKAH DI SISI JENAZAH.
Dalam kami memikirkan majlis nikah Lia yang ditunggu2 oleh Tante selama ini, saudara di Jakarta mengkhabarkan, atas permintaan Lia, akad nikah akan dilangsungkan juga sebelum jenazah tante dikebumikan.

Kata Lia, "Mama sudah lama menunggu saat ini. Biarpun mama tidak bisa lihat Lia nikah, biarlah jasad mama jadi saksi, Lia akan nikah di depan jenazah mama."
Permintaan Lia ditunaikan. Maka berlangsung upacara akad nikah di depan jenazah Tante. Begitu memilukan. Tidak dapat saya bayangkan namun kami berdoa agar Lia dapat sabar dan hidup bahagia di samping suami.

OM YANG SAYA SANJUNG
Om dan tante adalah orang yang sangatmengambil berat tentang hubungan kekeluargaan. Om sanggup melakukan apa saja bagi membantu anak-anak saudaranya apabila dalam kesusahan. Beliau menghadiahkan saya 'family tree', susur gaur keturunan bermula dari beberapa moyang dari generasi dahulu dan meminta saya menjaganya baik-baik sebagai bahan sejarah yang perlu diketahui anak-cucu kemudian hari. Beliau selalu berpesan,

"Hargailah mereka yang terdahulu. Asal kita dari Parabek, suku Sikumbang. Nenek moyang kita ada tujuh beradik berasal dari gunung. Setiap satunya membuka tempat tinggal dan menerajui suku. Setiap anak dalam suku yang sama walaupun berlainan kampung adalah dianggap adik-beradik. Jangan. sekali2 lupa asal-usul kalian walau di mana kalian berada. Kita orang Minang. Orang Minang itu hidup bersandarkan adat, adat bersandarkan syariat, syariat bersandarkan kitabuLlah.

Adat Basandi Syara’, Syara’ Basandi Kitabullah , Syara’ mangato, Adat mamakai.
Pangka cadiak kuaik batanyo
Pangka kayo himaik jo luruih
Pangka mularaik maleh jo duto
Pangka maliang suko jo judi
Pangka pangdeka capek kaki ringan tangan
Pangka pandai rajin baguru "

Maksudnya
"pangkal kepada cerdik adalah kuat bertanya
pangkal kepada kaya adalah berjimat dan lurus
pangkal kepada melarat adalah malas dan berdusta
pangkal kepada menjadi pencuri adalah bersuka2 dan berjudi
pangkal kepada pendekar adalah cepat kaki ringan tangan
pangkal kepada pandai adalah rajin berguru

Sejarah hidup Om yang bermula dengan kepahitan ditinggalkan ayah dalam pangkuan ibunya tetapi berakhir sebagai wira negara.

Kata Ibu, Om adalah sepupu ibu yang ditinggalkan ayahnya semasa Om masih dalam buaian lagi. Ibu pula empat beradik kehilangan mak yang meninggal dunia semasa ibu masih kecil. Maka ibu 4 beradik menumpang kasih dengan ibu Om Lukman yang saya panggil nenek. Mata nenek cacat sebelah dan tidak mampu bekerja berat. Ibu bersama kakak dan adik perempuan beliau menjana kehidupan dengan bertani.

Ibu adik-beradik amat mementingkan pelajaran. Tekad mereka walau apa pun keadaan, adik mereka Lukman dan Saad mesti belajar sampai tinggi. Tekad yang suci dan gigih itu dimaklbulkan Allah. Kedua-dua adik mereka berjaya walaupun berasal dari sebuah ceruk kampung di pedalaman pada tahun 40an.

Tekad itu diteruskan kepada anak2 dan cucu2 mereka. Maka adalah di antara kami keluaran UKM, UM, Univ. Gajah Mada, dan ITB. Cucu2 pula meraih ijazah dari UiTM, UIA, dan univ. luar negara.
Walaupun Om Lukman adalah sepupu ibu tetapi dianggap lebih dari adik sendiri. Ibu bersama kakaknya dan adik perempuannya menggunakan tulang 4 kerat setiap hari bertani bagi membiayai pengajian Om hingga beliau berjaya meraih ijazah.

Jasa ibu saya dibalas oleh Om dengan mengambil saya menjadi anak angkat beliau dan kemudian beliau mengusahakan agar kami ditemukan dengan ayah saya yang sebenar yang menghilangkan diri selama 10 tahun.

Moga roh mereka tenang di sana dalam rahmat Allah Rabbul Jalil.

Apa hadiah yang ibu inginkan?


posted by Martinelli Hashim

1 comment

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Pada tarikh ini 31 Ogos, setengah abad yang lalu mungkin saja menjadi kenangan pahit dan manis yang tidak dilupakan oleh ibu sewaktu melahirkan saya ke dunia. Pahit kerana saya lahir  tatkala ayah  jauh diperantauan tanpa khabar tanpa berita. Pahit juga kerana sehari selepas saya dilahirkan kakak saya yang berumur 4 tahun meninggal dunia. 


Manisnya kerana kehilangan kakak diganti dengan kelahiran saya. 


Kata ibu ayah adalah mangsa fitnah dan kejahatan manusia yang menyebabkan kami terputus hubungan dengan ayah selama 10 tahun. Namun dengan rahmat Allah kami ditemukan kembali dan mengharungi hidup di bumi bertuah ini. Kasih sayang ibu dan ayah adalah hadiah yang sangat besar dari Allah. Ayah pergi menemui Tuhannya buat selama-lamanya setelah memberi segala-galanya untuk membolehkan anaknya berjaya hidup seperti orang lain.


Ibu masih sehat membelai cicit kesayangannya setiap hari.


Dalam usia 81 tahun, kasih ibu masih seperti dulu. Masih terasa kulit tangannya yang lembut membasuh muka saya setiap pagi waktu kecil di kampung. Tangan itu jugalah yg mengasuh 12 orang cucu yang sekarang sudah besar belaka. Kini tangan yang sama masih gigih mendokong cicit dan membasuh mukanya setiap pagi. Wajahnya berseri-seri apabila si kecil meraba-raba muka moyangnya sambil mengeluarkan suara manja. Saya dapat merasakan itulah diantara kemuncak kebahagiannya kini.


Besarnya nikmat Allah. Saya dianugerahkan seorang ibu yang masih sudi tinggal bersama saya sehingga diusia senjanya sekarang. Itulah hadiah harijadi yang paling mahal harganya yang diberikan ibu. Untuk semua itu saya hadiahkan ibu dengan seribu ketaatan dan ibu tidak pernah dan tidak akan pernah mendengar kata-kata kasar dari saya mulut saya, IsnyaAllah.... tekad yang terbina sejak kecil dulu dan saya pegang hingga ke hari ini.


Saya dianugerahkan Allah dengan suami yang masih sudi mengiktiraf saya sebagai isterinya walau dia sedar akan serba kekurangan yang ada pada saya ditengah-tengah kelebihan wanita-wanita lain yang beliau mampu milikki kalau beliau mahu.


Saya dianugerahkan Allah untuk dapat mendidik anak-anak yang menjadi permata hati yang masih taat kepada nasihat ibu dalam seribu peluang untuk melakukan kejahatan kalau mereka mahu.
Dengan curahan rahmat Allah saya dianugerahkan dua orang menantu yang sangat menyejukkan mata dan hati.


Kepada anak-anak ibu yang bertanya apa hadiah hari jadi yang ibu mahu, ibu jawab,
"Kasih sayang dan usaha gigih kalian untuk menjadi insan cemerlang dalam pelajaran sudah cukup untuk ibu sebagai hadiah duniawi. Impian ibu untuk melihat anak-anak ibu belajar di UIA sudah tercapai apabila seorang demi seorang menjejakkan kakinya di Taman Ilmu dan Budi tanpa paksaan.
Sudah 20 tahun ibu berada dalam majlis konvokseyen UIA dan melihat anak-anak orang lain naik ke pentas mengambil ijazah. Ibu mengimpikan suatu hari nanti akan melihat anak-anak ibu sendiri naik ke pentas yang sama seperti mereka. Ibu duduk di dewan sebagai ibu kepada graduan bukan sebagai pegawai UIA.
Sudah bertahun-tahun ibu mengendalikan pemilihan graduan untuk anugerah cemerlang konvokesyen UIA dan ibu impikan suatu hari nanti anak ibu adalah salah seorang dari mereka. Tahun ini buat pertama kali ibu tidak lagi berada dalam barisan juri bagi pemilihan itu. Namun tahun inilah semua impian ibu itu InsyaAllah akan menjadi kenyataan. Dua orang anak ibu akan naik ke pentas bergelar graduan dan salah sorang akan menerima anugerah itu. Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah Yang Maha Pemurah.
Ibu tidak bangga untuk kemegahan tetapi ibu bangga anak ibu dapat menjiwai saranan ibu agar menjadi pemuda pembawa obor kecemerlangan ummah.
Bukankah ibu selalu berpesan "genggam bara api biar sampai jadi abu. Apa saja yang kita pilih untuk lakukan... lakukannya dengan kualiti kelas pertama. Buat jangan buat-buat, bermain jangan main-main".
Kalau anak-anak masih sudi ibu ingin satu hadiah lagi yang lebh berharga dari semua itu. Hadiah teristimewa yang bakal ibu bawa ke kubur nanti.
Hadiahkan ibu dengan kasolehan kalian mencintai masjid dan khusyu' dalam beribadat.
Sejukkan mata dan hati ibu dengan melihat anak-anak ibu meletakkan solat berjemaah sebagai agenda harian terpenting dalam hidup. Dalam susah dalam senang, panggilan solat usah dibiarkan tidak berjawab. Solatlah di mana azan dilaungkan.
Gembirakan hati ibu dengan melihat anak-anak yang tidak lokek membantu orang yang memerlukan. Kehebatan kita akan lebih bererti apabila kita membantu orang lain jadi lebih hebat.
Tenangkan jiwa ibu dengan melihat kalian meletakkan Allah di atas segala urusan....itulah hadiah yang lebih bermakna untuk ibu dari hadiah seisi dunia ini.
Waktu anak-anak ibu kecil dulu kalian rajin mengikut ibu solat. Ibu berdiri di depan dan kalian bersusun di belakang ibu. Ibu tinggi, kalian rendah
Masa begitu cepat berlalu. Sekarang anak-anak ibu sudah besar, kini ibu mengikut kalian solat. Ibu berdiri di belakang dan kalian pula bersusun di depan ibu. Kini ibu rendah, kalian tinggi dan ibu tenggelam dalam ketinggian anak-anak ibu.... suasana yang sangat membahagiakan kerana pada penglihatan ibu kalian masih comel seperti dulu.
Suatu waktu nanti akan tiba masanya apabila ibu dijemput Allah, ibu akan berada di depan semula dan kalian akan bersusun menghadap jasad ibu untuk solat terakhir mengiringi ibu ke alam barzakh. Ibu akan terlalu rendah dan anak-anak terlalu tinggi.
Waktu itu ibu di depan terkujur kaku tanpa suara lagi dan kalian di sisi ibu khusyu' membacakan doa untuk ibu. Kata Nabi saw, hanya doa anak yang benar-benar soleh di antara kalian yang dapat ibu nikmati nanti. 
Ingatkah kalian adakalanya si comel ibu tertidur di atas sejadah menunggu ibu selesai solat. Ibu akan angkat buah hati ibu dengan pelukan sayang dan dengan penuh hati-hati ibu bawa si comel ibu ke bilik tidur.
Sekarang bersedialah menjadi anak soleh agar pabila sampai masanya nanti selepas jenazah ibu disolatkan kalianlah yang akan mengangkat ibu untuk dibawa ke bilik tidur ibu yang abadi.
Wahai anak-anak ibu!! Ibu tidak sudi sekiranya tangan yang bakal mengangkat ibu nanti bukan tangan anak ibu yang soleh.
Usah siram pusara ibu nanti dengan air mawar tetapi siramlah dengan doa-doa kalian yang mustajab"


Coretan ini ibu tujukan kepada enam orang anak yang ibu lahirkan sebagai menjawab soalan, "apa hadiah yang ibu inginkan untuk hari jadi ibu?"
Ibu Anak Merdeka, ibu tidak terikat kepada keperluan hadiah duniawi.
Ibu tidak minta yang lebih besar dari usaha gigih anak2 menjadi insan soleh.

Menuju Solat Menghadap Allah


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Tanda Islamnya kita ialah kita mendirikan solat lima waktu.

Tanda berimannya kita ialah dalam solat kita khusyu’ menghadapNya.

Firman Allah swt,
Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya” (Al-Mu’minun:1-3).

Kalau orang beriman itu adalah orang yang khusyu' solatnya, ini bererti orang yang tidak khusyu' solatnya adalah orang yang TIDAK BERIMAN?!

"Wahai diri apakah selama ini kita hanya menipu Allah yang kita sudah beriman sedang solat kita tidak menentu khusyu'nya?"

Kata Nabi saw, pahala solat belum tentu kita dapat sepenuhnya. Ia bergantung kepada kualiti solat yang kita lakukannya:

Sesungguhnya seorang lelaki apabila selesai menunaikan solat, tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua ” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a..

Tanyalah diri " Wahai diri, berapalah bahagian pahala yang kamu dapat setiap kali solat dan sudah berapa yang terkumpul sepanjang bertahun-tahun hidup." Diri tidak bisa menipu lagi kerana dia tahu solat jenis apa yang dipersembahkan pada Allah selama ini.

Faghfirlana ya Allah...!!

Kata ulama’:
Khusyu’ itu tidak datang sendiri tetapi perlu diusahakan secara berterusan. Apabila dapat memilikkinya ia adalah lebih baik dari dapat memiliki seisi dunia

Kita bertanya lagi pada diri, "Wahai diri yang malang, kamu sudah bekerja keras untuk meraih ijazah. Kamu bekerja bermati-matian untuk mendapat pengiktirafan ketua pejabat. Kamu berusaha kuat untuk memiliki hati orang yang kamu cintai. Kamu bekerja keras untuk membahagiakan keluarga. Tetapikamu terlupa berusaha untuk mencari yang lebih bernilai dari seisi dunia iaitu membina khusyu’ dalam ibadah. Bukankah ia penentu kualiti hamba jenis apa kamu di mata Allah."

Berapa banyakkah kita habiskan wang untuk meraih nikmat dunia? Berapa tahunkah kita membina kerjaya dengan pulang ke rumah hingga larut malam? Berapa ribuan jamkah waktu yang sudah kita habiskan untuk semua itu?

Lalu tanyalah...Bilakah kali terakhir kita berusaha secara serius membina khusyu’?

Tubna ila ALlah, wa raja'na ila ALlah, wa nadimna 'ala ma fa'alna.

Bangunlah. Berbisklah padaNya,

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allllaaah……….kasihilah aku ….sayangilah aku……aku hambamu ya Allah.

Tundukkan nafsu. Langkahkan kaki dengan tawadhu' menuju tempat wudhu’. Tumpukan fikiran kepada Allah yang menunggu kehadhiran hati kita. Biarkan roh kita yang sedang dahaga merasa bahagia di saat ini kerana ia terlepas dari himpitan nafsu. Rasakan kelembutan air menyirami jasad kita. Ia bersih dan membersihkan diri dan dosa2 kita. Air ciptaan Allah yang sangat lembut dan menyegarkan ini boleh saja menjadi ganas apabila membentuk badai. Namun dalam ganas atau lembut ia tetap tunduk dan akur kepada hukum Pencipta. Ia mungkin saja merasa bahagia diambil untuk berwudhu walaupun selepas itu ia akan mengalir dengan kotoran yang lain.

Air bertasbih, lantai batu yang kita pijak juga bertasbih. Darah kita bertasbih serentak dengan denyutan jantung tiada hentinya. Kini mulut kita sama-sama menyebut “Allah”…..maka bertasbihlah segala yang ada di sekeliling kita dalam rentak yang harmoni yang hanya dapat dirasakan oleh jiwa yang khusyu.

Dengan air wudhu yang masih menitik di badan, tangan ditadahkan dan mulut berbisik pada Tuhannya:

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri)”

Kita melakukannya kerana Rasullah saw. pernah bersabda

"Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan 'Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Inilah langkah-langkah menuju khusyu’ dalam solat. Kita tidak tahu apakah ini adalah wudhu yang terakhir dan solat yang terakhir kerana nyawa kita ada dalam genggamanNya. Saidina Abu Bakar akan menggigil badannya di saat2 begini ketika melangkah menuju solat…kita bagaiamana pula?
Berdiri di atas sejadah penuh tawadhu', bisikkan lagi dengan tenang,

"ALLLLAAAAHU AKBAR.......Allah, Tuhanku, Engkaulah yang Maha Besar, aku hanya insan kerdil datang menghadapkan diri padaMu, terimalah aku"

Allah itu Maha Pengasih, Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Kalau kita datang dengan berjalan Dia akan datang dengan berlari....... Kini Dia sedang melihat dengan penuh rahmah walaupun kita tidak melihatNya. Inilah Khaleq yang tidak pernah bosan mendengar curahan hati hambaNya. Semakin kita rasa bergetar semakin mencurah kasihNya.

Ya. Rabb. Tidak mampu kami melakukannya tanpa bantuanMu. Berikanlah kami hati yang sentiasa mencintaiMu. Hati yang mencintai apa yang Engkau cintai. Hati yang menyayangi orang2 yang Engkau sayangi. Jangan biarkan kami sendiri walaupun sesaat tanpa bantuanMu. Usah biarkan hati kami yang lemah ini dikotori oleh nafsu dan iblis sehingga terhijab doa dan rayuan kami kepadaMu. Ya Ilahi, berkatilah mereka yang membaca tulisan ini moga mereka mendapat kebaikan darinya.

BUANG BAYI ?!.... moh wadon, kata wali songo!!!


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Menghadiri sidang meja bulat di Kementerian bersama beberapa wakil NGO. Suatu usaha yang baik bagi mendapatkan pandangan rakyat. Hanya segelintir NGO Islam yg hadir. Saya hadir tanpa diundang semata2 ingin mengetahui keadaan sebenar. Topik perbincangan ..isu buang bayi, isu yg mengerikan. Statistik yg dibentangkan oleh PDRM menambahkan lagi kengeriaan itu. Apakah negara kita sedang menerima bala? .... astaghfirullahil 'azim.

Ada yang mencadangkan usah dihukum mereka yg datang membuat laporan, sebab akan menambah kes. Perlu diajar pendidikan seks supaya mereka tahu. Sediakan tempat meletakkan bayi yg selamat. pengharaman pornografi perlu dilakukan dengan lebih keras. Ada yang menyokong ada yang menolak berdasarkan fakta2 tertentu.

Institusi kekeluargaan perlu diperkemas supaya anak2 rapat dengan ibu tetapi apa, siapa , bagaimana ia boleh dilakukan?

Pelbagai hujah dikemukakan menambah sesak fikiran. Yang mana satu yg perlu didahulukan. Keadaan kini seolah2 orang memakai selimut pendek, ditarik ke atas, terbuka kaki, ditarik ke bawah terbuka badan.....DAN dipenghujungnya, seperti biasa....... jom buat pelancaran kempen besar-besaran di IPT!!!!!!!

Saya tidak lagi mampu tersenyum. Semua kita tahu akarnya, dasarnya dan asasnya adalah nilai agama. Analisanya adalah ilmu. Perancangannya adalah muafakat. Pelaksanaannya adalah komitmen dan tanggunjawabnya adalah pada kita semua.

Apabila rasa bertuhan gersang dari hati, si gadis mengikut saja ajakan si teruna yang punya nafsu tetapi akal tidak terbimbing dengan sempurna.

Jiwa bertuhan kering di hati ibubapa, hubungan dengan Allah terhijab dan doa tidak kesampaian.
Jiwa bertuhan hilang dari masyarakat, kita meninggalkan hukum agama yang sudah sedia jelas dan mencari hukum lain untuk mencari penyelesaian.

Teringat saya cerita sdr. Ahmad Azam dalam tazkirahnya tentang kisah Sunan Ampel salah seorang Wali Songo yang menasihatkan raja Majapahit, Prabu Sri Kertawijaya yang beragama Hindu. Sang raja gelisah dengan masalah rakyatnya yang kucar-kacir dan mengeluh kepada permaisurinya, Ratu Darawati. Sang Ratu mencadangkan agar raja meminta nasihat Sunan Ampel bagaimana harus menyelesaikannya. Sunan Ampel atau Raden Rahmat yang merupakan seorang ulama dan pendakwah Islam lalu menyarankan falsafahnya yang terkenal, "moh limo" atau jauhi 5 perkara yang tercela.

1. moh main (tidak mau judi),
2. moh ngombe (tidak mau mabuk),
3. moh maling (tidak mau mencuri),
4. moh madat (tidak mau mengisap candu), dan
5. moh wadon (tidak mau berzina).

Sang raja mengikut saja nasihat Sunan dan akhirnya ternyata nasihat tersebut berjaya mengamankan negara. Aktiviti meyabung ayam diharamkan dan sesiapa yang melakukannya akan dibawa menghadap raja lalu dihukum. Rakyat dilarang membuat tuak. Pencuri dihukum seadil-adilnya. Daun ganja, madat dan candu dimusnahkan. Sesiapa yang melakukan madon (zina) diberikan hukuman berat.

Raja akur dengan pendapat orang yang berilmu, rakyat akur dengan perintah raja, tentera menjalankan tugas di setiap penjuru negara. Akhirnya rakyat hidup bahagia. Para petani gembira dengan hasil titik peluh mereka, peniaga bertambah untung, kaum wanita terjaga dan kanak-kanak selamat membesar dalam pangkuan keluarga.

Walaupun raja menolak untuk masuk Islam, namun baginda tidak menghalang rakyatnya mengikuti ajaran Sunan Ampel kerana kagumnya baginda dengan pendekatan sang wali yang penuh hikmah itu. Tiada paksaan tiada kekerasan. Rakyat masih terus bermain gamelan dan kesenian lain yang sudah sebati dengan kehidupan mereka. Jiwa bertuhankan Allah yang satu tidak ada anak, tiada ibubapa dan keindahan wajahNya tidak boleh diukir dengan patung akhirnya menusuk ke dalam hati masyarakat dengan lembut.

Apakah Malaysia perlukan Sunan Ampel untuk menyelesaikan masalah keruntuhan moral hari ini? Tidak, pemimpin kita adalah Islam bukan Hindu, Ulama' kita ada beribu, rakyat 60% beragama Islam dan tahu dosa dan pahala.
Yang perlu ialah
Tanamkan jiwa bertuhan di setiap hati insan yang masih bernyawa. Letakkan Tuhan di hati agar kita sentiasa sedar akan kehadiranNya.
Buatlah apa saja untuk menanamkan jiwa bertuhan di hati anak muda, apa saja yang mampu kita lakukan tanpa bertangguh, tanpa alasan.
Usah diulang cerita bangau oh bangau kerana mereka menanti huluran tangan kita yang gigih bukan mulut kita yang banyak dalih.
Sampaikan nasihat kepada sesiapa saja kerana "Agama Itu Adalah Nasihat," kata Rasulullah salallahu 'alaihi wassalam.

KETAGIH FACEBOOK


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
"Sayang, abang balik. Lapar ni, boleh siapkan makan?" Tanya Ali kepada isteri yang sedang berada di bilik.

"Kejap, bang. Sayang tengah bagi 'kambing' makan ni." Jawab Aminah, sambil terus melayan ternakan virtual dalam facebook, permainan yang digilai ramai orang,

"Kambing bodoh tu bagi makan, suami lapar kena tunggu pulak?" Leter suami yang setiap hari menahan sabar dengan sikap isteri yg melekat dengan facebook.

Sejam kemudian aminah pergi ke dapur. Didapatinya pinggan bekas makan suami dalam sinki dan sebuah kuali di atas dapur. Suami, seperti biasa, menggoreng sendiri telur untuk dijadikan lauk kerana tidak dapat menahan lapar menunggu hidangan isteri.

"Mama, tolong Amar buat karangan ni. " Rayu Amar kepada ibunya, Aminah malam itu.
"Amar buat dulu. Kejap lagi mama datang." Jawab ibunya. Aminah masih meneruskan hobi melayan kawan2 lama dalam facebook.

Dua jam kemudian, selepas Aminah menutup komputer didapatinya Amar sudah tertidur menangkup atas buku tulis dengan pensel di tangan. Karangannya tidak habis ditulis. Terlalu lama menunggu mama yang tidak kunjung datang membantu.

Aminah adalah salah seorang dari jutaan manusia yang menjadi mangsa ketagihan facebook. Kes ketagihan facebook semakin parah dalam masyarakat barat dan kini menyusupi masyarakat Malaysia yang menyerang bukan saja anak2 muda malah warga emas yang menghabiskan masa berjam2 menulis dan menjawab status kawan2.

Facebook dijadikan pelarian dari masalah dan tanpa disedari ia menyedut berjam-jam masa produktif yang sepatutnya digunakan untuk melunaskan amanah dan tanggungjawab. Bagi pelajar masa yg sepatutnya untuk membuat kerja sekolah, membuat assignment, membaca buku terbuang begitu saja kerana merasakan semua itu membebankan dan beralih kepada facebook untuk melegakan perasaan.
Masa untuk membaca buku bertukar kepada masa membaca facebook. Waktu beribadah tahajjud pun boleh turut terjejas kerana tarikan facebook.

Hari ini tidak lagi perkara luar biasa melihat suasana di rumah orang bandar jam 8 malam yang biasanya keluarga berkumpul dan bergurau senda di ruang keluarga sambil menonton tv kini masing2 menghadapi facebook di tempat masing2. Ibu dan ayah dg laptop masing2 di bilik. Anak2 di bilik mereka atau di ruang tamu dan masing2 punya laptop sendiri. Tiada bunyi, tiada suara kecuali bunyi keyboard dan suara bibik sedang mencuci pinggan di dapur.

Adalah masih dikira baik kalau mereka masih berkomunikasi sesama sendiri. Yang malangnya setiap orang sedang berfacebook dengan kawan2 masing dan ahli keluarga tidak termasuk dalam senarai yang di 'add' sebagai 'friends' dan tiada 'mutual friends' di kalangan ahli keluarga.
Ciri-ciri ketagihan facebook:

1. Tidak dapat berenggang dg. internet
2. Terus mencapai facebook sebaik saja bangun dari tidur, sampai di pejabat atau sampai di rumah.
3. Sentiasa terbayang apa yg ada dalam facebook semasa offline,
4. Sentiasa terbayang untuk menulis sesuatu dalam facebook semasa offline
5. Lebih selesa melayari facebook dari keluar rumah atau menonton tv
6. Masa dihabiskan lebih setengah jam setiap kali melayari facebook.
7. Melayari facebook lebih 3 kali sehari sekadar berbual kosong.
8. Facebook dijadikan tempat meluahkan perasaan.
9. sentiasa mengharapkan ramai orang memberi komen.
10. Rasa gelisah yang amat sangat apabila berada lama di tempat yang tiada internet.
11. sangat sukar menekan butang logout

Facebook amat berguna untuk merapatkan hubungan persahabatan dan keluarga, mencari teman2 lama atau siapa saja yg ingin dihubungi sekiranya tidak dapat dihubungi dg tel. Adakalanya pada waktu2 kritikal facebook amat diperlukan utk menghubungi seseorang.

Mat rempit dan kaki lepak dikaitkan dengan masalah anak2 generasi Y. Tetapi anak2 generasi Z  lebih selamat dari gejala rempit kerana mereka lebih suka duduk di rumah melayari internet menghubungi rakan2 dalam dunia maya. Malangnya mereka sukar berinteraksi secara alam realiti.
Sesuatu yang baik itu boleh digunakan untuk keburukan jika kita mahu. Sesuatu yang buruk itu boleh juga digunakan untuk kebaikan sekiranya kita mahu. Hanya akal yang terpimpin dengan prinsip agama saja yang mampu menjadikan setiap sesuatu itu menjadi berharga untuk dirinya, orang lain dan alam seluruhnya.

Lesen hidup


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Merenungi diri……ciptaan Allah yang penuh misteri. Ada jasad dan ada roh. Jasad boleh dilihat, boleh dipegang. Roh hanya Allah yang tahu. Jasad dan roh dihubungi oleh nyawa semasa di dunia.
Nyawa umpama lesen perniagaan yang ada tempohnya. Perniagaan ini amat besar cabarannya kerana kerugian atau keuntungan yang dihasilkan akan menentukan bahagia atau deritanya kita selepas ‘lesen’ itu tamat tempohnya. Tempoh lesen kita adalah muktamad .
Roh dan jasad perlu disuburkan. Suburnya jasad ada had tertentu sesuai dengan tempohnya yang bersifat sementara. Namun roh boleh disuburkan tanpa ada batas selagi usaha tidak mengenal jemu.
Jasad dan roh tidak akan subur tanpa dibantu oleh akal . Namun keduanya2 akan hancur angkara satu unsur bernama nafsu.
Jasad diambil Allah dari tanah yang hitam, kotor dan berbau dan perlu dikembalikan ke tempat asalnya setelah sampai masanya. Roh diambil Allah dari Luh mahfudz setelah bersaksi bahawa Allah adalah tuhannya. Apabila persaksian itu ditepati dengan penuh amanah ia akan dibawa ke syurga dan apabila persaksian itu dikhianati ia akan dicampakkan ke neraka.
Roh yang subur akan selamat tetapi roh yang kurus melidi akan menggigil ketakutan.
Sempurnakanlah akal dengan memberikanya ilmu yang banyak. Akal yang sempurna akan menyelamatkan roh dan jasad dari pengaruh nafsu yang jahat kerana akal adalah penentu kepada kedua-dua roh dan jasad itu.
Kecilkan nafsu dengan
1. puasa
2. solat
3. sadaqah
3.membaca ayat2 suci Al-Qur'an
Lakukan semuanya denga sabar dan ehsan. Hanya orang yang tajam akal saja dapat melakukan semua itu. Pertajamkan ia dengan ilmu. Insya Allah kita akan selamat.

Aci Aci Buka Pintu.


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
"Ayo.....aiyo....tolong..banyak sakit...!!!" Jeritan seorang wanita India yang sedang gelisah terbaring di atas katil Hospital Besar Kuala Lumpur. Wanita tua itu sendirian di situ. Tidak ada sesiapa mendekatinya. Dia terus-menerus meraung. Jururawat yang ada hanya membiarkan saja keadaannya.


Seorang gadis remaja belasan tahun berada selang dua katil dari nenek itu sedang menziarahi ahli keluarganya. Dia merasa tidak senang melihat keadaan itu.


"Orang tua ni entah bila nak berhenti menjerit..!" Rungut seorang jururawat yang lalu di depannya.


"Kenapa aci tu, kak?". Remaja itu bertanya kepada jururawat yang sedang berada di depannya.


"Dia sakit kencing manis. Orang lain pun sakit juga, tapi tidaklah melolong-lolong macam orang tua ni."


Tersentap telinganya mendengar jawapan jururawat itu. Perasaan belas mula menyelubungi hatinya. Dia pergi menghampiri orang tua itu. Perlahan-lahan dia mengusap rambut yang sudah putih yang kelihatan kusut masai. .


"Aci, kenapa menjerit2. Aci sakit, ya?" Dia bertanya sambil meletakkan tangan ke betis nenek tua itu. 


Kakinya kelihatan bengkak dan dipenuhi capok2 warna kuning. Rambut yang berminyak dan berbau serta kaki penuh kudis nenek itu tidak sedikitpun menjijikkannya dalam situasi begini.


Nenek itu berhenti meraung dan matanya memerhatikan saja remaja itu penuh hairan. Mungkin dia tidak percaya masih ada yang sudi mendekatinya. Usapan lembut tangan remaja ini mungkin berjaya menyentuh perasaannya. 


Sentuhan ikhlas dari hati yang tidak mengharapkan apa-apa.


"Aci tak ada anak ke? " Dia bertanya lagi.


"Saya ada satu anak laki-laki. Dia sudah kawin sama itu perempuan Melayu. Dia sudah masuk Islam. Sekarang dia sudah hilang. Dia tak pernah datang tengok saya. Itu celaka punya perempuan Melayu. Dia sudah ambil saya punya anak." Dia menghamburkan marahnya.


Remaja itu melayan saja cerita nenek itu. Dia dapat merasakan betapa nenek itu rindukan belaian anaknya. 


Apapun bangsa atau agama orang itu, bahasa rindu seorang ibu adalah sama saja di mana-manapun. Semua ibu inginkan perhatian anaknya di usia senja begini. 


Sentuhan kasih si anak adalah ubat yang amat melegakan segala kesakitan. Apalagi kalau sakit itu adalah sakit rindu.
Tetapi anak selalunya tidak faham erti rindu bagi seorang ibu.


Di dalam hatinya, si remaja terasa puas dapat melakukan sedikit kebaikan. Dia tidak tahu berapa lama aci itu dapat tahan bersabar. Namun dia yakin sentuhannya tadi dapat memberi sedikit kelegaan kepada nenek tua itu.


Di penghujung pertemuan itu nenek itu kelihatan tenang. Dia memegang erat tangan remaja itu sambil menahan air mata kerana terharu.


"Ayo, kalau perempuan macam awak kawin sama saya punya anak, saya tak jadi ini macam. Awak baik punya perempuan Melayu.. terima kasih...terima kasih." Dia bercakap sambil menyusun kedua tapak tangannya kepada remaja itu, gaya orang sedang menyembah.


Airmatanya terus mengalir.


"Aci, orang Indiakah, orang Melayukah....semua baik. Anak aci juga baik, isteri dia juga baik. Kalau anak aci masuk Islam dia tidak boleh buat jahat sama emak dia. Dia mesti jaga aci baik-baik. Aci buat baik sama dia, dia mesti balik punya. Aci jangan marah-marah, nanti dia baliklah. Aci doa sama tuhan, ya " Kata remaja itu sebagai ucapan memujuk.


Nenek itu terus tenang dan remaja itu meninggalkannya dengan penuh kasih. Kalaulah dipanjangkan lagi pertemuan itu mungkin saja nenek itu dapat diselamatkan 'aqidahnya.
Pintu hatinya mungkin saja dapat diketuk untuk menerima cahaya iman.
Kejadian itu membuat dia berfirkir:



  • Berbuat baik kepada orang lain tidak perlu ada batas bangsa dan agama
  • Sentuhan ikhlas terhadap orang yang kesedihan adalah amat tinggi nilainya.
  • Usah menghina orang lain walau bagaimana jijikpun keadaannya.
  • Kata-kata lembut lebih berkesan dari leteran.

Kisah itu sebenarnya adalah kisah saya sendiri pada tahun 70an. Remaja itu adalah saya. Saya masih ingat waktu itu saya memakai kain hitam berbunga merah dan blouse warna merah jambu serta tudung belit ke leher. Kenangan itu terpahat di hati saya sampai sekarang.


Kejadian itu rupanya diperhatikan oleh bapa saudara saya yang kemudiannya menceritakannya pada ayah.


"Eloklah Neli ini nanti jadi doktor. Dia ada watak untuk jadi doktor yang baik. Belajarlah rajin2." Kata bapa saudara saya itu di depan saya dan ayah.


Selepas kejadian itu ayah saya amat mengharapkan saya akan jadi doktor. Sewaktu temuduga biasiswa JPA saya disenaraikan untuk menjadi calon pelajar perubatan. Ayah sangat gembira. Sayangnya impian ayah tidak kesampaian apabila saya terpaksa menukar haluan ke bidang lain. ....Maafkan saya, ayah!!!!!

Laungan Azan di Rumah Panjang


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ   



Daawah ke Simunji, Sarawak
Laungan azan oleh ustaz Sabri dalam kesejukan pagi di rumah panjang pagi itu cukup syahdu apabila ia diterjemahkan di dalam hati. Allah Maha Besar. Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah.........

Saya mengambil lampu pelita untuk pergi mengambil wudhu di luar rumah panjang. Hampir saja saya terjatuh ke dalam parit dalam samar2 lampu yang separuh terang itu.

Selesai solat, ustaz mengajak jemaah yang terdiri dari saudara baru kaum Iban yang tinggal di rumah panjang dan pelajar2 UIA untuk sama2 melagukan zikir memuji Allah. Kata orang hati orang2 di kepulauan Melayu ini adalah lembut, oleh itu pendekatan da'wah secara lembut sebegini amat berkesan.

Sewaktu bersalaman dengan kaum wanita Iban selepas solat, saya dapat melihat wajah2 bersih mereka yang penuh dengan senyuman. Sambil bersalam kami berdakapan bagi mengeratkan lagi rasa persaudaraan. Kami dimaklumkan mereka amatlah pemalu dengan orang luar. Kita perlu menunjukkan kemesraan yang terbaik untuk mendekati mereka. Kami juga dimaklumkan mereka juga punya banyak pantang larang dan akan tersinggung kalau tidak berhati2 dalam setiap langkah. Demi misi suci ini kami mengikut saja.

Saya bersama 20 orang pelajar dari Kelab MISI UIA sedang menggerakkan aktiviti da'wah ke masayarakat Iban di kawasan Simunjan Sarawak dengan bantuan Urusetia Saudara Kita, USK, sebuah NGO yang aktif berdakwah ke kawasan peadalaman. Bersama saya juga ustaz Zunaidin atau yang dikenali sebagai 'Yang Mulia' yang turut mengiringi pelajar sepanjang program dan sdr Faris dari PTS Publication yang sedang mengusahakan terjemahan Al-Qur'an ke bahasa Iban.

Perjalanan ke Kg. Gayau, Simunjan, Sarawak amatlah mencabar. Ia berada jauh di pedalaman yang tidak boleh dimasukki menggunakan kenderaan biasa kecuali pacuan 4 roda. Jalan yang berbukit2 membuatkan kami merasa seperti menaiki kuda.

Ustaz Sabri memberikan saya buah tunjuk langit untuk dimakan bagi menambah ketahanan badan. Alhamdulillah, pengalaman lasak dalam CENSERVE selama ini banyak membantu saya. Terkenang kembali peristiwa tercampak di jurang semasa menyertai aktiviti 'white water rafting' di Sg Sedim 5 tahun lepas. Pernah juga merasa dilambung ombak menaiki bot di Selat Melaka sewaktu tsunami melanda.

Kami menyeberangi sungai melintasi jembatan kayu. Dikatakan sungai ini kadang2 ada buaya. ....berdebar juga rasa hati.

Bermalam di rumah panjang suku Iban buat pertama kali, kenangan yang tidak akan dilupakan. Ada 8 keluarga saudara baru mendudukinya. Mereka gembira dalam agama ini kerana kata mereka ajarannya lebih mudah. Mereka memerlukan tunjuk ajar agama. Selama tiga hari di kampung ini, pelajar2 UIA dari kelab MISI akan membantu mereka dengan aktiviti yang sudah dirancang dengan harapan keimanan mereka akan semakin kukuh. Selepas 3 hari, para pelajar ini akan dipecahkan pula ke dua buah lagi kampung untuk tujuan yang sama .

Seramai 20 orang ahli Kelab Misi, CENSERVE, berjaya melaksanakan perancangan mereka untuk berdakwah kepada masyarakat Iban selepas kejayaan mereka berdakwah di Pulau Mabul sebelum ini. Saya kagumi usaha mereka dan berdoa usaha itu tidak akan terhenti di situ saja.

Kampung Gayau terpaksa saya tinggalkan untuk pulang ke Semenanjung bagi meneruskan tugas2 yang sedang menanti. Dalam perjalanan pulang, ditakdirkan air sungai tinggi dan deras. Jembatan untuk menyeberang sudah tenggelam. Sebuah lori membawa muatan besi terperangkap di tengah jembatan. Kami solat dua rakaat memohon kepada Allah satunya2 pergantungan kami di saat cemas begini. Doa kami dimakbulkan Allah. Selepas beberapa jam kemudian air mula surut dan lori dapat dikeluarkan. Dengan penuh tawakal pemandu pacuan roda kami merempuh air yang masih menenggelamkan jambatan dan kami selamat ke seberang. Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya para da'ie dari USK menempuh semua ini sepanjang masa. Ratusan kampung y mereka ziarahi mengembangkan ajaran suci tanpa penat dan jemu. Hampir kesemua mereka adalah saudara baru yang merasa nikmat Islam ini perlu disebarkan dengan gigih. Mereka menempuh segala kepayahan dalam berda'wah. Sedangkan kita yang lahir dari keluarga Islam hanya mampu melihat dari jauh. Kita punya kehidupan, mereka juga punya kehidupan. Kita punya keluaraga, mereka juga punya keluarga. Bezanya antara mereka dan kita adalah mereka punya tawakal yang tinggi, meletakkan segalanya pada Allah dan mengenepikan kemewahan duniawi.

Saya merasa terharu melihat bagaimana mereka disambut mesra oleh penduduk rumah panjang tanda sayang mereka kepada para da'ie ini yang selalu memberi mereka perangsang tentang hidup beriman.

Penghormatan sangat tinggi kepada Puan Nurul dan Puan Rasyidah dua orang wanita bersemangat waja dari suku kaum Bidayuh dan Iban yang memeluk Islam semasa di Universiti. Setelah tamat pengajian terus berkecimpung di bidang da'wah. Ustaz Sabri dari Terengganu meninggalkan jawatan dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan menetap di Sarawak untuk berda'wah. Merekalah tunjang utama USK yang meletakkan dunia di kaki dan Islam di puncaknya. Mereka menginfakkan tenaga masa dan wang menjadi da'ie sepenuh masa. Beratus-ratus kampung yang mereka jaga pengIslaman masyarakatnya.

ZINA YANG BERLELUASA


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Masih sukar menghilangkan bayangan anak2 Palestine yang setiap saat berdepan dengan kekejaman. Anak kecil di Malaysia pula berdepan dengan kekejaman ibu yang membuang anak sendiri ke dalam tong sampah selepas berzina. 

Ketenangan petang ini tergugat dengan bahan2 berita yang meruntun perasaan. Data dan statistik yang mengerikan. Apa perasaan anda membaca fakta berikut:
Dalam satu kajian yang dilakukan kepada remaja Melayu bandar dan luar bandar tahun 2009, didapati 300 dari 400 belia berumur antara 13-25 tahun mengatakan pernah melakukan hubungan seks. Ada yang melakukannya seawal sekolah rendah. Amat mengejutkan bahawa 85% dari mereka yang melakukannya bukan saja tidak merasa kesal, malu atau takut berdosa tetapi mengatakan ianya sebagai pengalaman yang sangat menyeronokkan.
Faktor utama yang menyebabkan keadaan ini bukanlah faktor keluarga bermasalah tetapi adalah disebabkan tarikan kawan2.

Anda tentu merasa ngeri sebagaimana yang saya rasakan kerana kita punya anak, adik, cucu dan mereka akan punya kawan2 yang menjadi penentu utama kepada jenis peribadi mereka, samada sebagai manusia baik akhlaknya atau sebagai penzina.

Kita menjaga rumahtangga, kita menghantar mereka ke sekolah agama…..seolahnya2 segalanya sudah kita lakukan. Tetapi mereka ditarik oleh rakan mereka yang diluar kemampuan kita mengawalnya.

Tidak pernah kita terbayang bahawa hari ini kita berada di negara kita, di mana 3 dari setiap 4 remaja pernah berzina, dan tidak merasa berdosa dengan perbuatan mereka. Ini bermakna...

i.     Anak kita hanya mempunyai 25% saja kawan2 yang masih suci.
ii.    Anak kita mempunyai peluang hanya 25% untuk mendapat pasangan hidup bukan penzina.
iii.   Majoriti anak yang bakal dilahirkan beberapa tahun dari sekarang adalah anak2 yang mempunyai  
       ibubapa yang pernah berzina.
iv.   Anak penzina akan melahirkan zuriat penzina yang lebih tegar.
v.   Amalan zina akan diterima oleh masyarakat dan orang kan merasa pelik dengan orang yang tidak 
      pernah berzina.
vi.  Pengaruh ibubapa dalam membentuk peribadi anak hanya sekelumit kecil.
vii. Ibubapa akan menjadi hamba kepada anak2 dan anak adalah tuan mereka.

Apakah yang akan terjadi 5 tahun dari sekarang? Masa itu adakah ruang lagi untuk kita meneruskan kehidupan beragama di bumi tercinta ini????

"Kalau Adik dah besar..."


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Seolah-olah baru semalam mereka baru pandai bercakap
Di antara kenangan yang sangat indah ialah, saat2 anak baru pandai bercakap, dia menyebut, "Kalau adik dah besar nanti adik akan belikan ibu..."

Anak pertama, Liyana, "Kalau Kak Long dah 'becar' Kak Long nak belikan gajah untuk ibu...."

Anak kedua, Hanafi, "Kalau adik dah 'becar' Adik belikan ibu lori syampah. Minyak dia pakai minyak Cap Kapak...Adik nak buat rumah 10 tingkat. Adik ngan ibu duduk atasy syekali. Kalau ibu tak larat, adik dokong ibu syampai atasy. Ibu tido bilik adik. Abah tido kat bilik bawah."

Anak ketiga, Hazim, "Kalau ajim 'becar', ajim nak belikan ibu aultraman. Biar ibu tak nangisy...dah dapat mainan tak boleh nangisy dah. "

Anak ke empat, Hasif, "Kalau acif' 'becar', acif belikan ibu bateri banyak-banyak. Acif nak buat rumah untuk ibu kat tepi laut, ada angin banyak. Rumah acif bulat."

Anak kelima, Syakira, "Kalau adik 'becar', adik nak belikan ibu 'caklolo' dengan 'cua bol'. Adik pun buat rumah kat tepi laut. Laut adik warna putih tapi laut Abang Lang warna hitam......sebab adik putih, Abang Lang kan hitam?."

Si abang sedih mengadu kepada ibu, "Ibu! adik jahat. Dia kata Abang Lang hitam."

"Janganlah sedih, orang lelaki tak handsome kalau putih." Pujukan ibu untuk mententeramkan anak yang kulitnya gelap sedikit. Si abang senyum bangga.

Anak keenam, Hanif, "Kalau anif dah 'becar', anif nak belikan ibu pedang. Anif nak belikan ibu burung kat Kedai Anggerik. Anif caaayang ibu cangat!! anif riiindu ibu cangat. Anif nak duduk ngan ibu je sampai bila2!!!!."

Apabila besar sedikit, "Anak ibu nanti dah besar nak jadi apa......?"

Yang pertama nak jadi cikgu, yang kedua nak jadi ustaz, yang ketiga nak jadi polis, yang keempat nak jadi hafiz, yang kelima nak jadi doktor dan yang keenam nak jadi pensyarah macam abah. "
Selalunya saya akan berkata,
"Belajar rajin2 nanti boleh masuk UIA...."
......... UIA adalah perjuangan ibu sejak muda lagi.